Saturday, June 12, 2010

Wakil Malaysia di Piala Dunia

Saya baru sampai rumah. Tadi saya keluar memeriahkan suasana Piala Dunia, tengok perlawanan pertama antara Afrika Selatan dan Mexico. Kawan saya yang ajak tengok kat luar. Katanya nak tengok Javier Hernandez, pemain yang MU baru beli tu. Ala, bukan dalam kesebelasan utama pun..hehe. Keputusannya 1-1. Nasib baik Mexico dapat menyamakan kedudukan. Mereka memang berhak dapat mata dalam perlawanan ni. Tak adil kalau Afrika Selatan menang, sebab gol pertama Mexico dibatalkan kerana offside. Apa punya bengap la penjaga garisan tu. Terang-terang tak offside la brader. Takkan nak bagi kelebihan kat tuan rumah kot. 

Teringat Piala Dunia 2002 di Korea Selatan/Jepun. Terdapat beberapa keputusan kontrovesi yang dibuat oleh pengadil dan penjaga garisan dalam perlawanan yang melibatkan Korea Selatan. Pertama ketika bertemu Itali pada pusingan kedua (Korea Selatan menang 2-1). Kedua ketika mengalahkan Sepanyol pada pusingan suku akhir (Korea Selatan menang menerusi penentuan sepakan penalti). Bukan brader dari Malaysia ye yang bengap tu. Brader Malaysia jadi pengadil ke-4 untuk perlawanan ni.

Wakil Malaysia - Subkhiddin Mohd Salleh

Bingka: Ada yang demam ke?

Tuesday, June 8, 2010

Arjuna Episod 2

Pertarungan akhir pertandingan berentap menemukan Arjuna dan kawan baiknya Indra. Mereka bertarung dengan begitu sengit, siap bersenjata. Akhirnya Arjuna berjaya menikam Indra. Lepas tu kelam kabut pula dia mendapatkan Indra dan menekap luka di badan Indra dengan tangannya. Dengan tak semena-mena luka itu sembuh. Ramai orang terkejut, termasuk Arjuna sendiri. Nasib baik Arjuna tiba-tiba ada kuasa, kalau tak dah arwah si Indra tu. Kalau selalu mereka menganjurkan pertandingan ni, habis pupus pemuda-pemuda di kampung.

Lang Kajai dan Nading ditugaskan mencari Arjuna. Mereka yang berjubah hitam dan bertopeng terjumpa bapa Indra di hutan dan minta dibawa ke rumah Arjuna. Dalam masa yang sama Satria Aduka dan Suria (anak muridnya) dari Perikatan Pendekar Sakti sedang meredah hutan belantara. Mereka juga dalam perjalanan mencari Arjuna.

Apabila Lang Kajai, Nading dan bapa Indra sampai di rumah Arjuna, hanya ibunya berada di rumah. Mereka telah mengasari ibu Arjuna dan menggeledah rumahnya. Ibunya cuba menghalang lalu terjadilah pergelutan. Dalam pergelutan itu, ibunya ditikam.

Seorang pemuda berlari mendapatkan Arjuna dan bapanya di tepi pantai. Dia membawa perkhabaran rumah mereka diceroboh. Dalam masa yang sama, Satria Aduka dapat merasai ada sesuatu yang buruk sedang berlaku kepada keluarga Arjuna. Dia dan Suria bergegas ke rumah Arjuna dengan kelajuan cahaya.  Kalau awal-awal guna kuasa tu pasti dah lama sampai.

