Tuesday, July 5, 2016

Debar Syaaban

Pada satu petang di bulan Syaaban yang lalu, aku menunggang motor balik dari kerja dengan meredah hujan dan ribut petir. Baju hujan memang sentiasa aku siap sediakan. Cahaya kilat sangat terang silih berganti dan bunyi petir sangat kuat bertalu-talu umpama petir menyambar di sebelah telinga je. Berdebar betul masa tu, terasa petir tu dah terlalu hampir dan bila-bila masa saja aku boleh disambar. Trafik semua dah tak bergerak. Kebanyakan penunggang motor yang lain pula dah berteduh di bawah jambatan/flyover.

Macam-macam ayat la aku baca supaya selamat. Tapi satu doa aku yang paling utama masa tu ialah semoga Allah beri aku kesempatan bertemu dengan Ramadan yang bakal tiba beberapa hari saja lagi. Itu je harapan aku.

Beberapa ketika kemudian aku terpaksa berhenti juga di bawah flyover bersama geng2 motor yang lain sebab hujan semakin lebat dan angin sangat kuat sampai rasa susah motor nak bergerak ke depan, terhuyung hayang dibuatnya. Jalan pun dah tak nampak sangat.

Sekejap rasanya masa berlalu, hari ini sudah hari terakhir di bulan Ramadan 1437H. Aku bersyukur kepada Allah kerana memberi kesempatan kepadaku untuk bertemu penghulu segala bulan ini. Alhamdulillah.

Monday, July 4, 2016

Raya bertiga

Pada hari raya Aidilfitri tahun lepas, aku dan isteri tidak ikut mak dan abah pulang ke kampung di Johor kerana sedang menanti kelahiran anak sulung kami. Pada 12 Syawal, Amir selamat dilahirkan.

Kira-kira setahun berlalu, lusa kita akan merayakan Hari Raya Aidilfitri sekali lagi. Amir kini berusia 11 bulan dan akan menginjak ke usia setahun pada 23 Syawal nanti. Aku dan isteri dah tak sabar nak beraya bersama Amir buat kali pertama dan nak bawa dia berjumpa dengan sanak saudara di kampung. Ramai lagi saudara-mara yang belum sempat bertemu dengan Amir. Baju melayu raya dia pun dah dibeli sedondon dengan abah dan ibunya.

Satu benda aku nak pesan kat Amir nanti; dapat sampul raya jangan buka depan orang yang memberi tu. Tak sopan. (Macam la Amir faham pesanan aku tu..kihkih)

Selamat Hari Raya!
Maaf Zahir dan Batin.