Sunday, December 9, 2012

Orang pendiam

Umar merupakan seorang guru. Dia baru saja mendirikan rumah tangga dengan seorang kerani swasta. Isterinya  merupakan seorang yang pendiam manakala Umar terkenal dengan sikapnya yang peramah dan suka bercerita. Kalau dengan kawan-kawan, dia suka menyakat dan mengenakan orang. Dengan pelajar pula, Umar agak tegas. Bila masa melawak, dia akan melawak. Tapi bila dia marah, semua pelajar takut.

Umar mengajar di sesi pagi, jadi pada setiap hari dia akan berada di rumah lebih awal berbanding isterinya. Satu petang ketika isterinya melangkah ke dalam rumah setelah pulang dari kerja, suasana sepi. Isterinya terus menuju ke bilik. Apabila isterinya masuk ke bilik, dia mendapati Umar sedang duduk memeluk bantal di penjuru katil. Mukanya sedikit risau.

"Kenapa bang?" soal si isteri
Umar tidak menjawab, dia hanya menunjuk beberapa kali ke arah bilik air
"Ada apa?" tanya isterinya lagi
"Katak!" jawab Umar sedikit berbisik tetapi cemas
Isterinya menjengah ke bilik air, kemudian dia keluar dari bilik. Seketika kemudian dia kembali dengan tangan yang berbalut plastik. Dia terus masuk ke dalam bilik air dan mencekup katak itu. Katak itu berbunyi.. "Help!"

...........

Pada satu pagi di hujung minggu, Umar dan isterinya pergi ke taman rekreasi untuk berjoging. Selesai berjoging dan berehat, mereka menuju ke kereta untuk pulang. Apabila tiba di kereta, ada sekumpulan monyet datang ke arah mereka. Umar lari lintang pukang manakala isterinya mencapai kayu dan mengejar monyet-monyet tersebut hingga ke pinggir hutan.

Sudah seminggu berlalu, tidak kelihatan lagi monyet di taman itu.

Monday, November 19, 2012

Apa khabar Manisha ku?

Dulu:

Madhuri Dixit....
Juhi Chawla....
Kajol....
Urmila Matondkar....
Karisma Kapoor...cun
Rani Mukherjee....cun
Manisha Koirala....wow!!
Sonali Bendre....wow!!

Sekarang: Tak kenal..

Friday, November 16, 2012

SMS dari abah

"Selamat Hari Jadi, Semuga Panjang Umur Murah Rezki dan Segera Dapat Jodoh Yg Saleha."

Mujur perkataan 'segera' tu tak semua huruf besar..

Emm.. Siapa nama Saleha angkat tangan!


Wednesday, November 14, 2012

Naluri abang

Hari Sabtu yang lalu, selesai saja solat Subuh saya terus bersiap. Mengenakan jeans dan kemeja-t serta menyisir rambut dengan kemas. Adik saya juga bersiap nak ke tempat kerja. Sesudah itu, saya duduk di atas lantai bilik sambil bersandar di tepi katil. Saya terfikir sejenak..entah kenapa saya bersiap seawal itu walaupun tak merancang nak ke mana pun. Ah, nanti mungkin akan dapat idea hendak ke mana. Saya mula membelek handphone, menekan itu dan ini. Saya tak sedar bila adik bertolak ke tempat kerja, yang saya sedar ada bau masakan dari dapur. Namun bau masakan tidak cukup untuk menghentikan perkenalan saya dengan handphone yang baru dibeli, leka jadinya.

Beberapa minit kemudian, kami sekeluarga dikejutkan dengan kepulangan adik ke rumah. Dia dihantar oleh seorang auntie Cina menaiki kereta. MasyaAllah, dia kemalangan jalan raya. Tangan dan kakinya luka, begitu juga di bahagian dagu. Baju dan seluar terkoyak di beberapa tempat. "Saya mau masuk simpang, lupa bagi signal" terketar-ketar auntie tu menceritakan bagaimana kejadian berlaku. Kalau disergah sikit barangkali pengsan dia di situ.

Saya terus mencapai helmet dan mengikut auntie tu menaiki kereta. Dia membawa saya ke tempat di mana motor adik saya ditinggalkan. Adik saya pula dibawa ke klinik oleh adik yang seorang lagi.

Nak dipendekkan cerita, auntie tu telah menghulurkan RM50 untuk kos rawatan dan RM250 untuk kos baikpulih motor. Yang pastinya, hari Sabtu itu saya sibuk.

