Friday, December 6, 2013

Cara mengelak install software yang tak diingini

Pernah tak tiba-tiba enjin carian yang anda tetapkan sebagi default berubah kepada enjin carian lain seperti Ask.com atau Plasmoo.com? Sebenarnya itu terjadi disebabkan kecuaian anda sendiri, atau pun orang lain yang menggunakan komputer anda. 

Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat banyak perisian percuma di internet. Selalunya perisian-perisian percuma ini disertai dengan perisian lain dalam fail pemasangannya. Jadi semasa melakukan proses pemasangan (installation), anda harus tengok setiap langkah tu dengan teliti. Jangan main next..next..next je. 

By default, perisian tambahan yang anda tak perlukan tu akan ditandakan juga untuk dipasang bersama perisian yang anda perlu. Contohnya seperti gambar di bawah:

Ask.com ditanda sebagai homepage dan enjin carian

Anda harus hilangkan tanda tick tu dulu, barulah teruskan dengan pemasangan. 

Jumpa lagi!

Thursday, November 28, 2013

Cara paling mudah muat turun video YouTube

Ada pelbagai cara untuk muat turun video dari YouTube. Antaranya dengan menyalin link url video ke dalam perisian yang dipasang di komputer atau menyalin url video ke laman web muat turun seperti KeepVid dan Savevid. Anda cuma perlu taip 'online youtube video downloader' di kotak carian, dan anda akan jumpa banyak lagi laman web yang lain. Di sini saya nak kongsikan satu cara paling mudah untuk muat turun video dari YouTube.

1. Cari video YouTube yang anda mahukan.

2. Tambah huruf 'ss' sebelum perkataan youtube pada url video tersebut. (Contohnya: www.ssyoutube....)


3. Selepas itu anda akan dibawa ke laman web savefrom.net


4. Pilih format yang anda mahu dan anda boleh terus muat turun video tersebut.

Mudahkan? 
Selamat mencuba!

Friday, November 1, 2013

Kerja yang tinggi

Jom kita lihat bagaimana pekerja penyelenggaraan memanjat menara setinggi 1768 kaki.



Saya dengar ada jawatan kosong untuk kerja ni. Siapa nak?

Tuesday, October 22, 2013

Bersederhana dalam majlis perkahwinan

Saya sangat tertarik apabila membaca kisah perkahwinan yang dibuat secara sederhana. Lagi saya tertarik jika bakal pengantin itu mampu untuk membuat majlis yang besar, tapi memilih untuk membuat majlis yang ringkas. Takde pun hantaran sampai berdulang-dulang. Hanya ada mas kahwin, sebentuk cincin dan senaskhah Al-Quran. 

Bukankah bagus kalau semua orang ada sifat bersederhana macam tu. Tak perlu membazir dan tak perlu nak menunjuk. Ada orang yang berhabis untuk majlis perkahwinan, tapi perkahwinan hanya bertahan beberapa bulan. Yang tinggal hanya hutang yang perlu dilangsaikan. Kan sedih tu.

Friday, October 18, 2013

Sarapan pagi Bukit Saga

Pagi Ahad itu Faizul datang ke rumahku seperti yang dijanjikan. Aku masuk ke dalam keretanya dan kami menuju ke kedai untuk bersarapan. Sebenarnya Faizul yang nak bersarapan. Aku dah pekena lempeng di rumah, jadi aku hanya minum saja. 

Di samping berbual dan melihat Faizul makan, aku memandang juga sekeliling melihat pelanggan-pelanggan lain yang ada dan mata aku ternampak 2 orang wanita sedang makan di sebuah meja di penjuru kedai. Seorang daripadanya memakai pakaian sukan..berseluar track dan berkasut sukan serta memakai bandana di kepala. "Tengok, kakak tu pun nak pergi hiking macam kita" tuturku kepada Faizul sambil menunjuk dengan pandangan mata. Selepas melihat ke mana arah mataku memandang, Faizul menoleh ke kiri dan terpaksa memusingkan badannya ke belakang sedikit untuk melihat. "Kakak?" soal Faizul. "Habis tu apa? Abang?" balasku separa tegas. "Bukan lelaki ke tu?" katanya. "Bukanlah, perempuan tu" kataku membetulkan tanggapannya. Dia sambung makan semula.

