Thursday, November 30, 2017

Ini saja yang aku perlu di hari lahir

Bulan November sememangnya bulan istimewa bagi aku kerana di bulan inilah aku dilahirkan. Seperti biasa sejak dulu, bila tiba tarikh ulangtahun kelahiran aku, ramai manusia akan mengucapkan selamat. Semua suka aku makin tua..hehe. Ada sekali je masa sekolah rendah dulu, takde seorang pun ucap selamat hari lahir. Masa tu abah hantar aku duduk di kampung sempena cuti sekolah akhir tahun. Aku memang suka lama-lama di kampung. (dulu la.. sekarang macam jemu pula kalau lebih 3 hari). Orang kampung mana la tahu kan kalau takde siapa beritahu. Aku pun malas nak beritahu dan melalui hari tu seperti biasa. Kan seronok kalau tiba-tiba masa tu diorang tahu tarikh hari lahir aku dan buat kejutan, waaa..meriah. 

Aktiviti mengucapkan selamat hari lahir ni pun berterusan la saban tahun. Bila ada media sosial ni, makin ramai la orang beri ucapan. Sampai satu tahap aku rasa dah jemu nak terima ucapan banyak-banyak ni, dah malas. Sejak tahun lepas aku dapat idea untuk mematikan notification hari lahir di Facebook. Hasilnya: Waaa sangat tenang.

Jadi tahun ni pun sama, no notification.. no expectation.. tiada siapa perasan.. aman dan tenang. Hanya manusia dalam dua group whatsapp saja yang tahu, iaitu keluarga dan kawan2 baik sejak sekolah yang jumlahnya tak sampai 20 orang pun. Diorang saja yang ucap selamat hari lahir bagai sebab tarikh tu memang diorang dah hafal. Terima kasih untuk kalian. Ini saja yang aku perlu. Cukup.

Saturday, September 2, 2017

Handphone abah

Satu benda yang aku ajar anak aku sejak dia mula pandai mencapai barang-barang (umur 8 bulan) ialah 'jangan main handphone aku'. Aku sangat tegas dengan larangan itu dan aku buat sampai dia faham bahawa 'handphone abah tak boleh main!'. Nangis pun nangislah. Ini peraturan yang dia harus faham. Aku percaya beri gajet kepada anak kecil secara tak terkawal ni ada banyak keburukannya. Satu keburukan yang paling serius ialah ketagihan. Kau boleh cari sendiri la keburukan yang lain.

Kini anak aku dah berusia 2 tahun. Aku tak perlu risau nak letak handphone di mana-mana tempat yang dia boleh capai. Sebab pertama ialah dia bukan tahu password pun. Sebab kedua ialah dia takkan merengek minta aku bukakan password handphone tu. Perkara yang dia buat ialah segera ambil handphone tu dan serahkan kepada aku. "Abah..handphone!" katanya. Nampak tak hasilnya didikan dari awal? Bukan aku tak pernah bagi langsung handphone kepada dia, pernah juga bagi bila betul-betul perlu..contohnya ketika dia meragam di tempat-tempat yang tak sesuai, tapi jarang la. Handphone ni jadi talian hayat terakhir untuk buat dia bertenang. Jadi dia faham sekarang bahawa handphone abah kalau abah bagi baru boleh main, kalau tak..jangan pandai-pandai nak main. Nak minta pun dia tak berani.

Lain pula halnya apabila dia nampak handphone ibunya..selalunya dia akan meminta handphone itu dan menangis selagi tak dapat. Terpaksa la ibunya bagi sebab sejak kecil dah diajar tengok kartun dan main game kat handphone tu. Kadang-kadang sampai ibunya dah tidur pun dia masih leka menatap video-video di Youtube Kids. Cara yang paling mudah untuk aku hentikan aktiviti dia ialah dengan mematikan router wifi, bukan apa.. takut muda-muda dah rabun.

Nasihat untuk para ibu bapa, kawal la penggunaan gajet oleh anak-anak dengan tegas. Buat sampai dapat hasil macam aku. Letak kat mana-mana pun anak tak main, siap anak tolong ambilkan dan serahkan kepada kita. Sekali sekala tu takpe la.




Wednesday, July 12, 2017

Kisah Mat Over memajak kereta

Skim pajak kereta.

