Showing posts with label Hari Raya. Show all posts
Showing posts with label Hari Raya. Show all posts

Wednesday, August 8, 2018

Ceri Raya

Sejak hujung bulan Syawal hari tu, dari sehari ke sehari aku bercadang nak tulis sesuatu di sini. Tapi tak juga tulis-tulis. Di tempat kerja dah tentu sibuk. Di rumah pula aku malas nak menaip kalau anak aku masih belum tidur, sebab kalau dia nampak aku tak tidur lagi, dia pun sibuk berjaga. Kalau berjaga saja tu takpe la, ini siap kacau aktiviti aku. Tak senang nak menaip dibuatnya..hehe. Nak fikir idea lagi. Masalahnya sekarang ni dia jenis tidur lambat, lepas pukul 11 malam baru nak tidur. Jadi bila dia dah tidur tu, hari pun dah lewat malam dan aku pun dah malas nak buka laptop..haha.

Ok, aku nak cerita pendek je ni sebab anak aku dah tidur awal sikit hari ni. Saja nak melepaskan rindu nak menulis. Nak cerita pasal raya walaupun dah basi..kahkah.

Dalam kesibukan membuat persiapan Hari Raya hari tu, sempat juga aku dan isteri ke nursery beli anak pokok ceri dan beberapa pokok lain untuk hiasan di balkoni rumah. Eh yang pokok ceri tu bukan untuk balkoni rumah ye, itu untuk tanam di kampung..hehe. Entah la, aku tengok di bahagian depan halaman kat kampung aku, di tepi jalan besar tu macam kosong je, takde pokok yang rimbun yang boleh menghijaukan pemandangan dan meredupkan sikit kawasan tu. Jadi dipendekkan cerita, dengan berpakaian baju melayu dan seluar jogger pants, aku telah menanam pokok ceri tu dengan jayanya di halaman rumah kampung. Aku buat sorang2 je di waktu petang, masa sedara2 dan keluarga aku tengah beraya di rumah Mak Long yang terletak berhampiran. Berpeluh ketiak..dah la lepas maghrib tu nak pergi kenduri tahlil pula..hahaha.

Ok itu saja, cerita ceri raya ku. Harap pokok tu dapat tumbuh dengan sihat, dapat jadi tempat orang berteduh daripada panas dan mengeluarkan buah yang dapat memberi rezeki kepada makhluk Allah yang lain. Ada la juga kenangan aku setiap kali balik kampung. Lepas raya haji nanti nak balik kampung sebab ada kenduri, boleh la tengok perkembangan pokok ceri ku...hehehe





Tuesday, July 4, 2017

Raya kena ada kamera

Hari Raya kali ni memang seronok dan penat melayan telatah Amir. Tahun lepas dia baru pandai berdiri. Tahun ni dah pandai berjalan, berlari dan memanjat. Jenuh nak memantau pergerakan dia naik tangga turun tangga, mengejar kucing di segenap penjuru rumah, nak tengok orang main bunga api, nak main basikal dan macam-macam lagi.

Seronok tengok Amir berhari raya di kampung sebab ramai geng budak-budak kecil. Rumah kampung pun luas..suka la dia berlari sana sini. Dia pun nampaknya jenis pandai nak berkawan. Cuma kadang-kadang tu kecoh juga berebut mainan.

Bila dah balik KL baru aku sedar aku tak banyak ambil gambar dan video raya. Sibuk jaga Amir punya pasal. Dalam seronok menikmati saat beraya bersama anak dan isteri, rasa rugi pula tak simpan kenangan tu. Tiba-tiba semangat tengok kamera di Lazada kot-kot ada yang berkenan sebab kamera Lumix aku dah rosak. Mungkin sebab itu juga aku kurang ambil gambar sebab tak nak bazir bateri handphone. Oh memang ada yang aku minat, Canon Powershot G7X Mark II tapi harganya mahal..dalam RM 2200-2300. Kamera point & shoot je tapi mampu beraksi macam DSLR. Kecil dan mudah dibawa. Hmm..nampaknya terpaksa jadikan 'wishlist' je la dulu sebab duit pun tak berapa nak ada..haha.

Syawal masih berbaki 20 hari. Selamat beraya semua. Makan tu berpada-pada la, nanti jatuh sakit dah kena berpantang makan.

Amir diapit dua pupu

Monday, July 4, 2016

Raya bertiga

Pada hari raya Aidilfitri tahun lepas, aku dan isteri tidak ikut mak dan abah pulang ke kampung di Johor kerana sedang menanti kelahiran anak sulung kami. Pada 12 Syawal, Amir selamat dilahirkan.

