Tuesday, February 24, 2015

Kasut paling sesuai untuk menunggang motosikal

Sebelum saya memulakan cerita, saya ada 1 soalan: Motorsikal atau motosikal?
Jawapannya 'motosikal' ye anak-anak..(sumber: DBP)

Ramai orang menunggang motosikal untuk pergi ke tempat kerja, termasuklah saya. Ini kerana menunggang motosikal lebih menjimatkan duit dan masa. Tak perlu membayar duit tol, kos minyak yang lebih murah dan tak terperangkap dalam kesesakan trafik. Cuma kalau hujan tu memang basah la ye..hehe. Jadi untuk mengelakkan basah, kita perlu bersedia dengan baju hujan. Tak perlu nak buang masa duduk berteduh bawah jambatan apabila hujan, tambahan pula duduk di bawah jambatan ni pun bahaya sebab kadang kala pemandu kenderaan yang lain tak perasan kehadiran kita di situ. Cuma kalau hujan terlalu lebat sampai tak nampak jalan tu kena la berteduh juga sekejap.

Faktor cuaca yang tidak menentu semasa pergi dan balik dari kerja menyebabkan ramai penunggang motosikal meninggalkan kasut kerja di pejabat dan hanya memakai selipar semasa menunggang. Kalau pakai kasut kerja nanti basah pulak. Ini sebenarnya tindakan yang tidak selamat terutama kalau jarak dari rumah ke tempat kerja agak jauh. Semasa hujan, selipar akan menjadi licin dan ada kemungkinan boleh tergelincir dan tertanggal dari kaki. Jika berlaku kemalangan pula, kaki akan cedera kerana tiada perlindungan.

Tak salah kalau anda meninggalkan kasut kerja di pejabat, tapi anda harus memakai kasut lain untuk menunggang motosikal. Ini penting untuk keselamatan. Antara kasut yang sesuai dipakai ialah kasut sukan air atau apa-apa kasut yang ada lubang udara atau lubang air. Jadi kalau basah tu cepat sikit ia kering. Anda boleh cari di enjin carian atau kedai online dengan kata kunci: water sport shoes, mesh shoes, breathable shoes atau aqua shoes. Kalau nak murah lagi, boleh cari kasut getah yang ada lubang2 di hypermarket dan pasar malam.






Bagi yang memakai selipar semasa menunggang motosikal tu cuba ubah gaya supaya lebih selamat. Jangan pakai selipar.



Friday, December 26, 2014

Aku tanya apa khabar

Assalamualaikum semua!

Ohhh...macam tak percaya entri saya yang terakhir ialah kira-kira setahun yang lalu. Apa khabar semua? Saya sangat merindui aktiviti penulisan. Sungguh...saya sangat rindu! Saat menulis ayat ini pun mata saya berkaca, begitulah ekspresi kerinduan saya yang menebal. Saya rindu melawat blog kawan-kawan, rindu meninggalkan komen di blog orang, rindu blog hopping, rindu berkongsi cerita dalam dunia saya sendiri. Oh..saya rindu semua! Inilah dunia yang saya cintai. Ah..saya sepatutnya buat yang lebih baik daripada ini jika benar saya cinta, kan? Entah mengapa..dalam setahun ini saya seolah tiada masa untuk menulis, cuma sempat kemaskini status Facebook dan Twitter. Mungkin platform yang lain itu lebih mudah. 

Apa khabar agaknya kawan-kawan blogger yang sering saya ikuti perkembangan mereka. Saya dah ketinggalan semua cerita. Saya juga dah macam-macam cerita yang tidak terkongsi. Alangkah bagus jika semua perkembangan saya ditulis oleh orang lain...haha. "Kau ingat kau artis?"

Alhamdulillah...walaupun saya menyepi dalam dunia penulisan, hidup saya tidak pula sepi. Kini saya sudah 2 bulan bergelar suami. Syukur ke hadrat Ilahi. Itu saja perkongsian saya untuk kali ini..hehe

Nampaknya inilah entri pertama dan terakhir untuk tahun 2014. Semoga keadaan banjir di Semenanjung Malaysia khususnya di pantai timur kembali pulih dengan segera. 

Selamat Tahun Baru! InsyaAllah berjumpa lagi di tahun 2015.

Friday, December 6, 2013

Cara mengelak install software yang tak diingini

Pernah tak tiba-tiba enjin carian yang anda tetapkan sebagi default berubah kepada enjin carian lain seperti Ask.com atau Plasmoo.com? Sebenarnya itu terjadi disebabkan kecuaian anda sendiri, atau pun orang lain yang menggunakan komputer anda. 

Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat banyak perisian percuma di internet. Selalunya perisian-perisian percuma ini disertai dengan perisian lain dalam fail pemasangannya. Jadi semasa melakukan proses pemasangan (installation), anda harus tengok setiap langkah tu dengan teliti. Jangan main next..next..next je. 

