Showing posts with label Motosikal. Show all posts
Showing posts with label Motosikal. Show all posts

Sunday, October 21, 2012

Kenangan Si Comel

Dulu di rumah saya ada motor skuter comel. Entah apa yang comel dengan motor tu sampai namanya comel. Beli satu percuma satu. Kawan ayah saya yang nak beli, mungkin sebab dah tak tahan sangat tengok kecomelan motor tu. Disebabkan beli satu percuma satu, dia ajak la ayah saya kongsi. Ayah saya pun ibarat dipukau, bersetuju nak berkongsi beli motor tu. Jadi ayah saya ada satu, kawan dia ada satu. Walaupun mereka ada motor yang sama yang dibeli bersama, tidak pula mereka berkonvoi ke tempat kerja atau ke mana-mana bersama, dan tidak pula mereka menubuhkan Kelab Comel.

Satu hari saya menunggang motor tu ke kedai dengan gaya comel. Balik dari kedai saya melalui jalan yang sama untuk pulang ke rumah. Bila saya kata jalan yang sama, maknanya betul-betul melalui jejak yang sama iaitu dengan melawan arah, lalu ikut di tepi jalan. Kalau balik ikut arah jalan raya yang betul, nak kena u-turn bagai.. leceh, buang minyak, lambat sampai.. dan 10 lagi sebab.

Semasa melawan arah tu, ada seorang jiran yang umurnya muda 6-7 tahun daripada saya sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Saya dengan penuh rasa prihatin berhenti dan mengajak dia naik bersama. Dia tersengih. Sambil mengucapkan terima kasih dia melompat ke tempat duduk belakang motor. Saya dapat rasakan semasa membonceng motor tu dia masih memanjatkan kesyukuran sebab bertemu dengan saya di dalam perjalanan. Mungkin dia tidak sedar bahawa cogan kata saya ialah "Di saat anda memerlukan'. 

Sampai di simpang masuk ke kuarters kami, kebetulan ada sebuah kereta ingin keluar dari simpang tu. Saya tanpa berfikir panjang terus melalui bahagian hadapan kereta tu untuk masuk ke simpang. Dalam sekelip mata, kami berdua dan motor comel tergolek di tengah lebuh raya 3 lorong itu, sebab dalam masa yang sama juga kereta itu membelok ke kiri untuk keluar simpang. Saya sangkakan pemandu kereta nampak kewujudan kami, rupanya tidak. Dia hanya memandang ke kanan, sebab dah tentu la kereta lain akan datang dari arah kanan je kan. Oh, sungguh lemah keputusan saya ketika itu. Sepatutnya saya tunggu sekejap hingga kereta tu keluar simpang. Kelam kabut pemandu tu keluar dari kereta dan membantu kami berdua. Mujur masa tu tiada kereta lain yang lalu. 


Kami berdua tak cedera, tapi motor comel cedera sikit. Penutup badan sebelah kiri tertanggal.

.........

Saya menghantar jiran pulang ke rumah. Turun dari motor dia mengucapkan 'terima kasih'. Terus tergelak kami berdua di situ..hahaha. Habis gelak saya menjawab "sama-sama" dan pulang ke rumah.

Si Comel

Monday, May 9, 2011

Sesal balik kerja

Pada satu petang setelah selesai bekerja, saya berjalan menjinjing topi keledar dengan langkah laju menuju ke motosikal. Ketika itu hujan mulai turun. Saya berlari anak ke tempat parkir di luar bangunan Endah Parade. Bila sampai di situ, saya terlupa di mana saya meletakkan motosikal. Tak jumpa pula bila dicari di celah deretan motosikal lain. Dengan hujan yang semakin lebat, mata terpaksa giat mencari, otak terpaksa ligat mengingat, saya jadi kelam-kabut. Lalu saya berlari patah balik ke tepi bangunan untuk berteduh. Dari situ saya meninjau seluruh kawasan parkir yang penuh dengan motosikal.

Akhirnya di dalam cuaca hujan itu, saya berdiri kaku melihat titisan hujan yang gugur dari langit, meratapi kehilangan sebuah motosikal. Sesal. Sudah 2 hari kunci tambahan (mangga) rosak, tak juga dibeli yang baru. Manusia jahat membuat onar macam makan bertih jagung. Sudah terkena baru kau sedar.

Kemaskini: Ini cerita lama. Semalam terpandang model yang sama macam motor saya yang hilang dulu. Tu yang teringat tu..:)