Wednesday, March 6, 2013

Jangan tunjuk sangat

Tak kisah la kau nak sokong parti mana pun.
Tapi boleh tak kau lupakan sekejap politik dan mendoakan kesejahteraan negara khususnya rakyat Sabah dan keselamatan pejuang yang bergadai nyawa untuk negara.


Nak angkut batalion tentera guna MIG-29, Hornet, Sukhoi dan F5 Tiger?
Guna la akal sikit, itu semua jet pejuang.


Saturday, March 2, 2013

Singgah di masjid

Kisah ni berlaku dulu, semasa saya sedang belajar.

Saya tinggal di rumah sewa berhampiran dengan tempat saya belajar di Jitra, Kedah. Pada satu malam tu, ada seorang housemate kami tidak pulang ke rumah. Kami tertanya-tanya ke mana dia menghilang. Selepas semalaman tak muncul-muncul, akhirnya dia kembali ke rumah pada pagi esoknya.

Dia pun menceritakan pengalamannya..

Dia sebenarnya memang nak balik ke rumah. Dalam perjalanan tu tiba-tiba dia berasa sakit perut, lalu dia menghalakan motornya ke sebuah masjid yang terletak di tepi kampung. Masa tu dah pukul 11 lebih, tiada jemaah yang berada di masjid. Dia pun cepat-cepat menuju ke tandas.

Tandas masjid macam biasa la, ada satu pintu utama dan di dalamnya ada banyak tandas, sama seperti kebanyakan tandas awam yang lain. Pintu utama tu tertutup. Dia pun membuka pintu tu dan terus masuk ke dalam tandas. Cahaya di dalam tandas samar-samar kerana banyak lampu yang tidak menyala, sama ada memang rosak atau suisnya tidak dihidupkan.

Setelah selesai menunaikan hajatnya, dia pun melangkah untuk keluar dari tandas. Dia terkejut melihat pintu utama telah tertutup kembali. Dia mahu keluar dengan segera, tapi dia bertambah terkejut apabila melihat tiada tombol untuk membuka pintu itu dari dalam. Entah macam mana, handphonenya tidak dibawa pula. Setelah mendapati memang tiada cara untuk keluar dari situ, dia pun mula melaung meminta tolong. Masa ni, kami yang mendengar ni dah tergelak geli hati. Kalau ada orang yang mendengar jeritannya pun, siapa yang berani nak buka pintu tengah-tengah malam macam tu kan..hahaha.

Selepas penat menjerit meminta tolong, dia pasrah dengan nasibnya yang terpaksa bermalam di tandas itu. Dia duduk dalam keadaan cuak di situ dan mengharapkan tiada perkara-perkara pelik berlaku. Akhirnya dia tertidur juga. Dia tersedar apabila mendengar suara orang di luar tandas pada waktu Subuh. Dia pun terus mengetuk pintu tandas sambil meminta tolong. Jemaah masjid yang datang untuk solat Subuh telah membuka pintu tandas dan dia pun diselamatkan.

Kami sambung gelak selama 2 hari...hahaha.

Kesimpulannya apa? ;)

Tuesday, February 12, 2013

Masa yang terbuang

Emak dan makcik sebelah sedang bersembang di tepi pagar ketika aku mengangkat Hani yang sedang merangkak di muka pintu. Sebelah tangannya dah keluar. "Eh Hani nak pergi mana ni?" Alahai si comel ni. Aku tak berdiri lama di pintu, terus aku mengelek Hani ke dalam.

Sekonyong aku melangkah, aku terdengar makcik sebelah membuka topik baru. "Si Along tu bila lagi tu? Malas aku nak dengar lagi, terus aku melayan Hani bermain. Aku yakin maksud soalan tu bukan bertanya bila aku nak mandi.. ;)

Sibuk la makcik ni. Makcik mana tahu apa yang aku lalui. Kalau ikutkan niat nak kahwin, 6-7 tahun dulu aku dah kahwin. Tapi takde jodoh dengan S. Apa dia ingat aku goyang kaki tunggu jodoh datang?

Berkawan dengan orang ni kan satu proses. Kadang-kadang masa mula perkenalan semuanya ok, tapi bila dah lama sikit berkawan mula la timbul benda-benda tak serasi ni. Mula la saling tak memahami, mula la tak menghormati dan macam-macam lagi. Bab tak menghormati ni memang aku tak suka, tapi yang paling aku menyampah sekali ialah  bila kau sentiasa ada cara untuk menyakitkan hati. Ini ibarat orang datang bawa segelas air dan beri pada kau untuk menghilangkan dahaga, tapi kau curah air tu ke longkang.

Bila dah berkawan rapat dengan seseorang tu, tiba-tiba banyak pula huluran salam perkenalan yang lain. Yang nak jadi matchmaker pun ramai. Terpaksa la diabaikan demi tak melukakan hati sesiapa, demi tak nak orang mengharap, demi tak nak pening kepala. Tapi bila tak lama jodoh dengan orang yang kita kawan tu, peluang-peluang yang datang sebelum tu pun dah tertutup. Kau ingat semua orang nak tunggu kau? haha..

Jadi lebih kurang macam tu la perjalanan aku. Aku boleh nak bercerita panjang lebar lagi, tapi aku malas. Aku tak menyesal berkawan dengan orang. Cuma yang aku kesalkan ialah masa yang terbuang.

