Thursday, April 7, 2011

Taktik kotor semasa berlari

Pada 13 Mac 2011 saya menyertai Larian Bareno bersama kawan saya. Pukul 5 pagi dah kena keluar rumah. Kami bersarapan bersama di kedai dan terus ke Bukit Jalil. Masa sampai di Bukit Jalil, saya tengok orang dah berlari. "Weh kata lari pukul 6.30, kenapa dah lari pulak ni?" begitulah pertanyaan saya. Rupanya itu untuk kategori 25km. Baguih la tu, sempat solat Subuh. Usai solat Subuh berjemaah di surau, larian pun dimulakan.

Masa ambil pakaian untuk larian pada hari sebelumnya, saya ingatkan dapat t-shirt, sekali dapat singlet. Tak best la pulak nak pakai singlet sebab macam seksi je, jadi saya pun pakai t-shirt di dalam. Bila dah berlari tu, rasa menyesal pulak pakai t-shirt. Panas...rasa macam nak bukak baju je.



Semasa berlari, ada satu masa tu saya berlari betul-betul di belakang seorang lelaki. Seluarnya basah lencun macam baru lepas terjun kolam, meleleh air di kaki. "Kat mana ko lari ni brader? Hujan ke?" tanya saya dalam hati. Saya perhati seluarnya seakan-akan disedut sedikit..hehe. Takpe, saya terus fokus pada larian. Tiba-tiba orang itu telah kentut sampai semua orang pandang. Pehh..kuatnya. Gelombang udara yang terbebas dengan tekanan tinggi dan melalui seluar yang basah memang menghasilkan bunyi yang mantap. Disebabkan terkejut, dengan serta-merta saya berlari ke tepi dan terus memotong. Dia cuma buat muka selamba je. Huh, macam-macam cara rupanya nak melemahkan semangat orang. Mujur saya tak tewas dengan taktik kotor tu.

Saya berjaya menamatkan larian sejauh 10km dalam masa 1 jam 18 minit. Takde la laju mana, tapi ada kemajuan sikit berbanding larian sebelum ni iaitu 1 jam 30 minit. Sudah tentu la saya tak berlari je sepanjang masa. Ada gak masanya saya berjalan. Saya tak berjaya mendapat pingat pun sebab masa sampai di garisan penamat tu, pingat untuk peserta lelaki dah habis. Pingat untuk peserta wanita je ada banyak lagi. Hmm..kena bersedia, hujung bulan ada larian lagi.



Monday, April 4, 2011

Sahabatmu yang sedih

Setelah pulang dari Kuala Terengganu petang Jumaat lalu, saya dan adik sempat melawat kawan baik saya semasa kecil di Hospital Kuala Lumpur. Keluarga kami lama berjiran semasa tinggal di kuarters kerajaan dulu. Saya dan adik-beradik memang rapat dengannya, cuma mungkin saya yang paling rapat kerana umur kami hanya berbeza setahun. Walaupun kini kami dah jarang bertemu, namun kenangan membesar bersama sewaktu kecil tetap punya tempat istimewa dalam hati saya. Sayu rasanya hati melihat dia terlantar kaku dengan tiub di mulut dan hidung. Hanya dadanya yang kelihatan bergerak ke atas dan ke bawah hasil bantuan pernafasan dari mesin. Dah 2 minggu dia koma akibat penyakit dalaman yang agak rumit hendak diceritakan. Tiada apa yang mampu saya buat, hanya memerhati keadaannya sambil berbual sedikit dengan ayah dan isterinya. Sekali sekala saya memegang tangannya dengan harapan dia akan terjaga.

Pagi semalam saya ke Klang menghadiri upacara pengebumiannya. Ya, dia sudah meninggal dunia pada petang Sabtu, sehari selepas saya melawatnya. Semasa saya sampai, arwah baru selesai dimandikan. Saya turut serta melakukan Solat Jenazah untuknya dan mengiringinya ke tanah perkuburan. Saya tenang saja semasa menatapnya di hospital, selepas jenazahnya dimandikan, selepas dikafankan dan selepas disembahyangkan. Tapi semasa di tanah perkuburan, perasaan sedih datang menerpa sehingga tidak dapat ditampung lagi. Pakcik yang duduk di sebelah saya pun terikut-ikut dengan emosi saya, padahal sebelum tu dia tenang saja. Akhirnya saya berjaya membasahkan sehelai sapu tangan yang saya bawa bersama. 