Kira-kira setahun berlalu, lusa kita akan merayakan Hari Raya Aidilfitri sekali lagi. Amir kini berusia 11 bulan dan akan menginjak ke usia setahun pada 23 Syawal nanti. Aku dan isteri dah tak sabar nak beraya bersama Amir buat kali pertama dan nak bawa dia berjumpa dengan sanak saudara di kampung. Ramai lagi saudara-mara yang belum sempat bertemu dengan Amir. Baju melayu raya dia pun dah dibeli sedondon dengan abah dan ibunya.

Satu benda aku nak pesan kat Amir nanti; dapat sampul raya jangan buka depan orang yang memberi tu. Tak sopan. (Macam la Amir faham pesanan aku tu..kihkih)

Selamat Hari Raya!
Maaf Zahir dan Batin.

Sunday, August 11, 2013

Dugaan malam raya 2013

Alhamdulillah, setelah pulang ke kampung untuk berhari raya, semalam (Sabtu) saya dan keluarga selamat sampai di rumah. Keadaan trafik pun baik. Rasa sangat lega bila sampai. Meh sini saya bercerita tentang kisah malam raya saya.

Saya dan keluarga bertolak pulang ke kampung pada malam raya iaitu pada pukul 10.30 malam. Kami singgah di Melaka untuk mengambil adik saya yang bekerja di sana dan meneruskan perjalanan. Kami memang selalu balik pada malam raya sebab adik-adik saya jarang dapat cuti awal. Saya sendiri pun masih bekerja sehingga hari terakhir sebelum raya.

Kira-kira pukul 2 pagi ketika saya sedang memandu, kedengaran satu bunyi dari bahagian enjin.."trettt". Saya memperlahankan sikit kereta sambil cuba mendengar kembali bunyi tadi, tapi bunyi itu tidak kedengaran lagi. Saya pun teruskan memandu. Dalam hati dah mula timbul tanda tanya. Setengah jam kemudian saya memberhentikan kereta di Hentian Simpang Renggam untuk ke tandas. Saya biarkan enjin hidup sebab risau enjin tak boleh dihidupkan kembali jika dimatikan. Gerak hati saya menyatakan begitu.

Selepas itu adik saya pula memandu. Kalau dicongak, kami akan akan tiba pada pukul 3.30 pagi. Kira-kira pukul 3 pagi kereta kami terasa seperti tersengguk-sengguk. Adik saya memperlahankan kereta. Terjadi lagi benda yang sama. Memang sah kereta ayah ada masalah. Kebetulan masa itu kami berada betul-betul sebelum simpang masuk ke Hentian Kulaijaya. Maka kami pun masuk dan memberhentikan kereta di salah satu petak parking. Pada masa tu lampu penunjuk bateri dah menyala dan lampu radio dah terpadam. Ayah yakin ini masalah alternator sebab bateri baru 4 bulan digunakan. Kami mematikan enjin dan cuba untuk menghidupkannya semula tapi tidak berjaya.

Ayah cuba menghubungi beberapa orang saudara di JB tapi tiada yang berangkat. Maka saya pun menghubungi PLUS. Setengah jam kemudian Plusronda tiba. Mereka memeriksa kerosakan. Disebabkan hampir pasti itu masalah alternator, mereka tak boleh buat apa-apa, lalu mereka menghubungi trak tunda dari bengkel panel PLUS yang terletak berhampiran. Selepas itu Plusronda beredar.

Pada waktu trak tunda tiba, hujan sudah mulai turun. Saya dan ayah terpaksa memayungi pemandu trak ketika dia memeriksa enjin. Dia juga berpendapat itu masalah alternator. Kereta terpaksa ditunda ke bengkel mereka yang terletak berhampiran tol Kulaijaya. Ketika ini berlaku insiden yang penuh adventure. Setelah kereta dinaikkan ke atas trak tunda, pemandunya bertanya siapa yang nak duduk di depan bersamanya dan siapa yang nak duduk di dalam kereta kami yang telah dinaikkan ke atas trak. Saya memilih untuk duduk di dalam kereta manakala ayah dan emak duduk di depan bersama pemandu. Adik saya memang sudah berada di dalam kereta sebab dia yang mengawal stereng ketika kereta ditarik naik ke atas trak. Pemandu trak cepat-cepat masuk ke dalam trak sebab hujan semakin lebat.

Sebelum memanjat ke atas trak, saya cuba membuka pintu kereta tapi tidak berjaya. Saya mengetuk pintu sebagai isyarat supaya adik saya membuka pintu itu dari dalam. Entah macam mana, adik saya turun pula dari trak tunda sebab dia fikir saya bagi isyarat supaya turun. Dalam masa yang sama, saya berjaya membuka pintu kereta ayah dan cuba memanjat untuk naik. Satu kaki saya sudah memijak badan trak dan satu lagi kaki masih tergantung. Ketika itu trak sudah mula bergerak. Saya terpaksa menurunkan semula kaki dan menutup semula pintu kereta sebab saya fikir pemandu trak nak mengalihkan traknya ke depan sikit.

