Thursday, August 16, 2018

Pilihan storan atas talian untuk menyimpan gambar dan video

Storan atas talian (Cloud/Online Storage) sangat berguna untuk membuat sandaran (backup) fail media seperti gambar dan video kepunyaan kita terutama gambar yang ditangkap menggunakan telefon pintar. Namun disebabkan saiz gambar dan video yang selalunya besar, ruang storan percuma yang disediakan oleh tapak-tapak storan atas talian ini tidak mampu menampung kapasiti fail media yang kita miliki. Berikut ialah beberapa tapak Storan Atas Talian yang selalu digunakan:



Berdasarkan jadual di atas, kita boleh bandingkan jumlah kapasiti storan percuma yang ditawarkan oleh setiap tapak, namun begitu saya akan memfokuskan tapak storan Google Drive di sini. Bagi anda yang membuat sandaran gambar dan video dari telefon pintar ke Google Photos, jumlah kapasiti storan percuma yang disediakan ialah sebanyak 15GB, ini termasuk sekali di dalam kapasiti storan Drive dan Gmail. Memang tak cukup jika anda banyak menyimpan gambar dan video bersaiz besar. Lihat saja akaun Google saya yang hampir penuh:




Kita boleh lihat di atas bahawa Google Photos menggunakan majoriti kapasiti storan di dalam Drive. Namun begitu, Google menawarkan ruang storan tanpa had (unlimited storage) jika anda menyimpan gambar dengan resolusi tidak melebihi 16 MP dan video dengan resolusi tidak melebihi 1080p.


Jika resolusi gambar anda melebihi 16MP, ia akan dikecilkan kepada 16MP (4920 x 3264). Saiz gambar juga akan dikecilkan untuk menjimatkan ruang. Jika kamera anda menghasilkan gambar dengan resolusi lebih besar daripada 16 MP dan anda ingin mengekalkan saiznya, cuba gunakan Flickr sebagai alternatif. Walaupun Flickr yang wujud sejak 2004 ni adalah sebuah platform perkongsian gambar atas talian, ia juga boleh digunakan sebagai storan untuk menyimpan gambar peribadi.


Saya telah cuba memuat naik satu gambar bersaiz 2.53 MB (3216 x 2136) ke dalam Flickr dan muat turun kembali gambar tersebut, saiznya masih sama iaitu 2.53MB (3216 x 2136). Saya buat perkara yang sama juga menggunakan Google Photos, saiz gambar yang dimuat turun semula telah menjadi 150KB. Nampak ada perbezaan saiz di situ, tetapi resolusi masih sama (3216 x 2136) kerana masih tidak melebihi 16MP. Melalui pemerhatian saya, walaupun saiz gambar mengecil, tapi kualitinya masih baik, hampir tiada perbezaan bila diletak bersebelahan dengan gambar asal. Anda boleh boleh cuba bandingkan.

Untuk mencuba aplikasi Flickr, anda boleh muat turun di Play Store dan login menggunakan akaun Yahoo.


Selepas memasang aplikasi Flickr di telefon pintar, pergi ke menu setting dan aktifkan fungsi Auto-Uploadr.



Seperti yang anda boleh lihat di atas, Flickr menawarkan 1000 GB atau 1 TB storan secara percuma! 


Akhir sekali, pergi ke menu Privacy and Safety dan pastikan anda memilih 'Private'. Siap sudah pemasangan Flickr sebagai tapak sandaran untuk semua gambar dan video di telefon pintar.

Kesimpulannya, Google Photos (Google Drive) masih merupakan perkhidmatan storan atas talian terbaik kerana mempunyai pilihan untuk storan tanpa had dengan kualiti gambar yang baik walaupun saiznya dikecilkan, dan resolusi maksimum 16MP tu dah cukup besar untuk pengamal fotografi bukan profesional seperti saya. Flickr pula boleh menjadi alternatif yang baik untuk menyimpan gambar dan video dengan ruang storan percuma paling lumayan iaitu sebanyak 1TB. 

Sekian.

Nota kaki: Janggal pula guna perkataan sandaran sebagai terjemahan kepada backup..haha

No comments: