Monday, July 29, 2013

Qiamullail..aku datang

Assalamualaikum. Saya nak cerita pengalaman saya mengikuti qiamullail. Saya sebenarnya dah lama tidak mengikuti qiamullail. Dia punya lama tu sampai saya dah lupa bila kali terakhir saya berqiamullail. Jadi mohon jangan fikir saya nak berbangga diri, kerana niat saya hanya untuk berkongsi. Mungkin dapat beri semangat pada orang lain pula.

Apabila pengerusi surau mengumumkan bila tarikh qiamullail akan diadakan, saya terus menanamkan azam untuk mengikutinya. "Bila lagi? Nak buat sendiri memang tak la. Sementara ada geng nak buat secara berjemaah ni, baik pergi"  Itu yang bermain di fikiran saya. Alhamdulillah, tergerak juga hati saya nak pergi kali ni. Tapi saya risau juga kalau jadi hangat-hangat tahi ayam je rancangan saya tu.

Seminggu kemudian, hari yang dimaksudkan pun tiba. Sebelum memulakan solat tarawih pada malam tu, pengerusi surau mengingatkan sekali lagi tentang qiamullail yang akan diadakan pada awal pagi esok dan akan dimulakan pada jam 3.30 pagi. Banyak kali saya bagi semangat pada diri sendiri supaya tidak malas untuk bangun dan ke surau. Caranya mudah, saya anggap ini Ramadan terakhir saya. Manalah tahu kan? Sebenarnya antara banyak-banyak perkara dalam hidup kita ni, kematian la yang paling hampir dengan kita, cuma kadang-kadang kita terlupa dan terleka. Mujur saya tak keseorangan, ayah, emak dan dua orang adik saya pun nak pergi. Baru semangat sikit. Diorang memang selalu pergi, tak macam saya.

Semasa tazkirah selepas 4 rakaat bertarawih, uztaz jemputan pun menyentuh tentang qiamullail. Beliau menyarankan supaya kita cuba untuk menangis ketika berqiamullail, berdoa dan memohon keampunan dari Allah. Masa ni saya macam terpotong sikit mood sebab saya tak gemar benda yang disuruh-suruh ni, macam tak semulajadi la keadaannya. Macam tak ikhlas dari hati. Contoh macam dekat facebook la, kongsi gambar kaabah lepas tu suruh orang like. Kalau tak like, tak sayang Islam. Daripada nak like, terus tak jadi.

Pada pukul 2.45 pagi saya bangun dan buat air kopi, tak nak mengantuk la kononnya. Nampak tak gaya orang jarang pergi? Beria sikit. Kemudian saya pun bersiap dan berjalan kaki menuju ke surau bersama adik. Ayah dan emak dah pergi lebih awal.

Lampu ditutup sebelum solat dimulakan, hanya ada cahaya dari lampu bahagian luar surau. Solat pertama yang akan dilakukan ialah Solat Sunat Tahajjud. Imam Muda Miril pun memulakan solat. Para jemaah menuruti dengan mengangkat takbir. Sejurus saya mengangkat takbir, air mata dengan sendirinya mengalir membasahi pipi. Ya Allah, sungguh semulajadi, bukan mood sedih yang dibuat-buat dan bukan sebab terikut-ikut perasaan orang lain. Bacaan imam yang begitu merdu menambah lagi kesayuan saya di sepanjang solat itu. Selesai solat tahajjud, qiamullail diteruskan dengan Solat Tasbih, Solat Taubat dan Solat Hajat. Qiamullail selesai pada pukul 5 pagi dan para jemaah bersahur bersama sebelum disambung dengan Solat Subuh dan Kuliah Subuh.

Kalau ada kesempatan untuk berqiamullail..buatlah. Sangat berbaloi. Rasa tenang bila dah menangis di depan Allah. Jika kita dah lama tak memohon keampunan daripada Allah, inilah masanya. Kalau kita ada hajat, di bulan yang mulia inilah masanya untuk berdoa betul-betul kepada Allah. Kalau ditakdirkan ajal kita tiba sebelum Ramadan yang akan datang, sekurang-kurangnya kita dah bertaubat daripada segala dosa yang lampau. Kalau tak sempat untuk berqiamullail, buatlah Solat Hajat dan Solat Taubat di rumah, sementara Ramadan masih ada.

P.S: Saya bukan orang paling baik untuk memberi nasihat begini, tapi rasa rugi pula jika tak dikongsi.

2 comments:

Elie Lily said...

Semoga mendapat keberkatan atas segala kebaikan yang dikerjakan ya. Elie doakan. :)

Lan Bingka said...

Elie: Terima kasih! sama la awak pun