Monday, April 19, 2010

Tak Nak Potong

Potong...potong...potong. Ingat lagi iklan tu? Saya tak minat.

Saya nak cerita ni...
Ramai orang (blogger) suka potong (dalam entri), terutamanya yang muda-muda. Kesuntukan masa mungkin. Bangga pula tu. Owh...mungkin nampak cool gitu..
Contoh 'potong' begini: Sy x ske btul la ngan bdk2 yg ptg ni. Ntah ape2. Xleh ke nk eja btul2 pktaan tu.
Contoh 'bangga' begini: Ske ati ak la nk tulis cmne pun, ini blog ak. Xnk baca bleh tekan pgkah kt atas tu. Ade aq kesah.

Selagi boleh potong, geng potong pasti potong. Bagus. Teruskan.

Bingka: potong dalam komen takpe la kot..

Friday, April 16, 2010

Kasih Ibu

Semalam saya berehat di depan tv sambil menonton berita. Abah dan emak sedang makan malam di dapur. Rasa letih, malas nak turut serta. Habis berita, menonton 999 pula. Separuh jalan menonton, saya ke dapur. Tudung saji dah terlangkup di atas meja. Mereka dah selesai makan nampaknya.

Mak: Dah makan belum?
Saya: Belum, baru nak makan la ni
Mak: Nasi dah habis, tu ha...tengah masak lain
Saya: Ye ke, takpe la

Capai sebiji pisang, terus masuk ke bilik dan online. Sedang online tu, tiba-tiba adik cakap nak ke pasar malam. Baru teringat belum makan... "Wan, burger satu!"...."Ok". Saya sambung online semula. Mandi pun belum. Gasak la...nanti baru mandi

Beberapa minit kemudian, mak memanggil dari dapur. Nasi dah masak katanya. Saya menyahut, tapi rasa macam malas pula nak makan nasi, sebab dah pesan burger. Saya teruskan menghadap komputer. Seketika kemudian Wan balik...burger ada di meja makan katanya.

Saya pun ke dapur. Bestnya...dah lama tak makan burger. Saya makan burger...ngap...sedap. Baru nak ngap yang kedua, terpandang telur goreng dari celahan tudung saji. Erk, mak dah masakkan untuk saya. Saya singkap tudung saji...erk, mangkuk lauk yang tadi kering kini dah bertambah isinya. Memang dihidang untuk saya.

Beberapa detik kemudian... sedar-sedar saya sedang makan nasi di situ. Burger yang baru segigit dijamah dah berbungkus kembali. Tak sampai hati rasanya tak makan. Penat mak siapkan untuk saya.

Tak lama lepas tu, ada seseorang pulang dari kerja. Saya bertanya: "Dah makan?"... "Belum"... "Tu ada burger, makanlah".

Thursday, April 15, 2010

Kalau aku, ish..ish..

Mata ku terjaga. Meraba-raba mencari handphone, owh dah pukul 4.00 pagi. Ku lihat ada mesej daripada Cik B, dihantar pada pukul 11.00 malam. Hmm...di saat itu aku dah belayar jauh, sejak pukul 9.30 malam rasanya. Ku balas mesej Cik B, lantas bersila di atas tilam (lambat juga kamu balik kerja ya). Aku lihat sekeliling, adikku sedang tidur dengan kain pelikatnya. Ish..ish...kalau aku entah dah ke mana agaknya kain tu.

Ku lihat keadaan diriku, masih dengan T-shirt dan seluar kerja. Alamak, tak mandi rupanya. Masuk ke bilik air, sejurus kemudian keluar dan solat Isyak (patut la terjaga...dikejut suruh solat mungkin). Usai solat, aku teringat sesuatu...haa, pagi ni ada perlawanan bola. Terus ke ruang tamu dan menonton kegigihan manusia mengejar dan menyepak bola. Kesudahannya, dengan berbaki empat lagi perlawanan, harapan Arsenal untuk bergelar juara dah berkubur. Cuba lagi musim depan ya.. Lepas habis perlawanan, online sekejap. Kemudian bersiap dan terus pergi kerja.

Di kantin tempat kerja: 
Nescafe 'O' satu!...(biar segar mata tu)..

