Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts

Monday, June 24, 2013

Tentatif

TENTATIF. Adakah anda tahu makna perkataan tu?

Ayat yang biasa saya jumpa/dengar:

- "Ada tentatif tak?"
- "Nanti saya bagi tentatif"
- "Tentatif penuh akan diberi kemudian"
- Dilampirkan tentatif untuk rujukan pihak tuan.

Ramai yang anggap tentatif tu sendiri bermaksud aturcara atau program dan ternyata ianya salah.

Tentatif bermaksud sesuatu yang belum muktamad atau sementara. Di dalam Bahasa Inggeris disebut 'tentative'

Cuba masukkan maksud tentatif pada salah satu contoh ayat di atas: "Ada sementara tak?" -.- (Apa benda tu? Tak faham kan?)
Ayat yang betul ialah "Ada program tentatif tak?"

Program tentatif adalah frasa Bahasa Melayu yang betul, bukannya tentatif program.
Kalau dalam Bahasa Inggeris ianya disebut Tentative programme


Jadi, kenalilah bahasa kita. Jangan main sebut je tanpa ambil tahu maksudnya.


Wednesday, January 2, 2013

Pesawat

Di satu pagi yang gelap, kakiku melangkah ke dalam sebuah teksi. Teksi itu memang sudah kutempah sehari sebelumnya. Nak pergi ke lapangan terbang ni kena rancang molek sikit.

Sejurus teksi bergerak menuju ke KLIA, pemandu teksi bertanya kepadaku "Pesawat jam berapa?"
"Haa?" aku macam kurang jelas. Maklumlah pagi masih gelap, telinga pun kurang dengar.
"Pesawat jam berapa?" tanya pemandu teksi lagi.
Pehh.. seumur hidup aku ini kali pertama aku mendengar perkataan itu digunakan dalam perbualan. "Pesawat" sebutku dalam hati dengan penuh rasa kagum.
"Emm.. 8.30" jawabku sambil melihat jam di tangan.
Teksi meluncur ke destinasi, sedang aku terus dibuai kekaguman.
"P.e.s.a.w.a.t" ulangku dalam hati dengan tempo perlahan.

Monday, April 19, 2010

Tak Nak Potong

Potong...potong...potong. Ingat lagi iklan tu? Saya tak minat.

Saya nak cerita ni...
Ramai orang (blogger) suka potong (dalam entri), terutamanya yang muda-muda. Kesuntukan masa mungkin. Bangga pula tu. Owh...mungkin nampak cool gitu..
Contoh 'potong' begini: Sy x ske btul la ngan bdk2 yg ptg ni. Ntah ape2. Xleh ke nk eja btul2 pktaan tu.
Contoh 'bangga' begini: Ske ati ak la nk tulis cmne pun, ini blog ak. Xnk baca bleh tekan pgkah kt atas tu. Ade aq kesah.

Selagi boleh potong, geng potong pasti potong. Bagus. Teruskan.

Bingka: potong dalam komen takpe la kot..

Monday, March 8, 2010

PABM 2010

Saya dah bersiap, dah bersedia untuk keluar bermain futsal. Sampai di ruang tamu, ahli keluarga yang lain sedang menonton Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2010 dengan penuh minat. Masih ada masa lagi sebelum futsal bermula. Saya pun tak melepaskan peluang itu dan turut sama menonton pertandingan tersebut  yang disiarkan secara langsung dari PICC, Putrajaya. Dah pusingan akhir ke? Cis, tak tahu pun bila mula. Kalau final esok (Sabtu) boleh juga nak pergi...

Sungguh terharu melihat peserta dari luar negara berpidato dalam Bahasa Melayu. Kadang-kadang kami tergelak kecil kerana ada beberapa sebutan yang tak tepat, tapi tak kisahlah.Yang penting mereka berusaha sebaik mungkin. Minat mereka terhadap Bahasa Melayu sudah cukup saya untuk membuat saya kagum. Saya sempat tengok 4 peserta je, iaitu dari Malaysia, Rusia, Jerman dan Indonesia sebelum bertolak ke tempat futsal. Peserta dari Rusia, Natalya Budanova ialah antara yang mendapat perhatian saya kerana menyelitkan pantun yang bersahaja dalam persembahannya. Peserta dari Jerman, Josee Hunnekes pula kelihatan amat manis dengan baju kebarung yang dipakainya. Terpikat sekejap..;)

Hmm...teringat kenangan minggu lepas semasa berkunjung ke rumah seorang kenalan. Anaknya yang masih kecil (dalam lingkungan 2 tahun) sudah pandai bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bagusnya. Lain benar keadaannya ketika saya sekecil itu. Sepatah haram tak tahu. Tapi saya agak risau kerana Bahasa Melayu dipinggirkan sama sekali oleh kedua-dua ibu bapanya yang sebangsa dengan saya. Saya harap keadaan ini tak berterusan. Kan bagus jika diajar kedua-duanya sekali, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Tak begitu? Lihatlah, bangsa lain belajar bahasa kita dengan penuh minat, tapi kita pula yang menolak bahasa kita. Ada ke patut...

Bingka: Tahniah diucapkan kepada Zhang Song (Noriah) dari China

Tuesday, January 26, 2010

Lampu Trafik

Apakah nama lampu di bawah?


Jika anda jawab 'lampu isyarat', sebenarnya jawapan anda salah.
Lampu itu ialah lampu trafik.
Dalam BI kita panggil traffic light kan...
Kenapa dalam BM jadi lampu isyarat pula?

Hmm...jadi yang mana sebenarnya lampu isyarat?

Ya, inilah lampu isyarat.
Kenapa kita panggil ianya lampu signal?
Kenapa kita tak tukar saja perkataan signal itu ke dalam Bahasa Melayu?
 Saya pun tak faham.

Tuesday, April 7, 2009

Hawa dan pisang

Yang mana betul? Pendingin hawa atau penghawa dingin?
Jawapan: Pendingin hawa
Kerana hawa bermaksud udara.

Cuba tukar hawa kepada udara:
Pengudara dingin. Tak faham kan..
Pendingin udara. Faham kan..;)

Yang mana betul? Pisang goreng atau goreng pisang?
Jawapan: Pisang goreng (jika bukan menggambarkan perbuatan)

Contoh 1: "Belikan saya pisang goreng" (betul)......."Belikan saya goreng pisang" (salah)
Tapi ramai orang guna istilah yang salah kan... Kalau makanan lain ok je orang sebut ayam goreng, telur goreng, nasi goreng, mi goreng...tapi bila masuk bab pisang, ramai yang gagal. Ni yang cikgu geram ni...

Contoh 2:
Ali: Aku nak pergi kedai
Abu: Aku nak goreng pisang
Ali: Ok, bagus
Sekembalinya Ali dari kedai...
Abu: Mana pisang yang aku suruh beli?
Ali: Laa...Kau kata nak goreng tadi...

Haa...kan dah salah faham tu...

Friday, February 27, 2009

Anti PPSMI

Saya menyokong mereka!


"Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya Bahasa Melayu di muka bumi"

- Datuk A. Samad Said














"Memastikan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar tidak harus diambil ringan kerana ia satu-satunya instrumen perpaduan paling berkesan diterapkan dalam sistem pendidikan, sekali gus dapat memastikan kelestarian pembangunan negara pada masa depan."

- Profesor Diraja Ungku Aziz

*PPSMI - Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

Friday, January 23, 2009

Janji untuk bertemu

Yang mana betul?

Janji temu atau temujanji?

Frasa yang betul ialah 'janji temu' ; janji untuk bertemu dengan seseorang pada masa dan tempat yang telah ditetapkan kerana sesuatu urusan dan sebagainya.

