Monday, July 29, 2013

Qiamullail..aku datang

Assalamualaikum. Saya nak cerita pengalaman saya mengikuti qiamullail. Saya sebenarnya dah lama tidak mengikuti qiamullail. Dia punya lama tu sampai saya dah lupa bila kali terakhir saya berqiamullail. Jadi mohon jangan fikir saya nak berbangga diri, kerana niat saya hanya untuk berkongsi. Mungkin dapat beri semangat pada orang lain pula.

Apabila pengerusi surau mengumumkan bila tarikh qiamullail akan diadakan, saya terus menanamkan azam untuk mengikutinya. "Bila lagi? Nak buat sendiri memang tak la. Sementara ada geng nak buat secara berjemaah ni, baik pergi"  Itu yang bermain di fikiran saya. Alhamdulillah, tergerak juga hati saya nak pergi kali ni. Tapi saya risau juga kalau jadi hangat-hangat tahi ayam je rancangan saya tu.

Seminggu kemudian, hari yang dimaksudkan pun tiba. Sebelum memulakan solat tarawih pada malam tu, pengerusi surau mengingatkan sekali lagi tentang qiamullail yang akan diadakan pada awal pagi esok dan akan dimulakan pada jam 3.30 pagi. Banyak kali saya bagi semangat pada diri sendiri supaya tidak malas untuk bangun dan ke surau. Caranya mudah, saya anggap ini Ramadan terakhir saya. Manalah tahu kan? Sebenarnya antara banyak-banyak perkara dalam hidup kita ni, kematian la yang paling hampir dengan kita, cuma kadang-kadang kita terlupa dan terleka. Mujur saya tak keseorangan, ayah, emak dan dua orang adik saya pun nak pergi. Baru semangat sikit. Diorang memang selalu pergi, tak macam saya.

Semasa tazkirah selepas 4 rakaat bertarawih, uztaz jemputan pun menyentuh tentang qiamullail. Beliau menyarankan supaya kita cuba untuk menangis ketika berqiamullail, berdoa dan memohon keampunan dari Allah. Masa ni saya macam terpotong sikit mood sebab saya tak gemar benda yang disuruh-suruh ni, macam tak semulajadi la keadaannya. Macam tak ikhlas dari hati. Contoh macam dekat facebook la, kongsi gambar kaabah lepas tu suruh orang like. Kalau tak like, tak sayang Islam. Daripada nak like, terus tak jadi.

Pada pukul 2.45 pagi saya bangun dan buat air kopi, tak nak mengantuk la kononnya. Nampak tak gaya orang jarang pergi? Beria sikit. Kemudian saya pun bersiap dan berjalan kaki menuju ke surau bersama adik. Ayah dan emak dah pergi lebih awal.

Lampu ditutup sebelum solat dimulakan, hanya ada cahaya dari lampu bahagian luar surau. Solat pertama yang akan dilakukan ialah Solat Sunat Tahajjud. Imam Muda Miril pun memulakan solat. Para jemaah menuruti dengan mengangkat takbir. Sejurus saya mengangkat takbir, air mata dengan sendirinya mengalir membasahi pipi. Ya Allah, sungguh semulajadi, bukan mood sedih yang dibuat-buat dan bukan sebab terikut-ikut perasaan orang lain. Bacaan imam yang begitu merdu menambah lagi kesayuan saya di sepanjang solat itu. Selesai solat tahajjud, qiamullail diteruskan dengan Solat Tasbih, Solat Taubat dan Solat Hajat. Qiamullail selesai pada pukul 5 pagi dan para jemaah bersahur bersama sebelum disambung dengan Solat Subuh dan Kuliah Subuh.

Kalau ada kesempatan untuk berqiamullail..buatlah. Sangat berbaloi. Rasa tenang bila dah menangis di depan Allah. Jika kita dah lama tak memohon keampunan daripada Allah, inilah masanya. Kalau kita ada hajat, di bulan yang mulia inilah masanya untuk berdoa betul-betul kepada Allah. Kalau ditakdirkan ajal kita tiba sebelum Ramadan yang akan datang, sekurang-kurangnya kita dah bertaubat daripada segala dosa yang lampau. Kalau tak sempat untuk berqiamullail, buatlah Solat Hajat dan Solat Taubat di rumah, sementara Ramadan masih ada.

P.S: Saya bukan orang paling baik untuk memberi nasihat begini, tapi rasa rugi pula jika tak dikongsi.