Bingka: Ish..ish..kalau dah nama kaki bola

Tuesday, April 13, 2010

Diajar mengurut dalam mimpi

Saya ada satu cerita. Waktu petang semasa kenduri kahwin sepupu saya hari tu, selepas puas menggosok pinggan mangkuk berbesen-besen, akhirnya selesai kerja saya dan konco-konco di bahagian membasuh. Fuhh..penat. Nasib baik guna sabun cuci pinggan yang betul. Tak macam kenduri 2-3 tahun lepas, tuan rumah sediakan sabun serbuk basuh kain pula untuk basuh pinggan. Lepas kenduri, esoknya tapak tangan jadi macam menggelupas.

Petang tu semua dah mula berehat. Kebanyakan sepupu perempuan dan mak saudara berehat di dalam rumah Mak Long saya, di depan pelamin. Saya tengok macam ada topik yang dibualkan. Dari luar rumah saya lihat sepupu saya (kakak kepada pengantin) sedang mengurut bahu adik saya sambil berbual-bual. Wahh...sambil berehat, ada pula orang yang mengurut...memang syok. Yang lain  memerhati dengan penuh minat, tunggu giliran agaknya.

Saya tak turut serta berkumpul di situ. Hmm...perut terasa lapar...ambil nasi dan makan di meja pengantin. Selesai makan, saya masuk ke rumah arwah Mak Su (sebelah rumah Mak Long), mandi dan berkemas untuk pulang. Sementara menunggu masuk waktu Maghrib, saya membaca Mingguan Malaysia yang belum sempat dibaca sejak pagi. Lepas Maghrib saya dan adik-adik saya pun bertolak pulang. 

Dalam perjalanan balik ke KL baru adik saya cerita yang sepupu saya tu dah pandai mengurut sekarang. Rupanya dua minggu lepas dia bermimpi didatangi seorang tua. Di dalam mimpi tu, dia telah diajar cara mengurut. Orang tua itu berpesan supaya dia menolong orang yang sakit. Owh...patutlah semua berkumpul tengok dia mengurut. Saya sangat kagum. Bukan semua orang dapat keistimewaan macam tu. Adik saya cakap, sepupu saya tu tak rasa penat pun mengurut walaupun dah ramai orang yang diurutnya dalam satu-satu masa. Urutannya pula amat berkesan dan melegakan. Semoga ramai orang yang akan mendapat manfaat daripada kelebihannya itu.

Monday, April 5, 2010

Rewang kenduri kahwin

Hujung minggu lepas saya balik ke kampung di Batu Pahat untuk meraikan perkahwinan sepupu saya. Seperti biasa kalau ada kenduri di kampung, mesti la kena rewang. Takkan nak datang makan je. Yang kahwin bukan orang lain pun, sepupu sendiri, memang kena turun padang la.

  Pelamin yang sangat cantik

Ada yang tak tahu rewang tu apa? 'Rewang' tu bermaksud gotong-royong majlis kenduri. Tak kisahlah kenduri apa pun. Asal ada kenduri, ada lah rewang. Berlainan dengan orang di bandar. Kebanyakannya guna katering sekarang. Antara sebabnya adalah masa dan ruang yang terhad. Tenaga kerja pun kurang. Seronok buat kerja-kerja rewang ni. Di samping dapat berkumpul dengan saudara-mara dan melakukan kerja bersama-sama, dapat juga berbual dan bergurau senda. Maklumlah, bukan selalu dapat berkumpul begitu. Memang meriah. Hmm...kalau kenduri di kampung pun guna katering, alahai...bosannya.

 Lencana geng rewang

Antara kerja-kerja yang sempat saya lakukan ialah membasuh pinggan (ni memang kerja utama) dan membuat air untuk tetamu. Keperluan di khemah tetamu seperti nasi, lauk, air, pinggan, gelas, air basuh tangan dan lain-lain juga sentiasa dipantau bersama geng rewang yang lain.

 Saya sedang beraksi di bahagian air

Dari majlis nikah pada malam Sabtu hinggalah selesai kenduri pada petang semalam (Ahad), banyak betul kerja-kerja yang dilakukan. Penat tetapi seronok. Ni kira ok la jugak,  buat secara buffet. Dulu lagi penat, buat secara berhidang, pehh...memang lunyai dibuatnya. Lepas maghrib semalam, saya dan adik-adik pun bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Setakat tu saja yang kami dapat tolong. Esok (hari ni) dah nak kerja. Masa kami nak balik tu, pengantin lelaki sedang tekun mencuci periuk. Selamat Pengantin Baru! Periuk tu kami tinggalkan untuk awak basuh ye..

