Wednesday, July 12, 2017

Kisah Mat Over memajak kereta

Skim pajak kereta.

Ramai yang tertipu dengan syarikat pajak kereta ni. Meh saya bagi contoh bagaimana caranya mangsa ditipu;

Satu hari Mat Over didatangi oleh seorang kawan yang menawarkan peluang menjana pendapatan sampingan dengan memajakkan kereta di syarikat sewa kereta. Mat Over kata dia tiada kereta untuk disewakan. Maka kawan itu pun mencadangkan Mat Over untuk membeli kereta baru dengan membuat pinjaman bank. Syarikat sewa kereta akan membayar ansuran bulanan ditambah dengan keuntungan yang tetap jumlahnya pada setiap bulan. Biasanya syarikat menjanjikan bayaran duit keuntungan yang sama dengan jumlah ansuran bulanan. Misalnya jika bayaran ansuran kepada bank ialah RM 500 sebulan, maka syarikat berjanji akan membayar RM 1000 sebulan kepada pemilik kereta. Jadi setiap bulan Mat Over tak perlu keluar duit sendiri untuk bayar apa-apa, cuma tunggu duit masuk sahaja dan kemudian guna sebahagiannya untuk bayar ansuran bulanan kepada bank. Menarik kan?

Disebabkan menarik, kawan tadi mencadangkan supaya Mat Over memajakkan lebih daripada sebuah kereta supaya keuntungan yang diperolehi menjadi berganda. Caranya mudah saja, buat permohonan pinjaman kereta secara serentak di bank berlainan. Disebabkan semua proses berjalan serentak, jadi pihak bank tidak dapat mengesan adanya komitmen dengan bank lain. Semua proses permohonan ini akan diuruskan oleh syarikat kereta sewa. Mat Over hanya perlu datang ke bank untuk menandatangani surat perjanjian apabila pinjaman diluluskan. Untuk orang yang tak berfikir panjang, mereka pasti akan menggunakan peluang ini untuk membeli sekurang-kurangnya sebuah lagi kereta. Kereta ini mungkin untuk digunakan sendiri atau dipajakkan juga. Bagi yang lebih berani, mereka akan membeli 2-3 kereta lagi.

Untuk meyakinkan pemilik kereta, syarikat sewa kereta berjanji akan membuat surat perjanjian dengan pemilik kereta sebagai rekod. Jadi secara teorinya.. hidup menjadi lebih senang kan? Mat Over pun tersenyum sendirian memikirkan rezekinya yang bakal bertambah.

.....

Selepas selesai proses pembelian, kereta pun keluar dari kedai dan dihantar terus ke syarikat sewa kereta. Selalunya pemilik kereta tak sempat nak tengok pun kereta yang dibeli. Dengan ini bermulalah perniagaan sampingan Mat Over iaitu sewa kereta, cuma dia tidak menguruskannya sendiri la. Untuk 6 bulan hingga setahun yang pertama biasanya tiada masalah, bayaran semua cantik. Begitu la juga dengan Mat Over, senyum je dia membayar ansuran bulanan kepada bank. Duit keuntungan dia guna untuk membeli pelbagai barangan dan gajet.

Namun selepas setahun, masalah mula timbul. Duit keuntungan semakin berkurangan disebabkan duit itu digunakan untuk servis kereta, tukar tayar dan sebagainya. Sampai satu tahap, Mat Over cuma menerima duit ansuran bulanan sahaja, duit keuntungan tiada. Lama kelamaan duit ansuran bulanan yang diterima pun semakin sikit sampai ke satu tahap, dia tidak menerima apa-apa bayaran daripada syarikat. Pihak bank dah semakin kerap memberi notis kepadanya untuk menjelaskan bayaran ansuran. Banyak kali juga dia menghubungi syarikat untuk bertanyakan masalah bayaran keretanya, namun pelbagai alasan yang diberi. Mulalah dia pening kepala kerana tiada duit untuk membayar ansuran bank. Masa itu barulah Mat Over sedar yang surat perjanjian antara dia dan syarikat sewa kereta tidak sah.

Dipendekkan cerita, akhirnya kereta tersebut ditarik oleh pihak bank dan disimpan di stor kereta dengan jumlah bayaran tertunggak sebanyak RM 3000. Bukan itu sahaja, jumlah saman juga banyak. Mat Over diberi tempoh oleh pihak bank untuk menyelesaikan bayaran tertunggak minimum sehingga tarikh yang ditetapkan. Mat Over tidak berjaya mencari duit untuk membayar tunggakan dan dia terpaksa membiarkan kereta itu dilelong. 

.....

Begitulah biasanya apa yang akan berlaku dengan skim pajak kereta ni. Bila kereta dah ditarik dan anda memang tak mampu untuk membayar jumlah tunggakan, lebih baik biarkan sahaja kereta itu dilelong. Selepas kereta dilelong, bank akan kira balik baki pinjaman dan anda boleh berbincang dengan pihak bank untuk bayaran ansuran yang lebih rendah, mungkin 1/2 atau 1/3 daripada bayaran asal. 

Jangan beri kepada pihak ketiga untuk sambung bayar kerana ia lebih berisiko. Ada kes di mana setelah kereta ditarik, tiba-tiba datang pihak ketiga yang menawarkan bantuan untuk membayar jumlah tunggakan dan menyambung bayar ansuran bulanan. Nampak macam menyelesaikan masalah kan, tapi rupanya tanpa pengetahuan pemilik, kereta itu diberi pula kepada pihak lain untuk disambung bayar. Pemilik baru pula tidak bayar ansuran selama beberapa bulan. Saman pun bertambah sebab kereta masih atas nama anda. Akhirnya kereta ditarik semula. Masalah tak selesai. 

.....

Ini cuma contoh kes yang berlaku, dan ada pelbagai cara lagi sindiket yang terlibat ini menipu pengguna. Mereka sangat licik mengaut untung tanpa perlu mengeluarkan modal untuk membeli kereta. Baca Pengalaman seorang pemajak kereta untuk kes yang lain.

Kesimpulannya jangan terlibat dengan skim pajak kereta!


No comments: