Saturday, June 15, 2013

Persediaan sebelum bercuti ke luar negara

Saya ingin berkongsi dengan anda persediaan sebelum bercuti ke luar negara. Adapun panduan ini hanya berdasarkan pengalaman saya dan untuk percutian singkat sahaja.

Perancangan (bermula 6 bulan sebelum tarikh jangkaan berlepas)
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah tentukan destinasi yang ingin dilawati dan tetapkan tarikh untuk bertolak dan pulang. Dari situ anda boleh buat timeline untuk memastikan persediaan anda teratur. Maknanya anda tentukan tarikh-tarikh penting seperti bila nak beli tiket penerbangan, bila nak mohon cuti daripada majikan, bila nak buat tempahan penginapan dan bila nak beli tiket-tiket lain yang perlu. Buat tempahan awal untuk mendapatkan harga yang lebih murah dan mengelakkan kesesakan tempat. Bagi saya, tiket penerbangan merupakan faktor penentu utama untuk kos perbelanjaan sebab di situ saja kita boleh jimat RM1000-2000 jika kita buat tempahan seawal 3-4 bulan sebelum tarikh berlepas.

Kajian tempat
Buat kajian mengenai destinasi yang akan dilawati. Laman web Wikitravel mungkin boleh membantu anda. Dari situ anda akan mendapat maklumat dan idea untuk merancang jadual perjalanan. Buat kajian mengenai sistem pengangkutan bagi memudahkan pergerakan anda. Pilih pas harian jika ada kerana ianya lebih jimat. Kadang-kadang terdapat juga pengangkutan seperti feri/bas/keretapi untuk ke negara yang terletak berhampiran. Jadi boleh la dimasukkan sekali dalam jadual perjalanan kalau sesuai. Buat carian mengenai restoran halal yang terdapat di sana. Laman web zabihah.com  boleh membantu anda. Untuk mengetahui waktu solat, anda boleh layari laman web Islamic Finder.

Senarai barang
Penyediaan senarai barang sangat penting sebelum bertolak ke luar negara. Buat senarai barang dan kemaskini senarai tersebut dari semasa ke semasa jika ada yang terlupa disenaraikan. Terus catat di handphone jika ada barang tambahan yang terlintas di fikiran. Antara barang penting yang perlu dibawa ialah:

1. Pasport - pastikan tarikh tamat tempohnya lebih dari 6 bulan dari tarikh anda pulang semula ke negara.
2. Botol air (kalau dapat yang foldable pun bagus) - SANGAT berguna untuk urusan di tandas.
3. Sejadah ringan
4. Kamus poket (berguna di negara yang kurang menggunakan Bahasa Inggeris)
5. Extension cable - Macam2 benda kita nak cas. Di hotel selalunya hanya ada 1 atau 2 plug point saja.
6. Power bank
7. Universal adaptor
8. Peta
9. Sling bag - senang untuk bawa barang semasa berjalan-jalan dan senang untuk mengambil barang bila diperlukan.
10. Ubat-ubatan
11. Kad memori tambahan untuk kamera/video
12. Chewing gum - alternatif untuk membersihkan gigi kalau tak sempat gosok gigi ;)
13. Barangan toiletries seperti sabun, berus gigi, ubat gigi, syampu, deodorant dan sebagainya
14. Tisu basah (Wet tissue)

Botol air foldable. Kalau takde yang macam ni, botol air mineral pun boleh.

Pakaian
Jangan bawa terlalu banyak. Kalau ke tempat bersuhu sejuk, 2 helai t-shirt, sehelai hoody, sehelai jumper, sehelai seluar tracksuit dan sehelai seluar jeans pun sudah memadai. Kalau nak kurangkan berat beg, tak payah bawa seluar jeans pun takpe, cukup satu yang anda pakai tu. Di sana badan tak berbau pun kalau tak mandi sebab tak berpeluh. Anda boleh beli sehelai-dua lagi t-shirt di sana jika tak cukup. Kalau ke negara panas, macam di Malaysia saja la pakaiannya. Mungkin boleh bawa topi untuk mengelakkan kulit muka daripada terbakar akibat lama terdedah kepada cahaya matahari. Kasut yang selesa seperti kasut sukan juga amat penting, sebab selalunya anda akan banyak berjalan kaki semasa percutian anda.

Makanan dan minuman
Jangan bawa terlalu banyak. Bagi yang ingin berjimat, bawa bekalan untuk sarapan pagi (jika tak disediakan di tempat penginapan), bekalan untuk berjalan-jalan dan sedikit untuk makan malam. Untuk sarapan pagi, anda boleh bawa tuna, sup cendawan dalam paket, minuman bijirin, oat dan sebagainya. Roti boleh dibeli di sana. Untuk bekalan semasa berjalan-jalan, boleh bawa biskut atau coklat. Mi segera boleh disediakan untuk makan malam. Sos dalam paket juga boleh dibawa untuk kepuasan semasa makan sebab masakan di tempat orang kadang-kadang tak kena dengan selera kita. Untuk minuman, boleh bawa yang jenis 3 in 1 seperti milo, teh tarik atau kopi.

