Wednesday, May 30, 2018

Naluri seorang ayah

Minggu lepas aku bertugas di luar kawasan iaitu di Johor Bahru. Seminggu sebelum tu aku cari la hotel yang sesuai untuk aku dan rakan2 sekerja menginap. Aku perlu tempah 2 bilik, sebab kami berempat. Ala untuk satu malam je pun. 

Cari punya cari di Booking.com, aku jumpa satu hotel yang lokasinya macam ok, review oleh pelanggan yang menginap pun ok. Biliknya betul2 tinggal 2 je kosong. Satu bilik twin-sharing dan satu lagi bilik deluxe triple. Bilik twin-sharing ni macam biasa ada 2 katil single, manakala bilik deluxe triple ni ada 1 katil queen dan 1 katil single. Aku nak 2 bilik twin-sharing je sebenarnya, tapi disebabkan malas dah nak cari hotel lain, aku tempah je la kedua-dua bilik tu.

3 hari sebelum aku outstation, tiba-tiba pengasuh anak aku minta cuti pula pada tarikh yang sama aku ke Johor. Ada urusan katanya, kena ke pejabat mana entah. Anak pengasuh tu siap dah ambil cuti untuk bawa ibunya ke pejabat tu. Ini dah kira bukan minta cuti la, ini dah kira beritahu nak cuti. Adoi, kenapa la tak beritahu awal2, boleh la kita runding tarikh yg sesuai untuk cuti, contohnya selepas aku balik dari outstation. Isteri aku tak dapat cuti pada tarikh tu sebab ada kerja penting, lagipun kalau nak mohon cuti kena mohon seminggu awal. Nampak..kan dah susah macam ni. 

Jadi setelah difikir-fikirkan, hanya ada 1 jalan penyelesaian iaitu aku terpaksa bawa anak ke Johor, sebab kerja di Johor pun tak formal sangat, lebih kepada site visit je. Patutlah aku rasa malas nak cari hotel lain yang ada bilik twin-sharing. Rupanya ada seorang lagi 'staf' yang nak tidur di katil queen tu..hahaha.

Begitulah naluri seorang ayah. 


Monday, May 28, 2018

Kegagalan Iskandar Puteri Night Marathon

Sebenarnya dari bulan lepas aku nak cerita pasal ni, tapi agak sibuk.

Seminggu selepas larian SCKLM 2018, aku ke Johor pula untuk menyertai Larian Iskandar Puteri Night Marathon, kategori 10 km je. Ini edisi kedua larian tersebut. Edisi pertama pada tahun lepas aku tak masuk. Bila aku tanya pada kawan, dia kata ok.

Pada pukul 7 petang aku bergerak dari rumah saudara di Kulai ke Kota Iskandar. (Sebenarnya aku masuk larian ni sebab nak melawat saudara di Johor juga. Sambil2 la tu.) Aku merancang nak parkir kereta di kawasan berhampiran Masjid Kota Iskandar. Di dalam perjalanan, aku melalui 2 water station yang akan beroperasi semasa larian. Agak pelik juga aku melihat water station itu masih kosong, hanya ada meja dan kerusi padahal masa tu dah pukul 7:20 petang. Seorang petugas pun tiada, sedangkan larian bagi kategori Full Marathon akan bermula jam 8:00 malam.

Aku sampai di kawasan garisan permulaan pada jam 7:50 petang. Masa aku sampai tu aku lihat ramai petugas/sukarelawan baru tiba. Dalam hati aku berkata "Aik lambatnya sampai. Oh mungkin dari masjid" Lepas tu aku terfikir.. susah juga buat larian malam ni, petugas tak boleh nak bersiap awal di tempat masing2 sebab nak solat maghrib dulu. (Macam aku takpe..musafir. Balik rumah jamak takhir.)

Selepas kategori Full Marathon dan Half Marathon dimulakan, maka tibalah giliran pelari kategori 10km dilepaskan iaitu pada jam 8:30 malam. Semasa larian, ada 2 water station yang kehabisan air. Agak kehausan juga dibuatnya, tapi mujur la aku cuma masuk 10km, so tak rasa teruk sangat. Aku cuma kesian pada pelari2 HM dan FM, macam mana mereka nak berlari dengan keadaan air yang tak cukup. Bila sampai di garisan penamat, aku dapat lihat berkotak-kotak air disusun di satu sudut. Air ini la yang sepatutnya dibawa ke water station.

Selepas tu aku nak ambil pingat. Signage pun takde untuk setiap kategori. Terpaksa tanya kepada orang yang tengah beratur, ni untuk kategori berapa km. Semasa beratur tu aku dah berazam tak nak masuk larian ni lagi. Tak teratur.

Esoknya kecoh di page fb IPNM, ramai pelari mengamuk terutama yang masuk kategori Full Marathon. Ada gambar meja water station yang diterbalikkan. Ada yang merungut pasal shuttle bus lambat, signage untuk jarak tak cukup,  dan macam2 lagi. Tidak lama selepas itu, penganjur mengumumkan bahawa larian IPNM tidak akan dianjurkan lagi untuk tahun2 akan datang.

Pandangan aku untuk penganjuran larian ni, jika anda tiada pengalaman sebelum ni, buat la kategori jarak dekat2 dulu, contohnya 5km dan 10km. Buat la dalam 2-3 tahun. Lepas dah faham segala aspek dalam penganjuran, baru la kau tambah kategori 21km dan bila dah cekap baru la tambah kategori 42km pula. 

Untuk IPNM ni memang sayang la. Website, baju dan pingat dah cantik. Pendaftaran pun dibuka sejak tahun lepas. Penaja pun banyak. Tapi akhirnya gagal pada hari acara.


Nota kaki: Kawan aku tu masuk 5km je, patut la dia kata ok. Tak rasa apa pun..haha

Wednesday, May 2, 2018

Pemula acara Full Marathon

Pada 8 April yang lalu, aku telah menyertai Standard Chartered KL Marathon (SCKLM) 2018, antara acara larian terbesar di Malaysia. Kali pertama aku menyertai SCKLM ialah pada tahun lepas, kategori Half Marathon (21km) dengan catatan masa yang tidak memuaskan iaitu melebihi 3 jam. Untuk SCKLM 2018 ni, pada asalnya aku tak bercadang nak masuk pun, sebab aku dah terlebih dahulu mendaftar untuk menyertai Larian Iskandar Puteri di Johor pada 14 April 2018. Namun kawan-kawan tetap tak berhenti mengajak aku menyertai SCKLM. Bukan kategori 21km ya, tetapi kategori 42km (Full Marathon). Mereka dah mendaftar terlebih dahulu. Nak pengsan aku dengar 42km, bagi aku ni memang kerja cari penyakit. Dengan pace (kelajuan larian) aku, tempoh masa untuk menghabiskan larian sejauh itu akan mengambil masa tidak kurang daripada 6 jam!

Lama aku berfikir sama ada nak masuk atau tidak. Kalau masuk pun, mungkin kategori HM sahaja sebab minggu depannya nak lari di Johor pula (mujur 10km sahaja). Aku agak risau untuk menyertai kategori FM sebab tak pernah masuk kategori tu. Jarak paling jauh aku lari ialah 21km. Hingga ke hari terakhir pendaftaran iaitu pada 8 Januari 2018, akhirnya aku mendaftar masuk kategori FM sebab aku fikir, sementara ada geng ni baik aku masuk. Lagi pun dah lebih 5 tahun aku berjinak-jinak dalam hobi berlari ni, eloklah aku cuba kategori FM pula sementara belum mencecah usia 40 tahun. Barulah lengkap rekod penyertaan larian.

Aku sedar, kalau dah daftar masuk kategori FM ni memang kena berlatih lebih kerap. Tak boleh nak harap joging setiap hujung minggu sahaja, weekdays pun kena berlatih. Maka aku pun mula la berlatih 2-3 hari pada weekdays (5 atau 10km), dan sehari pada hujung minggu (10km ke atas). Untuk weekdays, waktu petang memang tak sempat, jadi aku berlatih selepas maghrib. Mujur rumah aku dekat dengan taman tasik, dan 'hidup' pada waktu malam, dapat la berlatih dengan selesa. Dalam tempoh berlatih tu, sempat la aku masuk satu larian HM dan satu larian HM sendiri sebagai latihan. Tak cukup sebenarnya kalau ikut jadual latihan yang disarankan, tapi setakat itu sahaja latihan yang sempat aku buat dalam masa 3 bulan.

Akhirnya hari larian pun tiba. Malam sebelum tu, lepas isyak dah tidur, dan seawal jam 2:00 pagi dah bangun. Pukul 2:45 dah keluar rumah, ambil Man yang nak tumpang naik moto, dan dalam pukul 3:15 pagi sampai di Dataran Merdeka. Berpusing juga nak sampai ke situ sebab jalan dah banyak ditutup. Mujur naik moto, senang nak menyelit. Tepat jam 4:00 pagi larian dimulakan. Bayangkan.. untuk kategori FM sahaja, seramai 10,000 orang pelari telah mengambil bahagian. Memang sangat meriah ulang tahun SCKLM yang ke-10 ni. Belum untuk acara HM, 10km dan 5km. Difahamkan seramai 38,000 perserta telah mengambil bahagian pada hari tersebut.

Maka fasa larian pun bermula. Dalam larian kompetitif, walaupun kau datang dengan kawan-kawan, semasa berlari selalunya kau akan 'bersendirian' sebab masing-masing cuba buat catatan masa terbaik. Ye la, dah berlatih.. takkan tak nak buat larian terbaik kan? Kawan kau ada yang di depan dan ada yang di belakang. Kalau dapat lari sama-sama pun, mungkin di awal larian sahaja, lepas tu masing-masing ikut pace dan kemampuan sendiri. Kalau kau dapat kawan yang sama pace dan tenaga dengan kau, kira beruntung la tu.

Benar kata orang yang dah ada pengalaman masuk kategori FM...cabaran sebenar semasa berlari sejauh ini ialah selepas km ke-30. Kalau kau tak cukup latihan, fasa ni akan buat kau terseksa. Sebab tu kena ada bekalan energy gel dan salt stick. Kaki aku dah mula sakit masa ni terutama di bahagian lutut. Pace pun dah slow sikit. Namun ku teruskan jua!

Akhirnya aku berjaya menamatkan larian dalam masa 6 jam 18 minit, hampir sejam beza dengan masa yang ditetapkan iaitu 7 jam 15 minit. Alhamdulillah. Rasa nak menangis masa sampai kat garisan penamat tu sebab bukan mudah. Ramai pelari yang tak berjaya habiskan larian sebab dah melebihi masa yang ditetapkan di beberapa checkpoint. Semasa berlari tu, aku nampak ada 2-3 buah bas yang membawa mereka pulang ke garisan penamat. Aku harap mereka tak berputus asa dan kembali dengan lebih kuat pada tahun hadapan.



Begitulah kisah aku sebagai pemula (beginner) dalam acara Full Marathon. Adakah aku menyesal menyertainya? Tidak sama sekali, malah aku bangga aku telah menolak diri aku sejauh ini. Aku akan kembali menyertai SCKLM 2019 dengan harapan dapat mencatat masa yang lebih baik. InsyaAllah.

Sementara itu.. jom teruskan berlatih.

#runnermalaysia