Ya ampun, rupanya dia terus bergerak meninggalkan saya dan adik. Kami cuba mengejar tapi trak semakin jauh sehingga dah keluar dari kawasan rehat (ni Wakenabeb ke apa?). Nasib baik saya berjaya menghubungi ayah dan beritahu kami tertinggal di belakang. Bayangkanlah dengan keadaan hujan pada masa tu, saya dan adik terpaksa berlindung dengan satu payung dan berlari sejauh kira-kira 500 meter ke arah trak tunda yang menunggu kami di tepi lebuhraya. Sengal juga mamat ni...boleh dia tanya kenapa saya tak naik. Aku belum sempat naik la woi!

Kami sampai di rumah makcik pada pukul 5.30 pagi. Usai solat raya pagi itu, tiada lain yang kami buat selain tidur hingga ke tengahari. Jadi jangan tanya saya tentang gambar raya pertama. Itulah kisah saya di malam raya. Baru je saya bercerita tentang dugaan-dugaan ketika nak beraya pada entri yang lepas kan. Betul-betul terjadi pada kami sekeluarga. Tapi kami menghadapinya dengan tenang sebab ini bukan kali pertama kereta kami rosak. Pada Hari Raya tahun ni, itulah topik sensasi keluarga kami yang diceritakan dari rumah ke rumah. ;p


Wednesday, August 7, 2013

Duit pra Raya

Perasan tak satu perkara? Bila dah dekat-dekat nak raya ni selalunya ada je benda yang memerlukan duit atau merugikan duit kita. Kalau keluar duit untuk persiapan raya tu biasa la. Tapi ini duit yang perlu dikeluarkan untuk benda-benda lain atau kerugian harta benda yang tiba-tiba berlaku ke atas diri kita. Kalau tak terjadi pada kita pun, pasti terjadi kepada orang-orang di sekeliling kita.

Pagi tadi seorang kawan saya kerugian hampir RM 5 ribu kerana keretanya dipecah dan barang-barang di dalam kereta dicuri. Minggu lepas, seorang lagi kawan saya pun mengalami nasib yang sama dengan anggaran kerugian sebanyak RM 2 ribu. Kejadian berlaku di Downtown Cheras. Kelmarin pula, seorang kawan saya ditipu oleh klien berkaitan insurans kereta. 

Seorang kawan saya mengalami kerosakan gear kereta pada hari dia sepatutnya pulang ke kampung Sabtu lepas. Saya sendiri pernah mengalami kemalangan kecil pada bulan puasa di mana kereta saya terlanggar bahagian belakang kereta orang lain. Kecil-kecil pun terbang juga RM 500. Dah la masa raya nak pakai duit, kena pula benda-benda macam tu. Memang dugaan betul. Nampak tak, macam-macam hal berlaku bila nak dekat raya ni. Yang saya perasan selalunya berkaitan kecurian, kerosakan kenderaan dan kemalangan jalan raya. 

Jumaat lepas, dalam perjalanan ke tempat bermain futsal, kebetulan saya dan kawan saya bersembang tentang road tax kereta. Bila sampai di tempat futsal kawan saya saja la tengok road tax kereta saya. Rupanya dah lama mati road tax tu. Saya punya la selamba memandu ke sana ke mari. Ayam betul!!! Masa ni la tiba-tiba nak kena renew insurans dan road tax kereta. *_*

Sunday, August 4, 2013

Cili raya

Saya tak shopping raya pun tahun ni. Saya nak pakai apa yang ada je. Lagipun banyak baju yang masih elok. Untuk persiapan makanan tu ada la saya beli kerepek sikit. Kuih-muih emak dah beli. Kami memang beli je kuih raya. Emak saya menjaga anak orang, mana ada masa nak buat kuih bagai. 

Di kala orang lain sibuk membeli pakaian raya dan kuih raya, saya juga sempat membeli sesuatu. 
Tadaaa..

cilibangi

Saya beli anak pokok cili. ;)
Tapi saya tidak berseorangan, ada lagi 4 orang kawan saya yang turut beli. Ada seorang kawan saya tu siap buat group whatsapp geng cili lagi. Selama ni saya tak pernah terfikir pula akan terlibat dengan geng cili. Saya cuma terfikir akan terlibat dengan geng suami, eh.

Sebenarnya ini kali pertama saya membeli anak pokok. Kalau di pejabat, kawan-kawan perempuan selalu terima bungkusan barang yang dibeli secara online, tapi saya terima cili. Rasa teruja pula..haha. Tak sabar nak tunggu hasilnya. Harap-harap menjadi la. Lengkaplah sudah persiapan Hari Raya saya! ;p

Kalau nak beli anak pokok cili, klik di SINI. :)


Tuesday, August 28, 2012

Rumah terbuka

Saya berpendapat janganlah ditanya kepada orang lain sama ada dia akan mengadakan rumah terbuka atau tidak. Kalau tiada jemputan tu maknanya takde la. Jika nak datang beraya beritahu saja. InsyaAllah kalau tuan rumah tak ke mana-mana, dia akan menerima kedatangan kita dengan tangan terbuka.

