Showing posts with label Hujan. Show all posts
Showing posts with label Hujan. Show all posts

Sunday, August 11, 2013

Dugaan malam raya 2013

Alhamdulillah, setelah pulang ke kampung untuk berhari raya, semalam (Sabtu) saya dan keluarga selamat sampai di rumah. Keadaan trafik pun baik. Rasa sangat lega bila sampai. Meh sini saya bercerita tentang kisah malam raya saya.

Saya dan keluarga bertolak pulang ke kampung pada malam raya iaitu pada pukul 10.30 malam. Kami singgah di Melaka untuk mengambil adik saya yang bekerja di sana dan meneruskan perjalanan. Kami memang selalu balik pada malam raya sebab adik-adik saya jarang dapat cuti awal. Saya sendiri pun masih bekerja sehingga hari terakhir sebelum raya.

Kira-kira pukul 2 pagi ketika saya sedang memandu, kedengaran satu bunyi dari bahagian enjin.."trettt". Saya memperlahankan sikit kereta sambil cuba mendengar kembali bunyi tadi, tapi bunyi itu tidak kedengaran lagi. Saya pun teruskan memandu. Dalam hati dah mula timbul tanda tanya. Setengah jam kemudian saya memberhentikan kereta di Hentian Simpang Renggam untuk ke tandas. Saya biarkan enjin hidup sebab risau enjin tak boleh dihidupkan kembali jika dimatikan. Gerak hati saya menyatakan begitu.

Selepas itu adik saya pula memandu. Kalau dicongak, kami akan akan tiba pada pukul 3.30 pagi. Kira-kira pukul 3 pagi kereta kami terasa seperti tersengguk-sengguk. Adik saya memperlahankan kereta. Terjadi lagi benda yang sama. Memang sah kereta ayah ada masalah. Kebetulan masa itu kami berada betul-betul sebelum simpang masuk ke Hentian Kulaijaya. Maka kami pun masuk dan memberhentikan kereta di salah satu petak parking. Pada masa tu lampu penunjuk bateri dah menyala dan lampu radio dah terpadam. Ayah yakin ini masalah alternator sebab bateri baru 4 bulan digunakan. Kami mematikan enjin dan cuba untuk menghidupkannya semula tapi tidak berjaya.

Ayah cuba menghubungi beberapa orang saudara di JB tapi tiada yang berangkat. Maka saya pun menghubungi PLUS. Setengah jam kemudian Plusronda tiba. Mereka memeriksa kerosakan. Disebabkan hampir pasti itu masalah alternator, mereka tak boleh buat apa-apa, lalu mereka menghubungi trak tunda dari bengkel panel PLUS yang terletak berhampiran. Selepas itu Plusronda beredar.

Pada waktu trak tunda tiba, hujan sudah mulai turun. Saya dan ayah terpaksa memayungi pemandu trak ketika dia memeriksa enjin. Dia juga berpendapat itu masalah alternator. Kereta terpaksa ditunda ke bengkel mereka yang terletak berhampiran tol Kulaijaya. Ketika ini berlaku insiden yang penuh adventure. Setelah kereta dinaikkan ke atas trak tunda, pemandunya bertanya siapa yang nak duduk di depan bersamanya dan siapa yang nak duduk di dalam kereta kami yang telah dinaikkan ke atas trak. Saya memilih untuk duduk di dalam kereta manakala ayah dan emak duduk di depan bersama pemandu. Adik saya memang sudah berada di dalam kereta sebab dia yang mengawal stereng ketika kereta ditarik naik ke atas trak. Pemandu trak cepat-cepat masuk ke dalam trak sebab hujan semakin lebat.

Sebelum memanjat ke atas trak, saya cuba membuka pintu kereta tapi tidak berjaya. Saya mengetuk pintu sebagai isyarat supaya adik saya membuka pintu itu dari dalam. Entah macam mana, adik saya turun pula dari trak tunda sebab dia fikir saya bagi isyarat supaya turun. Dalam masa yang sama, saya berjaya membuka pintu kereta ayah dan cuba memanjat untuk naik. Satu kaki saya sudah memijak badan trak dan satu lagi kaki masih tergantung. Ketika itu trak sudah mula bergerak. Saya terpaksa menurunkan semula kaki dan menutup semula pintu kereta sebab saya fikir pemandu trak nak mengalihkan traknya ke depan sikit.

Ya ampun, rupanya dia terus bergerak meninggalkan saya dan adik. Kami cuba mengejar tapi trak semakin jauh sehingga dah keluar dari kawasan rehat (ni Wakenabeb ke apa?). Nasib baik saya berjaya menghubungi ayah dan beritahu kami tertinggal di belakang. Bayangkanlah dengan keadaan hujan pada masa tu, saya dan adik terpaksa berlindung dengan satu payung dan berlari sejauh kira-kira 500 meter ke arah trak tunda yang menunggu kami di tepi lebuhraya. Sengal juga mamat ni...boleh dia tanya kenapa saya tak naik. Aku belum sempat naik la woi!

