Thursday, October 11, 2018

Anugerah ke-2

Alhamdulillah.. pada tanggal 2 Oktober 2018, jam 9:15 malam saya telah diberikan rezeki sekali lagi untuk mendapat kurniaan yang tak ternilai harganya dalam hidup saya. Anak kedua saya telah selamat dilahirkan pada tarikh tersebut. Saya bersyukur kerana dapat menemani isteri selama 6 jam di bilik bersalin, menanti saat untuk bersalin dan melihat sendiri anak lelaki saya lahir ke muka bumi. Hanya seorang jururawat wanita yang menyambut kelahiran anak saya dan beliau sangat cekap. Proses kelahiran berjalan lancar.

Selepas anak saya dilahirkan, maka secara automatiknya saya mendapat cuti isteri bersalin selama seminggu. Seperti pasca kelahiran anak sulung saya dulu, semasa cuti tu saya menguruskan segala yang perlu dilakukan seperti berikut:

1. Membasuh uri dan menanamnya di halaman surau
2. Memaklumkan kelahiran anak saya di Klinik Kesihatan berhampiran (esoknya jururawat terus datang ke rumah untuk check keadaan isteri dan anak. Jururawat minta bawa anak ke klinik sebab ada kuning sikit)
3. Membawa anak ke klinik untuk periksa bacaan demam kuning
4. Mendaftarkan kelahiran anak di JPN

Isteri saya berpantang di rumah emak saya. Jadi buat masa ni kami tinggal di rumah emak. Hari ni dah hari ke-2 saya kembali bekerja. Walaupun dah kembali bekerja, balik kerja bukan boleh berehat ya. Dah dua hari ni isteri saya tetap tunggu saya balik untuk beri tugasan memandikan bayi di waktu petang. Mujur anak sulung tu dah siap mandi bila saya balik. Waa sibuknya saya..haha

Gambar selepas cukur rambut

Friday, August 17, 2018

Drama dalam mimpi si isteri

Malam semalam aku bermimpi sesuatu yang menyenangkan hati. Di dalam mimpi tu aku sedang bersiap-siap untuk ke lapangan terbang. Nak tahu aku akan ke mana? Aku akan pergi menunaikan umrah. Seronoknya. Bila bangun dari tidur aku berdoa kepada Allah supaya dimurahkan rezeki untuk menunaikan umrah suatu hari nanti.

Sementara itu, rupanya di malam yang sama isteri aku ada bermimpikan aku. Pagi itu dia bercerita tentang mimpinya.

Dia kata sedih sangat mimpi tu sampai dia menangis. Aku pun bertanya mimpi apa sampai sedih sangat tu. 
Jawabnya "Abang ada hubungan dengan perempuan lain, pelakon pulak tu. Amir pun panggil dia ibu. Tu yang sedih sangat tu". Aku terus tergelak mendengar tentang mimpinya tu...hahahaha

Dia kata dia masih mencari nama pelakon tu. 
Aku: "Kamon la, takkan tak kenal pelakon melayu. Adui..mesti tak popular ni"
Isteri: "Ooo ada hati jugak la nak dengan yang popular ni"
Aku: "Hahaha 😆"

.......................................

Pagi tadi di Google Hangouts:

Isteri: "Abang, dah tahu dah nama pelakon tu"
Aku: "Nama start huruf apa?"
Isteri: "H"

Berkerut dahi aku memikirkan siapa pelakon wanita yang namanya bermula dengan huruf H

Isteri aku pun menaip nama pelakon tu. H**na A**ela
Aku: "Uik..tak kenal pun"
Isteri: "Cuba abang cari di internet. Mesti perasan muka dia"

Lalu pantas aku mencari di internet. 

Aku: "Ooo..yang ni. Kenal2. Tapi tak pernah tahu nama"
Isteri: "Kan, suka la tu"
Aku: "Lega dah dapat tahu..hahaha"
Isteri: "Sabor je lah. Malam tadi pun dia datang lagi dalam mimpi"
Aku: "Aik biar betul..hahaha. Dia nak apa pulak kali ni?"
Isteri: "Malam tadi dia kacau masa kita nak pilih perabot untuk rumah baru. Menyibuk je"
Aku: "Lain macam mimpi.. dah macam drama pulak..hahaha"
Isteri: "Entah la, sekarang ni takde pulak layan mana2 drama. Yang semalam tu lagi la tak tahan, dia ikut kita pergi bercuti. Abang siap book bilik lain dengan dia. Bila bangun pagi, dengar abang sembang2 dengan dia, siap berseloroh bagai"



Jangan pagi esok kata ada mimpi lagi sudah.. 😂


Tuan2 dan puan2, inilah dia orangnya yang menghantui mimpi2 isteriku..(kita letak gambar bertudung la ye manis sikit 😉)


Macam mana? Dah tahu nama? hehehe..