Ramai yang tertipu dengan syarikat pajak kereta ni. Meh saya bagi contoh bagaimana caranya mangsa ditipu;

Satu hari Mat Over didatangi oleh seorang kawan yang menawarkan peluang menjana pendapatan sampingan dengan memajakkan kereta di syarikat sewa kereta. Mat Over kata dia tiada kereta untuk disewakan. Maka kawan itu pun mencadangkan Mat Over untuk membeli kereta baru dengan membuat pinjaman bank. Syarikat sewa kereta akan membayar ansuran bulanan ditambah dengan keuntungan yang tetap jumlahnya pada setiap bulan. Biasanya syarikat menjanjikan bayaran duit keuntungan yang sama dengan jumlah ansuran bulanan. Misalnya jika bayaran ansuran kepada bank ialah RM 500 sebulan, maka syarikat berjanji akan membayar RM 1000 sebulan kepada pemilik kereta. Jadi setiap bulan Mat Over tak perlu keluar duit sendiri untuk bayar apa-apa, cuma tunggu duit masuk sahaja dan kemudian guna sebahagiannya untuk bayar ansuran bulanan kepada bank. Menarik kan?

Disebabkan menarik, kawan tadi mencadangkan supaya Mat Over memajakkan lebih daripada sebuah kereta supaya keuntungan yang diperolehi menjadi berganda. Caranya mudah saja, buat permohonan pinjaman kereta secara serentak di bank berlainan. Disebabkan semua proses berjalan serentak, jadi pihak bank tidak dapat mengesan adanya komitmen dengan bank lain. Semua proses permohonan ini akan diuruskan oleh syarikat kereta sewa. Mat Over hanya perlu datang ke bank untuk menandatangani surat perjanjian apabila pinjaman diluluskan. Untuk orang yang tak berfikir panjang, mereka pasti akan menggunakan peluang ini untuk membeli sekurang-kurangnya sebuah lagi kereta. Kereta ini mungkin untuk digunakan sendiri atau dipajakkan juga. Bagi yang lebih berani, mereka akan membeli 2-3 kereta lagi.

Untuk meyakinkan pemilik kereta, syarikat sewa kereta berjanji akan membuat surat perjanjian dengan pemilik kereta sebagai rekod. Jadi secara teorinya.. hidup menjadi lebih senang kan? Mat Over pun tersenyum sendirian memikirkan rezekinya yang bakal bertambah.

.....

Selepas selesai proses pembelian, kereta pun keluar dari kedai dan dihantar terus ke syarikat sewa kereta. Selalunya pemilik kereta tak sempat nak tengok pun kereta yang dibeli. Dengan ini bermulalah perniagaan sampingan Mat Over iaitu sewa kereta, cuma dia tidak menguruskannya sendiri la. Untuk 6 bulan hingga setahun yang pertama biasanya tiada masalah, bayaran semua cantik. Begitu la juga dengan Mat Over, senyum je dia membayar ansuran bulanan kepada bank. Duit keuntungan dia guna untuk membeli pelbagai barangan dan gajet.

Namun selepas setahun, masalah mula timbul. Duit keuntungan semakin berkurangan disebabkan duit itu digunakan untuk servis kereta, tukar tayar dan sebagainya. Sampai satu tahap, Mat Over cuma menerima duit ansuran bulanan sahaja, duit keuntungan tiada. Lama kelamaan duit ansuran bulanan yang diterima pun semakin sikit sampai ke satu tahap, dia tidak menerima apa-apa bayaran daripada syarikat. Pihak bank dah semakin kerap memberi notis kepadanya untuk menjelaskan bayaran ansuran. Banyak kali juga dia menghubungi syarikat untuk bertanyakan masalah bayaran keretanya, namun pelbagai alasan yang diberi. Mulalah dia pening kepala kerana tiada duit untuk membayar ansuran bank. Masa itu barulah Mat Over sedar yang surat perjanjian antara dia dan syarikat sewa kereta tidak sah.

Dipendekkan cerita, akhirnya kereta tersebut ditarik oleh pihak bank dan disimpan di stor kereta dengan jumlah bayaran tertunggak sebanyak RM 3000. Bukan itu sahaja, jumlah saman juga banyak. Mat Over diberi tempoh oleh pihak bank untuk menyelesaikan bayaran tertunggak minimum sehingga tarikh yang ditetapkan. Mat Over tidak berjaya mencari duit untuk membayar tunggakan dan dia terpaksa membiarkan kereta itu dilelong. 

.....

Begitulah biasanya apa yang akan berlaku dengan skim pajak kereta ni. Bila kereta dah ditarik dan anda memang tak mampu untuk membayar jumlah tunggakan, lebih baik biarkan sahaja kereta itu dilelong. Selepas kereta dilelong, bank akan kira balik baki pinjaman dan anda boleh berbincang dengan pihak bank untuk bayaran ansuran yang lebih rendah, mungkin 1/2 atau 1/3 daripada bayaran asal. 