Nasib baik ada Hani si penghibur hati.. ;)


Monday, February 4, 2013

Digaul sebati

Semoga kita ini
Tidak jadi mangsa persepsi
Angkara hati yang pernah disakiti
Digaul sebati
Jadi resepi racun diri

Saturday, February 2, 2013

Teka-teki hati

Manusia itu
Bila diuji tentang hati
Bila disoal perihal diri
Buat karangan tanpa jawab pasti
Tanpa isi
Ibarat yang membaca baru tumbuh gigi
Bila ditebak tentang isi
Sunyi segenap inci
Reka ruang tak pasti
Bila dibiar bebas dalam ruang sendiri
Datang dengan persoalan emosi
Cipta teka-teki

Friday, January 25, 2013

Panik dalam kereta

Tadi semasa tiba di masjid, saya letak kereta berdekatan dengan bangunan masjid sebab kereta tak banyak, maklumlah ramai orang cuti hari ni. Selalunya saya letak jauh sedikit supaya senang ketika nak keluar dari perkarangan masjid. Setelah kereta selamat masuk ke dalam petak, kawan saya di sebelah pun keluar dan mula berjalan ke arah masjid. Saya pun turut sama nak keluar, tapi pintu tak boleh dibuka walaupun penguncinya dah dinaikkan. Saya cuba banyak kali, tapi tetap tak boleh buka. Saya ketuk-ketuk cermin tingkap dari dalam kereta supaya kawan saya dengar, tapi dia tak dengar dan terus melangkah ke depan. Saya terpanik juga sekejap, lalu saya ketuk lagi tingkap beberapa kali sambil punggung terangkat-angkat sedikit. Nampak tak betapa bersungguhnya saya nak ke masjid? ;p

Kebetulan kawan saya pandang ke belakang, konon nak bersembang sambil berjalan la tu. Baru dia perasan saya terperangkap dalam kereta. Bergegas dia tolong buka pintu dari luar. Saya hairan juga kenapa saya tak terfikir untuk buka tingkap dan keluarkan tangan, kemudian buka pintu dari luar. Entah apa-apa..

Ada satu hari tu saya duduk kat tempat duduk belakang kereta kawan, kena macam tu juga. Dua-dua pintu tak boleh dibuka dari dalam. Lepas tu saya ketuk-ketuk cermin tingkap nak suruh dia bukakan dari luar, boleh dia buat tak tahu pula. Sindiket apakah ini? 

Tuesday, January 22, 2013

Cameron, aku datang!

Saya perlu bekerja di luar kawasan pada 26-28 Januari 2013. Itu saya dah tahu kira-kira sebulan yang lalu.
Tapi minggu lepas baru saya perasan yang tarikh tu rupanya kena pada tarikh cuti panjang sempena Maulidur Rasul dan Thaipusam. Saya macam.. "What? Kena kerja?"  Alaa..

Destinasi saya bertugas nanti ialah Cameron Highlands. Dah 19 tahun berlalu sejak kali pertama dan terakhir saya ke sana. Masa tu saya baru berumur 12 tahun.

Walaupun hanya sekali pernah ke sana, kenangannya memang takkan dilupakan sampai bila-bila. Kami sekeluarga mengikuti rombongan anjuran tempat ayah saya bekerja. Disebabkan kami tinggal di kuarters, jadi rakan-rakan sekerja ayah tu jiran kami juga la, dan ahli keluarga masing-masing pun dah saling mengenali antara satu sama lain. Sangat seronok dan meriah keadaannya, terutama pada kami yang budak-budak ni.

....

Bas sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, melalui jalan yang berbukit dan bengkang-bengkok. Keadaan di dalam bas yang pada mulanya meriah semakin lama semakin sepi. Ramai penumpang sudah lena di kerusi (atau mungkin semua), hanya pemandu yang masih sedar diri.

Saya dan kawan-kawan duduk di kerusi paling belakang. Seronok sikit nak bermain atau bergurau. Adik saya duduk di bahagian paling kanan dan saya di sebelahnya. Kami yang di belakang ni tidur memang tak menyedar apa la, sebab dah penat bermain kot. Saya terjaga dari tidur bila terdengar suara lelaki menjerit dengan cemas "Budak! budak! Berhenti..berhenti..berhenti! Budak!" Semua penumpang terkejut dengan jeritan itu dan tertanya-tanya apa yang berlaku.

Lelaki yang menjerit itu ialah orang yang duduk di kerusi kedua terakhir, iaitu kerusi di hadapan saya. Semasa dia sedang tidur, dia merasai angin dari arah belakang. Dengan perasaan pelik, dia menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati pintu kecemasan yang terletak di belakangnya terbuka luas dengan adik saya sedang bergayut pada pembuka pintu. Keadaan berlaku dengan sangat pantas. Tak sempat dia nak berbuat apa-apa, adik saya yang berumur 6 tahun ketika itu terlepas pautannya dan terjatuh ke atas jalan raya. Semasa saya sedar tu, adik memang sudah tiada di sebelah dan pintu ternganga. Masya-Allah..

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, kami hanya mampu melihat keadaan adik saya yang terjatuh dari cermin belakang bas, sambil pemandu bas berusaha untuk memberhentikan bas secepat mungkin. Apabila bas berhenti, adik saya sudah hilang dari pandangan disebabkan jalan yang berselekoh. Ayah dan beberapa orang yang lain terus meluru keluar dari bas dan berlari mendapatkan adik saya. "Budak-budak jangan keluar!" tegah seorang rakan ayah ketika saya mahu turut serta. Ya Allah..hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya pada masa tu.

....

Adik saya menerima berbelas jahitan di bahagian mulut, mengalami calar-calar di bahagaian muka dan luka di beberapa bahagian badan. Mujur semasa dia terjatuh, tiada kenderaan lain yang mengekori rapat di belakang. Seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu memberhentikan motornya di tengah jalan dan memapah adik saya ke tepi. Adik saya bernasib baik kerana masih sedar dan masih boleh berjalan sejurus selepas dia terjatuh, sedangkan pelbagai perkara lain yang lebih buruk boleh berlaku. Ini semua kuasa Allah.