Friday, August 21, 2015

Tugas suami selepas isteri bersalin

Bagi suami yang kali pertama menjadi ayah, tahniah diucapkan! Saya pasti pengalaman mendapat anak pertama merupakan hadiah yang paling bermakna berbanding segala hadiah yang anda pernah dapat di dunia ini. Dalam anda bergembira dan bersyukur mendapat anak, jangan lupa ada tugasan yang perlu dilakukan. 

Selepas isteri bersalin, saya dapat cuti selama seminggu. Kalau majikan anda cuma beri cuti selama 3 hari, saya nasihatkan ambil cuti tambahan dan genapkan seminggu. Percayalah, seminggu pun rasa macam tak cukup dan rasa sekejap sangat. Sebagai seorang suami dan bapa, dalam masa seminggu tu pelbagai perkara perlu dilakukan.

Sejurus selepas isteri bersalin, tugasan pertama untuk saya ialah menanam uri. Isteri saya bersalin pada pukul 2 pagi. Saya balik sebentar ke rumah selepas itu untuk berehat. Rumah saya pun tak jauh dari hospital, cuma 3 km. Saya datang semula ke hospital selepas Subuh. Selepas melihat anak dan isteri sekejap, saya pulang membawa uri untuk diuruskan. Tak boleh nak duduk lama pun dalam wad bersalin sebab belum waktu melawat. Selepas dicuci dengan air sehingga bersih, digaul dengan asam jawa dan garam, dan akhir sekali dilumur air perahan limau kasturi, uri itu saya tanam bersama ayah di halaman surau. Anda boleh juga tanam uri di tempat lain yang difikirkan selamat dari ancaman binatang. Kadang-kadang binatang seperti anjing masih boleh bau uri tu dan menggali tanah tersebut untuk memakannya.

Isteri saya dibenarkan keluar 16 jam selepas bersalin. Selepas isteri dibenarkan pulang ke rumah, tugas suami ialah melaporkan kelahiran bayi di klinik kesihatan yang berhampiran. Jururawat akan mengambil alamat kita dan memasukkan ke dalam senarai rumah yang akan dilawati.

Pada hari kedua atau ketiga, jururawat dari klinik kesihatan akan datang ke rumah untuk memeriksa keadaan bayi. Jika bayi dikesan ada penyakit demam kuning, jururawat akan minta kita membawa bayi ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. - Petua untuk mengelakkan demam kuning pada bayi

Untuk memudahkan kita sebagai suami, air zam zam dan susu kambing segar seharusnya dah tersedia di rumah. Kalau tiada di rumah pun, sekurang-kurangnya kita tahu di mana nak mendapatkannya bila perlu. Air zam zam boleh diberi buat sementara waktu kepada bayi jika susu badan isteri susah hendak keluar. Susu kambing segar pula berguna untuk merawat demam kuning.

Jika isteri bersalin normal, hari ke-4 ke atas tu dah boleh diurut selama 3 hari berturut-turut, bergantung kepada keadaan isteri juga. Jika isteri masih lemah mungkin boleh ditangguh sehari dua lagi. Tapi disebabkan cuti suami hanya seminggu, 4 hari terakhir cuti tu sepatutnya digunakan untuk urusan mengambil dan menghantar tukang urut. Kalau tukang urut boleh datang sendiri atau ada orang lain yang boleh uruskan tugasan tu tak mengapa lah. Jadi pastikan anda dah ada nombor telefon tukang urut dan terus buat tempahan selepas isteri bersalin.

Anda juga mungkin perlu ke pasar untuk membeli makanan segar seperti ikan dan sayur serta keperluan berpantang yang lain untuk isteri. Senaraikan siap-siap apa yang perlu dibeli.

Belajarlah memandikan bayi, menukar lampin dan membedung bayi. Kalau anda tak berani nak mandikan bayi, sekurang-kurangnya anda wajib tahu menukar lampin bayi dan membedungnya.

Nama anak sepatutnya dah ada sebelum dia dilahirkan. Dalam masa cuti seminggu ni jugalah anda boleh mendaftarkan kelahiran anak di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara.

Akhir sekali, bantulah isteri di atas apa saja keperluannya. Di saat ini dia amat memerlukan sokongan kita sebagai suami. 

Itu saja serba sedikit tugasan suami selepas isteri bersalin, harap dapat membantu terutama kepada yang kali pertama menjadi bapa. Tahniah!

