Showing posts with label Arjuna. Show all posts
Showing posts with label Arjuna. Show all posts

Tuesday, June 8, 2010

Arjuna Episod 2

Pertarungan akhir pertandingan berentap menemukan Arjuna dan kawan baiknya Indra. Mereka bertarung dengan begitu sengit, siap bersenjata. Akhirnya Arjuna berjaya menikam Indra. Lepas tu kelam kabut pula dia mendapatkan Indra dan menekap luka di badan Indra dengan tangannya. Dengan tak semena-mena luka itu sembuh. Ramai orang terkejut, termasuk Arjuna sendiri. Nasib baik Arjuna tiba-tiba ada kuasa, kalau tak dah arwah si Indra tu. Kalau selalu mereka menganjurkan pertandingan ni, habis pupus pemuda-pemuda di kampung.

Lang Kajai dan Nading ditugaskan mencari Arjuna. Mereka yang berjubah hitam dan bertopeng terjumpa bapa Indra di hutan dan minta dibawa ke rumah Arjuna. Dalam masa yang sama Satria Aduka dan Suria (anak muridnya) dari Perikatan Pendekar Sakti sedang meredah hutan belantara. Mereka juga dalam perjalanan mencari Arjuna.

Apabila Lang Kajai, Nading dan bapa Indra sampai di rumah Arjuna, hanya ibunya berada di rumah. Mereka telah mengasari ibu Arjuna dan menggeledah rumahnya. Ibunya cuba menghalang lalu terjadilah pergelutan. Dalam pergelutan itu, ibunya ditikam.

Seorang pemuda berlari mendapatkan Arjuna dan bapanya di tepi pantai. Dia membawa perkhabaran rumah mereka diceroboh. Dalam masa yang sama, Satria Aduka dapat merasai ada sesuatu yang buruk sedang berlaku kepada keluarga Arjuna. Dia dan Suria bergegas ke rumah Arjuna dengan kelajuan cahaya.  Kalau awal-awal guna kuasa tu pasti dah lama sampai.

Apabila Arjuna dan bapanya sampai di rumah, bapanya terus bertarung dengan dua penjahat tu manakala Arjuna segera mendapatkan ibunya di dalam rumah. Dia ingin merawat luka ibunya dengan kuasa sakti, tapi ibunya menolak. Arjuna seakan setuju lalu membiarkan ibunya 'pergi'. Semasa bertarung, bapanya ditikam. Pada masa itu juga Satria Aduka dan Suria sampai lantas meneruskan pertarungan sengit itu. Arjuna mendapatkan bapanya pula. Dalam saat genting itu, bapanya menyerahkan Permata Wilis kepada Arjuna. Barulah Arjuna faham mengapa rumahnya didatangi penjahat itu. Dia juga terlupa nak menyembuhkan luka bapanya. Mungkin juga dia rasa bapanya akan menolak seperti ibunya. Lang Kajai dan Nading tidak mampu menyaingi kehebatan Satria Aduka dan Suria lalu melarikan diri. Selepas itu, bapa Arjuna menghembuskan nafas terakhir. Arjuna sangat sedih. (Siapa suruh kamu tak selamatkan mereka? Dah ada kuasa tu guna je la..)

Selepas mayat kedua ibu bapanya dikebumikan, Satria Aduka berkata "Kita terpaksa berangkat sekarang". Arjuna pun mengikuti kedua-duanya. Babak ni paling berjaya buat saya terpinga-pinga. "Nak pergi mana?" (itu soalan yang keluar dari mulut saya) Arjuna tanpa bertanya apa-apa, terus mengikut mereka. Kalau saya tengah rilek makan kuih bingka kat rumah, tiba-tiba ada orang datang bagi ayat macam tu, takkan buta-buta je saya nak ikut. Mestilah saya akan tanya, "Siapa kau?" dan banyak lagi soalan. Sepatutnya Satria Aduka dan Suria perkenalkanlah diri mereka dan ceritakanlah asal-usul Arjuna. Ceritalah tentang 'kehebatan' Adipura. Ceritalah tentang Perikatan Pendekar Sakti. Ceritalah mengenai Grakus. Ceritalah juga mengenai pedang dan permata sakti tu. Lepas tu barulah cerita nak pergi mana. Nak ngeteh ke, nak pekena lepat pisang ke..tak kisah la. Barulah Arjuna faham apa yang sedang berlaku. Bukan Arjuna je yang akan faham, PENONTON pun akan faham.

