Tuesday, August 13, 2013

Anak Kampung versi melatah



Orang Melayu memang perangai macam ni kan? Pantang ada orang melatah, teruk kena kacau.

Sunday, August 11, 2013

Dugaan malam raya 2013

Alhamdulillah, setelah pulang ke kampung untuk berhari raya, semalam (Sabtu) saya dan keluarga selamat sampai di rumah. Keadaan trafik pun baik. Rasa sangat lega bila sampai. Meh sini saya bercerita tentang kisah malam raya saya.

Saya dan keluarga bertolak pulang ke kampung pada malam raya iaitu pada pukul 10.30 malam. Kami singgah di Melaka untuk mengambil adik saya yang bekerja di sana dan meneruskan perjalanan. Kami memang selalu balik pada malam raya sebab adik-adik saya jarang dapat cuti awal. Saya sendiri pun masih bekerja sehingga hari terakhir sebelum raya.

Kira-kira pukul 2 pagi ketika saya sedang memandu, kedengaran satu bunyi dari bahagian enjin.."trettt". Saya memperlahankan sikit kereta sambil cuba mendengar kembali bunyi tadi, tapi bunyi itu tidak kedengaran lagi. Saya pun teruskan memandu. Dalam hati dah mula timbul tanda tanya. Setengah jam kemudian saya memberhentikan kereta di Hentian Simpang Renggam untuk ke tandas. Saya biarkan enjin hidup sebab risau enjin tak boleh dihidupkan kembali jika dimatikan. Gerak hati saya menyatakan begitu.

Selepas itu adik saya pula memandu. Kalau dicongak, kami akan akan tiba pada pukul 3.30 pagi. Kira-kira pukul 3 pagi kereta kami terasa seperti tersengguk-sengguk. Adik saya memperlahankan kereta. Terjadi lagi benda yang sama. Memang sah kereta ayah ada masalah. Kebetulan masa itu kami berada betul-betul sebelum simpang masuk ke Hentian Kulaijaya. Maka kami pun masuk dan memberhentikan kereta di salah satu petak parking. Pada masa tu lampu penunjuk bateri dah menyala dan lampu radio dah terpadam. Ayah yakin ini masalah alternator sebab bateri baru 4 bulan digunakan. Kami mematikan enjin dan cuba untuk menghidupkannya semula tapi tidak berjaya.

Ayah cuba menghubungi beberapa orang saudara di JB tapi tiada yang berangkat. Maka saya pun menghubungi PLUS. Setengah jam kemudian Plusronda tiba. Mereka memeriksa kerosakan. Disebabkan hampir pasti itu masalah alternator, mereka tak boleh buat apa-apa, lalu mereka menghubungi trak tunda dari bengkel panel PLUS yang terletak berhampiran. Selepas itu Plusronda beredar.

Pada waktu trak tunda tiba, hujan sudah mulai turun. Saya dan ayah terpaksa memayungi pemandu trak ketika dia memeriksa enjin. Dia juga berpendapat itu masalah alternator. Kereta terpaksa ditunda ke bengkel mereka yang terletak berhampiran tol Kulaijaya. Ketika ini berlaku insiden yang penuh adventure. Setelah kereta dinaikkan ke atas trak tunda, pemandunya bertanya siapa yang nak duduk di depan bersamanya dan siapa yang nak duduk di dalam kereta kami yang telah dinaikkan ke atas trak. Saya memilih untuk duduk di dalam kereta manakala ayah dan emak duduk di depan bersama pemandu. Adik saya memang sudah berada di dalam kereta sebab dia yang mengawal stereng ketika kereta ditarik naik ke atas trak. Pemandu trak cepat-cepat masuk ke dalam trak sebab hujan semakin lebat.