Apabila Arjuna dan bapanya sampai di rumah, bapanya terus bertarung dengan dua penjahat tu manakala Arjuna segera mendapatkan ibunya di dalam rumah. Dia ingin merawat luka ibunya dengan kuasa sakti, tapi ibunya menolak. Arjuna seakan setuju lalu membiarkan ibunya 'pergi'. Semasa bertarung, bapanya ditikam. Pada masa itu juga Satria Aduka dan Suria sampai lantas meneruskan pertarungan sengit itu. Arjuna mendapatkan bapanya pula. Dalam saat genting itu, bapanya menyerahkan Permata Wilis kepada Arjuna. Barulah Arjuna faham mengapa rumahnya didatangi penjahat itu. Dia juga terlupa nak menyembuhkan luka bapanya. Mungkin juga dia rasa bapanya akan menolak seperti ibunya. Lang Kajai dan Nading tidak mampu menyaingi kehebatan Satria Aduka dan Suria lalu melarikan diri. Selepas itu, bapa Arjuna menghembuskan nafas terakhir. Arjuna sangat sedih. (Siapa suruh kamu tak selamatkan mereka? Dah ada kuasa tu guna je la..)

Selepas mayat kedua ibu bapanya dikebumikan, Satria Aduka berkata "Kita terpaksa berangkat sekarang". Arjuna pun mengikuti kedua-duanya. Babak ni paling berjaya buat saya terpinga-pinga. "Nak pergi mana?" (itu soalan yang keluar dari mulut saya) Arjuna tanpa bertanya apa-apa, terus mengikut mereka. Kalau saya tengah rilek makan kuih bingka kat rumah, tiba-tiba ada orang datang bagi ayat macam tu, takkan buta-buta je saya nak ikut. Mestilah saya akan tanya, "Siapa kau?" dan banyak lagi soalan. Sepatutnya Satria Aduka dan Suria perkenalkanlah diri mereka dan ceritakanlah asal-usul Arjuna. Ceritalah tentang 'kehebatan' Adipura. Ceritalah tentang Perikatan Pendekar Sakti. Ceritalah mengenai Grakus. Ceritalah juga mengenai pedang dan permata sakti tu. Lepas tu barulah cerita nak pergi mana. Nak ngeteh ke, nak pekena lepat pisang ke..tak kisah la. Barulah Arjuna faham apa yang sedang berlaku. Bukan Arjuna je yang akan faham, PENONTON pun akan faham.

Saya nak tunggu episod ke-3. Saja nak bagi diri tertekan. Setakat dua episod ni, habis je cerita Arjuna, saya dan adik pasti mempersoalkan banyak babak dalam cerita ni. Dah macam berdiskusi. "Apa la babak tu.. apa la babak ni.. apa la dialog tu.. apa la skrip ni.." Macam-macam. Memang kami melekat dengan cerita ni. Cerita ni berjaya buat kami terpinga-pinga, tertanya-tanya dan tak puas hati. Sebab yang unik untuk mengikuti sebuah drama kan..haha.

Bingka: Ada geng tak?

Monday, June 7, 2010

Menjelang Piala Dunia 2010

Kelmarin saya bermain futsal semula setelah dua minggu berehat kerana kecederaan lutut. Main pun pakai knee guard, takut sakit balik. Cerita pasal cedera ni, semakin bertambah pula bilangan pemain bola sepak yang cedera menjelang sepak mula Piala Dunia pada 11 Jun nanti. Malangnya nasib mereka kan. Ye la, bukan selalu Piala Dunia ni, 4 tahun sekali. Yang mana masih muda mungkin masih berpeluang beraksi pada edisi seterusnya, tapi bagi yang berusia akhir 20-an, inilah masa terbaik untuk menyertai kejohanan berprestij ni. Lagi 4 tahun belum tentu mereka terpilih. Kalau terpilih pun, mungkin prestasi mereka tak seperti sekarang. Silap-silap negara mereka tak berjaya pun ke Piala Dunia. Lagilah malang. Antara pemain yang tak dapat bermain dalam Piala Dunia kali ni ialah John Obi Mikel, Michael Ballack dan Rio Ferdinand. Yang terbaru Didier Drogba dan Arjen Robben, tapi mungkin mereka masih ada peluang. Kita tengok saja nanti.