Wednesday, August 19, 2015

Kini aku seorang bapa

Alhamdulillah.. Syukur ke hadrat Ilahi, pada tanggal 28 Julai 2015 aku telah menjadi seorang bapa. Isteriku selamat melahirkan anak lelaki kami secara normal di hospital. Menemani isteri semasa bersalin dan menyaksikan sendiri kelahiran anak pertama sesungguhnya pengalaman yang sangat bermakna dan menakjubkan.

Setelah sehari duduk di wad bersalin, isteri aku dibawa ke dewan bersalin pada pukul 11.00 malam. 3 jam kemudian iaitu pada pukul 2.00 pagi baru dia selamat bersalin. Selama 3 jam itu, aku sentiasa berada di sisinya. Seksa aku melihat dia menahan sakit sebab sebelum bersalin tu 3 kali dia kena induce.

Selepas anakku dilahirkan, aku mengazankannya. Masa tu aku rasa sangat syahdu..gembira yang teramat sangat sampai rasa nak menangis. Dah la masa tu dinihari, suasana pun sunyi. Walaupun ada doktor dan beberapa orang jururawat berhampiran aku masa tu, rasa macam hanya aku dan anak aku, dalam dunia sendiri..dah hanya suara azan yang kedengaran. Yang anak aku pulak terkebil-kebil mendengar suara azan. Subhanallah..

Tuesday, February 24, 2015

Kasut paling sesuai untuk menunggang motosikal

Sebelum saya memulakan cerita, saya ada 1 soalan: Motorsikal atau motosikal?
Jawapannya 'motosikal' ye anak-anak..(sumber: DBP)

Ramai orang menunggang motosikal untuk pergi ke tempat kerja, termasuklah saya. Ini kerana menunggang motosikal lebih menjimatkan duit dan masa. Tak perlu membayar duit tol, kos minyak yang lebih murah dan tak terperangkap dalam kesesakan trafik. Cuma kalau hujan tu memang basah la ye..hehe. Jadi untuk mengelakkan basah, kita perlu bersedia dengan baju hujan. Tak perlu nak buang masa duduk berteduh bawah jambatan apabila hujan, tambahan pula duduk di bawah jambatan ni pun bahaya sebab kadang kala pemandu kenderaan yang lain tak perasan kehadiran kita di situ. Cuma kalau hujan terlalu lebat sampai tak nampak jalan tu kena la berteduh juga sekejap.

Faktor cuaca yang tidak menentu semasa pergi dan balik dari kerja menyebabkan ramai penunggang motosikal meninggalkan kasut kerja di pejabat dan hanya memakai selipar semasa menunggang. Kalau pakai kasut kerja nanti basah pulak. Ini sebenarnya tindakan yang tidak selamat terutama kalau jarak dari rumah ke tempat kerja agak jauh. Semasa hujan, selipar akan menjadi licin dan ada kemungkinan boleh tergelincir dan tertanggal dari kaki. Jika berlaku kemalangan pula, kaki akan cedera kerana tiada perlindungan.

Tak salah kalau anda meninggalkan kasut kerja di pejabat, tapi anda harus memakai kasut lain sebagai ganti untuk menunggang motosikal, bukan memakai selipar. Setelah puas mencari-cari, saya akhirnya menemui jawapan bahawa kasut yang sesuai dipakai untuk menunggang motosikal ialah kasut sukan air (water sport shoes). Kasut sukan air ni ringan dan cepat kering bila terkena air sebab ia ada lubang-lubang untuk membenarkan air mengalir keluar. Jadi tak kisahlah kalau kena hujan, sampai rumah atau pejabat cuma perlu biarkan ia kering. Dah memang kasut ni dicipta untuk kena air pun.

Ada banyak kasut sukan air di pasaran. Jenama Adidas mempunyai beberapa keluaran kasut sukan air yang menarik. Ianya direka untuk kegunaan di atas bot sebenarnya, tapi sangat praktikal untuk digunakan di atas motosikal sebab di Malaysia ni selalu hujan, jadi bila kita naik motosikal tu umpama aktiviti sukan air juga..hehehe.

Adidas Climacool Boat

Adidas Boat CC Lace

Lubang-lubang air di bahagian dalam kasut

Bergaya dan selamat ;)
Bagi yang memakai selipar semasa menunggang motosikal tu cuba ubah gaya supaya lebih selamat. Pilihlah kasut macam mana pun, yang penting tak pakai selipar.

Jumpa lagi! ;)