Showing posts with label Newcastle United. Show all posts
Showing posts with label Newcastle United. Show all posts

Monday, June 3, 2013

Mimpi ke Newcastle

Baru-baru ini saya bermimpi yang saya telah ke luar negara untuk menenangkan jiwa :)

Sebelum ni saya hanya pernah ke Singapura, tapi kali ni saya pergi jauh sedikit iaitu ke UK atau secara spesifiknya ke England. Saya bertolak dari Malaysia dengan seorang kawan, manakala seorang lagi sudah pergi lebih awal, jadi kami bertemu di London.

Kami tiba di London pada jam 8.00 pagi. Suhu ketika itu sangat sejuk, sekitar 5 darjah celsius. Kami meletakkan beg di Victoria Coach Station dan memulakan aktiviti berjalan-jalan di sekitar kota London sementara menunggu bas ke Newcastle pada jam 11.30 malam. Sebagai penyokong Newcastle United, itulah tujuan utama kami ke England iaitu untuk ke Newcastle Upon Tyne dan menyaksikan pasukan kami beraksi. Tempat-tempat di London yang sempat kami lawati ialah Big Ben, Buckhingham Palace, St James's Park dan stadium-stadium di sekitar London seperti Stamford Bridge, Craven Cottage, Emirates dan Loftus Road. Kami juga sempat makan tengahari di Malaysia Hall London. Untuk malam pertama, kami bermalam di dalam bas yang menuju ke Newcastle. Jimat kos penginapan. Perjalanan ke Newcastle mengambil masa 6 jam setengah.

Pada pukul 6 pagi, kami selamat tiba di Newcastle. Keterujaan yang sepatutnya diraikan dengan melompat keriangan sebaik menjejakkan kaki ke bumi Newcastle tidak terjadi kerana suhu yang tersangat sejuk (lebih sejuk dari London) sehingga kebas dan hampir beku rasanya tangan saya walaupun dah memakai sarung tangan. Bergegas kami ke tandas supaya dapat merasa air panas dari pili. Rasa macam nak berendam dalam sinki pun ada. Kemudian kami menuju ke asrama backpackers yang telah ditempah lebih awal. Masih terlalu awal sebelum kami boleh check-in, jadi kami meletakkan beg di bahagian receptionist dan keluar semula. Setelah bersarapan, kami menaiki bas menuju ke Alnwick Castle. Istana ini terkenal kerana menjadi set pengambaran bagi Hogwarts dalam filem Harry Potter. Sangat menarik tempat ni. Bukan saja mempunyai pemandangan yang cantik dan binaan yang memukau, terdapat juga pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung dewasa dan kanak-kanak. Bayaran masuk adalah 14 pound. Kalau lihat pada peta, dah dekat dengan Scotland sebenarnya. Rasa rugi pula tak pergi. Dapat masuk sempadan pun jadi la.

Pada hari ketiga kami mengikuti stadium tour di stadium St James' Park kepunyaan Newcastle United. Bayaran masuk adalah 10 pound dengan durasi lawatan selama 1 jam setengah. Memang best. Selepas itu kami ke masjid yang terletak di Newcastle University untuk menunaikan Solat Jumaat. Tak terserempak pula dengan pemain-pemain Newcastle yang beragama Islam seperti Tiote, Cisse, Ben Arfa, Sissoko, Haidara, Mbiwa atau Abeid...hehe. Usai solat, kami ke NUFC Official Store untuk membeli-belah barangan Newcastle United  yang sememangnya susah nak dapat di Malaysia. Ramai juga kawan-kawan yang pesan belikan barang.

Panjang pula cerita saya kan? Disebabkan dah panjang, saya sambung lagi cerita saya di bawah..

Pada hari ke-4, kami menjelajah ke bahagian lain timur laut England iaitu ke Middlesbrough dan seterusnya ke Sunderland. Destinasi tumpuan kami ialah stadium mereka kerana kedua-dua kelab ini adalah musuh ketat Newcastle. Saja la nak melawat tempat musuh. Sebelum pulang ke asrama, kami singgah makan di Restoran Rasa Nusantara milik rakyat Malaysia yang menetap di sana. Seronok dapat makan masakan Melayu.