Sunday, October 21, 2012

Kenangan Si Comel

Dulu di rumah saya ada motor skuter comel. Entah apa yang comel dengan motor tu sampai namanya comel. Beli satu percuma satu. Kawan ayah saya yang nak beli, mungkin sebab dah tak tahan sangat tengok kecomelan motor tu. Disebabkan beli satu percuma satu, dia ajak la ayah saya kongsi. Ayah saya pun ibarat dipukau, bersetuju nak berkongsi beli motor tu. Jadi ayah saya ada satu, kawan dia ada satu. Walaupun mereka ada motor yang sama yang dibeli bersama, tidak pula mereka berkonvoi ke tempat kerja atau ke mana-mana bersama, dan tidak pula mereka menubuhkan Kelab Comel.

Satu hari saya menunggang motor tu ke kedai dengan gaya comel. Balik dari kedai saya melalui jalan yang sama untuk pulang ke rumah. Bila saya kata jalan yang sama, maknanya betul-betul melalui jejak yang sama iaitu dengan melawan arah, lalu ikut di tepi jalan. Kalau balik ikut arah jalan raya yang betul, nak kena u-turn bagai.. leceh, buang minyak, lambat sampai.. dan 10 lagi sebab.

Semasa melawan arah tu, ada seorang jiran yang umurnya muda 6-7 tahun daripada saya sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Saya dengan penuh rasa prihatin berhenti dan mengajak dia naik bersama. Dia tersengih. Sambil mengucapkan terima kasih dia melompat ke tempat duduk belakang motor. Saya dapat rasakan semasa membonceng motor tu dia masih memanjatkan kesyukuran sebab bertemu dengan saya di dalam perjalanan. Mungkin dia tidak sedar bahawa cogan kata saya ialah "Di saat anda memerlukan'. 

Sampai di simpang masuk ke kuarters kami, kebetulan ada sebuah kereta ingin keluar dari simpang tu. Saya tanpa berfikir panjang terus melalui bahagian hadapan kereta tu untuk masuk ke simpang. Dalam sekelip mata, kami berdua dan motor comel tergolek di tengah lebuh raya 3 lorong itu, sebab dalam masa yang sama juga kereta itu membelok ke kiri untuk keluar simpang. Saya sangkakan pemandu kereta nampak kewujudan kami, rupanya tidak. Dia hanya memandang ke kanan, sebab dah tentu la kereta lain akan datang dari arah kanan je kan. Oh, sungguh lemah keputusan saya ketika itu. Sepatutnya saya tunggu sekejap hingga kereta tu keluar simpang. Kelam kabut pemandu tu keluar dari kereta dan membantu kami berdua. Mujur masa tu tiada kereta lain yang lalu. 


Kami berdua tak cedera, tapi motor comel cedera sikit. Penutup badan sebelah kiri tertanggal.

.........

Saya menghantar jiran pulang ke rumah. Turun dari motor dia mengucapkan 'terima kasih'. Terus tergelak kami berdua di situ..hahaha. Habis gelak saya menjawab "sama-sama" dan pulang ke rumah.

Si Comel

Thursday, October 18, 2012

Friday, October 12, 2012

Adab menunjuk

Ni saya nak berkongsi satu perkara tentang adab. 

Jika kita sedang berdiri dan hendak menunjuk pada benda atau barang yang terletak di atas lantai atau tanah kepada orang lain, janganlah kita menunjukkannya dengan kaki. Tidak sopan ok.

"Ko tengok yang ni, pastu yang ni pun sama, haa yang ni dia punya tapak, haa yang ni bla bla bla"...bergerak-gerak kaki ke kiri ke kanan, atas dan bawah menunjukkan bahagian yang dimaksudkan. Nak lebih bergaya lagi kaki tu pula ditukar kejap guna kaki kiri, kejap guna kaki kanan sambil cekak pinggang. Amboi..

Biasanya orang tunjuk dengan kaki sebab kalau tunjuk dengan tangan, orang tak jelas bahagian mana yang ditunjuk. Jika begitu, tunduk atau bertinggunglah berdekatan barang tu dan tunjukkanlah dengan tangan. Lebih sopan.

Namun begitu, ada juga masa yang dibolehkan untuk tunjuk dengan kaki iaitu ketika tangan kamu diikat. Macam ni la, kalau kamu nak sangat tunjuk dengan kaki, pegang la kaki palsu dan tunjuk la sesuka hati kamu.



#Oh I miss blogging..