Sebelum memanjat ke atas trak, saya cuba membuka pintu kereta tapi tidak berjaya. Saya mengetuk pintu sebagai isyarat supaya adik saya membuka pintu itu dari dalam. Entah macam mana, adik saya turun pula dari trak tunda sebab dia fikir saya bagi isyarat supaya turun. Dalam masa yang sama, saya berjaya membuka pintu kereta ayah dan cuba memanjat untuk naik. Satu kaki saya sudah memijak badan trak dan satu lagi kaki masih tergantung. Ketika itu trak sudah mula bergerak. Saya terpaksa menurunkan semula kaki dan menutup semula pintu kereta sebab saya fikir pemandu trak nak mengalihkan traknya ke depan sikit.

Ya ampun, rupanya dia terus bergerak meninggalkan saya dan adik. Kami cuba mengejar tapi trak semakin jauh sehingga dah keluar dari kawasan rehat (ni Wakenabeb ke apa?). Nasib baik saya berjaya menghubungi ayah dan beritahu kami tertinggal di belakang. Bayangkanlah dengan keadaan hujan pada masa tu, saya dan adik terpaksa berlindung dengan satu payung dan berlari sejauh kira-kira 500 meter ke arah trak tunda yang menunggu kami di tepi lebuhraya. Sengal juga mamat ni...boleh dia tanya kenapa saya tak naik. Aku belum sempat naik la woi!

Kami sampai di rumah makcik pada pukul 5.30 pagi. Usai solat raya pagi itu, tiada lain yang kami buat selain tidur hingga ke tengahari. Jadi jangan tanya saya tentang gambar raya pertama. Itulah kisah saya di malam raya. Baru je saya bercerita tentang dugaan-dugaan ketika nak beraya pada entri yang lepas kan. Betul-betul terjadi pada kami sekeluarga. Tapi kami menghadapinya dengan tenang sebab ini bukan kali pertama kereta kami rosak. Pada Hari Raya tahun ni, itulah topik sensasi keluarga kami yang diceritakan dari rumah ke rumah. ;p


Wednesday, August 7, 2013

Duit pra Raya

Perasan tak satu perkara? Bila dah dekat-dekat nak raya ni selalunya ada je benda yang memerlukan duit atau merugikan duit kita. Kalau keluar duit untuk persiapan raya tu biasa la. Tapi ini duit yang perlu dikeluarkan untuk benda-benda lain atau kerugian harta benda yang tiba-tiba berlaku ke atas diri kita. Kalau tak terjadi pada kita pun, pasti terjadi kepada orang-orang di sekeliling kita.

Pagi tadi seorang kawan saya kerugian hampir RM 5 ribu kerana keretanya dipecah dan barang-barang di dalam kereta dicuri. Minggu lepas, seorang lagi kawan saya pun mengalami nasib yang sama dengan anggaran kerugian sebanyak RM 2 ribu. Kejadian berlaku di Downtown Cheras. Kelmarin pula, seorang kawan saya ditipu oleh klien berkaitan insurans kereta. 

Seorang kawan saya mengalami kerosakan gear kereta pada hari dia sepatutnya pulang ke kampung Sabtu lepas. Saya sendiri pernah mengalami kemalangan kecil pada bulan puasa di mana kereta saya terlanggar bahagian belakang kereta orang lain. Kecil-kecil pun terbang juga RM 500. Dah la masa raya nak pakai duit, kena pula benda-benda macam tu. Memang dugaan betul. Nampak tak, macam-macam hal berlaku bila nak dekat raya ni. Yang saya perasan selalunya berkaitan kecurian, kerosakan kenderaan dan kemalangan jalan raya. 

