Showing posts with label Kemalangan. Show all posts
Showing posts with label Kemalangan. Show all posts

Tuesday, January 22, 2013

Cameron, aku datang!

Saya perlu bekerja di luar kawasan pada 26-28 Januari 2013. Itu saya dah tahu kira-kira sebulan yang lalu.
Tapi minggu lepas baru saya perasan yang tarikh tu rupanya kena pada tarikh cuti panjang sempena Maulidur Rasul dan Thaipusam. Saya macam.. "What? Kena kerja?"  Alaa..

Destinasi saya bertugas nanti ialah Cameron Highlands. Dah 19 tahun berlalu sejak kali pertama dan terakhir saya ke sana. Masa tu saya baru berumur 12 tahun.

Walaupun hanya sekali pernah ke sana, kenangannya memang takkan dilupakan sampai bila-bila. Kami sekeluarga mengikuti rombongan anjuran tempat ayah saya bekerja. Disebabkan kami tinggal di kuarters, jadi rakan-rakan sekerja ayah tu jiran kami juga la, dan ahli keluarga masing-masing pun dah saling mengenali antara satu sama lain. Sangat seronok dan meriah keadaannya, terutama pada kami yang budak-budak ni.

....

Bas sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, melalui jalan yang berbukit dan bengkang-bengkok. Keadaan di dalam bas yang pada mulanya meriah semakin lama semakin sepi. Ramai penumpang sudah lena di kerusi (atau mungkin semua), hanya pemandu yang masih sedar diri.

Saya dan kawan-kawan duduk di kerusi paling belakang. Seronok sikit nak bermain atau bergurau. Adik saya duduk di bahagian paling kanan dan saya di sebelahnya. Kami yang di belakang ni tidur memang tak menyedar apa la, sebab dah penat bermain kot. Saya terjaga dari tidur bila terdengar suara lelaki menjerit dengan cemas "Budak! budak! Berhenti..berhenti..berhenti! Budak!" Semua penumpang terkejut dengan jeritan itu dan tertanya-tanya apa yang berlaku.

Lelaki yang menjerit itu ialah orang yang duduk di kerusi kedua terakhir, iaitu kerusi di hadapan saya. Semasa dia sedang tidur, dia merasai angin dari arah belakang. Dengan perasaan pelik, dia menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati pintu kecemasan yang terletak di belakangnya terbuka luas dengan adik saya sedang bergayut pada pembuka pintu. Keadaan berlaku dengan sangat pantas. Tak sempat dia nak berbuat apa-apa, adik saya yang berumur 6 tahun ketika itu terlepas pautannya dan terjatuh ke atas jalan raya. Semasa saya sedar tu, adik memang sudah tiada di sebelah dan pintu ternganga. Masya-Allah..

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, kami hanya mampu melihat keadaan adik saya yang terjatuh dari cermin belakang bas, sambil pemandu bas berusaha untuk memberhentikan bas secepat mungkin. Apabila bas berhenti, adik saya sudah hilang dari pandangan disebabkan jalan yang berselekoh. Ayah dan beberapa orang yang lain terus meluru keluar dari bas dan berlari mendapatkan adik saya. "Budak-budak jangan keluar!" tegah seorang rakan ayah ketika saya mahu turut serta. Ya Allah..hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya pada masa tu.

....

Adik saya menerima berbelas jahitan di bahagian mulut, mengalami calar-calar di bahagaian muka dan luka di beberapa bahagian badan. Mujur semasa dia terjatuh, tiada kenderaan lain yang mengekori rapat di belakang. Seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan itu memberhentikan motornya di tengah jalan dan memapah adik saya ke tepi. Adik saya bernasib baik kerana masih sedar dan masih boleh berjalan sejurus selepas dia terjatuh, sedangkan pelbagai perkara lain yang lebih buruk boleh berlaku. Ini semua kuasa Allah.

Wednesday, November 14, 2012

Naluri abang

Hari Sabtu yang lalu, selesai saja solat Subuh saya terus bersiap. Mengenakan jeans dan kemeja-t serta menyisir rambut dengan kemas. Adik saya juga bersiap nak ke tempat kerja. Sesudah itu, saya duduk di atas lantai bilik sambil bersandar di tepi katil. Saya terfikir sejenak..entah kenapa saya bersiap seawal itu walaupun tak merancang nak ke mana pun. Ah, nanti mungkin akan dapat idea hendak ke mana. Saya mula membelek handphone, menekan itu dan ini. Saya tak sedar bila adik bertolak ke tempat kerja, yang saya sedar ada bau masakan dari dapur. Namun bau masakan tidak cukup untuk menghentikan perkenalan saya dengan handphone yang baru dibeli, leka jadinya.