Rumah saya tak pernah buat rumah terbuka, tapi terbuka. 

Friday, August 24, 2012

Raya 2012

Selamat Hari Raya semua!

Bagaimana sambutan raya kalian? Saya sambut dengan ala kadar saja. Baju raya pun tak kisah beli. Teman orang lain beli baju raya ada la. Ada orang yang sedih sebab baju raya ada 2-3 pasang je. Tak perlu la nak sedih-sedih, orang lain ada yang tak dapat beraya atas pelbagai sebab. Fikir-fikirkanlah.

Cakap pasal tak beraya, saya sebenarnya tumpang sedih dengan nasib seseorang yang rapat dengan saya. Seminggu sebelum raya dia memberitahu bahawa dia telah bercerai dengan pasangannya. Belum sampai setahun pun usia perkahwinan mereka. Dan yang paling sedihnya ialah belum sempat pun mereka menyambut raya bersama-sama sebagai suami isteri. Dah berkawan 8 tahun sebelum berkahwin pun belum tentu akan bersama selamanya. Tiba-tiba saya ada geng bujang.. eh.

Sebelum raya hari tu ramai yang dah pulang awal ke kampung kan? Hasilnya.. sehari sebelum Hari Raya, trafik bergerak lancar semasa saya memandu pulang ke Johor, waktu siang pula tu. Memandu sambil senyum la saya..hehe. Semasa pulang ke KL pada hari Selasa pun trafik boleh dikatakan baik. Cuma sesak di 1-2 tempat. Raya kali ni saya jadi pemandu sepenuh masa sebab naik kereta bersama kedua orang tua. Adik-adik naik kereta satu lagi. Bos besar saya bagi berehat di tepi.  Penat juga weh. Ada sekali tu saya tertidur kejap semasa berhenti di persimpangan lampu trafik. Bos besar kejut baru saya bangun dan sambung memandu. Lol

Semalam (Khamis) saya dah mula bekerja. Bosan ye anak-anak. Tapi bosan-bosan pun kena juga bekerja sebab ada pelawat dari Amerika datang. Kena tolong sikit. Untung-untung dapat duit raya sedolar dua (berangan sungguh). Oh..saya masih dapat duit raya semasa beraya di kampung. Hehe.

Orait, itu saja.
Mohon Maaf Zahir Batin. 


Monday, September 12, 2011

Raya ke-12

Selamat Hari Raya!!!


Saja nak kecoh, sebab dah raya ke-12 baru keluar beraya.
Mujur beraya di kawasan Bangi/Putrajaya, takde masalah kesesakan trafik.
Saya sorang je dari KL, yang lain dari Bangi dan Putrajaya.

Masing-masing dah ada anak, jadi meriah la dengan gelagat budak-budak.
Saya je yang belum ada anak. :)

Sunday, September 4, 2011

Indahnya lebaran

Malam raya: Bertakbir raya dari rumah ke rumah. Dapat duit raya dan kain pelikat.

Raya pertama: Pagi, keluar pergi solat raya. Kemudian duduk di rumah sampai malam.

Raya kedua: Pagi, keluar beli lemang, pergi Carrefour dan Giant beli barang. Kemudian duduk di rumah sampai malam.

Raya ketiga: Siang, keluar pergi solat Jumaat. Malam, keluar pergi car wash. Kemudian lepak di mapley, tengok  drama melayu.

Raya keempat: Siang duduk di rumah. Malam keluar minum dengan kawan.

Raya kelima: Satu hari duduk di rumah.

Raya keenam: Duduk di ru....  Ok dah bosan. Esok kerja. Jumpa kat pejabat.

Don't ask about raya photos, because I don't have one.  zzzz..

Thursday, September 1, 2011

Kunjung-mengunjung di Hari Raya

Nanti bila dah masuk kerja atau belajar semula, jangan ditanya pada kawan-kawan.. "Takde buat rumah terbuka ke?" atau "Bila nak buat rumah terbuka?" ...dan sebagainya.

Nak pergi beraya tu pergi je la. Berhenti depan rumah, bagi salam. Kalau dia ada di rumah, pasti dia akan menyambut kedatangan kamu dengan gembira. Kalau takut tuan rumah takde semasa kamu datang berkunjung, bagitahu pada tuan rumah tu kamu nak datang pada hari sekian sekian, dan tanya dia ada di rumah tak pada hari tu. Kalau dia tak ke mana-mana, pasti rumahnya sentiasa terbuka untuk kamu. Kunjung-mengunjung ni kan dah jadi tradisi di Hari Raya. Bukan kena tunggu ada rumah terbuka je baru boleh beraya. 

Kalau kat kampung pandai kamu buat amalan kunjung-mengunjung ni ye, tapi bila pulang ke kota jadi tak reti pulak. Nak tunggu ada jemputan baru nak berkunjung. 

Friday, August 26, 2011

Hadiah Raya 2011

Hari Raya dah nak tiba. Bagaimana agaknya kita melalui Ramadhan tahun ni? Dari segi perbelanjaan, banyak berjimat atau membazir? Saya pergi ke pasar Ramadhan 3 kali je. Buka puasa di luar pun 3 kali, sekali tu orang belanja. Yang selebihnya berbuka di rumah atau berbuka sorang diri di pejabat. (apa hal makin nak raya makin menggunung kerja ni?)

berbuka di pejabat

Dari segi amalan pula bagaimana? Itu sama-samalah kita nilai sendiri. Walau apa pun amalan kita sepanjang bulan puasa ni, marilah kita berdoa supaya setiap amalan itu diterima oleh Allah. 

Kepada yang dah berada di kampung, selamat berbahagia di samping keluarga tersayang. Kepada yang akan pulang ke kampung pula, berhati-hatilah ketika memandu. Jangan memandu dalam keadaan mengantuk, walaupun jarak ke destinasi yang nak dituju dah dekat. Bab bawa kereta sambil tidur ni memang saya sendiri dah rasa. Nasib baik takde jiwa yang melayang je. Sejauh mana kita ingat kita boleh tahan mata kita, sejauh itu jugalah kita tak tahu bila kita akan tertidur. Tau-tau dah berdentum je. Memang sangat bahaya. Dengar la nasihat pakar ni.

Hari Ahad lepas adik saya yang no.3 dah selamat melahirkan bayi lelaki. Kira hadiah raya la ni. Sekarang tengah berpantang di rumah. Jadi kami sekeluarga beraya di KL je la tahun ni, tak balik ke Johor. Dah 2 orang anak buah Pak Long ye..=) Kalau beraya di kampung, penuh jadual dengan sesi menziarah. Tapi kalau beraya di KL ni biasa-biasa je la. Nak beraya ke rumah orang pun, ramai yang balik kampung. Silap-silap ada yang meronda kat shopping complex ni nanti. Tak pun tengok wayang. Kalau dah bosan sangat, sorang pun jadi..haha. Kamu semua beraya di mana?

berbuka dengan geng hitam putih


*Selamat Hari Raya Aidilfitri... Maaf Zahir dan Batin!

Monday, August 22, 2011

Menjadi adiwira

Saya ada lagi cerita pasal memori sebelum raya ni. Boleh tak nak cerita? (ramainya cakap boleh). Ok..ok..saya cerita sekarang. Ni cerita masa saya sekolah rendah, kalau tak silap lagi 2 hari nak raya. Masa tu saya dan keluarga dah ada di kampung. Awal nampaknya kami balik. Biasa la, dulu mana boleh tahu dengan tepat bila tarikh raya. Nak tahu memang kena tunggu pengumuman. Mungkin sebab tu la saya dah ada awal di kampung. Bajet esok nak raya, sekali esok kena puasa lagi sehari. 

Salah satu perkara yang best kalau balik kampung ialah tidur beramai-ramai kat ruang tamu. Sekarang pun kalau balik kampung tidur kat ruang tamu gak, tapi masa kecik2 la best. Teruja semacam.

Masa semua orang tengah nyenyak tidur, tiba-tiba saya terjaga dan menangis. Takde la meraung sampai rumah sebelah dengar, cuma tersedu sedan macam tu la. Ayah saya yang tidur tak jauh dari situ terjaga. Dia tengok saya yang tengah bersila atas tilam.. "Kenapa Long?" Saya tak jawab dan terus menangis. Kepala saya rasa sakit betul masa tu. "Tu la, tidur tak basuh kaki" kata ayah. Mak saya yang tidur di sebelah ayah pun terjaga sama. "Kenapa tu?" tanya mak. "Entah, mengigau kot". "Dah..dah...tidur" kata ayah sambil dia baring semula. Belum pun kepalanya menyentuh bantal, tiba-tiba ayah angkat kepala semula "Tu apa kat telinga tu?" Dalam kesamaran cahaya lampu dari dapur, ayah nampak macam ada cecair meleleh di cuping telinga kanan saya. Dengan sifat ingin tahu, ayah datang dekat pada saya. "Eh, darah ke ni?" soal ayah. "Ha?" pakcik saya yang memang dah tersedar dari tadi bersuara. Terus dia buka lampu. "Ya Allah, betul la darah" kata ayah. Saya pun tak sedar telinga saya berdarah. Habis jadi kecoh pagi yang gelap tu. Kalau tak silap masa tu dalam pukul 2-3 pagi.