Jumaat lepas, dalam perjalanan ke tempat bermain futsal, kebetulan saya dan kawan saya bersembang tentang road tax kereta. Bila sampai di tempat futsal kawan saya saja la tengok road tax kereta saya. Rupanya dah lama mati road tax tu. Saya punya la selamba memandu ke sana ke mari. Ayam betul!!! Masa ni la tiba-tiba nak kena renew insurans dan road tax kereta. *_*

Monday, August 5, 2013

Silent reader

Tak terkejar rasanya bila kawan-kawan blogger yang saya ikuti kerap mengemaskini blog mereka dengan entri baru. Saya pula semakin tiada masa untuk berblogging macam dulu. Bila buka je Feedly (sedih Google Reader dah takde), tengok unread articles dan beratus-ratus. Terpaksa pilih entri mengikut tajuk yang dirasakan menarik. Tak larat nak baca semua. Bila tengok tarikh entri, ada yang dah diterbitkan 2-3-4 minggu lepas, nak komen pun macam tak best sebab dah ketinggalan. Orang dah cerita pasal benda lain dah wei, kau baru sibuk nak komen entri lama..hehe. Maka jadilah saya silent reader. Sekian.

Sunday, August 4, 2013

Cili raya

Saya tak shopping raya pun tahun ni. Saya nak pakai apa yang ada je. Lagipun banyak baju yang masih elok. Untuk persiapan makanan tu ada la saya beli kerepek sikit. Kuih-muih emak dah beli. Kami memang beli je kuih raya. Emak saya menjaga anak orang, mana ada masa nak buat kuih bagai. 

Di kala orang lain sibuk membeli pakaian raya dan kuih raya, saya juga sempat membeli sesuatu. 
Tadaaa..

cilibangi

Saya beli anak pokok cili. ;)
Tapi saya tidak berseorangan, ada lagi 4 orang kawan saya yang turut beli. Ada seorang kawan saya tu siap buat group whatsapp geng cili lagi. Selama ni saya tak pernah terfikir pula akan terlibat dengan geng cili. Saya cuma terfikir akan terlibat dengan geng suami, eh.

Sebenarnya ini kali pertama saya membeli anak pokok. Kalau di pejabat, kawan-kawan perempuan selalu terima bungkusan barang yang dibeli secara online, tapi saya terima cili. Rasa teruja pula..haha. Tak sabar nak tunggu hasilnya. Harap-harap menjadi la. Lengkaplah sudah persiapan Hari Raya saya! ;p

Kalau nak beli anak pokok cili, klik di SINI. :)


Monday, July 29, 2013

Qiamullail..aku datang

Assalamualaikum. Saya nak cerita pengalaman saya mengikuti qiamullail. Saya sebenarnya dah lama tidak mengikuti qiamullail. Dia punya lama tu sampai saya dah lupa bila kali terakhir saya berqiamullail. Jadi mohon jangan fikir saya nak berbangga diri, kerana niat saya hanya untuk berkongsi. Mungkin dapat beri semangat pada orang lain pula.

Apabila pengerusi surau mengumumkan bila tarikh qiamullail akan diadakan, saya terus menanamkan azam untuk mengikutinya. "Bila lagi? Nak buat sendiri memang tak la. Sementara ada geng nak buat secara berjemaah ni, baik pergi"  Itu yang bermain di fikiran saya. Alhamdulillah, tergerak juga hati saya nak pergi kali ni. Tapi saya risau juga kalau jadi hangat-hangat tahi ayam je rancangan saya tu.

Seminggu kemudian, hari yang dimaksudkan pun tiba. Sebelum memulakan solat tarawih pada malam tu, pengerusi surau mengingatkan sekali lagi tentang qiamullail yang akan diadakan pada awal pagi esok dan akan dimulakan pada jam 3.30 pagi. Banyak kali saya bagi semangat pada diri sendiri supaya tidak malas untuk bangun dan ke surau. Caranya mudah, saya anggap ini Ramadan terakhir saya. Manalah tahu kan? Sebenarnya antara banyak-banyak perkara dalam hidup kita ni, kematian la yang paling hampir dengan kita, cuma kadang-kadang kita terlupa dan terleka. Mujur saya tak keseorangan, ayah, emak dan dua orang adik saya pun nak pergi. Baru semangat sikit. Diorang memang selalu pergi, tak macam saya.