Beberapa ketika kemudian, 2 orang wanita tadi bangun dan beredar dari kedai. Masa tu baru aku nampak dengan jelas, orang yang aku kata perempuan tadi tu lelaki rupanya. Ish, dari belakang nampak macam perempuan la sebab rambutnya panjang hampir sampai ke bahu. Aku yang berjiwa tenang ketika itu tidak memberitahu Faizul perkara sebenar. ;)

Usai bersarapan, kami menuju ke 7-Eleven di seberang jalan dan membeli sedikit bekalan makanan dan minuman untuk mendaki. Selepas itu kami menuju ke kereta. Masuk saja ke dalam kereta, aku mendapat panggilan telefon dari sepupuku. "Ye ke? Innalilahi wainna ilaihirojiun..." itu yang keluar dari mulutku, lantas wajah nenek yang berusia 80-an terbayang di fikiran.
...

Sampai sahaja di depan rumah, aku meminta maaf kepada Faizul kerana terpaksa membatalkan aktiviti mendaki Bukit Saga buat kali pertama pada pagi 29 September itu. Aku perlu bersiap dan pulang ke kampung untuk menatap nenek buat kali terakhir.

Shout Box

Senang bila dah buang Shout Box. Tak perlu nak buat kerja-kerja pembersihan lagi. Dulu kat situ la tempat bertegur sapa dengan pengunjung dan rakan blogger. Kini dah jadi tempat iklan tak diundang. Sekarang cubalah buat iklan..haha

Thursday, October 10, 2013

Cara menghilangkan Most Visited Sites dalam Chrome

Satu perkara yang mendatangkan rasa tidak selesa apabila buka tab baru pada chrome ialah adanya paparan thumbnail "Most Visited Sites". Ini sedikit sebanyak akan menimbulkan masalah privasi atau keselamatan kepada kita terutama jika kita berkongsi komputer dengan orang lain. 

Ini langkah-langkah untuk menghilangkan thumbnail tersebut:
1. Taip  chrome://flags  pada address bar
2. Cari 'Enable Instant Extended API'
3. Tukar ke 'Disabled'
4. Klik 'Relaunch Now' di bahagian bawah.


Jumpa lagi.. :)

Tuesday, September 17, 2013

Ubahsuai pintu lama

Anda ada pintu lama yang tak digunakan? Jangan terus nak buang. Pintu-pintu lama ni masih boleh digunakan lagi. Kita cuma perlu melakukan sedikit ubahsuai untuk menjadikannya perabot atau hiasan yang menarik. Mari kita tengok apa yang boleh dilakukan dengan pintu lama:

Menjadi bingkai gambar
Menjadi bingkai gambar dan penyangkut baju
Menjadi meja makan
Menjadi ruang menyangkut baju
Menjadi rak
Menjadi meja ruang tamu
Menjadi tapak lampu bilik tidur
Menjadi sliding door
Menjadi tempat menyimpan peralatan berkebun
Pemberi kata-kata semangat di bilik mandi ;)

Macam-macam lagi boleh dibuat sebenarnya, bergantung kepada kreativiti masing-masing. Hmm..rasanya ada pintu jamban lama di kampung saya. Mungkin boleh diubahsuai menjadi sesuatu yang hebat. ;p

Thursday, August 29, 2013

Di garisan permulaan

Apabila berada di garisan permulaan, kita kena bersemangat!



Dia ditaja oleh Rockstar Energy Drink. Mungkin dia terlebih minum air tu..haha


Friday, August 23, 2013

Perbualan

Ada satu perkara yang saya kurang gemar dalam sesuatu perbualan iaitu soalan yang tak dijawab. Kalau memang hal peribadi dan sulit, saya faham dan saya pun takkan tanya lebih-lebih. Tapi kalau hal biasa yang sengaja tak diberitahu, saya kurang faham. Terus hilang mood untuk tanya soalan-soalan lain. Soalan dan jawapan ni pelengkap dalam sesuatu perbualan, barulah lancar dan seronok keseluruhan sesi tu. Tapi kita tak boleh nak paksa kalau orang tak nak jawab soalan kita. Hmm...takpe la. Apa yang boleh saya buat hanyalah bertenang.

Saya masih ingat satu masa dulu saya ikut seorang kawan berjumpa dengan kawan-kawannya yang dikenali sejak sekolah. Kami duduk minum petang di sebuah kedai. Mereka banyak berbual tentang hal mereka, jadi saya lebih banyak mendengar je la. Tiba-tiba salah seorang kawannya menegur saya "Weh, kenapa diam je, cakap la..cakap.."dengan gaya seperti Ahmad Nisfu menyuruh S.Shamsuddin berlakon. Saya jadi blur sekejap. Kalau korang berbual pasal satu benda yang umum, boleh la aku masuk sekali, ni benda yang aku tak tahu. Adoi..gagal la. Sebenarnya bukan susah nak minta orang turut serta dalam perbualan, tanyalah soalan kepadanya. Bila dia memberi jawapan, maka bermulalah satu perbualan. Kalau dia tak nak jawab tu tak boleh nak tolong la.

Wednesday, August 21, 2013

Jomdurian - Makan durian sambil beramal

Pada 18 Ogos 2013 iaitu pada hari Ahad lepas, saya telah ke Summit USJ untuk menghadiri program jomdurian-vi, iaitu satu acara memakan durian sambil mengumpul dana untuk Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia. Ini kali keenam program ini diadakan, tapi ini kali pertama saya menyertainya. Mula-mula semasa diajak oleh rakan 2 hari sebelum program, saya tak ambil peduli sangat dan saya tak pasti nak pergi ke tidak. Tapi di saat akhir saya bersetuju untuk pergi sebab tiada aktiviti lain pada masa tu.

Saya dan kawan-kawan sampai di Summit USJ pada pukul 3.45 petang. Rasa teruja pula bila tengok ada ramai peserta dan sukarelawan di tempat acara berlangsung. Bila tengok di meja pendaftaran ada juga dijual t-shirt durian, saya jadi semakin teruja..hehe. Kami membeli tiket untuk sesi memakan durian pada pukul 4.30 petang. Tiket berharga RM20 untuk satu sesi selama sejam dan peserta boleh makan sebanyak mana durian dalam masa sejam tu. Saya dan Asyraf juga tak melepaskan peluang membeli t-shirt jomdurian. Kami terus ke tandas dan bertukar menjadi ahli jomdurian-vi. Mas dan Ami pasti meluat tengok gelagat kami yang teruja lebih..hahaha.

"Eat All You Can For Charity"
Terdapat 5 sesi memakan durian




Pada pukul 4.30 kami dan peserta yang lain pun memulakan aktiviti memakan durian. Memang seronok dan puas hati dapat merasa durian yang lazat sambil membuat amal. Para sukarelawan tak henti-henti membawa durian ke meja kami, sampai kami terpaksa menolak sebab dah kekenyangan. Kalau ada lagi tahun depan rasanya nak pergi lagi la. Seronok!




Kawan-kawan dah kekenyangan

Thursday, August 15, 2013

Saya tak amanah

Emel dari orang yang kaya gila..

Salam hormat.

Dengan izin dan limpah dan kurnia  Yang Maha Kuasa saya masih lagi berpeluang meneruskan hidup ini. Walau saya tahu entah esok atau luasa masa akan datang dan saya akan dipanggil untuk menemui yang Kuasa. Saya tahu hari demi hari kondisi tubuh saya semakin lemah dan penyakit lukimia yang saya tanggung semakin parah .Saya pasrah pada ajal dan maut tapi sebagai manusia ada hajat yang tidak kesampaian. Bagaikan tak terasa begitu cepat masa berlalu tannpa saya dapat mengejarnya Sebagai insan biasa di bumi ALLAH saya tahu saya tak dapat lari dari melakukan kesilapan .Hari demi hari berlalu dan saya tetap seperti dan doktor juga memberitahu yang saat itu semakin dekat.Seperti yang saya katakan saya reda Tiada apa yang tinggal hanya lah sedikit harta yang akan saya sumbangkan  untuk bantuan kemanusiaan kepada yang memerlukan dari saya dan juga allahyarham suami mandangkan kami tidak mempunyai pewaris.


Saya tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan cuma dengan izin ALLAH sedikit sumbangan yang akan saya salurkan ke jalan yang benar akan menjadi amal jariah untuk saya dan Almarhum suami insyallah. Dana simpanan kami sebanyak  £2,000,000.00 (Dua Juta Great Britain Pounds) telah saya berikan amanah dan kuasa kepada peguam saya untuk menguruskan hal selebihnya sehingga ianya dapat dipindahkan kepada pewaris saya yang amanah dan bertanggungjawab demi menunaikan niat saya dan arwah suami saya untuk membantu projek amal kepada yang memerlukan.Harapan saya ianya dapat dilakukan sebelum saya menutup mata.Semoga ALLAH  SWT  memberi petunjuk dan membantu kita bersama-sama melakukan amal jariah.Amin.

Sekian,

Puan Abida Binti Abdul Razak.
From: Malaysia.
Email: rabidabinti@yahoo.com


Minta maaf Puan, saya tak amanah. (ini semua poyo)

Tuesday, August 13, 2013

Lagu berus gigi



Bosan punya pasal, saya layan lagu berus gigi..Haha..

Anak Kampung versi melatah



Orang Melayu memang perangai macam ni kan? Pantang ada orang melatah, teruk kena kacau.

Sunday, August 11, 2013

Dugaan malam raya 2013

Alhamdulillah, setelah pulang ke kampung untuk berhari raya, semalam (Sabtu) saya dan keluarga selamat sampai di rumah. Keadaan trafik pun baik. Rasa sangat lega bila sampai. Meh sini saya bercerita tentang kisah malam raya saya.

Saya dan keluarga bertolak pulang ke kampung pada malam raya iaitu pada pukul 10.30 malam. Kami singgah di Melaka untuk mengambil adik saya yang bekerja di sana dan meneruskan perjalanan. Kami memang selalu balik pada malam raya sebab adik-adik saya jarang dapat cuti awal. Saya sendiri pun masih bekerja sehingga hari terakhir sebelum raya.

Kira-kira pukul 2 pagi ketika saya sedang memandu, kedengaran satu bunyi dari bahagian enjin.."trettt". Saya memperlahankan sikit kereta sambil cuba mendengar kembali bunyi tadi, tapi bunyi itu tidak kedengaran lagi. Saya pun teruskan memandu. Dalam hati dah mula timbul tanda tanya. Setengah jam kemudian saya memberhentikan kereta di Hentian Simpang Renggam untuk ke tandas. Saya biarkan enjin hidup sebab risau enjin tak boleh dihidupkan kembali jika dimatikan. Gerak hati saya menyatakan begitu.

Selepas itu adik saya pula memandu. Kalau dicongak, kami akan akan tiba pada pukul 3.30 pagi. Kira-kira pukul 3 pagi kereta kami terasa seperti tersengguk-sengguk. Adik saya memperlahankan kereta. Terjadi lagi benda yang sama. Memang sah kereta ayah ada masalah. Kebetulan masa itu kami berada betul-betul sebelum simpang masuk ke Hentian Kulaijaya. Maka kami pun masuk dan memberhentikan kereta di salah satu petak parking. Pada masa tu lampu penunjuk bateri dah menyala dan lampu radio dah terpadam. Ayah yakin ini masalah alternator sebab bateri baru 4 bulan digunakan. Kami mematikan enjin dan cuba untuk menghidupkannya semula tapi tidak berjaya.

Ayah cuba menghubungi beberapa orang saudara di JB tapi tiada yang berangkat. Maka saya pun menghubungi PLUS. Setengah jam kemudian Plusronda tiba. Mereka memeriksa kerosakan. Disebabkan hampir pasti itu masalah alternator, mereka tak boleh buat apa-apa, lalu mereka menghubungi trak tunda dari bengkel panel PLUS yang terletak berhampiran. Selepas itu Plusronda beredar.

Pada waktu trak tunda tiba, hujan sudah mulai turun. Saya dan ayah terpaksa memayungi pemandu trak ketika dia memeriksa enjin. Dia juga berpendapat itu masalah alternator. Kereta terpaksa ditunda ke bengkel mereka yang terletak berhampiran tol Kulaijaya. Ketika ini berlaku insiden yang penuh adventure. Setelah kereta dinaikkan ke atas trak tunda, pemandunya bertanya siapa yang nak duduk di depan bersamanya dan siapa yang nak duduk di dalam kereta kami yang telah dinaikkan ke atas trak. Saya memilih untuk duduk di dalam kereta manakala ayah dan emak duduk di depan bersama pemandu. Adik saya memang sudah berada di dalam kereta sebab dia yang mengawal stereng ketika kereta ditarik naik ke atas trak. Pemandu trak cepat-cepat masuk ke dalam trak sebab hujan semakin lebat.

Sebelum memanjat ke atas trak, saya cuba membuka pintu kereta tapi tidak berjaya. Saya mengetuk pintu sebagai isyarat supaya adik saya membuka pintu itu dari dalam. Entah macam mana, adik saya turun pula dari trak tunda sebab dia fikir saya bagi isyarat supaya turun. Dalam masa yang sama, saya berjaya membuka pintu kereta ayah dan cuba memanjat untuk naik. Satu kaki saya sudah memijak badan trak dan satu lagi kaki masih tergantung. Ketika itu trak sudah mula bergerak. Saya terpaksa menurunkan semula kaki dan menutup semula pintu kereta sebab saya fikir pemandu trak nak mengalihkan traknya ke depan sikit.

