Thursday, December 22, 2011

Pagi ke-6

Pagi itu saya meninggalkan Encik G berseorangan di bilik. Dia belum selesai bersiap. Saya turun dulu ke tingkat bawah motel dan menuju ke kafe untuk bersarapan.  Selepas sarapan pagi kami akan terus check-out. Di kafe, Zani dan Ady sedang duduk di satu meja, hampir selesai bersarapan. Beberapa minit kemudian Encik G muncul di muka kafe. Kunci yang dipegangnya terjatuh ke lantai, lalu dia mengutipnya. Sebelum sampai ke tempat makanan yang jaraknya hanya kira-kira 5 meter, perbuatan mengutip kunci itu berlaku lagi 3 kali. Lantas dia menjadi perhatian beberapa tetamu lain yang berada di situ. Akhirnya dia sampai di tempat makanan di mana saya sedang berdiri menunggu roti keluar dari toaster. Untuk kesekian kalinya, kunci bilik kami terjatuh lagi. "Kenapa Encik G, poket bocor ke?" soal saya.  "Entah la, takde rasanya." Saya memerhatikan kunci diseluk ke dalam poketnya. Kalau jatuh lagi memang sah bocor. Kunci itu selamat berada di dalam poket. Ternyata ianya tidak bocor.

Saya kembali ke meja dengan roti bakar dan teh o. Kami memerhatikan Encik G dari meja. Dia mengambil pinggan, tetapi pinggan terlepas dari tangannya dan terjatuh kembali ke atas susunan pinggan lain. Mujur hanya pinggan plastik dan jarak jatuhannya pun hanya beberapa inci. Dia mengambilnya semula dan mula mengambil makanan. Kami berpandangan sesama sendiri, pelik. Dia mengambil separuh nasi goreng dan separuh mi goreng. Sedang dia berkira-kira untuk mengambil apa lagi, pinggan yang dipegangnya senget menyebabkan sebahagian mi goreng yang berada di dalam pinggan menggelungsur semula ke dalam bekasnya. Dia tidak menyedarinya. Disebabkan saya sudah mula makan, saya dengan serta merta meminta Zani membantu Encik G, takut pinggannya terjatuh. Dari meja, saya dan Ady memerhatikan Zani cuba menawarkan diri untuk memegang pinggan Encik G, tapi Encik G tetap mahu memegangnya sendiri. Zani hanya mengiringi Encik G hingga sampai di meja kami.

"Encik G ok?" tanya Ady.  "Saya ok, cuma rasa unbalance sikit. Tak tahu la kenapa."  Setelah duduk seketika, Encik G menuju semula ke tempat makanan. Kami menumpukan sepenuh perhatian kepada gerak geri Encik G. Dia mengambil segelas air yang diletakkan di dalam mug dan berdiri menunggu giliran untuk mengambil sesuatu, mungkin buah-buahan. Dari meja, kami perhatikan mug itu dipegang makin lama makin senget sehingga air di dalam mug tumpah ke seluarnya. Encik G tidak menyedari apa yang berlaku. Dengan pantas Zani menuju ke arah Encik G dan menegakkan mug yang dipegang oleh Encik G. Kalau lambat sikit, mungkin terlepas pautan jari Encik G pada tangkai mug itu. Oh, saya berasa sangat risau. Zani dan Ady juga pasti berkongsi rasa yang sama. Baru malam tadi kami keluar makan bersama sambil menikmati suasana malam di Pantai Chenang. Dia nampak sihat saja.

Mata kami tertumpu kepada Encik G. Dia makan sambil cuba berbual seperti biasa, cuma suaranya sedikit perlahan. Air liurnya meleleh di kiri mulut. Sesekali mi juga berjuntai di kiri mulut. Dia terus bercakap seperti biasa. Setelah beberapa ketika diperhatikan, memang sah dia tidak dapat merasai apa yang sedang berlaku. Kami pun menegurnya. Baru dia sedar akan hal itu lalu mengelap mulutnya dengan tisu.

Encik G beberapa kali menolak untuk dibawa ke klinik kerana merasakan dia masih ok, tapi disebabkan kami akan menempuh perjalanan yang jauh, kami bawa juga dia ke klinik. Dia disahkan mengalami light stroke. Dia hampir tidak dapat merasa bahagian kiri badannya. Sambil menunggu masa untuk menaiki feri dari Kuah ke Kuala kedah, saya berdoa tiada apa yang berlaku kepada Encik G sepanjang perjalanan kami pulang ke KL.

4 comments:

meowwmania said...

kesiannya....mujur En G tak keseorangan ketika tu

Lan Bingka said...

meowwmania: kalau tak, memang susah la dia sorang2..

SyAfaWaNi ♥‿♥ said...

nasib baik dah bawak pegi klinik..n alhamdulillah ramai yang nak tolong en. G kan =D

Lan Bingka said...

syafawani: tu lah, pengalaman pertama tengok orang tiba2 kena strok..