Ayah dan pakcik dengan segera bawa saya ke hospital. Saya berbaring di kerusi belakang sambil kepala dipangku oleh pakcik, manakala ayah memandu. Dalam perjalanan tu saya menahan kesakitan, makin lama makin bisa. Kepala rasa berdenyut-denyut. Pakcik saya baca yasin selawat dan macam-macam doa kat telinga saya. (ni dah lain macam ni).

Sampai di hospital saya muntah. Doktor yang memeriksa saya mengesan titik luka pada cuping telinga saya, dah macam orang tindik telinga, tapi titiknya ada dua. "Ini macam kena gigit binatang ni" kata doktor. Saya disuntik di bahu dan diberi ubat. Lepas dah kena suntik, baru la rasa sakit tu berkurang sikit.

Dah selesai rawatan di hospital, kami pun balik. Bila sampai di rumah, mak dan makcik saya menunjukkan apa yang mereka jumpa sepanjang pemergian kami ke hospital.

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

patut la sakit sangat..

* Begitulah kisah bagaimana saya mendapat kuasa luar biasa dan menjadi seorang adiwira.


Wednesday, August 17, 2011

Memori esoknya raya

Ini cerita lepas SPM berbelas tahun yang lalu. Tahun tu kami sekeluarga tak balik kampung, beraya kat KL je. Sehari sebelum raya tu saya pergi ke KL seorang diri, nak cari baju raya sehelai dua. Kebetulan hari tu hari Jumaat, jadi saya ke masjid negara dulu. Selesai solat Jumaat saya pun berjalan kaki menuju ke Kompleks Sogo. Tiba-tiba ada seorang brader berjalan di sebelah saya lalu menegur.. "Nak ke mana dik?" Saya menoleh ke sebelah, langsung mendongak ke atas sedikit sebab dia tinggi. "Nak gi Sogo". "Shopping raya ke?" "Ada la sikit" jawab saya sambil senyum.

Saya ingat dia tegur kosong je. Saya teruskan berjalan menyusuri Bangunan Sultan Abdul Samad berdepan Dataran Merdeka. Dia pun terus berjalan di sebelah saya. Tak ramai jemaah masjid yang menuju ke arah Dataran Merdeka, kebanyakannya menuju ke Bangunan Dayabumi. "Dik, abang nak mintak tolong sikit ni?" "Ha, apa dia?" "Abang baru keluar penjara ni, nak baling kampung kat Pahang." Demm, dah 2-3 kali aku dengar ayat keluar penjara ni...bisik hati saya. "Oo..habis tu kenapa?" "Duit takde, abang ingat nak pinjam duit ko dulu" "Mana ada duit bang" "Tu nak gi shopping takkan takde duit?" Saya diam tak membalas. "Ko bagi 10 ringgit dah la". "Takde bang" "Takkan takde, meh sini wallet ko" Saya diam dan teruskan berjalan. Banyak kereta yang menggunakan jalan depan Dataran tu, tapi dari pandangan diorang, kami ni macam kenalan yang sedang berbual. Saya pulak takde jadi histeria ke apa, jadi macam biasa je la pemandangannya. Sambil berjalan, brader tu terus mendesak saya.


Dengan menggunakan taktik membisu, saya pun teruskan berjalan di depan bangunan tu sehingga melalui bahagian bawah porch kereta. Bila dah lalu bawah tu, maka terlindung la sikit daripada pandangan pengguna jalan raya. "Ko jangan sampai aku guna cara kasar" kata brader tu sambil membuka pouch bag. Saya menoleh ke arah pouch bag tu, lalu dia menunjukkan pisau. Tak guna, main barang pulak! Dalam hati saya dah fikir macam-macam. Esok nak raya ni, jangan la keluar berita pasal aku dalam paper esok. Serta merta saya batalkan niat nak ke Sogo. Dia terus mengugut saya tanpa putus asa. Bila keluar dari bawah porch tu, dia simpan balik pisau dan mengekori saya sambil berkata macam-macam. Masa ni dia dah terkebelakang sikit, sebab saya berjalan dengan lebih laju.

Bila sampai di hujung bangunan, saya terus membelok ke kanan dan menuju ke arah Stesen LRT Masjid Jamek. Saya lega sebab kawasan tu ada ramai orang. Saya nampak ada orang berkumpul di tepi jalan, menunggu masa untuk melintas. Dengan pantas saya ke situ. Kebetulan lampu hijau pulak, terus saya melintas beramai-ramai. Selepas melintas saya toleh ke belakang. Dia dah ghaib. Fuhhh...selamat.