Thursday, August 16, 2018

Pilihan storan atas talian untuk menyimpan gambar dan video

Storan atas talian (Cloud/Online Storage) sangat berguna untuk membuat sandaran (backup) fail media seperti gambar dan video kepunyaan kita terutama gambar yang ditangkap menggunakan telefon pintar. Namun disebabkan saiz gambar dan video yang selalunya besar, ruang storan percuma yang disediakan oleh tapak-tapak storan atas talian ini tidak mampu menampung kapasiti fail media yang kita miliki. Berikut ialah beberapa tapak Storan Atas Talian yang selalu digunakan:



Berdasarkan jadual di atas, kita boleh bandingkan jumlah kapasiti storan percuma yang ditawarkan oleh setiap tapak, namun begitu saya akan memfokuskan tapak storan Google Drive di sini. Bagi anda yang membuat sandaran gambar dan video dari telefon pintar ke Google Photos, jumlah kapasiti storan percuma yang disediakan ialah sebanyak 15GB, ini termasuk sekali di dalam kapasiti storan Drive dan Gmail. Memang tak cukup jika anda banyak menyimpan gambar dan video bersaiz besar. Lihat saja akaun Google saya yang hampir penuh:




Kita boleh lihat di atas bahawa Google Photos menggunakan majoriti kapasiti storan di dalam Drive. Namun begitu, Google menawarkan ruang storan tanpa had (unlimited storage) jika anda menyimpan gambar dengan resolusi tidak melebihi 16 MP dan video dengan resolusi tidak melebihi 1080p.


Jika resolusi gambar anda melebihi 16MP, ia akan dikecilkan kepada 16MP (4920 x 3264). Saiz gambar juga akan dikecilkan untuk menjimatkan ruang. Jika kamera anda menghasilkan gambar dengan resolusi lebih besar daripada 16 MP dan anda ingin mengekalkan saiznya, cuba gunakan Flickr sebagai alternatif. Walaupun Flickr yang wujud sejak 2004 ni adalah sebuah platform perkongsian gambar atas talian, ia juga boleh digunakan sebagai storan untuk menyimpan gambar peribadi.


Saya telah cuba memuat naik satu gambar bersaiz 2.53 MB (3216 x 2136) ke dalam Flickr dan muat turun kembali gambar tersebut, saiznya masih sama iaitu 2.53MB (3216 x 2136). Saya buat perkara yang sama juga menggunakan Google Photos, saiz gambar yang dimuat turun semula telah menjadi 150KB. Nampak ada perbezaan saiz di situ, tetapi resolusi masih sama (3216 x 2136) kerana masih tidak melebihi 16MP. Melalui pemerhatian saya, walaupun saiz gambar mengecil, tapi kualitinya masih baik, hampir tiada perbezaan bila diletak bersebelahan dengan gambar asal. Anda boleh boleh cuba bandingkan.

Untuk mencuba aplikasi Flickr, anda boleh muat turun di Play Store dan login menggunakan akaun Yahoo.


Selepas memasang aplikasi Flickr di telefon pintar, pergi ke menu setting dan aktifkan fungsi Auto-Uploadr.



Seperti yang anda boleh lihat di atas, Flickr menawarkan 1000 GB atau 1 TB storan secara percuma! 


Akhir sekali, pergi ke menu Privacy and Safety dan pastikan anda memilih 'Private'. Siap sudah pemasangan Flickr sebagai tapak sandaran untuk semua gambar dan video di telefon pintar.

Kesimpulannya, Google Photos (Google Drive) masih merupakan perkhidmatan storan atas talian terbaik kerana mempunyai pilihan untuk storan tanpa had dengan kualiti gambar yang baik walaupun saiznya dikecilkan, dan resolusi maksimum 16MP tu dah cukup besar untuk pengamal fotografi bukan profesional seperti saya. Flickr pula boleh menjadi alternatif yang baik untuk menyimpan gambar dan video dengan ruang storan percuma paling lumayan iaitu sebanyak 1TB. 

Sekian.

Nota kaki: Janggal pula guna perkataan sandaran sebagai terjemahan kepada backup..haha

Tuesday, August 14, 2018

Tempat membeli selimut

Ada beberapa kali aku nak beli selimut bila tiba di hypermarket atau pusat beli belah. Tapi susah nak jumpa tempat yang menjual banyak pilihan selimut. Kalau ada pun, setakat 2-3 pilihan sahaja. Set cadar sekali dengan selimut tu banyak la, tapi aku nak beli selimut sahaja untuk digunakan kalau tidur atas tilam toto. Kalau adik-beradik atau saudara mara datang tidur di rumah pun boleh la digunakan.

