Monday, October 10, 2016

Kembali dari persaraan bola sepak

Aku rasa kali terakhir aku bermain bola sepak secara konsisten ialah 10-15 tahun lepas, semasa aku masih belajar. Selepas itu aku hanya aktif bermain futsal sampai la aku berkahwin 2 tahun lepas. Selepas berkahwin, aku mula aktif berlari jarak jauh pula. Boleh dikatakan aku sudah 'gantung but'. Dah malas la aku nak menyepak-nyepak bola ni. Sebab pertama ialah aku dah ada anak kecil, dan sebab yang kedua ialah kos. Kalau semua sukan aku nak aktif, banyak la kos yang perlu dikeluarkan, sementelah aku bukannya orang kaya. Nak masuk larian, nak main futsal, nak sewa padang bola + pengadil..semua nak kena bayar beb.

Kira-kira 2 bulan lepas, tiba-tiba kawan-kawan sekolah menengah 1 batch dengan aku membentuk pasukan bola sepak dan mula mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain. Sebenarnya setiap tahun sekolah aku ada menganjurkan perlawanan bola sepak untuk bekas pelajar. Batch aku pun ada la hantar satu team. Dengan tak berlatihnya tiba-tiba nak main pertandingan. Memang bungkus awal la. Mungkin bertitik tolak dari situ la timbul idea mereka ni nak buat pasukan bola sepak. Sekurang-kurangnya kami dah biasa bermain bersama sebelum menyertai pertandingan seterusnya. Jadi sekarang ni, boleh dikatakan 2 minggu sekali ada friendly match. Aku yang pada mulanya malas nak join akhirnya join juga setelah beberapa kali diajak. Tak sampai hati pula nak kecewakan kawan-kawan yang beria buat logo, buat jersi pasukan home dan away, cari penaja, cari lawan, tempah padang, taja makanan, taja minuman, buat whatsapp group dan macam2 lagi. Buat masa ini kami hanya bermain di padang sekolah kami, belum bermain di tempat lain lagi. 

Jadi begitulah ceritanya sekarang. Pada usia pertengahan 30-an tak sangka aku akan aktif bermain bola sepak semula. Kebetulan but bola pun masih ada sepasang, padang sekolah pun dekat dengan rumah. Bagus juga aku aktif berlari sejak 2-3 tahun lepas, banyak membantu stamina aku di padang. Cuma skil dan teknik la dah tumpul. Perlukan lebih masa perlawanan.

Thursday, September 8, 2016

Ejaan Bahasa Melayu yang mengelirukan

Benda ni dah lama aku perhati dan kadang-kadang rasa tak puas hati.

Apabila disemak ejaan yang betul untuk sesebuah perkataan di laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP, rasa macam tak percaya dan tak logik pula ejaan yang dikatakan salah atau betul. Jauh daripada sebutan yang biasa kita gunakan dari dulu. Aku tak faham mengapa Bahasa Melayu jadi begitu? Sebutannya lain, ejaannya lain. Ini dah jadi semacam satu identiti bahasa yang pelik dan mengelirukan.

Di bawah ini ialah contoh ejaan perkataan yang aku susah nak terima. Aku lebih selesa guna ejaan yang dikatakan salah. :

Serunding (SALAH), Serondeng (BETUL)
Sampin (SALAH), Samping (BETUL)
Istirehat (SALAH), Istirahat (BETUL)
Satria (SALAH), Sateria (BETUL)
Zohor (SALAH), Zuhur (BETUL)
Faksimili (SALAH), Faksimile (BETUL)
Garuda (SALAH), Geroda (BETUL)

Ada juga istilah-istilah yang berubah cara ejaannya iaitu dulu perkataannya dirapatkan, sekarang dijarakkan contohnya kereta api, atur cara, bandar raya, isi padu, kraf tangan dan lain-lain. Aku rasa guru-guru subjek Bahasa Melayu pun pening nak mengajar anak murid sebab tak mustahil ejaan ni akan berubah semula di masa akan datang.

Yang pastinya, Bahasa Melayu tetap Bahasa Melayu, bukan Bahasa Malaysia.

Sekian.

Monday, September 5, 2016

Keinginan menjadi ibu bapa atlet

Malaysia menamatkan cabaran di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan pungutan 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa, pencapaian terbaik Malaysia setakat ini walaupun masih belum berjaya membawa pulang pingat emas sejak mula menyertainya pada 1956. Sepanjang Sukan Olimpik ni berlangsung, aku memang seronok mengikuti perkembangan sukan-sukan yang dipertandingkan terutama sukan yang melibatkan atlet Malaysia, di samping olahraga yang sudah tentu menjadi sukan tumpuan.