Jangan beri kepada pihak ketiga untuk sambung bayar kerana ia lebih berisiko. Ada kes di mana setelah kereta ditarik, tiba-tiba datang pihak ketiga yang menawarkan bantuan untuk membayar jumlah tunggakan dan menyambung bayar ansuran bulanan. Nampak macam menyelesaikan masalah kan, tapi rupanya tanpa pengetahuan pemilik, kereta itu diberi pula kepada pihak lain untuk disambung bayar. Pemilik baru pula tidak bayar ansuran selama beberapa bulan. Saman pun bertambah sebab kereta masih atas nama anda. Akhirnya kereta ditarik semula. Masalah tak selesai. 

.....

Ini cuma contoh kes yang berlaku, dan ada pelbagai cara lagi sindiket yang terlibat ini menipu pengguna. Mereka sangat licik mengaut untung tanpa perlu mengeluarkan modal untuk membeli kereta. Baca Pengalaman seorang pemajak kereta untuk kes yang lain.

Kesimpulannya jangan terlibat dengan skim pajak kereta!


Tuesday, July 4, 2017

Raya kena ada kamera

Hari Raya kali ni memang seronok dan penat melayan telatah Amir. Tahun lepas dia baru pandai berdiri. Tahun ni dah pandai berjalan, berlari dan memanjat. Jenuh nak memantau pergerakan dia naik tangga turun tangga, mengejar kucing di segenap penjuru rumah, nak tengok orang main bunga api, nak main basikal dan macam-macam lagi.

Seronok tengok Amir berhari raya di kampung sebab ramai geng budak-budak kecil. Rumah kampung pun luas..suka la dia berlari sana sini. Dia pun nampaknya jenis pandai nak berkawan. Cuma kadang-kadang tu kecoh juga berebut mainan.

Bila dah balik KL baru aku sedar aku tak banyak ambil gambar dan video raya. Sibuk jaga Amir punya pasal. Dalam seronok menikmati saat beraya bersama anak dan isteri, rasa rugi pula tak simpan kenangan tu. Tiba-tiba semangat tengok kamera di Lazada kot-kot ada yang berkenan sebab kamera Lumix aku dah rosak. Mungkin sebab itu juga aku kurang ambil gambar sebab tak nak bazir bateri handphone. Oh memang ada yang aku minat, Canon Powershot G7X Mark II tapi harganya mahal..dalam RM 2200-2300. Kamera point & shoot je tapi mampu beraksi macam DSLR. Kecil dan mudah dibawa. Hmm..nampaknya terpaksa jadikan 'wishlist' je la dulu sebab duit pun tak berapa nak ada..haha.

Syawal masih berbaki 20 hari. Selamat beraya semua. Makan tu berpada-pada la, nanti jatuh sakit dah kena berpantang makan.

Amir diapit dua pupu

Friday, June 23, 2017

Taqabbal Allaahu minna wa minkum

Alhamdulillah.. esok hari terakhir kita akan berpuasa. Hari ni (Jumaat) aku dan isteri dah mula bercuti. Sebenarnya tak nak cuti pun, tapi dah pengasuh Amir (anak aku) minta cuti.. terpaksa la cuti juga. Dah alang2 cuti tu, Puan Sri ajak lagi ke Jalan TAR..padahal dah 2 kali pergi. Ish ish tak habis lagi. Nak cari tudung katanya.

Esok lepas Asar kami akan bertolak balik ke kampung, lebih awal dari kebiasaan. Selalunya lepas Maghrib/Isyak baru kami balik. Kali ni aku nak tukar taktik..nak awal sikit daripada orang lain yang bergerak malam. Boleh sampai kampung awal sikit, takde la tengah malam. Aku nak bawa bekal untuk berbuka siap2, tak kalut nak berbuka di R&R. Nampak tak perancangan tu? Biasa la kan..kita kan mampu merancang je. Yang selebihnya berserah kepada Allah.

Ramadan..oh Ramadan..
Bagaimana puasa kalian? Dah buat yang terbaik tak rasa-rasanya? Ada tak terlintas di fikiran bahawa Ramadan ini mungkin yang terakhir? Kalau ada terlintas perkara tu, pasti kita tak akan sia-siakan bulan madrasah ini. Kalau leka berdendang dengan lagu raya je seharian..tu maknanya tak terfikir la tu. Satu perangai orang kita, Ramadan belum selesai dah sibuk dengan mood raya. Ibarat ada tetamu kat rumah, tapi kau sibuk tanya dia "Bila nak balik? Ada orang lain nak datang ni." Kan kurang sopan tu. Apa pun amalan yang kita buat, sama-samalah kita berdoa semoga amalan itu diterima oleh Allah. Taqabbal Allaahu minna wa minkum..