Saya nak tunggu episod ke-3. Saja nak bagi diri tertekan. Setakat dua episod ni, habis je cerita Arjuna, saya dan adik pasti mempersoalkan banyak babak dalam cerita ni. Dah macam berdiskusi. "Apa la babak tu.. apa la babak ni.. apa la dialog tu.. apa la skrip ni.." Macam-macam. Memang kami melekat dengan cerita ni. Cerita ni berjaya buat kami terpinga-pinga, tertanya-tanya dan tak puas hati. Sebab yang unik untuk mengikuti sebuah drama kan..haha.

Bingka: Ada geng tak?

Tuesday, June 1, 2010

Adipura Pendekar Sakti

Slot Aksi di TV3 mempersembahkan: Arjuna - Episod 1. Saya teruja. Dah lama tak tengok drama pendekar. Menggunakan teknik CGI pula. Pasti mantap. Saya tunggu dengan penuh minat. Ada orang lain dah seminggu tunggu. Teruja lebih di situ.

Pendita Dzulkarnain adalah guru kepada 3 pendekar sakti yang handal iaitu Adipura, Grakus dan Gempita. (pendekar sakti ok, bukan pendekar biasa). Pendita Dzulkarnain mempunyai Permata Wilis dan Pedang Citra Dewata yang akan diserahkan kepada anak muridnya yang paling layak. Grakus dan Gempita tidak berpuas hati kerana Adipura menjadi murid kesayangan Pendita Dzulkarnian. Akhirnya mereka berpaling tadah kepada dunia jahat dan diarahkan mencuri Permata Wilis dan Pedang Citra Dewata. Cubaan mereka tidak berjaya. Akibatnya mereka disumpah oleh Pendita Dzulkarnain (tak jelas disumpah menjadi apa, cuma jatuh kesakitan beberapa saat dan bangun semula) dan dihalau daripada Perikatan Pendekar Sakti. Pedang dan permata tersebut diwariskan kepada Adipura dan keturunannya saja. Ternyata Adipura yang paling layak. Dia pendekar sakti yang hebat. Dia ada kuasa menyembuhkan luka. Tambahan pula, pedang sakti itu telah terbang ke dalam genggamannya. Benar bagai dikata, pedang itu mencari tuannya sendiri.

Beberapa tahun kemudian..
Adipura sudah mempunyai seorang isteri dan dua orang cahaya mata. Salah seorang daripadanya bernama Arjuna. Adipura juga sudah menjadi seorang raja kerana membahasakan dirinya sebagai 'beta' dan mempunyai sekumpulan hulubalang (entah bagaimana dia boleh menjadi raja, tak pula diceritakan).  Gaya percakapannya memang melambangkan sifat keperwiraan yang tersemat dalam dirinya. Ilmunya pasti bukan calang-calang. Kalau tidak, masakan dia menjadi murid kesayangan Pendita Dzulkarnain.

Pada satu hari Adipura diserang oleh pengikut Grakus iaitu Lang Kajai dan Nading. Tujuan mereka tidak lain hanya untuk merampas pedang dan permata kepunyaan Adipura. Sebelum diserang, Adipura dan isterinya sempat menyerahkan Permata Wilis dan kedua-dua anaknya kepada Cintasari (adik ipar Adipura) untuk diselamatkan. Maka Adipura pun bertarung dengan kedua-dua pengikut Grakus. Sedang sibuk bertarung, isteri Adipura cuba masuk campur menyebabkan dia dibunuh. Adipura terlalu sedih dengan kematian isterinya lalu membunuh diri dengan serta merta menggunakan pedangnya. Saya dan adik saling berpandangan. Saya tepuk dahi. Memang babak ini yang kami tunggu, bukti kehebatan Adipura. Dia memang pendekar sakti. Kami takkan lupa babak ni.

Sekarang Arjuna dah besar. Dia berlatih bertarung pada waktu malam sambil tubuhnya berbungkus dengan kain. Mungkin dia kesejukan. Bapanya (bapa angkat) memerhati sambil mengangguk puas hati.

Bingka: Tak puas hati.