Bingka: Susah betul buat kenduri ketika air dicatu..

Wednesday, March 31, 2010

Jangan memandang rendah orang lain

Selalu tak orang memandang rendah pada anda? Bagaimana perasaan anda pada masa tu? Mesti tak puas hati kan. Sabar..sabar..

Tak dinafikan, memang ada individu yang begitu. Baru tahu sikit tentang sesuatu perkara, dah cerita dari A sampai Z pada kita...macamlah kita ni tak tahu sangat. Eeiii....tolonglah. Padahal maklumat yang diorang beritahu tu dah berzaman kita tahu. Nak berkongsi pengetahuan tu tak salah, tapi biarlah kena gayanya. Janganlah macam nak mengajar orang yang bodoh pula. Selalunya kalau saya berdepan dengan orang macam tu, saya diam je. Saja nak tengok gelagat diorang. Kelakar pun ada...haha

Hmm...ada lagi satu..Pernah tak orang suruh anda buat sesuatu perkara yang memang anda nak buat. Pehh....ini paling saya tak gemar. Dah memang kerja kita, pandailah kita menguruskannya. Nak nak yang suruh tu bukan bos kita pun. Rasa nak plaster je mulut tu. Kalau nak mengingatkan tu tak salah, tapi biarlah betul caranya. Kalau dah macam mengarah, kan tak sedap tu. Kesimpulannya di sini, janganlah memandang rendah orang lain. Kalau kita pandai, ada lagi orang yang lebih pandai daripada kita.

Bingka: Setiap orang ada kelebihan masing-masing

Tuesday, March 23, 2010

Kenangan Kerja Pertama

Apakah kerja pertama anda? Kerja pertama saya ialah sebagai seorang kelindan lori ais. Masa tu saya baru habis SPM. Setiap hari seawal 6.30 pagi saya dah berjalan ke kilang ais yang terletak berhampiran rumah saya. Sampai di kilang, saya terus menuju ke lori saya (lori saya ke?..hehe). Ais memang dah diisi ke dalam lori oleh pekerja syif malam. Saya hidupkan enjin dan bawa lori tu ke belakang kilang. Di belakang kilang ada tangki minyak diesel. Saya akan isi minyak ke dalam lori sehingga penuh. Selesai tugasan pagi, saya tunggulah sampai pemandu tiba. 

Apabila pemandu tiba, kami pun memulakan perjalanan menghantar ais ke kedai-kedai yang melanggan ais dengan kami. Sampai je di kedai berkenaan, saya pun beraksi la, buka pintu tepi lori ais tu, angkat ais dan bawa masuk ke dalam  kedai. Ada yang suruh letak saja beg ais tu, ada pula yang suruh tuangkan terus ke dalam kotak ais mereka.  Lepas tu pergi ambil duit pada tauke kedai. Ada sekali tu saya ternampak kawan saya masa hantar ais kat pasar, menyorok dalam lori tu...haha. Nasib baik masa tu dah selesai angkat ais. Perjalanannya sama saja setiap hari, dari Serendah ke Sabak Bernam iaitu kira-kira 260 km pergi-balik.


Pada hari tertentu, setelah selesai menghantar ais, Raju (pemandu) akan singgah di kedai todi yang terletak di Batang Berjuntai. Kedainya terletak di kawasan terpencil. Dari tepi jalan memang tak nampak kedai tu. Raju akan memberhentikan lori di tepi jalan dan berjalan ke kedai tersebut melalui sebatang denai dan menghilang di sebalik belukar. Saya terpaksa menunggu Raju di dalam lori. Ada juga 2-3 kali dia ajak saya minum sekali, tapi saya menolak dengan baik. Dan ada juga 2-3 kali dia bungkuskan air todi untuk saya. "Lan, ni saya ada bungkus...baik punya" "Eh, tak nak la..air lain boleh..hehe" "Aiyo...rugi woo, takpa saya bawak balik rumah". (Kau ni memang seboleh-boleh ye). Pernah juga lori kami rosak. Terpaksa panggil geng yang lain, tolong tunda sampai ke bengkel. Hmm..itulah pengalaman kerja pertama saya. Seronok juga. Bila terpandang lori Atlas, mesti teringat kenangan semasa bekerja di kilang ais tu.


Bingka: sekarang dah kerja tetap...