Friday, January 26, 2018

Sepetang sembang fiqah

Al-kisahnya baru-baru ini aku minum petang dengan dua orang lelaki. Mereka rapat antara satu sama lain. Sebenarnya aku berjumpa mereka untuk urusan tanda tangan satu dokumen yang aku perlu hantar kemudian. Banyak perkara yang kami sembangkan sampai la entah macam mana perbualan kami beralih ke topik ilmu fiqah atau fiqh atau fiqih. Ilmu fiqh ni penting sebab ia berkaitan hukum hakam dan kaedah melakukan sesuatu amalan dalam kehidupan seharian mengikut hukum syarak. 

Mereka berdua banyak memberi isi-isi perbualan sementara aku banyak mendengar dan bertanya. Tapi ada antara isi yang mereka berikan buat aku keliru dan tak pasti kesahihannya kerana aku sendiri tak tahu. Antara isinya ialah:

- doa iftitah terdiri dpd 2 doa, jadi sebenarnya tak perlu baca sampai habis. Baca sampai 'wajjah tu waj hiyalillazi fatorossama waa tiwal ard' sahaja.
- doa qunut bukan perkara sunat
- tidak perlu ikut satu mazhab sahaja
- tiada doa antara 2 khutbah jumaat
- tiada solat sunat sebelum dan selepas solat jumaat (qobliah & baadiah), hanya ada solat sunat tahiyatul masjid pada hari Jumaat
- doa selepas solat tak perlu berjemaah (sendiri2 je)
- tak boleh berjemaah (jadi imam) di masjid yg sudah ada imam yg dilantik secara rasmi

Ni antara isi-isi yang aku ingat. Sepanjang petang tu otak aku rasa tepu dengan berbagai isi yang tak pernah diajar oleh ustaz sebelum ni dan bertentangan dengan perkara yang dah sekian lama aku dan ramai orang amalkan iaitu mengikut mazhab Syafie. Tapi aku sentiasa mengingatkan diri aku supaya tidak sewenang-wenangnya membuat kesimpulan bahawa sesuatu perkara yang disampaikan tu betul atau salah. Mereka melakukan amalan mengikut mana2 dalil yang dirasakan kuat antara 4 mazhab setelah membaca kitab, mengkaji dan belajar dengan ustaz mereka, jadi amalan mereka merentasi kesemua mazhab.

Walaupun selepas pertemuan itu kepala aku jadi pening memikirkan tentang hal-hal yang dihujahkan oleh mereka berdua dengan mengatakan amalan ini salah dan amalan yang betul begini, aku rasa bersyukur kerana Allah menemukan aku dengan mereka. Selepas pertemuan itu aku terus rasa bersemangat untuk mendalami ilmu fiqah mengikut mazhab Syafie. Sejauh mana aku percaya amalan mazhab lain tidak salah, sejauh itu juga aku yakin aku tidak akan salah jika mengikut mazhab Syafie sebab semua mazhab berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Aku fikir bagus juga kalau aku ambil tahu amalan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Mungkin satu hari nanti..tapi buat masa ini eloklah aku khatamkan dulu ilmu fiqh mazhab Syafie sebab banyak juga benda yang aku dah lupa ataupun tak pasti. Selang beberapa hari kemudian aku membeli buku 'Dato' Dr. Harun Din menjawab persoalan fiqah harian' dari toko online PTS.