Beberapa minit kemudian, kami sekeluarga dikejutkan dengan kepulangan adik ke rumah. Dia dihantar oleh seorang auntie Cina menaiki kereta. MasyaAllah, dia kemalangan jalan raya. Tangan dan kakinya luka, begitu juga di bahagian dagu. Baju dan seluar terkoyak di beberapa tempat. "Saya mau masuk simpang, lupa bagi signal" terketar-ketar auntie tu menceritakan bagaimana kejadian berlaku. Kalau disergah sikit barangkali pengsan dia di situ.

Saya terus mencapai helmet dan mengikut auntie tu menaiki kereta. Dia membawa saya ke tempat di mana motor adik saya ditinggalkan. Adik saya pula dibawa ke klinik oleh adik yang seorang lagi.

Nak dipendekkan cerita, auntie tu telah menghulurkan RM50 untuk kos rawatan dan RM250 untuk kos baikpulih motor. Yang pastinya, hari Sabtu itu saya sibuk.

Friday, February 25, 2011

Amende yang mampuihnya

Waktu tengahari itu tiada pelanggan di bengkel Ramli dan Rudi. Mereka hanya duduk menghisap rokok sambil berbual kosong. Sedang mereka berbual, kedengaran bunyi motosikal menghampiri bengkel. Ramli sebagai tauke #1 terus menghampiri pelanggan setia bengkel mereka itu "Rosak lagi ke Pak Dafi?" soal Ramli.  "Takde la, dah ok dah. Eh, jom makan kat rumah aku" pelawa Pak Dafi. Belum sempat Ramli menjawab, Pak Dafi menyambung lagi.. "Jom la, bukan jauh pun rumah aku...depan tu je"

*****

"Woi, aku datang tadi korang takde. Pergi mane?" soal Amri
"Kitorang gi rumah Pak Dafi la" jawab Rudi
"Watpe?"
"Makan...tiba-tiba dia datang ajak makan. Kitorang ON je la..haha"
"Oo..patut la hilang"
Tiba-tiba Amri macam teringat sesuatu..
"Weh, korang gi makan eh? Peeiiiii...mampuih..
"Apahal?" tanya Rudi
"Ntah...apahal? Cecite..cecite.." tambah Ramli
"Kelmarin ada treler accident kat highway depan tu kan?"
"Oo...yang treler bawak beras tu.. Ha, kenapa?" Ramli buat muka ingin tahu
"Aku dengar cerita Pak Dafi pergi kutip beras yang berterabur kat highway tu" kata Amri
"Betul ke?" tanya Ramli terkejut
"Betul...Man Telo yang cerita, tiga guni gak dia dapat" jawab Amri yakin.
Dah la tak tolong pemandu treler tu...ish ish, kejamnya manusia"
Rudi dan Ramli saling berpandangan...

Thursday, September 24, 2009

2009 - Hari Raya paling mencabar

Selamat Hari Raya semua! Bagaimana dengan perjalanan anda pulang ke kampung? Adakah semuanya berjalan lancar? Hmm...saya ingin menceritakan pengalaman yang saya lalui sepanjang perjalanan ke kampung dan pulang semula ke KL.

Saya sekeluarga bertolak pulang ke kampung menaiki dua buah kereta pada 19/09/2009 (Sabtu), pukul 9.00 malam iaitu pada malam raya. Berhampiran hentian rehat Seremban, kereta saya mengalami masalah teknikal. Bateri kereta saya berasap. Kami (saya dan 3 orang adik) terpaksa menunggu di hentian rehat Seremban selama sejam setengah sebelum mekanik membawa bateri baru untuk ditukar. Kereta satu lagi terpaksa menunggu kami di hentian seterusnya. Selepas bateri ditukar, kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai di Johor Bahru pada pukul 4.00 pagi.

Dalam perjalanan pulang ke KL pula, iaitu pada 22/09/2009 (Selasa), kira-kira pukul 11.30 malam, sekali lagi bateri kereta saya mengalami masalah yang sama. Kali ini berhampiran susur keluar Port Dickson/Seremban. Asap dari bateri telah masuk ke dalam kereta melalui saluran pendingin hawa. Kami terpaksa berhenti di lorong kecemasan, pasang lampu kecemasan dan terus keluar dari kereta. Saya buka bonet dan saya dapati bateri mengeluarkan asap seperti air mendidih. Pada masa ni, kereta satu lagi dah jauh di depan, kami suruh mereka teruskan saja perjalanan hingga sampai ke rumah. Huh...mencabar kan?

