Wednesday, February 10, 2010

Tambah lagi dua cendol pulut

Pada hari Jumaat lepas, saya dan beberapa orang teman rapat bertolak ke Batu Pahat pada pukul 8.30 malam dan tiba di sana kira-kira jam 12 tengah malam. Kami bermalam di rumah saudara saya yang terletak di bandar Batu Pahat. Keesokan harinya kami menghadiri majlis pernikahan kawan kami (Khairul) di Semerah. Kebetulan Semerah tu kampung ayah saya, jadi tiada masalah la nak menuju ke situ. Dengan sekali lafaz, Khairul sah menjadi seorang suami. Tahniah Boy! (nama panggilan sejak sekolah).

Dalam perjalanan balik ke KL, kami singgah di Melaka. Destinasi persinggahan kami ialah kedai cendol di depan bangunan Stadthuys. Ala...tempat yang ada menara jam dan air pancut tu. Haa...situ la. Sebelum bertolak ke Batu Pahat lagi saya dah ajak mereka singgah di situ. Ada hal sikit. Hmm...nikmatnya makan cendol di situ, terutama ketika cuaca panas, sejuk tekak dibuatnya. Satu mangkuk tak cukup ok, kena dua mangkuk. Pisang goreng pun ada, harus 'ngap' juga. Sambil makan boleh tengok gelagat orang, maklumlah kawasan tu memang meriah dengan pelancong. Ada yang sibuk bergambar, ada yang menaiki beca, ada juga yang mengunjungi kedai-kedai cenderahati yang banyak terdapat di situ. Kebetulan masa tu ada orang main gasing dan menyanyi lagu dondang sayang. Memang menambahkan suasana cuti-cuti Malaysia..;)


Dah selesai makan, saya pun panggil la abang cendol tu kira. Dah saya yang ajak, saya la kena belanja. Takpe, kecik punya hal. Lepas dia beritahu jumlah yang perlu dibayar, saya cakap kat dia..."bang ,tambah lagi dua cendol pulut, hari tu lupa bayar la"...hehe

Bingka: yes, misi selesai...

Friday, February 5, 2010

Si Poyo

Semalam saya terlibat dalam satu ekspo di PWTC. Ekspo/pameran ni memang setiap tahun diadakan. Seperti biasa, saya pasti akan berjumpa dengan seseorang yang saya tak gemar. Saya akan namakan dia sebagai Si Poyo dalam entri ni. Si Poyo memang sering terlibat dalam setiap pameran yang saya sertai. Maklumlah kami bekerja dalam satu organisasi, cuma dia di jabatan lain.

Sikap dia ni boleh saya katakan sombong tak bertempat. Pada pameran-pameran sebelum ni saya cuba juga menegur, tapi dia macam nak tak nak je layan. Takpe, mungkin kamu takde idea nak berbual. Beberapa kali selepas itu saya cuba senyum atau mengangkat kepala sedikit (niat untuk bertegur sapa) tapi tak diendahkan. Takpe, mungkin kamu rabun.

Tapi dalam satu pameran pada pertengahan tahun lepas, dia 'berjaya' buat sesuatu kepada saya. Seperti biasa sebelum masuk ke dewan pameran, saya akan mengambil pas masuk daripada wakil organisasi saya yang sudah sedia menunggu di luar dewan. Disebabkan masih terlalu awal untuk masuk ke dalam dewan, saya berbual sebentar dengan abang yang bagi pas tu. Tak lama lepas tu, datanglah Si Poyo ni untuk mengambil pas. Dia menegur abang tu. Saya yang berdiri betul-betul di sebelah abang tu senyum dengan ikhlas padanya. Tapi dia langsung tak pandang saya (buat-buat tak nampak). Lepas ambil pas dia terus masuk ke dalam dewan. Punyalah sombong mamat sorang ni. Sesungguhnya pada hari itu dia telah 'berjaya'. Berjaya buat saya sakit hati dan berjaya buat saya benci padanya.

Dan sepanjang hari pameran semalam, saya buat macam dia tak wujud je (walaupun booth kami bersebelahan). Lebih baik saya berbual dengan orang yang tak sombong dengan saya. Kalau saya tak berbual dengan sesiapa pun, lebih baik saya menatap laptop di booth saya atau berjalan-jalan melihat booth orang lain daripada membuang masa cuba berbaik dengan kamu.

Bingka: Hari ni pameran lagi, jumpa Si Poyo lagi...