Hmm...kamu semua ada janji temu tak minggu ni?..;)

*Rujukan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Sunday, November 16, 2008

Markah kamu rendah sedikit

Minggu lepas saya mula menjalani kursus induksi di tempat kerja. Kursus ini akan selesai pada 20 November nanti. Setiap hari saya dan lebih 70 peserta lain akan mengikuti tiga sesi ceramah di sebelah pagi dan petang. Saya suka melihat kepetahan penceramah berkata-kata. Bagusnya jika saya ada bakat seperti itu, tampak yakin sekali. Penceramah yang pandai menyelitkan jenaka dalam sesi ceramahnya pasti mendapat perhatian yang lebih. Saya paling tertarik dengan penceramah yang berperwatakan serius tapi penuh dengan kelucuan semasa berbicara. Kami yang mendengar ni punya la tergelak, penceramah itu buat muka selamba je..macam tiada apa berlaku. Tak puas hati betul saya...rasa nak geletek je penceramah tu..hehe.

Kami diberikan kertas penilaian bagi menilai setiap penceramah. Kelmarin ada seorang penceramah wanita yang suka betul guna bahasa rojak. "Integriti is kebertanggungjawaban...bla bla bla", "If anda semua..bla bla bla"..dan banyak lagi. Kalau boleh semua ayat dia nak selitkan dengan perkataan Inggeris. Seronok sangat ke merosakkan bahasa ni? Apa tak lengkap ke ayat tu tanpa perkataan Inggeris? Jika perkataan tu memang susah nak diubah ke Bahasa Melayu, ataupun jika sedang bersembang dengan kawan-kawan, saya tak kisah sangat. Pilih antara satu, nak guna Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, dan gunalah dengan seadilnya. Disebabkan itu, maaf...markah kamu rendah sedikit.

p/s: Saya akan tetap memanggil Bahasa Melayu itu sebagai Bahasa Melayu, bukan Bahasa Malaysia. Saya lebih suka begitu. Tak kiralah jika orang mengubah namanya kepada nama apa sekali pun, yang saya tahu bahasa yang sedang saya gunakan ini Bahasa Melayu.

Friday, October 24, 2008

Kamu berdua...jangan begitu

Hari itu, kamu berdua di situ. Aku pun di situ. Kamu berdua sama bangsa dengan ku. Kamu berdua rancak berbicara. Aku hanya membisu. Tumpang dengar saja, sambil melakukan urusanku. Sayangnya kamu berdua menggunakan bahasa lain, bukan bahasa kita. Oh, kamu berdua...jangan begitu. Bahasa itu bahasa kita. Kalau kita sendiri tak guna, siapa lagi? Bukan aku tak suka bahasa yang kamu guna itu, bahkan aku sendiri berusaha memantapkan bahasa itu. Tapi jangan sampai dipinggirkan bahasa kita. Bagai bangsa kita tiada bahasa. Aku sedikit kecewa.

Kamu berdua, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu sudah 2 kali diadakan. Sambutan yang diterima amat baik. Pada tahun ini, 50 peserta dari 42 negara telah mengambil bahagian. Mereka itu, ramai yang bukan bangsa kita, tapi petah berpidato di atas pentas. Mereka kata, mereka suka bahasa kita. Bahasa kita indah. Sungguh senang aku mendengarnya. Aku sangat kagum. Kamu juga seharusnya begitu.

Wednesday, October 8, 2008

'Kami' merajuk

Apakah perbezaan antara perkataan 'Kami' dan 'Kita'? Pasti semua tahu kan.. Tapi ramai orang tidak menggunakan perkataan ini dengan tepat. Perkataan 'Kita' selalu digunakan untuk mengganti perkataan 'Kami'. Jika 'Kami' ada perasaan pasti dia merajuk..:) Para pemimpin pun lebih kerap menggunakan 'Kita' daripada 'Kami'. Contohnya "Kita akan kaji dulu perkara ini...bla bla bla..

'Kami' juga dah terbiasa digantikan dengan 'kitorang' dalam perbualan harian...(hmm..merajuk lagi). Tapi di sebelah utara semenanjung, 'Kami' digunakan dengan baik. Tapi kadang-kadang ada yang ganti perkataan 'Saya' dengan 'Kami'...(terlebih guna pula).

Buat masa ni 'Kami' tak merajuk sebab filem 'KAMI The Movie' sedang ditayangkan di pawagam...hehe