Hari ke-5 (Ahad) ialah hari yang ditunggu-tunggu. Matchday!! Perlawanan terakhir bagi musim 2012/13 ini menemukan Newcastle United dan Arsenal. Sekiranya tak berjaya ke stadium dan menyaksikan Newcastle  United beraksi, maka gagal la perjalanan kami ini. Perlawanan akan berlangsung pada jam 4.00 petang. Pagi tu kami berjalan-jalan dulu di sekitar Quayside, kawasan yang terletak di tepi sungai Tyne (The River Tyne). Kebetulan ada Sunday Market pula, meriah la suasana. Kemudian kami pergi lagi ke NUFC Store untuk membeli barang buat kali terakhir. Seorang lagi kawan kami datang dari London bersama 3 orang kawannya sebelum perlawanan bermula. Sangat teruja rasanya dapat masuk ke stadium pada hari perlawanan dan melihat para pemain secara dekat. Walaupun Newcastle kalah 0-1, dapat menyaksikan pasukan kesayangan beraksi secara langsung di depan mata bersama kira-kira 50,000 penyokong lain adalah mimpi yang menjadi nyata bagi kami. Malam itu kami menaiki bas ke London dengan berat hati. Selamat tinggal Newcastle!

Kami tiba di London pada jam 6.30 pagi, terus ke tempat menyimpan beg dan bersarapan. Kemudian kami ke Lillywhites yang terletak di Picadilly Circus. Tak boleh nak pergi awal pun sebab kedai hanya buka pada pukul 10 pagi. Memang best kedai ni. Kalau nak membeli-belah, inilah salah satu tempatnya. Terdapat pelbagai barangan yang dijual dengan harga yang murah. Masa tu ada sale pula, lagi la murah. Malangnya tak lama kami dapat meluangkan masa di sini sebab kena bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia. Nak ke Oxford Street pun tak sempat. :(

Syukur kami selamat tiba di Malaysia. Itulah serba sedikit cerita perjalanan saya ke Newcastle. Walaupun tak lama mana saya di sana, pengalaman sepanjang berada di sana sangat menarik dan mengajar saya tentang banyak perkara.  :)

Howay the lads!

Thursday, December 27, 2012

Bawa bertenang

Hebat betul aksi Newcastle United di Old Trafford malam tadi. Walaupun kalah 4-3 saya tetap bangga dengan semangat juang mereka. Rasa nak gugur jantung menonton perlawanan ni, terutama di separuh masa kedua. Fuhh..sikit je lagi.

Selamanya!

Saturday, June 2, 2012

Saya sokong pasukan cap ayam

Pada tanggal 9 Jun 2012 nanti akan bermulalah Kejohanan Euro 2012 yang ditunggu-tunggu oleh peminat  sukan bola sepak. Poland dan Ukraine akan bergabung tenaga sebagai tuan rumah untuk edisi kali ini. Perlawanan pertama akan menemukan pasukan Poland dan Greece.


Berikut ialah senarai pasukan yang akan bertanding:


Sebagai seorang yang berdarah hitam putih, saya akan menyokong pasukan France kerana dibarisi dua orang pemain Newcastle United. Kali terakhir pasukan Les Bleus menjuarai Kejohanan Euro ialah pada tahun 2000.




Jadual perlawanan pasukan France di peringkat kumpulan:
12 Jun 2012 - France vs England (12.00 tgh mlm)
16 Jun 2012 - Ukraine vs France (2.45 pagi)
20 Jun 2012 - Sweden vs France (2.45 pagi)

Selamat menyokong pasukan masing-masing!

Thursday, January 5, 2012

Riang

Bekerja dengan riang! :)


Demba Ba - Man of the match
Everyday I shuffling....lalalalala

Saturday, August 7, 2010

The Magpies kembali dengan azam baru

Sejak tamat Piala Dunia tempoh hari, jiwa terasa bosan terutama pada hari minggu. Tak tahu nak buat apa.  Ditambah pula dengan status perhubungan yang dah berubah...owh memang bosan. Nasib baik 2-3 minggu ni ada juga kawan yang ajak keluar. Takde la bosan sangat. Saya memang jarang nak ajak kawan-kawan keluar sekarang ni. Masing-masing dah berkeluarga, malas nak ganggu. Kawan saya yang bujang sorang lagi tu sibuk dengan kerja dan kuliah pula, tu pun tak perlu diganggu. Kalau dia free dia akan roger saya.