Kami sampai di rumah makcik pada pukul 5.30 pagi. Usai solat raya pagi itu, tiada lain yang kami buat selain tidur hingga ke tengahari. Jadi jangan tanya saya tentang gambar raya pertama. Itulah kisah saya di malam raya. Baru je saya bercerita tentang dugaan-dugaan ketika nak beraya pada entri yang lepas kan. Betul-betul terjadi pada kami sekeluarga. Tapi kami menghadapinya dengan tenang sebab ini bukan kali pertama kereta kami rosak. Pada Hari Raya tahun ni, itulah topik sensasi keluarga kami yang diceritakan dari rumah ke rumah. ;p


Thursday, January 17, 2013

Hujan dan manusia

Berdiri melihat hujan buat aku termenung sendiri
Titisan rahmat yang gugur ini
Buat bumi dibasahi
Buat manusia dingin diselubungi
Ini rezeki

Hujan itu indah
Indah yang misteri
Misteri kisah alam
Ada bau sendiri
Ikut di mana kamu berdiri

Hujan buat manusia menyendiri
Di bawah payung sekaki
Mengharap ia berhenti
Sebelum merinduinya lagi

Kala ia datang, disyukuri
Kala ia datang juga dihindari
Berlari
Sedang waktu kecil dulu ia dirai
Menari

Memerhati manusia bersama hujan
Buat aku leka sendiri
Terbit tenang di hati
Indah barangkali



- di kaki lima Kota Singa, menunggu hujan berhenti..


Wednesday, September 21, 2011

Drift di Desa Waterpark

Dalam perjalanan ke PJ tempoh hari, saya memandu dalam keadaan hujan gerimis. Memandu melalui Lebuhraya KL-Seremban menghala ke KL, saya bagi isyarat ke kiri berhampiran Desa Waterpark untuk masuk ke Lebuhraya Hubungan Timur-Barat menghala ke Lebuhraya Persekutuan. Setelah rapat ke kiri, saya perasan dari cermin pandang belakang, ada sebuah kereta yang dipandu dengan laju menghampiri kereta saya. Saya terus rapat ke lorong kiri dan dia memotong di lorong kanan, memasuki selekoh yang sama dengan saya.

Tak sampai 5 saat kemudian, bahagian kiri kereta itu melanggar tembok di depan Desa Waterpark dan berpusing akibat jalan yang licin. "Jahanam"..itu yang terkeluar dari mulut saya sambil kaki laju menekan pedal brek. Bila dah brek mengejut, tayar kereta saya menggelungsur ke kiri dan ke kanan macam tengah buat drift. Cepat-cepat saya kawal stereng dan mengelak kereta tu. Fuhh, nasib baik sempat saya mengelak ke kanan.


Tak guna! Kau punya pasal, nyaris aku terlibat sama. Saya tak berhenti sebab saya yakin pemandunya selamat. Cuma bumper kereta je tercabut. Tu la, lain kali jangan nak menunjuk sangat. Semasa saya jeling cermin pandang belakang, saya lihat ada kereta berhenti.

Kalau tak, tak sampai..

Monday, January 31, 2011

Peluk isteri lebih enak

Semalam ramai yang terperap saja di rumah kerana hujan sepanjang hari. Bila dah hujan ni, nak beraktiviti pun malas ye tak? Aktiviti makan je yang banyak. Dapat pula makan sup panas..pehh. Semasa nak melelapkan mata pukul 12 malam tadi pun masih kedengaran bunyi hujan di luar. Banyak kawasan yang mula dinaiki air termasuk kampung saya di Batu Pahat yang mengalami hujan berterusan selama 3 hari. 

Pagi semalam saya keluar berjoging di satu tempat baru. Walaupun cuaca sejuk sebegitu lebih sedap dihabiskan di atas tilam, saya tetap keluar kerana dah berjanji dengan Faizul nak berjoging. Waktu pagi semalam takde la hujan sangat, cuma terasa titisan air halus dari atas. Memang halusss...kata Harith Iskandar. Tunggu punya tunggu Faizul tak muncul-muncul. Bila saya cuba call, handphone tak dihidupkan pula. Hmm, pagi yang dingin macam tu...lebih baik layan tidur sambil peluk isteri. Wah...enaknya! Nanti dah kahwin saya cuba eh..;p

Jadi semalam saya berjoging la di sekitar taman KLCC buat pertama kali. Saya tak kisah pun tak berteman, sebab saya dah biasa berjoging secara solo pada setiap pagi Ahad. Seronok la joging kat situ. Trek jogingnya memang terbaik. Terdapat laluan mendaki bukit sedikit dan ada penanda jarak pada trek. Senang la kita nak tahu berapa jauh kita berlari dan boleh la kita buat catatan masa untuk rujukan. Sebelum ni kalau berjoging di sekeliling tasik, mana nak tahu jarak. Main lari je la 2-3 pusingan. Panjang trek di taman KLCC ni ialah 1.3km. Semalam saya berjoging sejauh 5km dalam masa kira-kira 40 minit. Hmm..kena berlatih lagi untuk acara larian yang akan kami sertai nanti.