Showing posts with label Rosak. Show all posts
Showing posts with label Rosak. Show all posts

Sunday, August 11, 2013

Dugaan malam raya 2013

Alhamdulillah, setelah pulang ke kampung untuk berhari raya, semalam (Sabtu) saya dan keluarga selamat sampai di rumah. Keadaan trafik pun baik. Rasa sangat lega bila sampai. Meh sini saya bercerita tentang kisah malam raya saya.

Saya dan keluarga bertolak pulang ke kampung pada malam raya iaitu pada pukul 10.30 malam. Kami singgah di Melaka untuk mengambil adik saya yang bekerja di sana dan meneruskan perjalanan. Kami memang selalu balik pada malam raya sebab adik-adik saya jarang dapat cuti awal. Saya sendiri pun masih bekerja sehingga hari terakhir sebelum raya.

Kira-kira pukul 2 pagi ketika saya sedang memandu, kedengaran satu bunyi dari bahagian enjin.."trettt". Saya memperlahankan sikit kereta sambil cuba mendengar kembali bunyi tadi, tapi bunyi itu tidak kedengaran lagi. Saya pun teruskan memandu. Dalam hati dah mula timbul tanda tanya. Setengah jam kemudian saya memberhentikan kereta di Hentian Simpang Renggam untuk ke tandas. Saya biarkan enjin hidup sebab risau enjin tak boleh dihidupkan kembali jika dimatikan. Gerak hati saya menyatakan begitu.

Selepas itu adik saya pula memandu. Kalau dicongak, kami akan akan tiba pada pukul 3.30 pagi. Kira-kira pukul 3 pagi kereta kami terasa seperti tersengguk-sengguk. Adik saya memperlahankan kereta. Terjadi lagi benda yang sama. Memang sah kereta ayah ada masalah. Kebetulan masa itu kami berada betul-betul sebelum simpang masuk ke Hentian Kulaijaya. Maka kami pun masuk dan memberhentikan kereta di salah satu petak parking. Pada masa tu lampu penunjuk bateri dah menyala dan lampu radio dah terpadam. Ayah yakin ini masalah alternator sebab bateri baru 4 bulan digunakan. Kami mematikan enjin dan cuba untuk menghidupkannya semula tapi tidak berjaya.

Ayah cuba menghubungi beberapa orang saudara di JB tapi tiada yang berangkat. Maka saya pun menghubungi PLUS. Setengah jam kemudian Plusronda tiba. Mereka memeriksa kerosakan. Disebabkan hampir pasti itu masalah alternator, mereka tak boleh buat apa-apa, lalu mereka menghubungi trak tunda dari bengkel panel PLUS yang terletak berhampiran. Selepas itu Plusronda beredar.

Pada waktu trak tunda tiba, hujan sudah mulai turun. Saya dan ayah terpaksa memayungi pemandu trak ketika dia memeriksa enjin. Dia juga berpendapat itu masalah alternator. Kereta terpaksa ditunda ke bengkel mereka yang terletak berhampiran tol Kulaijaya. Ketika ini berlaku insiden yang penuh adventure. Setelah kereta dinaikkan ke atas trak tunda, pemandunya bertanya siapa yang nak duduk di depan bersamanya dan siapa yang nak duduk di dalam kereta kami yang telah dinaikkan ke atas trak. Saya memilih untuk duduk di dalam kereta manakala ayah dan emak duduk di depan bersama pemandu. Adik saya memang sudah berada di dalam kereta sebab dia yang mengawal stereng ketika kereta ditarik naik ke atas trak. Pemandu trak cepat-cepat masuk ke dalam trak sebab hujan semakin lebat.

Sebelum memanjat ke atas trak, saya cuba membuka pintu kereta tapi tidak berjaya. Saya mengetuk pintu sebagai isyarat supaya adik saya membuka pintu itu dari dalam. Entah macam mana, adik saya turun pula dari trak tunda sebab dia fikir saya bagi isyarat supaya turun. Dalam masa yang sama, saya berjaya membuka pintu kereta ayah dan cuba memanjat untuk naik. Satu kaki saya sudah memijak badan trak dan satu lagi kaki masih tergantung. Ketika itu trak sudah mula bergerak. Saya terpaksa menurunkan semula kaki dan menutup semula pintu kereta sebab saya fikir pemandu trak nak mengalihkan traknya ke depan sikit.

