Monday, March 21, 2016

Half-marathon pertama saya

Assalamualaikum..

Alkisahnya minggu lepas saya dah selamat berlari untuk jarak yang paling jauh pernah saya lari iaitu 21km. Tak sangka akhirnya saya masuk juga kategori larian sejauh ini. Sol la ni paksa saya..haha. Sebelum ni ada juga kawan daripada 'Geng lari-lari' ajak saya masuk 21km atau lebih mudah disebut HM (half-marathon), tapi saya kata "Kerja gila la nak lari jauh-jauh sampai 21km ni, malas la aku". Namun sekarang saya tak nak komen..hahaha

Pada hari Ahad itu, seawal pukul 3.20 pagi saya dah bangun dan bersiap untuk keluar. Woi..awal betul. Mujur Newcastle tiada perlawanan, boleh tidur awal. Biasanya saya hanya perlu bangun dalam pukul 5 pagi, sebab daftar pun untuk jarak 10 atau 12 km saja. Kemudian sempat solat Subuh di masjid yang berhampiran, dan mula berlari dalam pukul 7 pagi. Tapi ni lagi awal daripada tu. Sol tiba di rumah saya seperti yang dijanjikan pada pukul 4.00 pagi dan kami bertolak ke tempat larian. Di sana kami bertemu dengan Jejai. Mereka berdua ni dah ada pengalaman berlari HM sebelum ni. Saya je newbie.

Pada pukul 5.00 pagi kami sudah dilepaskan untuk UEM Charity Run 2016 yang berlangsung di Lebuhraya NKVE. Kali pertama saya mula berlari sebelum Subuh. Dari rumah saya dah siap-siap ambil wudhu supaya senang bila nak solat nanti. Persediaan saya memamg mantap dan sempat saya mengkhabarkannya kepada Sol.

Maka saya pun berlari dengan kelajuan sederhana. Sol seawal jarak 2km dah melepaskan saya berlari di depan, manakala Jejai dapat saya potong pada km ke-3. Sebelum masuk waktu Subuh, 4-5 kali juga saya terkentut. Tak guna..susah nak tahan..haha.

Saya dan pelari yang lain berhenti solat Subuh di tepi lebuhraya. Ada yang berhenti awal, ada yang berhenti kemudian. Stesen air yang disediakan oleh penganjur untuk pelari menyejukkan badan (besen berisi air dan span) menjadi tempat kami mengambil wudhu. Lari-lari juga, kewajipan jangan dilupa. Setelah saya habis solat, Sol baru tiba untuk solat. Saya meneruskan larian yang masih jauh lagi.

Akhirnya saya berjaya menamatkan larian half-marathon pertama saya dalam masa hampir 3 jam. Catatan masa rasmi saya ialah 2:54:56. Kedudukan jangan cerita la, no.600 lebih daripada 1080 peserta lelaki..hehe. Alhamdulillah, dapat habiskan pun dah puas hati.

Larian saya yang seterusnya ialah We Run KL 2016. Half-marathon juga!






Monday, March 7, 2016

Berlari

Assalamualaikum..

Sedar tak sedar, sudah setahun rupanya saya menceburkan diri dalam bidang larian. Semasa di sekolah tidak minat pula saya masuk aktiviti lari-lari ni. Saya lebih suka bermain bola sepak dan sepak takraw. Tapi latihan kadet infantri setiap minggu kena berlari keliling sekolah juga sambil menyanyi lagu-lagu kadet. Kalau ada acara dalam masa terdekat, bertambah teruk latihannya, kena berlari sambil menggalas M16. Biasa la tu, acara kawalan hormat atau perbarisannya sekejap saja, tapi persiapan dan latihan punya la berminggu-minggu. Mungkin disebabkan itu saya dah malas nak lari yang lain lagi..haha.

Berbalik kepada aktiviti sukan baru saya iaitu larian. Larian pertama saya ialah pada bulan Februari 2015 iaitu Kuala Lumpur City Day Run 2015. Sebenarnya pada tahun 2014 ada juga saya masuk satu larian iaitu Orange Run. Faizul yang ajak dan saya pun saja ikut sebab percuma. Tapi pada tahun 2015 la saya mula aktif berlari, daftar masuk larian sana sini. Boleh dikatakan setiap hujung minggu saya akan berjoging sekurang-kurangnya 5 km sebagai senaman. Pada hari bekerja susah sikit la nak berjoging sebab sampai rumah pun dah lewat petang.

Tiba-tiba 'larian' ni dah jadi aktiviti senaman utama pula untuk saya. Mungkin sebab ada geng, dan dimeriahkan pula dengan kumpulan Whatsapp. Kalau seorang diri nak masuk larian sana sini memang tak la. Sebelum kahwin dulu saya sangat aktif bermain futsal dan sesekali mendaki. Tapi sejak dah kahwin saya mula kurang bermain futsal. Sekarang tukar kepada berlari, dan ianya menyeronokkan juga. 

Untuk tahun 2015, purata dalam sebulan saya masuk 1 larian. Tolak bulan puasa dan bulan raya..hehe. Jadi tak banyak sangat la pingat. Selalunya saya masuk kategori jarak 10km, 12km atau 15km, tengok yang mana ada. 21 km (half marathon) tak pernah lagi. Setakat ni memang saya seronok la berlari. Hari Ahad lepas saya telah berlari di Kuala Lumpur City Day Run 2016 (12km), larian kedua saya untuk tahun 2016. Untuk bulan Mac dan April pun saya dah mendaftar untuk larian. Cukup la tu sebulan masuk satu larian.