Satu hari aku masuk ke kedai Kaison di Setapak Central. Akhirnya baru aku perasan di situ ada menjual banyak selimut, banyak pilihan, pelbagai saiz dan corak. Sebelum ni dah banyak kali juga masuk ke Kaison, tapi entah kenapa tak perasan pula. Mungkin sebab masa masuk tu nak cari benda lain, jadi terlepas pandang rak yang menempatkan pelbagai jenis selimut.

Jadi untuk anda yang nak mencari selimut, silalah ke kedai Kaison yang berhampiran ye..hehehe




Wednesday, August 8, 2018

Ceri Raya

Sejak hujung bulan Syawal hari tu, dari sehari ke sehari aku bercadang nak tulis sesuatu di sini. Tapi tak juga tulis-tulis. Di tempat kerja dah tentu sibuk. Di rumah pula aku malas nak menaip kalau anak aku masih belum tidur, sebab kalau dia nampak aku tak tidur lagi, dia pun sibuk berjaga. Kalau berjaga saja tu takpe la, ini siap kacau aktiviti aku. Tak senang nak menaip dibuatnya..hehe. Nak fikir idea lagi. Masalahnya sekarang ni dia jenis tidur lambat, lepas pukul 11 malam baru nak tidur. Jadi bila dia dah tidur tu, hari pun dah lewat malam dan aku pun dah malas nak buka laptop..haha.

Ok, aku nak cerita pendek je ni sebab anak aku dah tidur awal sikit hari ni. Saja nak melepaskan rindu nak menulis. Nak cerita pasal raya walaupun dah basi..kahkah.

Dalam kesibukan membuat persiapan Hari Raya hari tu, sempat juga aku dan isteri ke nursery beli anak pokok ceri dan beberapa pokok lain untuk hiasan di balkoni rumah. Eh yang pokok ceri tu bukan untuk balkoni rumah ye, itu untuk tanam di kampung..hehe. Entah la, aku tengok di bahagian depan halaman kat kampung aku, di tepi jalan besar tu macam kosong je, takde pokok yang rimbun yang boleh menghijaukan pemandangan dan meredupkan sikit kawasan tu. Jadi dipendekkan cerita, dengan berpakaian baju melayu dan seluar jogger pants, aku telah menanam pokok ceri tu dengan jayanya di halaman rumah kampung. Aku buat sorang2 je di waktu petang, masa sedara2 dan keluarga aku tengah beraya di rumah Mak Long yang terletak berhampiran. Berpeluh ketiak..dah la lepas maghrib tu nak pergi kenduri tahlil pula..hahaha.

Ok itu saja, cerita ceri raya ku. Harap pokok tu dapat tumbuh dengan sihat, dapat jadi tempat orang berteduh daripada panas dan mengeluarkan buah yang dapat memberi rezeki kepada makhluk Allah yang lain. Ada la juga kenangan aku setiap kali balik kampung. Lepas raya haji nanti nak balik kampung sebab ada kenduri, boleh la tengok perkembangan pokok ceri ku...hehehe





Wednesday, May 30, 2018

Naluri seorang ayah

Minggu lepas aku bertugas di luar kawasan iaitu di Johor Bahru. Seminggu sebelum tu aku cari la hotel yang sesuai untuk aku dan rakan2 sekerja menginap. Aku perlu tempah 2 bilik, sebab kami berempat. Ala untuk satu malam je pun. 

Cari punya cari di Booking.com, aku jumpa satu hotel yang lokasinya macam ok, review oleh pelanggan yang menginap pun ok. Biliknya betul2 tinggal 2 je kosong. Satu bilik twin-sharing dan satu lagi bilik deluxe triple. Bilik twin-sharing ni macam biasa ada 2 katil single, manakala bilik deluxe triple ni ada 1 katil queen dan 1 katil single. Aku nak 2 bilik twin-sharing je sebenarnya, tapi disebabkan malas dah nak cari hotel lain, aku tempah je la kedua-dua bilik tu.