Sunday, August 14, 2011

Ala kadar je

Kamu semua dah banyak shopping raya ke? Maklumlah raya pun dah dekat. Semuanya dalam mood raya la kan? Mesti masing-masing sibuk nak beli baju raya, kasut raya, kuih raya, perabot raya dan tak ketinggalan juga kereta raya. Wah..bergayanya. Tapi kalau bertambah hutang semata-mata nak bergaya pun susah juga, lainlah kalau barang yang sedia ada tu dah rosak atau dah buruk sangat. Saya takde shopping raya kot tahun ni. Ala kadar je sudah, pakai yang mana ada. Nak melawa pun nak tunjuk kat siapa sangat? Lain la kalau ada pasangannya, boleh la nak sedondon ke, nak serasi bersama ke...ye tak? Pastu boleh la jumpa bakal mak mertua. ;)

Hari tu ada la saya beli kerepek. Bukan untuk raya pun, untuk bulan puasa. Stok bulan puasa kena ada, baru sedap duduk depan tv sambil tunggu masuk waktu Isyak. Balik tarawih boleh makan lagi. Sekarang ni pun musim baru EPL dah bermula, sambil menonton perlawanan bola sepak boleh la mengunyah. Bila nak berhenti mengunyah ni? ish ish..

Pagi tadi masa dalam perjalanan balik dari kampung ke KL, mak saya dah singgah di Parit Raja beli kerepek untuk raya. Penuh but kereta. Kerepek ni kalau beli banyak takpe, pasti habis juga. Kalau kuih raya beli banyak sangat, belum tentu habis. Huu..saya paling minat kerepek ubi. Sedap.

Sunday, November 28, 2010

Selamat Pengantin Baru Mak Chik!

Lepas kamu sambut Hari Lahir Pak Long, esoknya kamu menyambut Hari Raya Aidiladha. Dapat kamu kumpul duit raya dari pakcik dan makcik kamu (jangan ponah-ponah ya). 3 hari lepas tu kamu meraikan perkahwinan Mak Chik kamu pula. Wah, semuanya dalam masa seminggu. Meriahnya. Tu yang kamu tengok blog Pak Long tak berupdate tu. Sibuk sikit.


Kesian kamu tak dapat tengok Mak Chik kamu bernikah dan bersanding, sebab kamu kena temankan mak kamu berpantang di rumah. Takpe la, kamu tengok gambar je. Kamu nak tahu tak, masa kenduri kahwin Mak Chik kamu hari tu, ramai betul orang tanya pada Pak Long pasal kahwin. Ada juga yang sibuk nak carikan calon. Letih Pak Long nak jawab tau. Nasib baik Pak Long pegang kamera besar satu, boleh menyibukkan diri ke sana ke mari.



Bingka: Sweet November...;p

Saturday, October 2, 2010

Penamat hari penuh rezeki

Ya ampun, banyaknya saya makan semalam. Dari pagi sampai ke malam asyik makan je. Pagi tu kawan belanja sarapan, alhamdulillah..rezeki. Lepas tu ada orang bagi duit, alhamdulillah..rezeki. Tengahari pulak ada jamuan hari raya di pejabat...rezeki lagi. Hmm..hari Isnin pergi bengkel di PICC Putrajaya, hari Selasa-Khamis pergi kursus di Langkawi. Diakhiri dengan jamuan hari raya di hari Jumaat, ok la tu..;) Setiap tahun kami buat jamuan hari raya secara potluck, lebih seronok. Kali ni saya bawa blueberry cheese tart. Sedap gak diorang kata. Habis licin bekas saya tu. Bagus..bagus..

Antara makanan yang sempat saya makan ialah sate, laksam, lemang, spagetthi, soto, kek, puding, popia dan macam-macam lagi. Balik rumah petang tu kebetulan mak masak lontong pulak. Hmm..memang tak boleh la saya tengok kuah lodeh ni...terus berselera nak makan walaupun masih kenyang. Balik futsal pukul 1.00 pagi, makan maggi goreng pulak ramai-ramai, kawan belanja. Ish..ish, selagi tak terpejam mata tu, mengunyah je  la kerjanya. Dah orang nak belanja, tak sampai hati pula nak tolak..hehe. Sambil makan, sambil  belek-belek D90 kawan saya, melihat aksi yang ditangkap semasa bermain futsal.

Lepas dah bersembang dan bergelak ketawa di kedai makan, kami pun balik. Owh, hari yang meriah dan mengenyangkan. Dalam perjalanan balik saya tergerak nak periksa beg kasut saya. Alamak, laju saya menuju semula ke tempat futsal. Ahh...seperti yang dijangka memang dah hilang kasut futsal saya. Baru empat bulan pakai kasut tu...demm. Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya mengenang semula rezeki saya sepanjang hari, bahkan untuk sepanjang minggu ini. Rupa-rupanya ada juga yang bukan rezeki saya. Begitulah penamat hari yang meriah dan penuh rezeki..

Bingka: kepada yang berkenaan, gunalah kasut itu untuk kebaikan...sob sob

Tuesday, September 21, 2010

Iklan raya Perodua tak habis



Apa yang tak kena dengan iklan ni? Ya, cerita yang tak habis. Takkan macam tu je habisnya, turun kat bus stop lepas tu bas jalan. Buat orang terpinga-pinga je kan.. Tambah la lagi beberapa saat, buat ending yang menarik sikit.