Coklat yang mengenyangkan

Serius sedap!
Cuaca
Jika ke negara yang mempunyai banyak musim, kenal pasti musim apa yang akan anda hadapi. Jika anda akan menghadapi cuaca yang sejuk, antara kelengkapan yang perlu ialah:

1. Jaket - berhud dan kalis air
2. Pelembap bibir - mengelakkan bibir kering (cuaca sejuk akan menyebabkan bibir kering)
3. Pelembap kulit - mengelakkan kulit kering pada musim sejuk dan panas
4. Stokin - bawa banyak (sekurang-kurangnya 3 pasang) sebab cuaca yang sejuk menyebabkan bahagian dalam kasut menjadi lembap/basah walaupun tidak hujan
5. Sarung tangan
6. Kasut yang sesuai
7. Jika anda akan menghabiskan banyak masa di tempat yang terbuka (outdoor), dan mungkin akan menghadapi cuaca yang tidak menentu, jangan lupa sediakan baju hujan.

Traveler rain coat

Bank
Kad kredit amat berguna kerana boleh digunakan jika berlaku kecemasan seperti duit hilang atau wang tunai tidak mencukupi. Seminggu sebelum berlepas, hubungi bank dan maklumkan bahawa anda mungkin akan menggunakan kad kredit di luar negara. Hubungi juga bank ATM anda, maklumkan bahawa mungkin anda akan membuat pengeluaran di luar negara.

Duit tabung
Jika bercuti secara berkumpulan, amalkan kaedah duit tabung. Lantik seorang bendahari untuk menjaga duit tabung tersebut. Kumpul jumlah wang yang sama dari setiap ahli dan masukkan ke dalam akaun duit tabung, contohnya setiap seorang beri 50 pound. Duit ini akan digunakan untuk semua perbelanjaan bersama, iaitu perbelanjaan yang melibatkan pembahagian sama rata. Jadi tak perlu la nak kutip duit daripada setiap orang setiap kali nak bayar/beli sesuatu. Dan tak perlu la seorang ahli nak bayarkan dulu untuk semua orang, kemudian nak kutip balik daripada semua orang. Percayalah, nanti pening jadinya. Tugas bendahari pula, asingkan duit tersebut daripada duit sendiri. Mungkin boleh masukkan ke dalam sampul surat atau apa-apa bekas yang sesuai. Catat semua perbelanjaan. Kalau dah nak habis duit tu, kutip lagi secara sama rata daripada setiap seorang. Di akhir percutian, bahagikan baki duit tabung tersebut secara sama rata kembali. Lebih sistematik bukan?

Bagasi
Patuhi had berat bagasi sebelum menaiki pesawat. Layari laman web syarikat penerbangan untuk mengetahui peraturan bagasi mereka. Jika silap percaturan, anda akan rugi di sini. Contohnya anda ada 2 beg untuk dimasukkan ke ruang kargo. Jumlah berat kedua-dua beg ini tidak melebihi had yang ditetapkan, jadi anda anggap tiada masalah yang akan timbul. Sebenarnya ada kemungkinan had berat yang ditetapkan itu hanya untuk 1 beg saja. Beg yang kedua akan dikenakan caj. Jadi, pastikan anda baca dengan teliti peraturan berkaitan bagasi. Lebih baik bawa satu beg besar daripada bawa 2 beg bersaiz sederhana untuk dimasukkan ke ruang kargo. Masalah beg ni selalunya timbul masa nak balik, bila barang bertambah selepas membeli-belah. Beg yang hendak dibawa ke dalam kabin penumpang juga hendaklah dipastikan mematuhi ukuran dan berat yang dibenarkan. Bahan bersifat cecair pula hendaklah tersimpan di dalam bekas yang tidak melebihi 100 ml. Anda boleh dapatkan  set botol perjalanan di farmasi jika nak.


Itu saja perkongsian dari saya. Harap dapat membantu dalam persediaan anda ke luar negara. :)

4 comments:

Faizal Anuar said...

Bagus perkongsian ni. Tapi entah bila la aku nak ke luar negara lagi

Tinta Lana said...

Salam.

Lan..kat mana lan beli botol air foldable tu?

Tips yang lan bagi memang bagus, lagi2 untuk yg 1st time nak pi bercuti keluar negara.

Lan Bingka said...

Faizal Anuar: aku pun entah2 lepas ni tak pergi lagi. Dapat merasa sekali ok la

Lan Bingka said...

Tinta Lana: setakat ni saya jumpa kat uptown je.. kat kedai lain tak nampak lagi. Mungkin kat kedai outdoor pun ada :)