Thursday, January 10, 2013

Ilusi patung

Hafiz melangkah keluar dari bilik persalinan. Di tangannya ada 2 helai kemeja kotak-kotak. Satu lengan panjang dan satu lengan pendek.

Anip yang menunggu di luar bertanya "Macam mana? Ok tak?"
Hafiz menggelengkan kepala. Dia menuju ke tempat pakaian itu diambil dan meletakkannya semula.
.....

Hafiz dan Anip berjalan menuju ke kereta.
"Lepas ni malas la aku nak datang sini" kata Hafiz.
"Kenapa?" tanya Anip.
"Kau bayangkan, bila patung pakai baju semua nampak lawa. Bila aku pakai tak lawa pun. Ini semua menipu pelanggan!" 
Anip mengangguk setuju. Perasaannya pun pernah beberapa kali dipermainkan.


Wednesday, January 9, 2013

Tahniah Azlan

Anugerah Juara Lagu 27, dari mata saya:

1. Dah bosan dengan hos, terutama FBI.
2. Satu je lawak FBI yang menjadi - ketika dia bertanya pada Adira sama ada dah follow twitter isteri Aaron Aziz atau belum. Babak melukis pelangi waktu senja buat aku rasa "Woi, cepatlah! Bosan kot!"
3. Mujur tiada lagi Ally Iskandar digabungkan dengan FBI, bosan tengok babak diorang saling memerli.
4. Grafik pada backdrop pentas memang terbaik! Oh oh..
5. Persembahan pembukaan Misha Omar dan Faizal Tahir bagus.
6. Adira nampak gugup semasa menyanyikan lagu Ombak Rindu bersama Hafiz. Nyanyian diorang ketika separuh akhir lebih bagus.
7. Stacy semakin berisi. Rambutnya pula gagal.
8. Azlan & The Typewriter dengan lagu Idola memang mantap! Pilihan saya dari awal lagi.
9. Jimmy Palikat dan One Nation Emcees - dari awal lagi memang bukan pilihan saya, muak sebab dah selalu sangat dengar.
10. Persembahan penutup oleh otai-otai rock memang bertenaga. Aris Ariwatan dah tak boleh tarik sangat, tapi suara Rahmat Mega yang paling power.
11. Lagu Terukir di Bintang jadi juara? Alaa...bosan la.
12. Teman Pengganti - Mujur menang Persembahan Terbaik, kalau tak, tak menang apa-apa? Are you serious?
13. Vokal terbaik memang layak dimenangi oleh Hafiz. Hebat suaranya, macam saya. ;p

Kesimpulannya... Tahniah Azlan!

Pembuka tirai Liga Super 2013

Malam tadi semasa makan di sebuah kedai, saya menonton perlawanan bola sepak antara Pahang dan Johor Darul Takzim. Ini merupakan perlawanan pembuka tirai untuk Liga Super 2013, MSL (Malaysian Super League). Selalunya kalau saya makan seorang, takde la saya nak lepak lama sangat di kedai. Tapi sebab perlawanan semalam menarik, saya menonton sehingga habis. Lagipun perlawanan ni memang menjadi tumpuan sebab Johor Darul Takzim dibarisi ramai pemain bintang manakala Pahang pula merupakan pendatang baru Liga Super. JDT mendahului 0-2 pada separuh masa pertama. Namun pada separuh masa kedua Pahang bangkit dengan penuh semangat untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2. Syabas Pahang! 

Dalam perlawanan tersebut juga kelihatan Tengku Mahkota Johor duduk di bangku simpanan bersama jurulatih JDT, Fandi Ahmad untuk menyaksikan para pemain JDT beraksi. Nampaknya saingan Liga Super untuk tahun ni pasti akan lebih hangat!

Sunday, January 6, 2013

Oh muridku


Sekadar berkongsi (mungkin ada yang dah baca cerita ni)...

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya

tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya.

Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Air mata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif.

Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan air mata yang mula bergenang. "Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?" Dia terkejut dan wajahnya berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu." Jawabnya "Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?" " Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu." Sambil menahan air mata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu, ......." Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Dipetik dari pengalaman seorang guru yang dedikasi.

- SEDIH :'(

Wednesday, January 2, 2013

Pesawat

Di satu pagi yang gelap, kakiku melangkah ke dalam sebuah teksi. Teksi itu memang sudah kutempah sehari sebelumnya. Nak pergi ke lapangan terbang ni kena rancang molek sikit.

Sejurus teksi bergerak menuju ke KLIA, pemandu teksi bertanya kepadaku "Pesawat jam berapa?"
"Haa?" aku macam kurang jelas. Maklumlah pagi masih gelap, telinga pun kurang dengar.
"Pesawat jam berapa?" tanya pemandu teksi lagi.
Pehh.. seumur hidup aku ini kali pertama aku mendengar perkataan itu digunakan dalam perbualan. "Pesawat" sebutku dalam hati dengan penuh rasa kagum.
"Emm.. 8.30" jawabku sambil melihat jam di tangan.
Teksi meluncur ke destinasi, sedang aku terus dibuai kekaguman.
"P.e.s.a.w.a.t" ulangku dalam hati dengan tempo perlahan.