By default, perisian tambahan yang anda tak perlukan tu akan ditandakan juga untuk dipasang bersama perisian yang anda perlu. Contohnya seperti gambar di bawah:

Ask.com ditanda sebagai homepage dan enjin carian

Anda harus hilangkan tanda tick tu dulu, barulah teruskan dengan pemasangan. 

Jumpa lagi!

Thursday, November 28, 2013

Cara paling mudah muat turun video YouTube

Ada pelbagai cara untuk muat turun video dari YouTube. Antaranya dengan menyalin link url video ke dalam perisian yang dipasang di komputer atau menyalin url video ke laman web muat turun seperti KeepVid dan Savevid. Anda cuma perlu taip 'online youtube video downloader' di kotak carian, dan anda akan jumpa banyak lagi laman web yang lain. Di sini saya nak kongsikan satu cara paling mudah untuk muat turun video dari YouTube.

1. Cari video YouTube yang anda mahukan.

2. Tambah huruf 'ss' sebelum perkataan youtube pada url video tersebut. (Contohnya: www.ssyoutube....)


3. Selepas itu anda akan dibawa ke laman web savefrom.net


4. Pilih format yang anda mahu dan anda boleh terus muat turun video tersebut.

Mudahkan? 
Selamat mencuba!

Friday, November 1, 2013

Kerja yang tinggi

Jom kita lihat bagaimana pekerja penyelenggaraan memanjat menara setinggi 1768 kaki.



Saya dengar ada jawatan kosong untuk kerja ni. Siapa nak?

Tuesday, October 22, 2013

Bersederhana dalam majlis perkahwinan

Saya sangat tertarik apabila membaca kisah perkahwinan yang dibuat secara sederhana. Lagi saya tertarik jika bakal pengantin itu mampu untuk membuat majlis yang besar, tapi memilih untuk membuat majlis yang ringkas. Takde pun hantaran sampai berdulang-dulang. Hanya ada mas kahwin, sebentuk cincin dan senaskhah Al-Quran. 

Bukankah bagus kalau semua orang ada sifat bersederhana macam tu. Tak perlu membazir dan tak perlu nak menunjuk. Ada orang yang berhabis untuk majlis perkahwinan, tapi perkahwinan hanya bertahan beberapa bulan. Yang tinggal hanya hutang yang perlu dilangsaikan. Kan sedih tu.

Friday, October 18, 2013

Sarapan pagi Bukit Saga

Pagi Ahad itu Faizul datang ke rumahku seperti yang dijanjikan. Aku masuk ke dalam keretanya dan kami menuju ke kedai untuk bersarapan. Sebenarnya Faizul yang nak bersarapan. Aku dah pekena lempeng di rumah, jadi aku hanya minum saja. 

Di samping berbual dan melihat Faizul makan, aku memandang juga sekeliling melihat pelanggan-pelanggan lain yang ada dan mata aku ternampak 2 orang wanita sedang makan di sebuah meja di penjuru kedai. Seorang daripadanya memakai pakaian sukan..berseluar track dan berkasut sukan serta memakai bandana di kepala. "Tengok, kakak tu pun nak pergi hiking macam kita" tuturku kepada Faizul sambil menunjuk dengan pandangan mata. Selepas melihat ke mana arah mataku memandang, Faizul menoleh ke kiri dan terpaksa memusingkan badannya ke belakang sedikit untuk melihat. "Kakak?" soal Faizul. "Habis tu apa? Abang?" balasku separa tegas. "Bukan lelaki ke tu?" katanya. "Bukanlah, perempuan tu" kataku membetulkan tanggapannya. Dia sambung makan semula.

Beberapa ketika kemudian, 2 orang wanita tadi bangun dan beredar dari kedai. Masa tu baru aku nampak dengan jelas, orang yang aku kata perempuan tadi tu lelaki rupanya. Ish, dari belakang nampak macam perempuan la sebab rambutnya panjang hampir sampai ke bahu. Aku yang berjiwa tenang ketika itu tidak memberitahu Faizul perkara sebenar. ;)

Usai bersarapan, kami menuju ke 7-Eleven di seberang jalan dan membeli sedikit bekalan makanan dan minuman untuk mendaki. Selepas itu kami menuju ke kereta. Masuk saja ke dalam kereta, aku mendapat panggilan telefon dari sepupuku. "Ye ke? Innalilahi wainna ilaihirojiun..." itu yang keluar dari mulutku, lantas wajah nenek yang berusia 80-an terbayang di fikiran.
...

Sampai sahaja di depan rumah, aku meminta maaf kepada Faizul kerana terpaksa membatalkan aktiviti mendaki Bukit Saga buat kali pertama pada pagi 29 September itu. Aku perlu bersiap dan pulang ke kampung untuk menatap nenek buat kali terakhir.