Saturday, April 2, 2011

Limah Bungkus

Belum sempat saya nak bercerita tentang perjalanan saya ke Bukit Fraser minggu lepas, kelmarin saya ke Kuala Terengganu pula atas urusan kerja. Satu malam saja di sana. Kebetulan masa saya pergi tu seharian tak hujan, jadi lancar je la perjalanan. Kalau tak, 2-3 hari sebelum tu memang hujan sokmo, sampai banjir dibuatnya.

Selesai urusan kerja tengahari semalam, saya mengikut rakan perempuan membeli kain dan tudung. Dah lama tak merasai cabaran menanti perempuan membeli-belah. Takpe la saya ikutkan je, sebab kalau duduk kat bilik penginapan bukan ada apa nak buat pun. Lain lah kalau saya menginap betul-betul di bandar KT, boleh la juga berjalan-jalan di sekitarnya.

Petang tu saya dibawa ke ICT. Ingatkan pusat siber apa la ICT tu, rupanya gerai makanan laut yang banyak terdapat di Terengganu. ICT tu singkatan daripada "Ikan Celup Tepung". Waa..memang puas la saya makan petang tu. Makan makanan laut yang segar di tepi pantai, sambil merasai tiupan angin laut...memang bagus. Kami makan ikan, sotong dan udang. Semuanya dicelup tepung dan digoreng, lepas tu dimakan panas-panas bercicahkan sos...sedapnya! Maaf la saya tak ambik gambar pun, sibuk menjamu selera..;p Punyalah banyak kami bertiga makan, sampai dah tak boleh masuk lagi dah, harganya RM30 lebih je. Murah betul.

Lepas tu kami singgah di kedai Keropok Lekor BTB yang terletak di Kampung Bukit Tok Beng. Dengar cerita kedai ni kedai keropok lekor paling popular di KT. Ramai orang sanggup menunggu lama untuk membeli keropok lekor di sini. Yang menariknya pelanggan tak perlu beratur panjang, cuma tunggu angka giliran keluar kat skrin LED. Macam yang kat hospital atau bank tu la. Maju..maju..;)

Pegawai yang kami jumpa untuk berurusan tu kata rekabentuk bumbung kebanyakan rumah di Terengganu dinamakan Limah Bungkus. Tergelak saya di situ. Dah la Kak Limah tengah popular sekarang ni. Rupanya bila cari di internet, namanya Limas Bungkus la..haha.

Wednesday, March 30, 2011

Tak pergi jumpa puteri

"Ada yg single bachelor tak kat sini?" tanya pemandu pelancong perempuan. "Ada!!" jawab geng bas beramai-ramai. Saya yang duduk di kerusi agak belakang cuba menyorok sikit. Kebetulan masa tu saya sorang je lelaki Melayu bujang dalam bas tu. Memang jadi sasaran mudah.

"Kepada lelaki yang bujang tu, kalau rasa susah sangat nak bertemu jodoh, pergilah ke sana. Mungkin anda akan bertemu dengan puteri yang cantik. Tapi ada syaratnya, pergi selepas pukul 12 malam dan turun sebelum subuh..." "Haa, Lan.. pegi Lan..." terdengar suara-suara dari tempat duduk depan. Saya menyahut je dari belakang.. "Boleh..boleh..malam ni.." ;p

"Ini untuk lelaki bujang saja ye..." tambah pemandu pelancong. "Jika lelaki yang dah berkahwin pun sibuk nak pergi ke sana, silakan. Anda tidak akan berjumpa dengan puteri yang cantik, tapi anda akan berjumpa dengan puntianak yang mengilai..." Seisi bas tergelak..hehehe

Di Gunung Mat Chincang, Pulau Langkawi terdapat satu kawasan air terjun yang dinamakan Telaga Tujuh. Ia dinamakan Telaga Tujuh kerana air terjun ini terbentuk daripada pecahan tujuh telaga semulajadi. Kalau kita menaiki kereta kabel, kita akan dapat melihat air terjun ni dari atas. Dipercayai kawasan air terjun Telaga Tujuh merupakan tempat tinggal makhluk halus dan tujuh telaga yang terdapat di situ merupakan tempat puteri kayangan mandi. Jika orang yang pergi ke situ bernasib baik, mereka akan dapat melihat tujuh puteri kayangan mandi-manda di situ. Tapi jika ditegur, puteri-puteri itu akan ghaib serta merta.