Cuba buat macam ni..
Bila pakcik tu dah turun dari bas, dia berdiri kat bus stop tu, tak tahu nak ke mana..
Tiba-tiba berhenti satu kereta. Keluar sepasang suami isteri dari kereta tu...

"Ayah...ayah buat apa kat sini?"
"Nak jumpa mak kamu, nak bagi makanan ni.."
Pasangan suami isteri saling berpandangan...
Si suami memimpin tangan ayahnya sambil menggelengkan kepala sedikit..
"Dah la ayah, mari kita balik.."

(Rupa-rupanya pakcik tu yang ada penyakit alzheimer..)

Lepas tu keluar ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri...dari Bingka... kan menarik tu.

Saturday, September 18, 2010

Tak lupa kata kunci

Semalam masa makan tengahari dengan kawan, ada sorang salesgirl datang jual buku. Jarang saya berminat nak beli. Tapi semalam lepas belek buku yang dijual tu, saya beli satu. Lepas dah bayar, salesgirl tu tanya  "Abang orang Johor eh?"  "Haah...mana tahu?"  "Macam pernah nampak, kat Batu Pahat"  "Ye ke, memang Batu Pahat pun"  "Tu la macam biasa nampak, ok la bang... Assalamualaikum"...sambil berlalu. Alamak, ada pulak yang kenal. Saya bukan selalu pun balik kampung. Pelanduk dua serupa la tu..;) Eh, pernah tak korang jumpa 'pelanduk' korang? Kalau terjumpa kita nak buat apa ye? Nak buat muka tak puas hati ke, nak tanya khabar ke, atau nak pow duit dia? Pening gak nak fikir kan?

Cakap pasal balik kampung, teringat aktiviti pada Hari Raya ke-2 semasa di kampung. Adik-adik saya bukan setakat berjalan di BP Mall, siap shopping lagi. Saya je rilek, tengok-tengok pakaian bukan main. Cakap cantik..lawo..murah segala. Akhir sekali lepak kat luar kedai tunggu adik-adik yang sibuk memilih dan mencuba baju dan seluar. Kat kedai lain pun macam tu...tengok kasut, seluar dan macam-macam lagi barang. Lepas tu teringat 'kata kunci' untuk tahun ni. Hmm...terus bertenang. Yup, 'kata kunci' untuk tahun ni masih diingati...JIMAT. Oo...mungkin masa saya tengah lepak depan kedai sambil tengok gadis-gadis BP jalan pakai baju raya, dia (salesgirl) ternampak saya. Atau masa tengah berdiri atas mesin penimbang. Haa...atau masa tengah makan KFC dengan adik-adik. Tu je la masa saya menonjolkan diri di khalayak ramai, yang lain semua pergi rumah saudara-mara je..;)

Malam tu saya tengok orang bakar mercun. Bunyi bang..bang..boomm...sambil nampak cahaya bunga api di langit. Saya dongak ke langit dan nampak banyak bentuk RM, lantas teringat 'kata kunci'... Saya tambah Glo dalam besen dan sambung basuh pinggan kenduri...:)

Thursday, September 16, 2010

Ayam Panggang penambah _ _ _ _ _

Malam tadi lepak minum 2 gelas nescafe-o dengan 2 orang kawan. Balik rumah ingat nak buka Google Reader atau nak update blog. Sekali dah sedap-sedap baring, tertidur pulak. Bila bangun pagi tadi rasa macam...ohh penuhnya, terus masuk bilik air. Ada orang masa tengah tidur boleh terjaga sebab nak buang air kecil. Saya bukan jenis macam tu la...heheh.

Semalam saya dah mula kerja. Agak bosan la. Hari Isnin dan Selasa hari tu bosan sebab duduk rumah, ni bosan sebab kerja pulak..haha. Kerja memang ada, jadi saya buat je la sikit-sikit. Pergi makan tengahari pun sorang-sorang. Dah takde idea nak makan apa, saya saja la masuk kedai Rasamas, nak mencuba la konon. Saya makan Nasi Ayam Panggang sebab gambar dalam menu nampak macam sedap. Tapi tak puas hati la, sebab ayamnya macam tak cukup panggang, pucat macam ayam yang distim dan ditabur black pepper je. Hmm..itulah yang dinamakan jauh panggang dari api. Nak ambil gambar pun malas sebab...well....bosan.

Nasi Ayam Panggang...not even close

Semalam kawan saya tanya rumah saya ada buat open house ke? Saya jawab takde..in fact tak pernah pun. Kalau tak buat rumah terbuka bukannya tak boleh datang beraya kan..

Bingka: Yup, ayam panggang Rasamas penambah....BOSAN