Semasa menonton aksi, semangat, serta keazaman para atlet negara bertanding, aku yakin ramai ibu bapa muda yang teringin juga anak-anak kecil mereka menjadi seorang atlet bertaraf dunia yang dihormati dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia suatu hari nanti. Keinginan itu turut terlintas di fikiran aku. Mulalah aku berfikir dan mencongak acara sukan mana yang bagus untuk Amir ceburi. Bayangkan la kalau anak kita jadi pemain badminton hebat seperti Dato' Lee Chong Wei misalnya, fuhh bangga beb!

Tapi nak melahirkan atlet bertaraf dunia ni bukan senang. Banyak pengorbanan yang perlu kita lakukan sebagai ibu bapa. Dan anak tu sendiri kena betul-betul minat dan sanggup korbankan zaman bersuka ria di usia remaja. Lihat saja apa yang Allahyarham Haji Sidek lakukan terhadap anak-anaknya. Mungkin perasaan nak tengok anak jadi atlet ni muncul sebab sedang bersemangat tengok sukan. Nanti di masa yang lain, berubah pula fikiran tu..hehe 

Apapun, syabas diucapkan kepada semua atlet Malaysia!
Majulah sukan untuk negara!

Tuesday, July 5, 2016

Debar Syaaban

Pada satu petang di bulan Syaaban yang lalu, aku menunggang motor balik dari kerja dengan meredah hujan dan ribut petir. Baju hujan memang sentiasa aku siap sediakan. Cahaya kilat sangat terang silih berganti dan bunyi petir sangat kuat bertalu-talu umpama petir menyambar di sebelah telinga je. Berdebar betul masa tu, terasa petir tu dah terlalu hampir dan bila-bila masa saja aku boleh disambar. Trafik semua dah tak bergerak. Kebanyakan penunggang motor yang lain pula dah berteduh di bawah jambatan/flyover.

Macam-macam ayat la aku baca supaya selamat. Tapi satu doa aku yang paling utama masa tu ialah semoga Allah beri aku kesempatan bertemu dengan Ramadan yang bakal tiba beberapa hari saja lagi. Itu je harapan aku.

Beberapa ketika kemudian aku terpaksa berhenti juga di bawah flyover bersama geng2 motor yang lain sebab hujan semakin lebat dan angin sangat kuat sampai rasa susah motor nak bergerak ke depan, terhuyung hayang dibuatnya. Jalan pun dah tak nampak sangat.

Sekejap rasanya masa berlalu, hari ini sudah hari terakhir di bulan Ramadan 1437H. Aku bersyukur kepada Allah kerana memberi kesempatan kepadaku untuk bertemu penghulu segala bulan ini. Alhamdulillah.

Monday, July 4, 2016

Raya bertiga

Pada hari raya Aidilfitri tahun lepas, aku dan isteri tidak ikut mak dan abah pulang ke kampung di Johor kerana sedang menanti kelahiran anak sulung kami. Pada 12 Syawal, Amir selamat dilahirkan.

Kira-kira setahun berlalu, lusa kita akan merayakan Hari Raya Aidilfitri sekali lagi. Amir kini berusia 11 bulan dan akan menginjak ke usia setahun pada 23 Syawal nanti. Aku dan isteri dah tak sabar nak beraya bersama Amir buat kali pertama dan nak bawa dia berjumpa dengan sanak saudara di kampung. Ramai lagi saudara-mara yang belum sempat bertemu dengan Amir. Baju melayu raya dia pun dah dibeli sedondon dengan abah dan ibunya.

Satu benda aku nak pesan kat Amir nanti; dapat sampul raya jangan buka depan orang yang memberi tu. Tak sopan. (Macam la Amir faham pesanan aku tu..kihkih)

Selamat Hari Raya!
Maaf Zahir dan Batin.

Monday, March 21, 2016

Half-marathon pertama saya

Assalamualaikum..

Alkisahnya minggu lepas saya dah selamat berlari untuk jarak yang paling jauh pernah saya lari iaitu 21km. Tak sangka akhirnya saya masuk juga kategori larian sejauh ini. Sol la ni paksa saya..haha. Sebelum ni ada juga kawan daripada 'Geng lari-lari' ajak saya masuk 21km atau lebih mudah disebut HM (half-marathon), tapi saya kata "Kerja gila la nak lari jauh-jauh sampai 21km ni, malas la aku". Namun sekarang saya tak nak komen..hahaha

Pada hari Ahad itu, seawal pukul 3.20 pagi saya dah bangun dan bersiap untuk keluar. Woi..awal betul. Mujur Newcastle tiada perlawanan, boleh tidur awal. Biasanya saya hanya perlu bangun dalam pukul 5 pagi, sebab daftar pun untuk jarak 10 atau 12 km saja. Kemudian sempat solat Subuh di masjid yang berhampiran, dan mula berlari dalam pukul 7 pagi. Tapi ni lagi awal daripada tu. Sol tiba di rumah saya seperti yang dijanjikan pada pukul 4.00 pagi dan kami bertolak ke tempat larian. Di sana kami bertemu dengan Jejai. Mereka berdua ni dah ada pengalaman berlari HM sebelum ni. Saya je newbie.