Ya ampun, rupanya dia terus bergerak meninggalkan saya dan adik. Kami cuba mengejar tapi trak semakin jauh sehingga dah keluar dari kawasan rehat (ni Wakenabeb ke apa?). Nasib baik saya berjaya menghubungi ayah dan beritahu kami tertinggal di belakang. Bayangkanlah dengan keadaan hujan pada masa tu, saya dan adik terpaksa berlindung dengan satu payung dan berlari sejauh kira-kira 500 meter ke arah trak tunda yang menunggu kami di tepi lebuhraya. Sengal juga mamat ni...boleh dia tanya kenapa saya tak naik. Aku belum sempat naik la woi!

Kami sampai di rumah makcik pada pukul 5.30 pagi. Usai solat raya pagi itu, tiada lain yang kami buat selain tidur hingga ke tengahari. Jadi jangan tanya saya tentang gambar raya pertama. Itulah kisah saya di malam raya. Baru je saya bercerita tentang dugaan-dugaan ketika nak beraya pada entri yang lepas kan. Betul-betul terjadi pada kami sekeluarga. Tapi kami menghadapinya dengan tenang sebab ini bukan kali pertama kereta kami rosak. Pada Hari Raya tahun ni, itulah topik sensasi keluarga kami yang diceritakan dari rumah ke rumah. ;p


Sunday, September 18, 2011

Di surau yang kecil

Semalam saya bawa kereta ke bengkel untuk diservis. Balik je dari bengkel, kereta saya mati di tengah jalan. Oh, malangnya. Mati betul-betul kat simpang sebelum naik bukit. Terus buat 'autoshow' kejap kat situ. Mujur masih berdekatan dengan bengkel yang saya pergi tadi, dan mujur juga ada nombor telefon pomen, saya minta dia datang tengok apa yang tak kena. Sebelum servis elok je, lepas servis pulak dia nak meragam. Haish..macam-macam hal. Tapi saya cool je, sebab dah biasa kena. Dengan lain perkataan, dah biasa susah. Lepas 2-3 kali pomen berulang alik ke bengkel, dan lepas hampir 2 jam tersadai, akhirnya enjin boleh dihidupkan semula. Tak jadi saya nak ke rumah terbuka tengahari tu. Satu, sebab dah penat berjemur bawah sinaran matahari. Satu lagi, sebab bila keluar waktu tengahari, hari Sabtu pulak tu, paham-paham aje la sesaknya macam mana kat MRR2, buatnya kalau mati lagi enjin kereta tu, naya je. Baik saya berehat di rumah, melelapkan mata buat seketika.

Bila saya dah cukup rehat, kereta pun dah berehat, pukul 4 petang saya keluar ke rumah terbuka kawan saya dengan harapan kereta tak buat hal di tengah jalan. Waktu-waktu macam tu rasanya trafik dah ok sikit. Cuaca pun dah redup. Alhamdulillah selamat sampai di Puncak Jalil. Banyak juga saya makan sate dan spageti sebab tak makan tengahari lagi. Dari Puncak Jalil saya menuju ke PJ pula untuk berkumpul bersama geng hitam putih. Susah betul nak keluar dari kawasan tu, nak sampai ke Astro pun ambil masa setengah jam, padahal 5 minit boleh sampai. Saya berhenti sebentar di Petronas berhampiran Astro untuk solat maghrib. Surau di situ kecil, tak sesuai dengan lokasinya di tepi laluan utara selatan dan bilangan orang yang ramai berhenti di situ. Yang nak masuk ke surau punya la ramai masa tu. Kena tunggu 2 kali solat berjemaah selesai baru saya dapat solat. Sekali berjemaah boleh muat dalam 8 orang je. Yang bestnya masa kumpulan yang berjemaah sebelum kami tu selesai solat, ada seorang daripada mereka bangun dan sambung buat solat sunat pula. Memang bagus solat sunat ni, tapi tengok la keadaan bang oi. Bagi la ruang kat orang yang tengah ramai berdiri macam tugu ni. Tu baru yang kat dalam surau, yang kat luar ada beberapa orang lagi yang tengah berdiri dalam hujan gerimis. Ada yang kena tarik telinga ni kang.

