Tuesday, September 27, 2011

Ilusi 3 tahun

Minggu lepas genap 3 tahun usia blog ni. Dah banyak yang saya coretkan, namun banyak lagi yang tak terkongsi. Mungkin saya simpan saja sendiri.

Lewat ini, saya banyak mencari kelainan. Cuba lari dari kebiasaan. Mungkin sementara, mungkin berterusan. Mengulang rutin ternyata membosankan. Memikirkannya apatah lagi. Jiwa-jiwa yang ramai itu sudah ada episod baru mereka. Lalu yang biasa itu jadi tawar. Sebab itu.. ye, sebab itu kena berubah. Salah satunya ialah tinggal sendiri. Tapi yang dicari belum jumpa lagi.

Saya lihat jumlah follower makin bertambah. Saya gelak sendiri...kahkahkah...ini ilusi.

*ramai teman yang berkonvo minggu ni. Tahniah!

Wednesday, September 21, 2011

Drift di Desa Waterpark

Dalam perjalanan ke PJ tempoh hari, saya memandu dalam keadaan hujan gerimis. Memandu melalui Lebuhraya KL-Seremban menghala ke KL, saya bagi isyarat ke kiri berhampiran Desa Waterpark untuk masuk ke Lebuhraya Hubungan Timur-Barat menghala ke Lebuhraya Persekutuan. Setelah rapat ke kiri, saya perasan dari cermin pandang belakang, ada sebuah kereta yang dipandu dengan laju menghampiri kereta saya. Saya terus rapat ke lorong kiri dan dia memotong di lorong kanan, memasuki selekoh yang sama dengan saya.

Tak sampai 5 saat kemudian, bahagian kiri kereta itu melanggar tembok di depan Desa Waterpark dan berpusing akibat jalan yang licin. "Jahanam"..itu yang terkeluar dari mulut saya sambil kaki laju menekan pedal brek. Bila dah brek mengejut, tayar kereta saya menggelungsur ke kiri dan ke kanan macam tengah buat drift. Cepat-cepat saya kawal stereng dan mengelak kereta tu. Fuhh, nasib baik sempat saya mengelak ke kanan.


Tak guna! Kau punya pasal, nyaris aku terlibat sama. Saya tak berhenti sebab saya yakin pemandunya selamat. Cuma bumper kereta je tercabut. Tu la, lain kali jangan nak menunjuk sangat. Semasa saya jeling cermin pandang belakang, saya lihat ada kereta berhenti.

Kalau tak, tak sampai..

Sunday, September 18, 2011

Di surau yang kecil

Semalam saya bawa kereta ke bengkel untuk diservis. Balik je dari bengkel, kereta saya mati di tengah jalan. Oh, malangnya. Mati betul-betul kat simpang sebelum naik bukit. Terus buat 'autoshow' kejap kat situ. Mujur masih berdekatan dengan bengkel yang saya pergi tadi, dan mujur juga ada nombor telefon pomen, saya minta dia datang tengok apa yang tak kena. Sebelum servis elok je, lepas servis pulak dia nak meragam. Haish..macam-macam hal. Tapi saya cool je, sebab dah biasa kena. Dengan lain perkataan, dah biasa susah. Lepas 2-3 kali pomen berulang alik ke bengkel, dan lepas hampir 2 jam tersadai, akhirnya enjin boleh dihidupkan semula. Tak jadi saya nak ke rumah terbuka tengahari tu. Satu, sebab dah penat berjemur bawah sinaran matahari. Satu lagi, sebab bila keluar waktu tengahari, hari Sabtu pulak tu, paham-paham aje la sesaknya macam mana kat MRR2, buatnya kalau mati lagi enjin kereta tu, naya je. Baik saya berehat di rumah, melelapkan mata buat seketika.

Bila saya dah cukup rehat, kereta pun dah berehat, pukul 4 petang saya keluar ke rumah terbuka kawan saya dengan harapan kereta tak buat hal di tengah jalan. Waktu-waktu macam tu rasanya trafik dah ok sikit. Cuaca pun dah redup. Alhamdulillah selamat sampai di Puncak Jalil. Banyak juga saya makan sate dan spageti sebab tak makan tengahari lagi. Dari Puncak Jalil saya menuju ke PJ pula untuk berkumpul bersama geng hitam putih. Susah betul nak keluar dari kawasan tu, nak sampai ke Astro pun ambil masa setengah jam, padahal 5 minit boleh sampai. Saya berhenti sebentar di Petronas berhampiran Astro untuk solat maghrib. Surau di situ kecil, tak sesuai dengan lokasinya di tepi laluan utara selatan dan bilangan orang yang ramai berhenti di situ. Yang nak masuk ke surau punya la ramai masa tu. Kena tunggu 2 kali solat berjemaah selesai baru saya dapat solat. Sekali berjemaah boleh muat dalam 8 orang je. Yang bestnya masa kumpulan yang berjemaah sebelum kami tu selesai solat, ada seorang daripada mereka bangun dan sambung buat solat sunat pula. Memang bagus solat sunat ni, tapi tengok la keadaan bang oi. Bagi la ruang kat orang yang tengah ramai berdiri macam tugu ni. Tu baru yang kat dalam surau, yang kat luar ada beberapa orang lagi yang tengah berdiri dalam hujan gerimis. Ada yang kena tarik telinga ni kang.

