Showing posts with label Lembah Belum. Show all posts
Showing posts with label Lembah Belum. Show all posts

Saturday, May 29, 2010

Kisah di Lembah Belum

Kisah 1: Masa bertolak
Saya sampai di tempat berkumpul pada pukul 10.50 malam. Tiada kelibat peserta. Tiada bas. Tapi ada banyak kereta kerana di dalam dewan ada majlis sedang berlangsung. Saya tengok pada kertas yang dibawa: Sila berkumpul pada pukul 10.45 malam. Bas akan bertolak tepat jam 11.00 malam. Masa betul, tarikh betul, tempat betul. Apa cerita ni? Beg dibiarkan dulu dalam kereta. Memang tak lucu. Sedang saya berdiri di depan dewan tu, ternampak seorang pemuda duduk di hujung bangunan dengan beg yang dipikul. Terus saya mendapatkannya. Dia juga dalam situasi yang sama. Kata Acha..."Berdua lebih baik". Kami menyanyi bersama.

Kami duduk di situ, membuat andaian yang pelbagai. Kalau batal bagitahu la. Senang. Balik rumah boleh tengok final Champions League. Jam dah pukul 11.30. Kami dah berkira-kira nak balik. Tiba-tiba keluar dua orang lelaki dari dalam dewan. Urusetia kursus. "Bang, jadi tak kursus?" "Eh, nak pergi kursus eh? Masjid..masjid. Tak dapat arahan terbaru ke?" "Takde pun." "Ye ke, pergi masjid. Bas ada kat sana." Kami bergegas ke masjid yang jaraknya 200 meter dari situ. Ramai pun peserta. Bas pun ada. Nasib baik kami terjumpa urusetia, kalau tak memang kami dah balik. Bagus juga dah dapat kawan sebelum kursus bermula ni. Apa-apa hal kami berdua. Bilik pun pilih duduk sama-sama. Kebetulan 3 orang lagi kawannya turut serta dalam kursus, terus kami jadi satu klik. Kami berpelukan.

Kisah 2: Cerita seram
Pada malam pertama, setelah minum malam kami duduk-duduk di dewan makan. Bersembang dengan pemandu bas. Masing-masing bercerita. Yang menariknya, kebanyakan cerita berkisar tentang kisah seram di jabatan masing-masing. Pontianak, lembaga, hantu, bunuh diri...ahh macam-macam. Bercerita di tempat macam tu, penghayatannya memang lebih mendalam. Siapa yang mula cerita hantu ni? Cis.

Kisah 3: Mandi di tasik
Pada petang hari kedua saya dan roommate duduk di bangku menghadap ke tasik. Pemandangan waktu petang sangat cantik. Dengan matahari yang semakin terbenam, cahayanya menguning. Kami melihat ramai peserta kursus mandi-manda di tasik. Ada yang bermain rakit. Ada yang duduk di jeti. Saya teringin nak mandi tasik.
"Jom turun mandi. Bukan selalu dapat mandi tasik ni."
"Pergi la. Aku rasa malas la pulak."
"Jom aar. Dapat merasa mandi kejap pun jadi la."
"Takpe la. Aku duduk kat sini je. Kau nak mandi, mandi la."
"Ok"

Dari dalam tasik saya lihat dia asyik menangkap gambar dengan kamera DSLRnya. Nak main rakit, tapi ada pula yang main sampai jauh-jauh, ada yang siap pusing satu pulau lagi. Korang ingat korang bawak rakit tu dari KL ke? Malas nak tunggu, saya naik semula. Lagipun dah nak maghrib. Jadi la tu 20 minit, janji dapat merasa mandi tasik.


Di bilik kami yang bersegi tiga:
"Aku bukan tak nak mandi tadi. Tapi aku ada pengalaman tak sedap mandi kat tasik ni."
"Pengalaman macam mana?"
"Dulu aku pernah pergi mandi kat tasik. Tengah sedap-sedap mandi, sekali rasa kaki aku kena tarik."
"Haa...ye ke?"
"Betul...rasa ada tangan tarik kaki aku. Menggelabah aku naik. Cuak gila."
Glupp...saya pengsan.

Bingka: Tulisan berwarna hijau hanya rekaan semata-mata..;)

Wednesday, May 26, 2010

Kursus di Lembah Belum

Assalamualaikum semua..

Saya baru balik dari kursus di Tasik Banding yang terletak di Lembah Belum, Perak selama 3 hari 2 malam. Ada yang pernah ke sana? Lembah Belum ni terletak kira-kira 40km daripada Gerik, Perak. (berhampiran sempadan Malaysia-Thailand). Di sana tiada isyarat telefon, memang terputus hubungan dengan dunia luar. TV dan radio pun tiada. Internet jangan harap la. Yang ada hanya alam dan manusia. Nasib baiklah 3 hari saja, kalau seminggu tak tahulah macam mana jadinya. Bila sampai di rumah pada tengah malam tadi, terus saya menonton tv (rasa macam nak tengok semua saluran), lepas tu baca surat khabar. Kemudian online..baca e-mel, lawat blog sendiri (ni yang paling rindu), jenguk Google Reader, ESPN Soccernet...ahh macam-macam la. Walaupun penat mengharungi perjalanan selama 9 jam, pukul 3 juga baru saya tidur...melepaskan rindu pada teknologi.


Di Lembah Belum terdapat banyak pulau-pulau kecil. Asalnya pulau-pulau ni adalah puncak bukit. Apabila Empangan Temenggor dibina pada tahun 1972, sebahagian kawasan Hutan Belum ditenggelami air dan banyak puncak-puncak bukit telah bertukar menjadi pulau seperti yang ada sekarang. Kami menginap di Pulau Sri Undangan, sebuah pulau yang diuruskan oleh tentera di bawah Rejimen Sempadan. Layanan oleh pihak tentera di situ memang baik. Makanan yang disediakan pun sedap-sedap. Cuma kemudahan elektrik terpaksa dicatu mengikut keperluan kerana menggunakan kuasa dari generator. Kemudahan 'plug point' pula hanya terdapat di dewan taklimat. Kena bergilir-gilir la kalau nak guna. Yang pastinya, semua kemudahan di situ akan dimajukan dari semasa ke semasa.


Di sana saya rapat dengan 4 orang lagi peserta. Banyak masa kami habiskan bersama. Bersembang, bergurau senda dan bergelak ketawa, memang seronok. Antara aktiviti yang dilakukan selama 3 hari di sana ialah menyusuri tasik melalui pulau-pulau, jungle tracking, melawat perkampungan orang asli, mandi-manda dan bermain rakit di tasik, selain taklimat dan pembentangan kumpulan. Pada pagi hari kedua, kami mendaki sebuah pulau yang mempunyai menara di puncaknya. Pemandangan matahari terbit dari atas menara tu sangat cantik.



Ini merupakan kali pertama saya ke tasik (bukan tasik di bandar macam Titiwangsa ya). Sebelum ni kalau bercuti banyak ke sungai, pantai dan pulau. Bagus juga la sekali-sekala mendekatkan diri dengan alam, melupakan kesibukan tugas di pejabat, kebisingan dan kesesakan di bandar. Tenang jiwa. Ditambah dengan dua hari lagi cuti rehat dan sehari cuti Hari Wesak. Seminggu kelibat saya tiada di pejabat..:)