Wednesday, February 10, 2010

Tambah lagi dua cendol pulut

Pada hari Jumaat lepas, saya dan beberapa orang teman rapat bertolak ke Batu Pahat pada pukul 8.30 malam dan tiba di sana kira-kira jam 12 tengah malam. Kami bermalam di rumah saudara saya yang terletak di bandar Batu Pahat. Keesokan harinya kami menghadiri majlis pernikahan kawan kami (Khairul) di Semerah. Kebetulan Semerah tu kampung ayah saya, jadi tiada masalah la nak menuju ke situ. Dengan sekali lafaz, Khairul sah menjadi seorang suami. Tahniah Boy! (nama panggilan sejak sekolah).

Dalam perjalanan balik ke KL, kami singgah di Melaka. Destinasi persinggahan kami ialah kedai cendol di depan bangunan Stadthuys. Ala...tempat yang ada menara jam dan air pancut tu. Haa...situ la. Sebelum bertolak ke Batu Pahat lagi saya dah ajak mereka singgah di situ. Ada hal sikit. Hmm...nikmatnya makan cendol di situ, terutama ketika cuaca panas, sejuk tekak dibuatnya. Satu mangkuk tak cukup ok, kena dua mangkuk. Pisang goreng pun ada, harus 'ngap' juga. Sambil makan boleh tengok gelagat orang, maklumlah kawasan tu memang meriah dengan pelancong. Ada yang sibuk bergambar, ada yang menaiki beca, ada juga yang mengunjungi kedai-kedai cenderahati yang banyak terdapat di situ. Kebetulan masa tu ada orang main gasing dan menyanyi lagu dondang sayang. Memang menambahkan suasana cuti-cuti Malaysia..;)


Dah selesai makan, saya pun panggil la abang cendol tu kira. Dah saya yang ajak, saya la kena belanja. Takpe, kecik punya hal. Lepas dia beritahu jumlah yang perlu dibayar, saya cakap kat dia..."bang ,tambah lagi dua cendol pulut, hari tu lupa bayar la"...hehe

Bingka: yes, misi selesai...

Friday, February 5, 2010

Si Poyo

Semalam saya terlibat dalam satu ekspo di PWTC. Ekspo/pameran ni memang setiap tahun diadakan. Seperti biasa, saya pasti akan berjumpa dengan seseorang yang saya tak gemar. Saya akan namakan dia sebagai Si Poyo dalam entri ni. Si Poyo memang sering terlibat dalam setiap pameran yang saya sertai. Maklumlah kami bekerja dalam satu organisasi, cuma dia di jabatan lain.

Sikap dia ni boleh saya katakan sombong tak bertempat. Pada pameran-pameran sebelum ni saya cuba juga menegur, tapi dia macam nak tak nak je layan. Takpe, mungkin kamu takde idea nak berbual. Beberapa kali selepas itu saya cuba senyum atau mengangkat kepala sedikit (niat untuk bertegur sapa) tapi tak diendahkan. Takpe, mungkin kamu rabun.

Tapi dalam satu pameran pada pertengahan tahun lepas, dia 'berjaya' buat sesuatu kepada saya. Seperti biasa sebelum masuk ke dewan pameran, saya akan mengambil pas masuk daripada wakil organisasi saya yang sudah sedia menunggu di luar dewan. Disebabkan masih terlalu awal untuk masuk ke dalam dewan, saya berbual sebentar dengan abang yang bagi pas tu. Tak lama lepas tu, datanglah Si Poyo ni untuk mengambil pas. Dia menegur abang tu. Saya yang berdiri betul-betul di sebelah abang tu senyum dengan ikhlas padanya. Tapi dia langsung tak pandang saya (buat-buat tak nampak). Lepas ambil pas dia terus masuk ke dalam dewan. Punyalah sombong mamat sorang ni. Sesungguhnya pada hari itu dia telah 'berjaya'. Berjaya buat saya sakit hati dan berjaya buat saya benci padanya.

Dan sepanjang hari pameran semalam, saya buat macam dia tak wujud je (walaupun booth kami bersebelahan). Lebih baik saya berbual dengan orang yang tak sombong dengan saya. Kalau saya tak berbual dengan sesiapa pun, lebih baik saya menatap laptop di booth saya atau berjalan-jalan melihat booth orang lain daripada membuang masa cuba berbaik dengan kamu.

Bingka: Hari ni pameran lagi, jumpa Si Poyo lagi...

Tuesday, January 26, 2010

Lampu Trafik

Apakah nama lampu di bawah?


Jika anda jawab 'lampu isyarat', sebenarnya jawapan anda salah.
Lampu itu ialah lampu trafik.
Dalam BI kita panggil traffic light kan...
Kenapa dalam BM jadi lampu isyarat pula?

Hmm...jadi yang mana sebenarnya lampu isyarat?