Pada pukul 5.00 pagi kami sudah dilepaskan untuk UEM Charity Run 2016 yang berlangsung di Lebuhraya NKVE. Kali pertama saya mula berlari sebelum Subuh. Dari rumah saya dah siap-siap ambil wudhu supaya senang bila nak solat nanti. Persediaan saya memamg mantap dan sempat saya mengkhabarkannya kepada Sol.

Maka saya pun berlari dengan kelajuan sederhana. Sol seawal jarak 2km dah melepaskan saya berlari di depan, manakala Jejai dapat saya potong pada km ke-3. Sebelum masuk waktu Subuh, 4-5 kali juga saya terkentut. Tak guna..susah nak tahan..haha.

Saya dan pelari yang lain berhenti solat Subuh di tepi lebuhraya. Ada yang berhenti awal, ada yang berhenti kemudian. Stesen air yang disediakan oleh penganjur untuk pelari menyejukkan badan (besen berisi air dan span) menjadi tempat kami mengambil wudhu. Lari-lari juga, kewajipan jangan dilupa. Setelah saya habis solat, Sol baru tiba untuk solat. Saya meneruskan larian yang masih jauh lagi.

Akhirnya saya berjaya menamatkan larian half-marathon pertama saya dalam masa hampir 3 jam. Catatan masa rasmi saya ialah 2:54:56. Kedudukan jangan cerita la, no.600 lebih daripada 1080 peserta lelaki..hehe. Alhamdulillah, dapat habiskan pun dah puas hati.

Larian saya yang seterusnya ialah We Run KL 2016. Half-marathon juga!






Monday, March 7, 2016

Berlari

Assalamualaikum..

Sedar tak sedar, sudah setahun rupanya saya menceburkan diri dalam bidang larian. Semasa di sekolah tidak minat pula saya masuk aktiviti lari-lari ni. Saya lebih suka bermain bola sepak dan sepak takraw. Tapi latihan kadet infantri setiap minggu kena berlari keliling sekolah juga sambil menyanyi lagu-lagu kadet. Kalau ada acara dalam masa terdekat, bertambah teruk latihannya, kena berlari sambil menggalas M16. Biasa la tu, acara kawalan hormat atau perbarisannya sekejap saja, tapi persiapan dan latihan punya la berminggu-minggu. Mungkin disebabkan itu saya dah malas nak lari yang lain lagi..haha.

Berbalik kepada aktiviti sukan baru saya iaitu larian. Larian pertama saya ialah pada bulan Februari 2015 iaitu Kuala Lumpur City Day Run 2015. Sebenarnya pada tahun 2014 ada juga saya masuk satu larian iaitu Orange Run. Faizul yang ajak dan saya pun saja ikut sebab percuma. Tapi pada tahun 2015 la saya mula aktif berlari, daftar masuk larian sana sini. Boleh dikatakan setiap hujung minggu saya akan berjoging sekurang-kurangnya 5 km sebagai senaman. Pada hari bekerja susah sikit la nak berjoging sebab sampai rumah pun dah lewat petang.

Tiba-tiba 'larian' ni dah jadi aktiviti senaman utama pula untuk saya. Mungkin sebab ada geng, dan dimeriahkan pula dengan kumpulan Whatsapp. Kalau seorang diri nak masuk larian sana sini memang tak la. Sebelum kahwin dulu saya sangat aktif bermain futsal dan sesekali mendaki. Tapi sejak dah kahwin saya mula kurang bermain futsal. Sekarang tukar kepada berlari, dan ianya menyeronokkan juga. 

Untuk tahun 2015, purata dalam sebulan saya masuk 1 larian. Tolak bulan puasa dan bulan raya..hehe. Jadi tak banyak sangat la pingat. Selalunya saya masuk kategori jarak 10km, 12km atau 15km, tengok yang mana ada. 21 km (half marathon) tak pernah lagi. Setakat ni memang saya seronok la berlari. Hari Ahad lepas saya telah berlari di Kuala Lumpur City Day Run 2016 (12km), larian kedua saya untuk tahun 2016. Untuk bulan Mac dan April pun saya dah mendaftar untuk larian. Cukup la tu sebulan masuk satu larian.