Assalamualaikum semua..
Saya baru balik dari kursus di Tasik Banding yang terletak di Lembah Belum, Perak selama 3 hari 2 malam. Ada yang pernah ke sana? Lembah Belum ni terletak kira-kira 40km daripada Gerik, Perak. (berhampiran sempadan Malaysia-Thailand). Di sana tiada isyarat telefon, memang terputus hubungan dengan dunia luar. TV dan radio pun tiada. Internet jangan harap la. Yang ada hanya alam dan manusia. Nasib baiklah 3 hari saja, kalau seminggu tak tahulah macam mana jadinya. Bila sampai di rumah pada tengah malam tadi, terus saya menonton tv (rasa macam nak tengok semua saluran), lepas tu baca surat khabar. Kemudian online..baca e-mel, lawat blog sendiri (ni yang paling rindu), jenguk Google Reader, ESPN Soccernet...ahh macam-macam la. Walaupun penat mengharungi perjalanan selama 9 jam, pukul 3 juga baru saya tidur...melepaskan rindu pada teknologi.
Di Lembah Belum terdapat banyak pulau-pulau kecil. Asalnya pulau-pulau ni adalah puncak bukit. Apabila Empangan Temenggor dibina pada tahun 1972, sebahagian kawasan Hutan Belum ditenggelami air dan banyak puncak-puncak bukit telah bertukar menjadi pulau seperti yang ada sekarang. Kami menginap di Pulau Sri Undangan, sebuah pulau yang diuruskan oleh tentera di bawah Rejimen Sempadan. Layanan oleh pihak tentera di situ memang baik. Makanan yang disediakan pun sedap-sedap. Cuma kemudahan elektrik terpaksa dicatu mengikut keperluan kerana menggunakan kuasa dari generator. Kemudahan 'plug point' pula hanya terdapat di dewan taklimat. Kena bergilir-gilir la kalau nak guna. Yang pastinya, semua kemudahan di situ akan dimajukan dari semasa ke semasa.
Di sana saya rapat dengan 4 orang lagi peserta. Banyak masa kami habiskan bersama. Bersembang, bergurau senda dan bergelak ketawa, memang seronok. Antara aktiviti yang dilakukan selama 3 hari di sana ialah menyusuri tasik melalui pulau-pulau,
jungle tracking, melawat perkampungan orang asli, mandi-manda dan bermain rakit di tasik, selain taklimat dan pembentangan kumpulan. Pada pagi hari kedua, kami mendaki sebuah pulau yang mempunyai menara di puncaknya. Pemandangan matahari terbit dari atas menara tu sangat cantik.
Ini merupakan kali pertama saya ke tasik (bukan tasik di bandar macam Titiwangsa ya). Sebelum ni kalau bercuti banyak ke sungai, pantai dan pulau. Bagus juga la sekali-sekala mendekatkan diri dengan alam, melupakan kesibukan tugas di pejabat, kebisingan dan kesesakan di bandar. Tenang jiwa. Ditambah dengan dua hari lagi cuti rehat dan sehari cuti Hari Wesak. Seminggu kelibat saya tiada di pejabat..:)