Semasa tazkirah selepas 4 rakaat bertarawih, uztaz jemputan pun menyentuh tentang qiamullail. Beliau menyarankan supaya kita cuba untuk menangis ketika berqiamullail, berdoa dan memohon keampunan dari Allah. Masa ni saya macam terpotong sikit mood sebab saya tak gemar benda yang disuruh-suruh ni, macam tak semulajadi la keadaannya. Macam tak ikhlas dari hati. Contoh macam dekat facebook la, kongsi gambar kaabah lepas tu suruh orang like. Kalau tak like, tak sayang Islam. Daripada nak like, terus tak jadi.

Pada pukul 2.45 pagi saya bangun dan buat air kopi, tak nak mengantuk la kononnya. Nampak tak gaya orang jarang pergi? Beria sikit. Kemudian saya pun bersiap dan berjalan kaki menuju ke surau bersama adik. Ayah dan emak dah pergi lebih awal.

Lampu ditutup sebelum solat dimulakan, hanya ada cahaya dari lampu bahagian luar surau. Solat pertama yang akan dilakukan ialah Solat Sunat Tahajjud. Imam Muda Miril pun memulakan solat. Para jemaah menuruti dengan mengangkat takbir. Sejurus saya mengangkat takbir, air mata dengan sendirinya mengalir membasahi pipi. Ya Allah, sungguh semulajadi, bukan mood sedih yang dibuat-buat dan bukan sebab terikut-ikut perasaan orang lain. Bacaan imam yang begitu merdu menambah lagi kesayuan saya di sepanjang solat itu. Selesai solat tahajjud, qiamullail diteruskan dengan Solat Tasbih, Solat Taubat dan Solat Hajat. Qiamullail selesai pada pukul 5 pagi dan para jemaah bersahur bersama sebelum disambung dengan Solat Subuh dan Kuliah Subuh.

Kalau ada kesempatan untuk berqiamullail..buatlah. Sangat berbaloi. Rasa tenang bila dah menangis di depan Allah. Jika kita dah lama tak memohon keampunan daripada Allah, inilah masanya. Kalau kita ada hajat, di bulan yang mulia inilah masanya untuk berdoa betul-betul kepada Allah. Kalau ditakdirkan ajal kita tiba sebelum Ramadan yang akan datang, sekurang-kurangnya kita dah bertaubat daripada segala dosa yang lampau. Kalau tak sempat untuk berqiamullail, buatlah Solat Hajat dan Solat Taubat di rumah, sementara Ramadan masih ada.

P.S: Saya bukan orang paling baik untuk memberi nasihat begini, tapi rasa rugi pula jika tak dikongsi.

Thursday, July 25, 2013

Itu ini tarawih

Semalam kembang kempis hidung saya semasa bersolat tarawih disebabkan bau minyak wangi yang terlalu kuat. Kalau kita nak ke masjid memang la bagus memakai wangian, tapi janganlah kuat sangat baunya sampai nak tersumbat hidung orang lain menghidunya.

Satu perkara yang saya perhatikan, kenapa ada orang yang susah sangat nak memenuhkan saf? Bagi saya senang, kalau saf yang betul2 di depan kita kosong, teruslah melangkah ke depan. Tak perlu nak tunggu orang depan pandang ke belakang untuk mengajak kita ke depan. Lepas tu bila orang dah ajak ke depan, kita sibuk nak suruh orang sebelah kita pulak ke depan. Kemudian rapatkan la saf ke kiri atau kanan sehingga dapat menyentuh lengan orang di sebelah.

Lagi satu saya nak tanya ni, anak siapa yang suka sangat main mercun berhampiran kawasan surau/masjid? Terkejut jemaah tahu tak? Kesian pada orang yang lemah semangat. Kalau dah tak solat tu hormat la pada orang lain yang nak bersolat.

Kalau ke surau atau masjid, jangan lupa bawa sedikit duit untuk menderma. Kan bagus di bulan mulia ni.. :)

Walau apapun gangguan semasa bersolat, kita kena sentiasa bersabar ok :)