Saturday, March 12, 2011

Terima kasih pemandu lori

Pukul 12.30 pagi tadi, bas yang membawa kami dari Kuala Perlis tiba di perkarangan bangunan pejabat. Saya dan rakan sepejabat baru selesai mengikuti bengkel di Langkawi. Perjalanan dari Kuala Perlis ke  Kuala Lumpur mengambil masa 8 jam setengah. Kalau tak hujan, mungkin boleh sampai awal lagi. Selepas meletak barang-barang di pejabat, saya dan Adi tak terus balik sebab menemani Ana yang menunggu suaminya datang menjemput. Pukul 1.30 pagi baru suami Ana sampai. Selepas Ana balik, saya menghantar Adi ke rumahnya dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Bila dah mengharungi perjalanan yang jauh macam tu, otak memang fikir nak cepat sampai rumah je, nak berehat..nak tidur. Disebabkan dah lewat malam, lebuhraya pun lengang, lalu pedal minyak ditekan lebih kuat. Vroomm... Rumah saya jauh sikit dari pejabat, ambil masa 40 minit perjalanan. Vremm...uhuk uhuk.. vrrrrr....... Tiba-tiba enjin kereta saya mati. @#$%!

***

Saya pandang jam di tangan, dah pukul 2.30 pagi. Saya cuma berdiri di luar kereta sambil memandang lebuhraya. Kawasan sekeliling yang sebentar tadi bising dah jadi sunyi. Hanya kadang kala ada kereta yang melalui lebuhraya. Kebetulan tadi kereta saya terhenti di stesen minyak, dan kebetulan stesen minyak tu jadi tempat permulaan mat-mat motor berlumba. Disebabkan bilangan mereka yang  ramai, jadi kawasan tu memang bising dengan bunyi enjin motor dan penuh dengan asap. Kini semua pemuda harapan bangsa tu dah hilang entah ke mana, bersuka ria menggadai nyawa. Memang saya bernasib baik sebab kereta berhenti di stesen minyak. Kalau di bahu jalan, bahaya juga. Tapi saya hanya mampu memandang stesen minyak yang gelap itu. Saya syak meter minyak kereta saya rosak, dan kereta saya kehabisan minyak tanpa disedari. Perkara paling malang bila berlaku perkara malang macam tu ialah bateri handphone habis. Dan YA, bateri handphone saya habis!

***

Nombor handphone saya lawa, dalam erti kata lain senang diingat. Amat berguna jika menghadapi masalah handphone kehabisan bateri atau handphone tertinggal. Buktinya ada beberapa orang kawan yang berjaya menggunakan saya sebagai talian hayat di saat mereka tiada handphone atau handphone tak berfungsi. Nasib baik nombor handphone ayah saya pun senang diingat. Jadi dengan menggunakan handphone pemandu lori, saya menghubungi nombor ayah saya. Namun begitu, jika tuan punya handphone sedang tidur dengan nyenyaknya, nombor lawa pun tidak berguna lagi. Pilihan yang ada hanya menunggu stesen minyak dibuka. Di saat saya putus asa untuk menghubungi ayah, saya cuba pula mengingati nombor adik saya. Pemandu lori dah pandang-pandang. Dengan bantuan daya ingatan yang kuat dan nombor adik saya yang kurang berterabur, akhirnya saya berjaya menghubunginya. "Bawa minyak sekali.." itu pesan saya kepada adik.

Sebenarnya sebelum meminjam handphone pemandu lori, saya ada juga meminta bantuan daripada  2-3 orang mat motor semasa diorang tengah berkumpul tadi. Seorang je yang bagi pinjam handphone, yang lain tu  cakap takde handphone la, takde kredit la. Yang lain pulak tak ambil pot sebab masing-masing tengah sibuk nak berlumba. Hmm...takpe la. Saya call nombor ayah saya masa tu pun tak berjawab.

Lama juga nak tunggu adik saya datang. Kaki pun dah lenguh berdiri. Akhirnya dia datang membawa sebotol minyak petrol. "Beli berapa ringgit ni?"  "10 ringgit.." jawab adik saya. Memang betul jangkaan saya, minyak kereta habis. Saya sampai di rumah pada pukul 4 pagi dalam keletihan.