Wednesday, September 14, 2011

Monday, September 12, 2011

Raya ke-12

Selamat Hari Raya!!!


Saja nak kecoh, sebab dah raya ke-12 baru keluar beraya.
Mujur beraya di kawasan Bangi/Putrajaya, takde masalah kesesakan trafik.
Saya sorang je dari KL, yang lain dari Bangi dan Putrajaya.

Masing-masing dah ada anak, jadi meriah la dengan gelagat budak-budak.
Saya je yang belum ada anak. :)

Friday, September 9, 2011

Aku dan gunting

Semalam saya dapat SMS dari seorang kawan:

"Cuba teka aku kat mana? Haha..Subang airport. Teringat keja kita dulu.. Hahahaha"

Dulu lepas habis belajar di Politeknik, saya dan beberapa orang kawan dapat peluang kerja sementara di MAS, tempatnya di Lapangan Terbang Subang. Kerja sebagai Semi-skilled Aircraft Mechanic, kontrak selama 3 bulan. Boleh la tu sementara nak tunggu sambung belajar. Daripada tak buat apa, baik belajar baiki pesawat. Kalau kerja rajin sikit boleh jadi engineer atau pilot.

Pada hari pertama bekerja, kami dipecahkan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan masuk bahagian baiki kerusi pesawat, satu kumpulan lagi ke bahagian Upholstery. Saya masuk bahagian Upholstery bersama 2 orang kawan.

***

Selama 3 bulan kami bekerja pegang gunting. Screwdriver, spanar, playar semua tak perlu. Setiap hari kami kena berdiri sambil menggunting pelbagai jenis kain mengikut bentuk-bentuk yang ditetapkan, bergantung kepada jenis pesawat. Kemudian kain-kain yang siap dipotong akan diberi kepada geng seterusnya untuk dijahit menjadi sarung kusyen. Seminggu pertama kerja tu, sakit betul jari-jemari. Mana taknya, dari pagi sampai ke petang kerja menggunting je. Gilak. Sampai jadi kasar kulit jari kat bahagian yang biasa pegang gunting tu. Sakit pun dah tak rasa dah.


Satu je yang best...'masa rehat'. Masa tu la boleh lupakan seketika 'enjin-enjin pesawat yang rosak' dan  bertemu dengan ramai pramugari yang lawa.

Saya balas SMS sambil tersengih. ^_^

Monday, September 5, 2011

Kehebatan Bang Long

Kamu jangan nak bising-bising pasal siapa Bang Long, siapa bukan. Tengok dulu video ni.



Inilah Bang Long sebenar. Sepak 2 orang, tapi 3 orang yang terpelanting. Lepas tu pulak, takde masa nak jimat2 peluru ni, baik nyalakan rokok. Hebat gile.

Sunday, September 4, 2011

Indahnya lebaran

Malam raya: Bertakbir raya dari rumah ke rumah. Dapat duit raya dan kain pelikat.

Raya pertama: Pagi, keluar pergi solat raya. Kemudian duduk di rumah sampai malam.

Raya kedua: Pagi, keluar beli lemang, pergi Carrefour dan Giant beli barang. Kemudian duduk di rumah sampai malam.

Raya ketiga: Siang, keluar pergi solat Jumaat. Malam, keluar pergi car wash. Kemudian lepak di mapley, tengok  drama melayu.

Raya keempat: Siang duduk di rumah. Malam keluar minum dengan kawan.

Raya kelima: Satu hari duduk di rumah.

Raya keenam: Duduk di ru....  Ok dah bosan. Esok kerja. Jumpa kat pejabat.

Don't ask about raya photos, because I don't have one.  zzzz..

Thursday, September 1, 2011

Kunjung-mengunjung di Hari Raya

Nanti bila dah masuk kerja atau belajar semula, jangan ditanya pada kawan-kawan.. "Takde buat rumah terbuka ke?" atau "Bila nak buat rumah terbuka?" ...dan sebagainya.

Nak pergi beraya tu pergi je la. Berhenti depan rumah, bagi salam. Kalau dia ada di rumah, pasti dia akan menyambut kedatangan kamu dengan gembira. Kalau takut tuan rumah takde semasa kamu datang berkunjung, bagitahu pada tuan rumah tu kamu nak datang pada hari sekian sekian, dan tanya dia ada di rumah tak pada hari tu. Kalau dia tak ke mana-mana, pasti rumahnya sentiasa terbuka untuk kamu. Kunjung-mengunjung ni kan dah jadi tradisi di Hari Raya. Bukan kena tunggu ada rumah terbuka je baru boleh beraya. 

Kalau kat kampung pandai kamu buat amalan kunjung-mengunjung ni ye, tapi bila pulang ke kota jadi tak reti pulak. Nak tunggu ada jemputan baru nak berkunjung.