Bagi peminat bola sepak, anda dah bersedia ke untuk Piala Dunia? Saya tengok ramai yang dah beli jersi pasukan pilihan dan buku Piala Dunia. Pasti ramai juga yang dah hafal pasukan-pasukan dalam setiap kumpulan kan. Untuk edisi kali ni, nampaknya Kumpulan G yang terdiri daripada  pasukan Brazil, Portugal, Ivory Coast dan Korea Utara merupakan kumpulan maut. Untuk menambahkan lagi kehangatan Piala Dunia, jom sertai McDonald's FIFA World Cup Fantasy. Boleh jadi pengurus dan pilih pemain-pemain kita sendiri. Saya dah siapkan pasukan saya..:)

 Saya sokong Malaysia! 

Bercakap pasal Piala Dunia ni, apa pasukan pilihan anda? Anda kenal ke pemain pasukan yang anda sokong? Atau anda ikut orang je..haha. Untuk Piala Dunia kali ni, masa perlawanan paling awal ialah pada 7.30 malam dan paling lewat pada 2.30 pagi. Jadi buatlah pilihan nak menonton perlawanan yang mana satu. (klik untuk jadual perlawanan). Hah, anda akan pergi ke Afrika Selatan untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia? Wow..

Bingka: Viva EspaƱa!!

Tuesday, June 1, 2010

Adipura Pendekar Sakti

Slot Aksi di TV3 mempersembahkan: Arjuna - Episod 1. Saya teruja. Dah lama tak tengok drama pendekar. Menggunakan teknik CGI pula. Pasti mantap. Saya tunggu dengan penuh minat. Ada orang lain dah seminggu tunggu. Teruja lebih di situ.

Pendita Dzulkarnain adalah guru kepada 3 pendekar sakti yang handal iaitu Adipura, Grakus dan Gempita. (pendekar sakti ok, bukan pendekar biasa). Pendita Dzulkarnain mempunyai Permata Wilis dan Pedang Citra Dewata yang akan diserahkan kepada anak muridnya yang paling layak. Grakus dan Gempita tidak berpuas hati kerana Adipura menjadi murid kesayangan Pendita Dzulkarnian. Akhirnya mereka berpaling tadah kepada dunia jahat dan diarahkan mencuri Permata Wilis dan Pedang Citra Dewata. Cubaan mereka tidak berjaya. Akibatnya mereka disumpah oleh Pendita Dzulkarnain (tak jelas disumpah menjadi apa, cuma jatuh kesakitan beberapa saat dan bangun semula) dan dihalau daripada Perikatan Pendekar Sakti. Pedang dan permata tersebut diwariskan kepada Adipura dan keturunannya saja. Ternyata Adipura yang paling layak. Dia pendekar sakti yang hebat. Dia ada kuasa menyembuhkan luka. Tambahan pula, pedang sakti itu telah terbang ke dalam genggamannya. Benar bagai dikata, pedang itu mencari tuannya sendiri.

Beberapa tahun kemudian..
Adipura sudah mempunyai seorang isteri dan dua orang cahaya mata. Salah seorang daripadanya bernama Arjuna. Adipura juga sudah menjadi seorang raja kerana membahasakan dirinya sebagai 'beta' dan mempunyai sekumpulan hulubalang (entah bagaimana dia boleh menjadi raja, tak pula diceritakan).  Gaya percakapannya memang melambangkan sifat keperwiraan yang tersemat dalam dirinya. Ilmunya pasti bukan calang-calang. Kalau tidak, masakan dia menjadi murid kesayangan Pendita Dzulkarnain.

Pada satu hari Adipura diserang oleh pengikut Grakus iaitu Lang Kajai dan Nading. Tujuan mereka tidak lain hanya untuk merampas pedang dan permata kepunyaan Adipura. Sebelum diserang, Adipura dan isterinya sempat menyerahkan Permata Wilis dan kedua-dua anaknya kepada Cintasari (adik ipar Adipura) untuk diselamatkan. Maka Adipura pun bertarung dengan kedua-dua pengikut Grakus. Sedang sibuk bertarung, isteri Adipura cuba masuk campur menyebabkan dia dibunuh. Adipura terlalu sedih dengan kematian isterinya lalu membunuh diri dengan serta merta menggunakan pedangnya. Saya dan adik saling berpandangan. Saya tepuk dahi. Memang babak ini yang kami tunggu, bukti kehebatan Adipura. Dia memang pendekar sakti. Kami takkan lupa babak ni.