3 hari sebelum aku outstation, tiba-tiba pengasuh anak aku minta cuti pula pada tarikh yang sama aku ke Johor. Ada urusan katanya, kena ke pejabat mana entah. Anak pengasuh tu siap dah ambil cuti untuk bawa ibunya ke pejabat tu. Ini dah kira bukan minta cuti la, ini dah kira beritahu nak cuti. Adoi, kenapa la tak beritahu awal2, boleh la kita runding tarikh yg sesuai untuk cuti, contohnya selepas aku balik dari outstation. Isteri aku tak dapat cuti pada tarikh tu sebab ada kerja penting, lagipun kalau nak mohon cuti kena mohon seminggu awal. Nampak..kan dah susah macam ni. 

Jadi setelah difikir-fikirkan, hanya ada 1 jalan penyelesaian iaitu aku terpaksa bawa anak ke Johor, sebab kerja di Johor pun tak formal sangat, lebih kepada site visit je. Patutlah aku rasa malas nak cari hotel lain yang ada bilik twin-sharing. Rupanya ada seorang lagi 'staf' yang nak tidur di katil queen tu..hahaha.

Begitulah naluri seorang ayah. 


Monday, May 28, 2018

Kegagalan Iskandar Puteri Night Marathon

Sebenarnya dari bulan lepas aku nak cerita pasal ni, tapi agak sibuk.

Seminggu selepas larian SCKLM 2018, aku ke Johor pula untuk menyertai Larian Iskandar Puteri Night Marathon, kategori 10 km je. Ini edisi kedua larian tersebut. Edisi pertama pada tahun lepas aku tak masuk. Bila aku tanya pada kawan, dia kata ok.

Pada pukul 7 petang aku bergerak dari rumah saudara di Kulai ke Kota Iskandar. (Sebenarnya aku masuk larian ni sebab nak melawat saudara di Johor juga. Sambil2 la tu.) Aku merancang nak parkir kereta di kawasan berhampiran Masjid Kota Iskandar. Di dalam perjalanan, aku melalui 2 water station yang akan beroperasi semasa larian. Agak pelik juga aku melihat water station itu masih kosong, hanya ada meja dan kerusi padahal masa tu dah pukul 7:20 petang. Seorang petugas pun tiada, sedangkan larian bagi kategori Full Marathon akan bermula jam 8:00 malam.

Aku sampai di kawasan garisan permulaan pada jam 7:50 petang. Masa aku sampai tu aku lihat ramai petugas/sukarelawan baru tiba. Dalam hati aku berkata "Aik lambatnya sampai. Oh mungkin dari masjid" Lepas tu aku terfikir.. susah juga buat larian malam ni, petugas tak boleh nak bersiap awal di tempat masing2 sebab nak solat maghrib dulu. (Macam aku takpe..musafir. Balik rumah jamak takhir.)

Selepas kategori Full Marathon dan Half Marathon dimulakan, maka tibalah giliran pelari kategori 10km dilepaskan iaitu pada jam 8:30 malam. Semasa larian, ada 2 water station yang kehabisan air. Agak kehausan juga dibuatnya, tapi mujur la aku cuma masuk 10km, so tak rasa teruk sangat. Aku cuma kesian pada pelari2 HM dan FM, macam mana mereka nak berlari dengan keadaan air yang tak cukup. Bila sampai di garisan penamat, aku dapat lihat berkotak-kotak air disusun di satu sudut. Air ini la yang sepatutnya dibawa ke water station.

Selepas tu aku nak ambil pingat. Signage pun takde untuk setiap kategori. Terpaksa tanya kepada orang yang tengah beratur, ni untuk kategori berapa km. Semasa beratur tu aku dah berazam tak nak masuk larian ni lagi. Tak teratur.

Esoknya kecoh di page fb IPNM, ramai pelari mengamuk terutama yang masuk kategori Full Marathon. Ada gambar meja water station yang diterbalikkan. Ada yang merungut pasal shuttle bus lambat, signage untuk jarak tak cukup,  dan macam2 lagi. Tidak lama selepas itu, penganjur mengumumkan bahawa larian IPNM tidak akan dianjurkan lagi untuk tahun2 akan datang.

Pandangan aku untuk penganjuran larian ni, jika anda tiada pengalaman sebelum ni, buat la kategori jarak dekat2 dulu, contohnya 5km dan 10km. Buat la dalam 2-3 tahun. Lepas dah faham segala aspek dalam penganjuran, baru la kau tambah kategori 21km dan bila dah cekap baru la tambah kategori 42km pula. 

Untuk IPNM ni memang sayang la. Website, baju dan pingat dah cantik. Pendaftaran pun dibuka sejak tahun lepas. Penaja pun banyak. Tapi akhirnya gagal pada hari acara.


Nota kaki: Kawan aku tu masuk 5km je, patut la dia kata ok. Tak rasa apa pun..haha