Sunday, August 11, 2013

Dugaan malam raya 2013

Alhamdulillah, setelah pulang ke kampung untuk berhari raya, semalam (Sabtu) saya dan keluarga selamat sampai di rumah. Keadaan trafik pun baik. Rasa sangat lega bila sampai. Meh sini saya bercerita tentang kisah malam raya saya.

Saya dan keluarga bertolak pulang ke kampung pada malam raya iaitu pada pukul 10.30 malam. Kami singgah di Melaka untuk mengambil adik saya yang bekerja di sana dan meneruskan perjalanan. Kami memang selalu balik pada malam raya sebab adik-adik saya jarang dapat cuti awal. Saya sendiri pun masih bekerja sehingga hari terakhir sebelum raya.

Kira-kira pukul 2 pagi ketika saya sedang memandu, kedengaran satu bunyi dari bahagian enjin.."trettt". Saya memperlahankan sikit kereta sambil cuba mendengar kembali bunyi tadi, tapi bunyi itu tidak kedengaran lagi. Saya pun teruskan memandu. Dalam hati dah mula timbul tanda tanya. Setengah jam kemudian saya memberhentikan kereta di Hentian Simpang Renggam untuk ke tandas. Saya biarkan enjin hidup sebab risau enjin tak boleh dihidupkan kembali jika dimatikan. Gerak hati saya menyatakan begitu.

Selepas itu adik saya pula memandu. Kalau dicongak, kami akan akan tiba pada pukul 3.30 pagi. Kira-kira pukul 3 pagi kereta kami terasa seperti tersengguk-sengguk. Adik saya memperlahankan kereta. Terjadi lagi benda yang sama. Memang sah kereta ayah ada masalah. Kebetulan masa itu kami berada betul-betul sebelum simpang masuk ke Hentian Kulaijaya. Maka kami pun masuk dan memberhentikan kereta di salah satu petak parking. Pada masa tu lampu penunjuk bateri dah menyala dan lampu radio dah terpadam. Ayah yakin ini masalah alternator sebab bateri baru 4 bulan digunakan. Kami mematikan enjin dan cuba untuk menghidupkannya semula tapi tidak berjaya.

Ayah cuba menghubungi beberapa orang saudara di JB tapi tiada yang berangkat. Maka saya pun menghubungi PLUS. Setengah jam kemudian Plusronda tiba. Mereka memeriksa kerosakan. Disebabkan hampir pasti itu masalah alternator, mereka tak boleh buat apa-apa, lalu mereka menghubungi trak tunda dari bengkel panel PLUS yang terletak berhampiran. Selepas itu Plusronda beredar.

Pada waktu trak tunda tiba, hujan sudah mulai turun. Saya dan ayah terpaksa memayungi pemandu trak ketika dia memeriksa enjin. Dia juga berpendapat itu masalah alternator. Kereta terpaksa ditunda ke bengkel mereka yang terletak berhampiran tol Kulaijaya. Ketika ini berlaku insiden yang penuh adventure. Setelah kereta dinaikkan ke atas trak tunda, pemandunya bertanya siapa yang nak duduk di depan bersamanya dan siapa yang nak duduk di dalam kereta kami yang telah dinaikkan ke atas trak. Saya memilih untuk duduk di dalam kereta manakala ayah dan emak duduk di depan bersama pemandu. Adik saya memang sudah berada di dalam kereta sebab dia yang mengawal stereng ketika kereta ditarik naik ke atas trak. Pemandu trak cepat-cepat masuk ke dalam trak sebab hujan semakin lebat.

Sebelum memanjat ke atas trak, saya cuba membuka pintu kereta tapi tidak berjaya. Saya mengetuk pintu sebagai isyarat supaya adik saya membuka pintu itu dari dalam. Entah macam mana, adik saya turun pula dari trak tunda sebab dia fikir saya bagi isyarat supaya turun. Dalam masa yang sama, saya berjaya membuka pintu kereta ayah dan cuba memanjat untuk naik. Satu kaki saya sudah memijak badan trak dan satu lagi kaki masih tergantung. Ketika itu trak sudah mula bergerak. Saya terpaksa menurunkan semula kaki dan menutup semula pintu kereta sebab saya fikir pemandu trak nak mengalihkan traknya ke depan sikit.

Ya ampun, rupanya dia terus bergerak meninggalkan saya dan adik. Kami cuba mengejar tapi trak semakin jauh sehingga dah keluar dari kawasan rehat (ni Wakenabeb ke apa?). Nasib baik saya berjaya menghubungi ayah dan beritahu kami tertinggal di belakang. Bayangkanlah dengan keadaan hujan pada masa tu, saya dan adik terpaksa berlindung dengan satu payung dan berlari sejauh kira-kira 500 meter ke arah trak tunda yang menunggu kami di tepi lebuhraya. Sengal juga mamat ni...boleh dia tanya kenapa saya tak naik. Aku belum sempat naik la woi!

Kami sampai di rumah makcik pada pukul 5.30 pagi. Usai solat raya pagi itu, tiada lain yang kami buat selain tidur hingga ke tengahari. Jadi jangan tanya saya tentang gambar raya pertama. Itulah kisah saya di malam raya. Baru je saya bercerita tentang dugaan-dugaan ketika nak beraya pada entri yang lepas kan. Betul-betul terjadi pada kami sekeluarga. Tapi kami menghadapinya dengan tenang sebab ini bukan kali pertama kereta kami rosak. Pada Hari Raya tahun ni, itulah topik sensasi keluarga kami yang diceritakan dari rumah ke rumah. ;p


8 comments:

zi wahid said...

nasib baik sempat turun dari trak tu, kalo tak mesti dh jadi stuntman 500m..hehe.
Salam Syawal ke-4.

Chuu Muqhlis said...

adeh., dugaan betul. alhamdulillah semuanya x ape2., btw memule ingt ni cite seram hehe.

salam syawal!

Sky0ne said...

Ini betul2 punya dugaan ni. Nasib baik sempat juga solat raya. Selamat hari raya bro!

♥ Nana BamBam ♥ said...

Assalam bingka,

dugaan membuatkan kita kenal erti
kesabaran...
mungkin pemandu trak tu tak perasan kot....

Lan Bingka said...

zi wahid: bila cerita balik, memang tergelak..hahaha

Lan Bingka said...

Chuu Muqhlis: tak seram, sengal je..haha. salam syawal juga!

Lan Bingka said...

Faizal Anuar: sedih la kalau tak sempat solat raya..hehe. selamat hari raya!

Lan Bingka said...

Nana: Memang dia tak perasan. Kalau perasan, memang nak kena la..haha