Sekarang Arjuna dah besar. Dia berlatih bertarung pada waktu malam sambil tubuhnya berbungkus dengan kain. Mungkin dia kesejukan. Bapanya (bapa angkat) memerhati sambil mengangguk puas hati.

Bingka: Tak puas hati.

Saturday, May 29, 2010

Kisah di Lembah Belum

Kisah 1: Masa bertolak
Saya sampai di tempat berkumpul pada pukul 10.50 malam. Tiada kelibat peserta. Tiada bas. Tapi ada banyak kereta kerana di dalam dewan ada majlis sedang berlangsung. Saya tengok pada kertas yang dibawa: Sila berkumpul pada pukul 10.45 malam. Bas akan bertolak tepat jam 11.00 malam. Masa betul, tarikh betul, tempat betul. Apa cerita ni? Beg dibiarkan dulu dalam kereta. Memang tak lucu. Sedang saya berdiri di depan dewan tu, ternampak seorang pemuda duduk di hujung bangunan dengan beg yang dipikul. Terus saya mendapatkannya. Dia juga dalam situasi yang sama. Kata Acha..."Berdua lebih baik". Kami menyanyi bersama.

Kami duduk di situ, membuat andaian yang pelbagai. Kalau batal bagitahu la. Senang. Balik rumah boleh tengok final Champions League. Jam dah pukul 11.30. Kami dah berkira-kira nak balik. Tiba-tiba keluar dua orang lelaki dari dalam dewan. Urusetia kursus. "Bang, jadi tak kursus?" "Eh, nak pergi kursus eh? Masjid..masjid. Tak dapat arahan terbaru ke?" "Takde pun." "Ye ke, pergi masjid. Bas ada kat sana." Kami bergegas ke masjid yang jaraknya 200 meter dari situ. Ramai pun peserta. Bas pun ada. Nasib baik kami terjumpa urusetia, kalau tak memang kami dah balik. Bagus juga dah dapat kawan sebelum kursus bermula ni. Apa-apa hal kami berdua. Bilik pun pilih duduk sama-sama. Kebetulan 3 orang lagi kawannya turut serta dalam kursus, terus kami jadi satu klik. Kami berpelukan.

Kisah 2: Cerita seram
Pada malam pertama, setelah minum malam kami duduk-duduk di dewan makan. Bersembang dengan pemandu bas. Masing-masing bercerita. Yang menariknya, kebanyakan cerita berkisar tentang kisah seram di jabatan masing-masing. Pontianak, lembaga, hantu, bunuh diri...ahh macam-macam. Bercerita di tempat macam tu, penghayatannya memang lebih mendalam. Siapa yang mula cerita hantu ni? Cis.

Kisah 3: Mandi di tasik
Pada petang hari kedua saya dan roommate duduk di bangku menghadap ke tasik. Pemandangan waktu petang sangat cantik. Dengan matahari yang semakin terbenam, cahayanya menguning. Kami melihat ramai peserta kursus mandi-manda di tasik. Ada yang bermain rakit. Ada yang duduk di jeti. Saya teringin nak mandi tasik.
"Jom turun mandi. Bukan selalu dapat mandi tasik ni."
"Pergi la. Aku rasa malas la pulak."
"Jom aar. Dapat merasa mandi kejap pun jadi la."
"Takpe la. Aku duduk kat sini je. Kau nak mandi, mandi la."
"Ok"

Dari dalam tasik saya lihat dia asyik menangkap gambar dengan kamera DSLRnya. Nak main rakit, tapi ada pula yang main sampai jauh-jauh, ada yang siap pusing satu pulau lagi. Korang ingat korang bawak rakit tu dari KL ke? Malas nak tunggu, saya naik semula. Lagipun dah nak maghrib. Jadi la tu 20 minit, janji dapat merasa mandi tasik.


