Friday, August 21, 2015

Tugas suami selepas isteri bersalin

Bagi suami yang kali pertama menjadi ayah, tahniah diucapkan! Saya pasti pengalaman mendapat anak pertama merupakan hadiah yang paling bermakna berbanding segala hadiah yang anda pernah dapat di dunia ini. Dalam anda bergembira dan bersyukur mendapat anak, jangan lupa ada tugasan yang perlu dilakukan. 

Selepas isteri bersalin, saya dapat cuti selama seminggu. Kalau majikan anda cuma beri cuti selama 3 hari, saya nasihatkan ambil cuti tambahan dan genapkan seminggu. Percayalah, seminggu pun rasa macam tak cukup dan rasa sekejap sangat. Sebagai seorang suami dan bapa, dalam masa seminggu tu pelbagai perkara perlu dilakukan.

Sejurus selepas isteri bersalin, tugasan pertama untuk saya ialah menanam uri. Isteri saya bersalin pada pukul 2 pagi. Saya balik sebentar ke rumah selepas itu untuk berehat. Rumah saya pun tak jauh dari hospital, cuma 3 km. Saya datang semula ke hospital selepas Subuh. Selepas melihat anak dan isteri sekejap, saya pulang membawa uri untuk diuruskan. Tak boleh nak duduk lama pun dalam wad bersalin sebab belum waktu melawat. Selepas dicuci dengan air sehingga bersih, digaul dengan asam jawa dan garam, dan akhir sekali dilumur air perahan limau kasturi, uri itu saya tanam bersama ayah di halaman surau. Anda boleh juga tanam uri di tempat lain yang difikirkan selamat dari ancaman binatang. Kadang-kadang binatang seperti anjing masih boleh bau uri tu dan menggali tanah tersebut untuk memakannya.

Isteri saya dibenarkan keluar 16 jam selepas bersalin. Selepas isteri dibenarkan pulang ke rumah, tugas suami ialah melaporkan kelahiran bayi di klinik kesihatan yang berhampiran. Jururawat akan mengambil alamat kita dan memasukkan ke dalam senarai rumah yang akan dilawati.

Pada hari kedua atau ketiga, jururawat dari klinik kesihatan akan datang ke rumah untuk memeriksa keadaan bayi. Jika bayi dikesan ada penyakit demam kuning, jururawat akan minta kita membawa bayi ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. - Petua untuk mengelakkan demam kuning pada bayi

Untuk memudahkan kita sebagai suami, air zam zam dan susu kambing segar seharusnya dah tersedia di rumah. Kalau tiada di rumah pun, sekurang-kurangnya kita tahu di mana nak mendapatkannya bila perlu. Air zam zam boleh diberi buat sementara waktu kepada bayi jika susu badan isteri susah hendak keluar. Susu kambing segar pula berguna untuk merawat demam kuning.

Jika isteri bersalin normal, hari ke-4 ke atas tu dah boleh diurut selama 3 hari berturut-turut, bergantung kepada keadaan isteri juga. Jika isteri masih lemah mungkin boleh ditangguh sehari dua lagi. Tapi disebabkan cuti suami hanya seminggu, 4 hari terakhir cuti tu sepatutnya digunakan untuk urusan mengambil dan menghantar tukang urut. Kalau tukang urut boleh datang sendiri atau ada orang lain yang boleh uruskan tugasan tu tak mengapa lah. Jadi pastikan anda dah ada nombor telefon tukang urut dan terus buat tempahan selepas isteri bersalin.

Anda juga mungkin perlu ke pasar untuk membeli makanan segar seperti ikan dan sayur serta keperluan berpantang yang lain untuk isteri. Senaraikan siap-siap apa yang perlu dibeli.

Belajarlah memandikan bayi, menukar lampin dan membedung bayi. Kalau anda tak berani nak mandikan bayi, sekurang-kurangnya anda wajib tahu menukar lampin bayi dan membedungnya.

Nama anak sepatutnya dah ada sebelum dia dilahirkan. Dalam masa cuti seminggu ni jugalah anda boleh mendaftarkan kelahiran anak di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara.

Akhir sekali, bantulah isteri di atas apa saja keperluannya. Di saat ini dia amat memerlukan sokongan kita sebagai suami. 

Itu saja serba sedikit tugasan suami selepas isteri bersalin, harap dapat membantu terutama kepada yang kali pertama menjadi bapa. Tahniah!

Wednesday, August 19, 2015

Kini aku seorang bapa

Alhamdulillah.. Syukur ke hadrat Ilahi, pada tanggal 28 Julai 2015 aku telah menjadi seorang bapa. Isteriku selamat melahirkan anak lelaki kami secara normal di hospital. Menemani isteri semasa bersalin dan menyaksikan sendiri kelahiran anak pertama sesungguhnya pengalaman yang sangat bermakna dan menakjubkan.

Setelah sehari duduk di wad bersalin, isteri aku dibawa ke dewan bersalin pada pukul 11.00 malam. 3 jam kemudian iaitu pada pukul 2.00 pagi baru dia selamat bersalin. Selama 3 jam itu, aku sentiasa berada di sisinya. Seksa aku melihat dia menahan sakit sebab sebelum bersalin tu 3 kali dia kena induce.

Selepas anakku dilahirkan, aku mengazankannya. Masa tu aku rasa sangat syahdu..gembira yang teramat sangat sampai rasa nak menangis. Dah la masa tu dinihari, suasana pun sunyi. Walaupun ada doktor dan beberapa orang jururawat berhampiran aku masa tu, rasa macam hanya aku dan anak aku, dalam dunia sendiri..dah hanya suara azan yang kedengaran. Yang anak aku pulak terkebil-kebil mendengar suara azan. Subhanallah..