Sedar tak sedar rupanya bulan puasa kali ni takde sekali pun aku berbuka puasa di luar. Semua berbuka di rumah aku atau rumah emak. Bersahur je ada sekali di luar sambil menonton perlawanan akhir UEFA Champions League antara Juventus dan Real Madrid bersama Man, Sham, Sol dan Lan.

Amir dah berumur setahun sebelas bulan. Dah macam2 perangai dia. Kadang2 seronok, kadang2 pening, kadang2 sakit hati melayannya..haha

You know what.. I wish I can write many more things here. #blamethesocialmedia

Selamat Hari Raya Aidilfitri..
Maaf Zahir & Batin.

Wednesday, January 4, 2017

2016 yang semalam

Masa pantas berlalu, 2016 kini tinggal kenangan..

Sepanjang tahun 2016 aku sibuk menjalani kehidupan sebagai seorang bapa. Amir berumur genap setahun pada bulai Julai yang lalu. Sekarang umurnya dah setahun 5 bulan. Semasa umurnya sebelas bulan lebih dia dah pandai berjalan iaitu pada Hari Raya Puasa. Bulan lepas pula dia dijangkiti chicken pox (cacar air). Seminggu aku tak kerja sebab nak jaga dia. Mana boleh nak hantar ke rumah pengasuh kan.. nanti berjangkit pula ke budak lain. Elok je seminggu selepas aku ambil cuti jaga Amir, kerajaan umumkan kemudahan Cuti Kuarantin selama 5 hari untuk ibu bapa yang anaknya menghidap penyakit berjangkit. Hmm..sesuai sangat masa kau, kenapa tak umum awal lagi.

Maaf aku tak sempat nak berkongsi semua peristiwa di sini. Bila menulis di blog ni biasanya nak kena mengarang ayat dalam gaya bercerita. Tak sempat dik.. Sebab tu aku muat turun aplikasi Journey, senang sikit..buat catatan secara peribadi je. Yang mana aku rasa nak kongsi nanti aku kongsi la.

Apa yang aku boleh katakan..aku sangat seronok menjadi seorang bapa. Ia perkara yang aku nantikan dari dulu, mungkin sebab emak aku mengasuh anak orang. Jadi aku dan adik2 memang dah biasa melayan budak2. Membuat susu, menyuap makan, menukar lampin, memandikan, melayan kerenah. Hmmm..bab melayan kerenah tu memang kena banyak bersabar sebab anak kecil ni dia nak cuba buat macam2 benda..haha. Benda yang kita kata 'no' tu la benda yang paling dia minat nak buat. Apa pun..melihat anak membesar depan mata ni merupakan satu nikmat daripada Allah. Alhamdulillah..

Sepanjang tahun 2016 aku masih meneruskan rutin mingguan iaitu berjoging dan rutin bulanan iaitu memasuki acara larian. Aku juga dah cuba masuk larian denai (trail run) sebanyak 2 kali. Sejak bulan April juga aku mula join geng sekolah bermain bola sepak at least sebulan sekali. Futsal langsung tak main rasanya..haha.

Untuk tahun 2017 ni aku harap dapat membuat peningkatan untuk perkara berikut:
- solat
- tafsir Al-Quran

Tuesday, January 3, 2017

Selamat tahun baru 2017

Bila masuk tahun baru ni..aku cuba ingat kembali apa yang berlaku kepada aku sepanjang tahun 2016. Susah juga nak ingat satu per satu...dan rasa rugi juga sebab tak ingat.

Tiba-tiba terlintas di fikiran...macam bagus juga kalau ada diari. Bukan diari biasa yang siap ada tarikh dari awal tahun sampai hujung tahun tu, tapi diari kosong tanpa tarikh dan tahun. Bila ada sesuatu peristiwa penting, baru tulis tarikhnya dan catatannya. Bila masuk tahun baru, boleh sambung tulis di diari yang sama selagi muka suratnya masih ada. Lebih ekonomi. Jadi bila hujung tahun boleh tengok semula apa yang aku buat dan apa yang terjadi kat aku sepanjang tahun. Menarik juga ni..hmmm

Kemudian aku terfikir...ni zaman moden, mana orang tulis kat buku dah. Ketinggalan betul. Orang tulis dan simpan secara online la..lebih mudah.

Jadi aku pun dengan secara spontannya mencari 'diary' dalam Play Store di handphone. Akhirnya aku memuat turun aplikasi 'Journey'.. online journal & diary. Memang menarik. Sesuai la untuk aku catat apa yang patut dicatat..dan yang pentingnya ia 'private'. Takde la hilang macam tu je kenangan sepanjang tahun. Boleh buat rujukan di kemudian hari.

Semoga anda semua dirahmati sepanjang tahun 2017..
Dan jangan lupa untuk sentiasa bersyukur..