Minggu depan akan bermulalah musim baru (2010/2011) bagi Liga Perdana Inggeris (EPL). Pastinya hari minggu akan kembali bermakna...yes! Untuk musim ni, Newcastle United (NUFC) akan kembali beraksi dalam EPL setelah semusim bersaing dalam Liga Championship. Sebagai penyokong, memang kecewa apabila mereka tersingkir ke liga bawahan pada Mei tahun lepas. Tapi sokongan terhadap The Magpies tak pernah goyah, malah semakin kuat lagi sokongan saya terhadap mereka. Saingan di Liga Championship tidak disiarkan di kaca tv. Jadi dah semusim saya tak dapat menonton aksi mereka. Hanya dapat mengikuti perkembangan semasa dan keputusan perlawanan mereka melalui internet. Sekarang saya dapat menonton kembali aksi mereka. Bagusnya.

Ada hikmahnya NUFC bersaing di liga bawahan. Dari kegagalan itu mereka menilai segala kelemahan yang ada dan bangkit semula dengan semangat baru. Mereka kini lebih bersatu. Akhirnya mereka berjaya menjuarai Liga Championship sekaligus dapat menyertai semula EPL. Gembira betul rasanya. Kali pertama mereka bergelar juara sejak 14 tahun saya menyokong mereka. Kalau tak masuk Liga Championship, tak merasa nak bergelar juara. Hmm..14 tahun lepas mereka merupakan sebuah pasukan yang kuat. Permainan mereka sentiasa menghiburkan. Pada musim 1996/1997, mereka membelasah Manchester United 5-0 dengan selamba je. Zaman tu zaman kegemilangan Alan Shearer, idola saya. Nama pun lebih kurang sama...Azlan & Alan. Memang gandingan yang mantap. Bila dia berpindah dari Blackburn Rovers ke NUFC, saya pun turut sama menyarung jersi NUFC dan menjadi Toon Army sehinggalah sekarang.

yeahh..we're going back to Premier League!
Saya bukan macam sesetengah orang, bila pasukan dah tak kuat, tukar sokong pasukan lain yang lebih kuat dan ramai bintang pula. Saya masih ingat ketika Chelsea baru dibeli oleh jutawan Rusia, Roman Abramovich dan tiba-tiba menjadi kuat apabila berjaya membeli ramai bintang-bintang bola sepak. Masa tu tiba-tiba muncul ramai penyokong Chelsea. Padahal sebelum tu tak dengar cerita pun dia sokong Chelsea. Dey, pegii dah..

Bingka: no more relegation please...
 (jom ke pesta konvo UKM)

Sunday, August 16, 2009

Saya tetap setia

Semalam bermulalah musim baru Liga Perdana Inggeris atau lebih dikenali sebagai English Premier League (EPL). Bagi peminat bola sepak, hujung minggu tanpa EPL memang membosankan. Sekarang barulah rasa meriah sikit. Tapi musim ni saya tak seronok sangat sebab kelab yang saya sokong dah turun ke divisyen bawah iaitu English League Championship. Terpaksalah saya mengikuti perkembangan Championship juga musim ni. Malam tadi Newcastle United mengalahkan Reading 3-0. Ya, saya seorang Geordie (gelaran bagi penyokong Newcastle), dan saya akan terus menjadi Geordie, tak kisah la diorang main kat divisyen mana. Oh..saya sangat suka melihat sikap penyokong di England, mereka susah dan senang bersama pasukan. Pernah satu ketika Newcastle tidak menang 13 perlawanan berturut-turut, tapi sokongan yang diterima tetap yang terbaik. Kalau di Malaysia, habis pemain dihina dan kemudahan stadium dirosakkan.

Saya dah mula mengikuti Liga Inggeris ni dari zaman sekolah rendah lagi. Masa tu saya tak sokong mana-mana pasukan. Tapi sejak 1996, selepas Alan Shearer berpindah dari Blackburn Rovers ke Newcastle United saya mula menjadi penyokong mereka. Saya memang peminat Alan Shearer..;) Masa tu kelab ni antara yang kuat juga, kira 'top 4' dalam EPL. Tapi disebabkan pengurusan pasukan yang lintang-pukang, lama kelamaan kelab ni menjadi kelab yang lemah, dan akhir sekali tersingkir dari EPL. Ah, sakit hati dibuatnya. Saya harap musim depan The Magpies a.k.a Toon Army akan naik semula ke EPL. Jangan makin turun ke League 1 dan seterusnya ke League 2 sudah.