Ya, inilah lampu isyarat.
Kenapa kita panggil ianya lampu signal?
Kenapa kita tak tukar saja perkataan signal itu ke dalam Bahasa Melayu?
 Saya pun tak faham.

Sunday, January 10, 2010

Hari Tanpa Beg Plastik

Petang tadi saya pergi ke Carrefour. Ada la beberapa barang yang dibeli. Sesampai di kaunter saya terbaca notis berikut:
Setiap Hari Sabtu merupakan "Hari Tanpa Beg Plastik". Setiap beg plastik akan dikenakan caj 10 sen
Oops, tak tahu terlupa pula pasal kempen ni. Menurut sumber, kempen bagi mengurangkan masalah pencemaran ini akan dijalankan selama 6 bulan berkuatkuasa mulai hari ini. Bagus juga tu. Bayangkan berapa banyak beg plastik yang dapat kita jimat sepanjang kempen ini berlangsung. Anda bagaimana? Dah ada beg untuk membeli belah?

Bingka: Takde beg plastik, susah nak buang sampah..;)

Sunday, January 3, 2010

Kata Kunci 2010

Tadaa...macam mana dengan layout baru blog saya ni? Ok tak? Saja saya tukar template untuk merasai mood tahun baru. Ini ialah kali pertama saya menukar template. Mula-mula tu saya risau tak jadi je, hmm..nasib baiklah jadi.

Apa yang anda lakukan di minggu terakhir 2009 yang lalu? Mesti ramai yang pergi membeli belah kan? Saya ada juga membeli 2-3 barang. Antaranya ialah sebuah kamera digital bagi menggantikan Sony Cybershot saya yang telah rosak. Para ibu-bapa sudah pasti sibuk dengan persiapan anak ke sekolah kan? Lagi-lagi kalau anak pertama, hmm...esok mesti ramai yang cuti nak hantar anak ke sekolah.



Apa harapan anda untuk tahun ini? Saya harap tahun ni saya dan keluarga akan sentiasa sihat dan sejahtera, serta dimurahkan rezeki oleh Allah. Saya harap adik-adik saya yang masih belajar akan berjaya dalam pelajaran mereka. Saya juga berharap saya akan mendapat anak saudara pertama..;) Anda ada kata kunci tak untuk tahun ini? Kata kunci saya untuk tahun ini ialah 'berjimat cermat'. Baiklah, itu saja untuk kali ini. Selamat Tahun Baru!

Bingka: Masa terasa sangat pantas berlalu...

Tuesday, December 29, 2009

Karnival bowling 2010

Masuk kerja semula setelah cuti 10 hari, tiba-tiba ada poster karnival bowling anjuran jabatan saya pula. Kebetulan hari Jumaat lepas baru main bowling dengan kawan-kawan. Hmm..diorang ni macam tahu-tahu je saya berbakat dalam sukan ni. Dah 2-3 orang tanya saya nak masuk ke tak. Ala, cakap je la nak 1 kumpulan dengan saya, malu-malu pulak. Minta maaf ye, saya tak boleh memilih ahli kumpulan. Semuanya ditentukan melalui undian.


Inilah bukti betapa bagusnya saya dalam sukan bowling ni. Tak sampai 100 mata pun..;) Samalah juga dengan kawan-kawan saya tu. Tak cecah 100 mata pun boleh menang. Selalu kami main futsal je, tapi hari Jumaat tu futsal dibatalkan sebab ada beberapa orang geng futsal pergi bercuti ke Taman Negara. Entah macam mana timbul idea nak main bowling pula. Layan saja..

Nasiblah siapa dapat 1 kumpulan dengan saya nanti...hehehe. Hmm, karnival tu 24 Januari 2010. Sempat kot nak berlatih 2-3 kali. Itu pun kalau semangat la.

Bingka: Dapat buat 1 strike ok! Keluar gambar ayam belanda tu...haha

Monday, December 21, 2009

Avatar filem terbaik 2009

Hai semua, apa aktiviti yang anda lakukan semalam? Saya telah pergi menonton filem Avatar semalam. Wow..apa yang boleh saya katakan...filem ini memang sangat hebat. Dah lama saya tak rasa teruja macam ni setelah menonton filem. Sebutkan saja filem apa yang hebat tahun ni...bagi saya, tiada yang dapat menandingi filem terbaru arahan James Cameron ini.

Sepanjang menonton filem ini, saya telah dibawa ke sebuah dunia yang lain iaitu Pandora. Kehidupan di Pandora sangat indah dan mempesonakan, tidak kurang juga mencabar. Tak tercapai akalku. Penggunaan teknik CGI (computer-generated imagery) terbaik! Owh, teringat perasaan selepas menonton Titanic arahan James Cameron dulu. Sangat puas hati.

Jadi, tunggu apa lagi. Lapangkan minda dan alamilah sendiri pengembaraan selama 2 jam 40 minit di Pandora. Memang sangat berbaloi!


Bingka: tanpa ragu-ragu~5 bintang