Thursday, July 25, 2013

Itu ini tarawih

Semalam kembang kempis hidung saya semasa bersolat tarawih disebabkan bau minyak wangi yang terlalu kuat. Kalau kita nak ke masjid memang la bagus memakai wangian, tapi janganlah kuat sangat baunya sampai nak tersumbat hidung orang lain menghidunya.

Satu perkara yang saya perhatikan, kenapa ada orang yang susah sangat nak memenuhkan saf? Bagi saya senang, kalau saf yang betul2 di depan kita kosong, teruslah melangkah ke depan. Tak perlu nak tunggu orang depan pandang ke belakang untuk mengajak kita ke depan. Lepas tu bila orang dah ajak ke depan, kita sibuk nak suruh orang sebelah kita pulak ke depan. Kemudian rapatkan la saf ke kiri atau kanan sehingga dapat menyentuh lengan orang di sebelah.

Lagi satu saya nak tanya ni, anak siapa yang suka sangat main mercun berhampiran kawasan surau/masjid? Terkejut jemaah tahu tak? Kesian pada orang yang lemah semangat. Kalau dah tak solat tu hormat la pada orang lain yang nak bersolat.

Kalau ke surau atau masjid, jangan lupa bawa sedikit duit untuk menderma. Kan bagus di bulan mulia ni.. :)

Walau apapun gangguan semasa bersolat, kita kena sentiasa bersabar ok :)

Wednesday, July 24, 2013

Berbuka puasa

Tahniah saya ucapkan kepada orang yang tidak membazir duit untuk berbuka puasa. Sesungguhnya bulan puasa ni bukan bulan pesta makan, sampai nak beli macam-macam makanan. Berbuka puasa ni macam makan malam biasa je, tak perlu nak berbelanja secara berlebihan. Cuma kadang-kadang tu ada kawan yang dah lama kita tak jumpa ajak berbuka bersama, mungkin boleh la makan istimewa sikit. Tapi tetap kita tak patut membazir duit. 

Itu bab membazir duit. Ini bab makan secara berlebihan.  Janganlah kita makan sampai terlalu kenyang bila berbuka puasa. Sampai nak solat maghrib pun tak larat. Makan secara berlebihan ni la yang membuatkan kita mengantuk ketika solat tarawih. Itu kira baguslah mampu pergi juga solat tarawih. Ada yang sampai tak larat nak bangun, terbaring kekenyangan di rumah.

Mari kita manfaatkan lagi 2 minggu Ramadan yang tinggal. Kurangkan makan, banyakkan amalan. Peringatan untuk saya juga ni. :)

Monday, July 22, 2013

Harta

Salah satu topik dalam tazkirah yang saya ikuti semasa selingan solat tarawih ialah perihal harta. Kita sebagai umat Islam tidak dilarang sama sekali untuk mencari harta, tapi jangan sampai hal harta ni kita simpan di dalam hati. Maknanya jangan kita terlalu menyayangi harta dunia dan jangan kita terlalu memikirkannya sampai pening kepala. Apa yang terjadi sekarang ialah manusia berlumba-lumba mencari harta dunia sehingga melupakan akhirat. Manusia juga sanggup melakukan apa saja demi harta.

Sesungguhnya harta ni..semakin dicari semakin tidak cukup rasanya. Biarlah sedikit harta yang kita miliki tetapi barakah. Jika kita dimurahkan rezeki oleh Allah untuk mempunyai harta yang banyak, gunakanlah harta itu dengan sebaiknya dan jangan kita terlalu berkira untuk menggunakannya ke jalan Allah kerana itu sebenarnya amanah Allah kepada kita. 

Tak perlulah kita sampai bermusuhan disebabkan harta kerana itu semua bersifat sementara dan tidak boleh dibawa mati. Mari kita sama-sama renungkan tazkirah ini dan sentiasa beringat bahawa semua harta di dunia ni milik Allah semata-mata.

Wednesday, July 10, 2013

Bulatan rahsia

Si A menceritakan sesuatu kepada Si B dan pesan padanya jangan ceritakan pada kawan yang lain.
Si B menceritakan kisah Si A pada Si C dan pesan jangan kecoh-kecoh pada yang lain.
Si C pula menceritakan kisah Si A pada Si D dan pesan jangan cerita pada orang, "habis kat sini je tau"
Si D menceritakan kisah Si A pada Si E dan pesan padanya "diam-diam sudah"
Si E pula dah tahu awal-awal lagi daripada Si A, tapi buat-buat tak tahu je. ;)


Sebenarnya semua kawan dah tahu.
Selalu terjadi tak? ;)