Malam tu saya jeling-jeling kunci kereta yang disewa..lalu tidur..haha

*Dah beberapa kali pergi Langkawi belum pernah saya ke Telaga Tujuh. Tak sempat..

Saturday, March 26, 2011

Satu hari nanti nak menuju puncak

Semalam saya baru balik dari Kota Kinabalu. 5 hari bekerja di sana. Cantik juga pemandangan di bandar KK sebab dikelilingi laut. Sayang tak sempat ke kaki Gunung Kinabalu. Orang kata kalau tak dapat naik ke puncak, dapat ke kaki gunung tu pun dah ok, sebab pemandangannya cantik. Tapi sebab perjalanannya kira-kira 2 jam dari bandar KK, tak cukup masa pula nak ke sana. Hmm...harap satu hari nanti saya dapat ke sana, menuju puncak gitu.

Saya lupa yang waktu solat di Sabah awal, jadi bila bangun dalam pukul 6 nak solat Subuh tu langit dah cerah. Terkejut kejap. Waktu petang pun sama. Disebabkan sibuk buat kerja, pukul 6 baru teringat nak solat Asar. Bila saya tengok langit dah gelap, baru saya sedar dah nak masuk waktu Maghrib pun.

Bosan la duduk di hotel yang takde WiFi ni. Broadband pun takde, memang tak dapat la nak guna internet. Sekali sekala je saya surf internet guna 3G di handphone. Itu pun cuma check emel dan menjengah blog ni sekejap. Kang kalau guna lama-lama tinggi pulak bilnya. Nasib baik bawa laptop dan external hard disk, sempat la layan cerita Kak Limah, cerita Hollywood dan cerita Jepun..;) Kalau tak, jadi keras la sorang-sorang dalam bilik..hehe. Waktu malam saya lepak kat bilik je, tak keluar jalan-jalan sebab 2-3 malam hujan saja di sana tu. Lagipun sorang-sorang kan, kurang la sikit semangatnya. Jadi mengadap laptop je la, gelak pun sorang-sorang bila tiba babak yang kelakar..;p

Ni la bilik saya. Sofa tu jadi port tengok movie. Ada 1 malam tu tengok movie sampai tertidur atas sofa. Sakit tengkuk..;)
Ada dapur, tapi saya tak guna. Tak tahu orang guna buat masak apa sebelum tu. Takut diorang masak menu special je..;p
Tinggi pulak nak kena panjat
Panas bah! Gelap sudah..

Malam ni cuti main futsal, tu yang ada masa nak update blog ni, esok pagi nak ke Bukit Fraser pulak. Tata..

Friday, March 18, 2011

Mereka saling memerlukan

Saya ada banyak cerita sebenarnya. Cukup untuk update blog setiap hari, cuma tak sempat nak blogging sangat sejak akhir-akhir ni. Ye la, keluar pergi kerja sebelum pukul 7, balik rumah bila hari dah malam. Mana ada mood nak tulis entri. Dah 3-4 kali rasanya saya tertidur dengan baju kerja. Penat sehh.. Dalam penat-penat tu sempat juga bangun pukul 4 pagi tengok perlawanan bolasepak..haha. Saya nak cerita pasal apa ni pun dah tak tahu sebab banyak sangat cerita. (cerita pasal saya dirisik nak?)

Ok saya nak cerita pasal Langkawi..;p Minggu lepas semasa di Langkawi kami menginap di Hotel Bayview yang terletak di pekan Kuah. Kalau duduk di Hotel Bayview ni memang senang la nak meronda di kedai-kedai, jalan kaki je. Biasa la kalau ke Langkawi ni, ramai yang suka membeli belah. Antara barangan yang popular ialah set pinggan mangkuk, coklat, kain batik, minyak gamat dan beg pakaian.