Monday, December 31, 2012

Jalan-jalan di Kota Singa

Dua minggu yang lalu, saya dan beberapa orang rakan telah pergi ke Singapura. Kami menaiki pesawat Jetstar Airways sebab harga tiketnya yang paling murah berbanding syarikat penerbangan lain. Cuma RM 153 untuk penerbangan pergi-balik.

Nak tahu tak, ini pengalaman pertama saya ke luar negara! Pasport pun baru buat. Kesian kan? haha.. Mujurlah naik pesawat dah banyak kali, kalau tak memang terlebih teruja la gamaknya sehingga melompat bintang di dalam pesawat. Sebenarnya masa saya kecil dulu mak ayah saya pernah bawa saya ke Singapura, tapi saya tak ingat apa pun, sebab masa tu saya baru berumur 1-2 tahun.

Bercakap pasal pasport, semasa kami check-in di kaunter berlepas di KLIA, seorang kawan kami ada masalah dengan pasportnya. Setelah diperiksa oleh kakitangan yang bertugas, pasportnya akan tamat dalam masa kurang dari 6 bulan. Jadi memang tak lepas la nak ke luar negara. Hangus macam tu je tiket.  Perjalanan Nik hanya sampai di KLIA saja. Dah la dia sama-sama naik ERL seawal 5.40 pagi bersama saya, Fariz dan Neves daripada Bandar Tasik Selatan. Kesian sungguh.

Ada 2 sebab utama kami ke Singapura. 1. Mencari barangan Newcastle United, 2. Menonton perlawanan Newcastle United bersama penyokong NUFC di Singapura. 

Di Lapangan Terbang Changi - gelagat ketika wifi dikesan
Menginap di Hotel Lloyd's Inn 
Yang pakai topi tu je bukan penyokong Newcastle. Kenal tak? ;)

Kami check-in di hotel pada jam 11.30 pagi hari Sabtu. Selepas berehat buat seketika, pada jam 2 petang kami keluar berjalan-jalan di Kota Singa. Kami bergerak menggunakan MRT. Destinasi pertama kami sudah tentu ke Peninsula Shopping Centre. Di sini terdapat beberapa kedai yang menjual barangan kelab-kelab bola sepak luar negara. Antara kedai yang popular ialah La Vanita. Pelbagai barangan kelab ada dijual di sini seperti mafla, mug, bendera, kalendar, jam, alat tulis, tabung, stiker, topi, anak patung, beg dan macam-macam lagi, semuanya original. Senang cerita kat KL takde atau susah sangat nak dapat benda-benda ni. Lama juga la kami menghabiskan masa di situ. Keadaan kami ketika itu boleh la digambarkan seperti kanak-kanak di dalam kedai permainan. ;)


Tempat tumpuan - La Vanita

Pada sebelah malamnya kami ke Raffles Place, menonton perlawanan Machester City vs Newcastle United. Dapat la jumpa geng2 NUFC di sana. Selepas habis perlawanan, kami menuju ke Mustafa Centre, sebuah pusat membeli-belah yang dibuka 24 jam sehari. Macam-macam barangan ada, tapi kami tak meronda habis di situ sebab dah keletihan berjalan kaki dari tempat menonton bola tadi. Orang yang kononnya tahu jalan tu bawa kami berjalan ikut jalan yang jauh la pulak..aduhh. Balik tu kami naik teksi sebab dah pukul 2 pagi.

Selamanya!
Pada keesokan harinya, kami check-out daripada bilik tapi barang-barang kami tinggalkan di lobi hotel. Kami menuju ke Restoran Zam Zam yang terletak di North Bridge Road, berdepan dengan Masjid Sultan. Restoran ni memang popular di Singapura. Kami makan nasi briyani, murtabak daging dan murtabak rusa. Memang sedap!



Lama kami berteduh di kaki lima Restoran Zam Zam sebab hujan. Kemudian kami ke Orchard Road dan ke Peninsula semula sebab ada barang lagi nak beli. Pada waktu petang kami kembali ke hotel untuk mengambil beg, berehat sebentar di lobi dan bertolak ke lapangan terbang. Rasa rugi pula tak pergi ke Bugis Street. Universal Studio Singapore pun tak pergi sebab bajet terhad. Maklumlah pergi sebelum gaji. Takpelah, mungkin lain kali.

Thursday, December 27, 2012

Bawa bertenang

Hebat betul aksi Newcastle United di Old Trafford malam tadi. Walaupun kalah 4-3 saya tetap bangga dengan semangat juang mereka. Rasa nak gugur jantung menonton perlawanan ni, terutama di separuh masa kedua. Fuhh..sikit je lagi.

Selamanya!