Di bilik kami yang bersegi tiga:
"Aku bukan tak nak mandi tadi. Tapi aku ada pengalaman tak sedap mandi kat tasik ni."
"Pengalaman macam mana?"
"Dulu aku pernah pergi mandi kat tasik. Tengah sedap-sedap mandi, sekali rasa kaki aku kena tarik."
"Haa...ye ke?"
"Betul...rasa ada tangan tarik kaki aku. Menggelabah aku naik. Cuak gila."
Glupp...saya pengsan.

Bingka: Tulisan berwarna hijau hanya rekaan semata-mata..;)

Wednesday, May 26, 2010

Kursus di Lembah Belum

Assalamualaikum semua..

Saya baru balik dari kursus di Tasik Banding yang terletak di Lembah Belum, Perak selama 3 hari 2 malam. Ada yang pernah ke sana? Lembah Belum ni terletak kira-kira 40km daripada Gerik, Perak. (berhampiran sempadan Malaysia-Thailand). Di sana tiada isyarat telefon, memang terputus hubungan dengan dunia luar. TV dan radio pun tiada. Internet jangan harap la. Yang ada hanya alam dan manusia. Nasib baiklah 3 hari saja, kalau seminggu tak tahulah macam mana jadinya. Bila sampai di rumah pada tengah malam tadi, terus saya menonton tv (rasa macam nak tengok semua saluran), lepas tu baca surat khabar. Kemudian online..baca e-mel, lawat blog sendiri (ni yang paling rindu), jenguk Google Reader, ESPN Soccernet...ahh macam-macam la. Walaupun penat mengharungi perjalanan selama 9 jam, pukul 3 juga baru saya tidur...melepaskan rindu pada teknologi.


Di Lembah Belum terdapat banyak pulau-pulau kecil. Asalnya pulau-pulau ni adalah puncak bukit. Apabila Empangan Temenggor dibina pada tahun 1972, sebahagian kawasan Hutan Belum ditenggelami air dan banyak puncak-puncak bukit telah bertukar menjadi pulau seperti yang ada sekarang. Kami menginap di Pulau Sri Undangan, sebuah pulau yang diuruskan oleh tentera di bawah Rejimen Sempadan. Layanan oleh pihak tentera di situ memang baik. Makanan yang disediakan pun sedap-sedap. Cuma kemudahan elektrik terpaksa dicatu mengikut keperluan kerana menggunakan kuasa dari generator. Kemudahan 'plug point' pula hanya terdapat di dewan taklimat. Kena bergilir-gilir la kalau nak guna. Yang pastinya, semua kemudahan di situ akan dimajukan dari semasa ke semasa.


Di sana saya rapat dengan 4 orang lagi peserta. Banyak masa kami habiskan bersama. Bersembang, bergurau senda dan bergelak ketawa, memang seronok. Antara aktiviti yang dilakukan selama 3 hari di sana ialah menyusuri tasik melalui pulau-pulau, jungle tracking, melawat perkampungan orang asli, mandi-manda dan bermain rakit di tasik, selain taklimat dan pembentangan kumpulan. Pada pagi hari kedua, kami mendaki sebuah pulau yang mempunyai menara di puncaknya. Pemandangan matahari terbit dari atas menara tu sangat cantik.



Ini merupakan kali pertama saya ke tasik (bukan tasik di bandar macam Titiwangsa ya). Sebelum ni kalau bercuti banyak ke sungai, pantai dan pulau. Bagus juga la sekali-sekala mendekatkan diri dengan alam, melupakan kesibukan tugas di pejabat, kebisingan dan kesesakan di bandar. Tenang jiwa. Ditambah dengan dua hari lagi cuti rehat dan sehari cuti Hari Wesak. Seminggu kelibat saya tiada di pejabat..:)

Wednesday, May 19, 2010

Bukti kehebatan Lin Dan

"Main badminton? Alahai..celah ketiak je.."
Tengok betul-betul ye..