4 bintang
Bagus duduk di Hotel Bayview ni. Ada saluran sukan ESPN. Memang sesuai untuk kaki-kaki bola dan peminat sukan. Pemandangan dari bilik pun boleh tahan, boleh nampak orang berjemur di tepi kolam renang...oopss. Suka betul diorang berjemur tengah-tengah panas ye..

pemandangan dari bilik
Satu je yang tak selesa. Tandas canggih sangat, takde hos air. Cuma ada gayung. Terpaksa cari bekas untuk dijadikan baldi. Bukankah gayung dan baldi itu saling memerlukan?

baldi bidan terjun
tong sampah yang telah ghaib

Saturday, March 12, 2011

Terima kasih pemandu lori

Pukul 12.30 pagi tadi, bas yang membawa kami dari Kuala Perlis tiba di perkarangan bangunan pejabat. Saya dan rakan sepejabat baru selesai mengikuti bengkel di Langkawi. Perjalanan dari Kuala Perlis ke  Kuala Lumpur mengambil masa 8 jam setengah. Kalau tak hujan, mungkin boleh sampai awal lagi. Selepas meletak barang-barang di pejabat, saya dan Adi tak terus balik sebab menemani Ana yang menunggu suaminya datang menjemput. Pukul 1.30 pagi baru suami Ana sampai. Selepas Ana balik, saya menghantar Adi ke rumahnya dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Bila dah mengharungi perjalanan yang jauh macam tu, otak memang fikir nak cepat sampai rumah je, nak berehat..nak tidur. Disebabkan dah lewat malam, lebuhraya pun lengang, lalu pedal minyak ditekan lebih kuat. Vroomm... Rumah saya jauh sikit dari pejabat, ambil masa 40 minit perjalanan. Vremm...uhuk uhuk.. vrrrrr....... Tiba-tiba enjin kereta saya mati. @#$%!

***

Saya pandang jam di tangan, dah pukul 2.30 pagi. Saya cuma berdiri di luar kereta sambil memandang lebuhraya. Kawasan sekeliling yang sebentar tadi bising dah jadi sunyi. Hanya kadang kala ada kereta yang melalui lebuhraya. Kebetulan tadi kereta saya terhenti di stesen minyak, dan kebetulan stesen minyak tu jadi tempat permulaan mat-mat motor berlumba. Disebabkan bilangan mereka yang  ramai, jadi kawasan tu memang bising dengan bunyi enjin motor dan penuh dengan asap. Kini semua pemuda harapan bangsa tu dah hilang entah ke mana, bersuka ria menggadai nyawa. Memang saya bernasib baik sebab kereta berhenti di stesen minyak. Kalau di bahu jalan, bahaya juga. Tapi saya hanya mampu memandang stesen minyak yang gelap itu. Saya syak meter minyak kereta saya rosak, dan kereta saya kehabisan minyak tanpa disedari. Perkara paling malang bila berlaku perkara malang macam tu ialah bateri handphone habis. Dan YA, bateri handphone saya habis!

***

Nombor handphone saya lawa, dalam erti kata lain senang diingat. Amat berguna jika menghadapi masalah handphone kehabisan bateri atau handphone tertinggal. Buktinya ada beberapa orang kawan yang berjaya menggunakan saya sebagai talian hayat di saat mereka tiada handphone atau handphone tak berfungsi. Nasib baik nombor handphone ayah saya pun senang diingat. Jadi dengan menggunakan handphone pemandu lori, saya menghubungi nombor ayah saya. Namun begitu, jika tuan punya handphone sedang tidur dengan nyenyaknya, nombor lawa pun tidak berguna lagi. Pilihan yang ada hanya menunggu stesen minyak dibuka. Di saat saya putus asa untuk menghubungi ayah, saya cuba pula mengingati nombor adik saya. Pemandu lori dah pandang-pandang. Dengan bantuan daya ingatan yang kuat dan nombor adik saya yang kurang berterabur, akhirnya saya berjaya menghubunginya. "Bawa minyak sekali.." itu pesan saya kepada adik.

Sebenarnya sebelum meminjam handphone pemandu lori, saya ada juga meminta bantuan daripada  2-3 orang mat motor semasa diorang tengah berkumpul tadi. Seorang je yang bagi pinjam handphone, yang lain tu  cakap takde handphone la, takde kredit la. Yang lain pulak tak ambil pot sebab masing-masing tengah sibuk nak berlumba. Hmm...takpe la. Saya call nombor ayah saya masa tu pun tak berjawab.

Lama juga nak tunggu adik saya datang. Kaki pun dah lenguh berdiri. Akhirnya dia datang membawa sebotol minyak petrol. "Beli berapa ringgit ni?"  "10 ringgit.." jawab adik saya. Memang betul jangkaan saya, minyak kereta habis. Saya sampai di rumah pada pukul 4 pagi dalam keletihan.