Saya dah bersiap, dah bersedia untuk keluar bermain futsal. Sampai di ruang tamu, ahli keluarga yang lain sedang menonton Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2010 dengan penuh minat. Masih ada masa lagi sebelum futsal bermula. Saya pun tak melepaskan peluang itu dan turut sama menonton pertandingan tersebut yang disiarkan secara langsung dari PICC, Putrajaya. Dah pusingan akhir ke? Cis, tak tahu pun bila mula. Kalau final esok (Sabtu) boleh juga nak pergi...
Sungguh terharu melihat peserta dari luar negara berpidato dalam Bahasa Melayu. Kadang-kadang kami tergelak kecil kerana ada beberapa sebutan yang tak tepat, tapi tak kisahlah.Yang penting mereka berusaha sebaik mungkin. Minat mereka terhadap Bahasa Melayu sudah cukup saya untuk membuat saya kagum. Saya sempat tengok 4 peserta je, iaitu dari Malaysia, Rusia, Jerman dan Indonesia sebelum bertolak ke tempat futsal. Peserta dari Rusia, Natalya Budanova ialah antara yang mendapat perhatian saya kerana menyelitkan pantun yang bersahaja dalam persembahannya. Peserta dari Jerman, Josee Hunnekes pula kelihatan amat manis dengan baju kebarung yang dipakainya. Terpikat sekejap..;)
Hmm...teringat kenangan minggu lepas semasa berkunjung ke rumah seorang kenalan. Anaknya yang masih kecil (dalam lingkungan 2 tahun) sudah pandai bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bagusnya. Lain benar keadaannya ketika saya sekecil itu. Sepatah haram tak tahu. Tapi saya agak risau kerana Bahasa Melayu dipinggirkan sama sekali oleh kedua-dua ibu bapanya yang sebangsa dengan saya. Saya harap keadaan ini tak berterusan. Kan bagus jika diajar kedua-duanya sekali, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Tak begitu? Lihatlah, bangsa lain belajar bahasa kita dengan penuh minat, tapi kita pula yang menolak bahasa kita. Ada ke patut...
Bingka: Tahniah diucapkan kepada Zhang Song (Noriah) dari China
1 comment:
cintailah bahasa kita..
Post a Comment