Belum cukup mencabar lagi... Nak tahu apa yang berlaku selepas tu? Sedang saya risau melihat keadaan kereta saya, tiba-tiba...DUMMM...(terdengar bunyi dentuman yang kuat). Saya terus palingkan muka...takut ada serpihan yang berterbangan. Bila saya pandang semula ke arah kereta, saya tengok bonet kereta saya dah terhempas ke bawah. Saya ingat bateri saya meletup. Rupa-rupanya sebuah motosikal telah melanggar belakang kereta saya. Ya Allah...banyaknya dugaan. Dalam keadaan panik saya terus hubungi PLUS. Beberapa minit kemudian ambulans dan PLUS Ronda pun datang memberikan bantuan. Penunggang motosikal tu dibawa ke hospital dengan ambulans. Kereta saya pula ditarik ke tol Port Dickson/Seremban oleh PLUS Ronda. Kami terpaksa menunggu adik saya datang dari KL untuk mengambil kami disitu. Kami sampai di rumah pada pukul 4.00 pagi dalam keadaan yang sangat letih.

Penunggang motosikal mengalami patah kaki

Itulah pengalaman pulang ke kampung paling mencabar sepanjang hidup saya. Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana kami selamat sampai di rumah tanpa sebarang kecederaan.

p/s: masalah kereta saya adalah berpunca daripada kerosakan alternator yang menyebabkan bateri 'overcharge'.

Friday, September 11, 2009

Cuti 6 hari

Wah..masing-masing dah tak sabar nak cuti nampaknya. Kawan-kawan cuti berapa hari? Saya cuti 2 hari je iaitu pada 18hb (Jumaat) dan 23hb (Rabu). Kiranya 6 hari la. Pada 24hb (Khamis) saya dah mula bekerja. Masa tu pejabat masih sunyi. Ramai yang akan mula bekerja pada 28hb (Isnin). Takpe la, biar saya tolong tengok-tengokkan pejabat.

Oh, jangan lupa ye..pada malam-malam terakhir Ramadhan ni buatlah apa-apa yang bermanfaat. Tak dapat banyak, sikit pun takpe. Lepas habis mengaji hari tu saya pusingkan Al-Quran ke sisi, nak tengok dah berapa banyak baca. Hmm...separuh pun tak sampai. Nampak gaya memang tak sempat la nak khatam.

Minggu lepas agak malang ok. Dalam kesesakan jalan raya semasa pulang dari kerja, kereta saya telah tercium belakang sebuah Satria. Haishh..nasib..nasib...Terpaksa tukar lampu depan dan bumper baru. Habis terkurang bajet raya. Nama pemilik Satria tu sama la pulak dengan nama saya. Memang dah tersurat nampaknya.

Beberapa hari lepas tu saya beli Roti John "Special" kat pasar Ramadhan. Masa tu nak cepat, jadi saya ambil yang dah siap bungkus je la. Huh..dalamnya tiada sedikit cebisan daging pun. Ada telur, mayonis dan sayur. Oh, sangat 'special'. Baik saya pergi beli benjo je.

Thursday, January 8, 2009

Saya pemandu paling berhemah

Pagi tadi ketika memandu ke tempat kerja, saya melalui jalan yang mempunyai dua lorong. Saya memandu di lorong kanan. Tiba-tiba ada sebuah van di depan saya mengubah haluan dari lorong kiri ke kanan tanpa memberi isyarat. Saya terpaksa menekan brek sedikit...(cis..nak buat onar pula pagi-pagi buta ni..) mujurlah saya tak laju sangat. Saya teruskan perjalanan dengan mengekori van itu. Kemudian saya masuk ke lorong kiri kerana nak membelok ke kiri di simpang depan. Bersusun kenderaan yang nak membelok ke kiri. Van tadi masih di depan saya, dan kelihatan cuba masuk ke lorong kanan yang kosong. Tiba-tiba sebuah motor yang ditunggang agak laju datang dari arah belakang dan van tu terlanggar bahagian tepi motor tersebut. Pehh..tersungkur penunggang dan pembonceng motor tu. Tercengang saya dibuatnya. Mujurlah penunggang motor tu mampu bangun dan dalam keadaan terhincut-hincut cuba memapah pemboncengnya (mungkin isterinya) yang kelihatan separuh sedar. Van tu terus berhenti di bahu jalan. Saya terpaksa meneruskan perjalanan kerana dah lewat ke tempat kerja. Saya sempat menoleh ke arah pemandu van yang tergamam. (kau ni tak reti tengok side mirror ke?..signal pun tak bagi..) Di sepanjang perjalanan saya telah menjadi pemandu yang paling berhemah. Kedua-dua tangan melekat pada stereng. Cermin sisi dan cermin pandang belakang entah berapa kali saya pandang sebelum mengubah haluan.