Ya ampun, rupanya dia terus bergerak meninggalkan saya dan adik. Kami cuba mengejar tapi trak semakin jauh sehingga dah keluar dari kawasan rehat (ni Wakenabeb ke apa?). Nasib baik saya berjaya menghubungi ayah dan beritahu kami tertinggal di belakang. Bayangkanlah dengan keadaan hujan pada masa tu, saya dan adik terpaksa berlindung dengan satu payung dan berlari sejauh kira-kira 500 meter ke arah trak tunda yang menunggu kami di tepi lebuhraya. Sengal juga mamat ni...boleh dia tanya kenapa saya tak naik. Aku belum sempat naik la woi!

Kami sampai di rumah makcik pada pukul 5.30 pagi. Usai solat raya pagi itu, tiada lain yang kami buat selain tidur hingga ke tengahari. Jadi jangan tanya saya tentang gambar raya pertama. Itulah kisah saya di malam raya. Baru je saya bercerita tentang dugaan-dugaan ketika nak beraya pada entri yang lepas kan. Betul-betul terjadi pada kami sekeluarga. Tapi kami menghadapinya dengan tenang sebab ini bukan kali pertama kereta kami rosak. Pada Hari Raya tahun ni, itulah topik sensasi keluarga kami yang diceritakan dari rumah ke rumah. ;p


Wednesday, August 7, 2013

Duit pra Raya

Perasan tak satu perkara? Bila dah dekat-dekat nak raya ni selalunya ada je benda yang memerlukan duit atau merugikan duit kita. Kalau keluar duit untuk persiapan raya tu biasa la. Tapi ini duit yang perlu dikeluarkan untuk benda-benda lain atau kerugian harta benda yang tiba-tiba berlaku ke atas diri kita. Kalau tak terjadi pada kita pun, pasti terjadi kepada orang-orang di sekeliling kita.

Pagi tadi seorang kawan saya kerugian hampir RM 5 ribu kerana keretanya dipecah dan barang-barang di dalam kereta dicuri. Minggu lepas, seorang lagi kawan saya pun mengalami nasib yang sama dengan anggaran kerugian sebanyak RM 2 ribu. Kejadian berlaku di Downtown Cheras. Kelmarin pula, seorang kawan saya ditipu oleh klien berkaitan insurans kereta. 

Seorang kawan saya mengalami kerosakan gear kereta pada hari dia sepatutnya pulang ke kampung Sabtu lepas. Saya sendiri pernah mengalami kemalangan kecil pada bulan puasa di mana kereta saya terlanggar bahagian belakang kereta orang lain. Kecil-kecil pun terbang juga RM 500. Dah la masa raya nak pakai duit, kena pula benda-benda macam tu. Memang dugaan betul. Nampak tak, macam-macam hal berlaku bila nak dekat raya ni. Yang saya perasan selalunya berkaitan kecurian, kerosakan kenderaan dan kemalangan jalan raya. 

Jumaat lepas, dalam perjalanan ke tempat bermain futsal, kebetulan saya dan kawan saya bersembang tentang road tax kereta. Bila sampai di tempat futsal kawan saya saja la tengok road tax kereta saya. Rupanya dah lama mati road tax tu. Saya punya la selamba memandu ke sana ke mari. Ayam betul!!! Masa ni la tiba-tiba nak kena renew insurans dan road tax kereta. *_*

Monday, August 5, 2013

Silent reader

Tak terkejar rasanya bila kawan-kawan blogger yang saya ikuti kerap mengemaskini blog mereka dengan entri baru. Saya pula semakin tiada masa untuk berblogging macam dulu. Bila buka je Feedly (sedih Google Reader dah takde), tengok unread articles dan beratus-ratus. Terpaksa pilih entri mengikut tajuk yang dirasakan menarik. Tak larat nak baca semua. Bila tengok tarikh entri, ada yang dah diterbitkan 2-3-4 minggu lepas, nak komen pun macam tak best sebab dah ketinggalan. Orang dah cerita pasal benda lain dah wei, kau baru sibuk nak komen entri lama..hehe. Maka jadilah saya silent reader. Sekian.

Sunday, August 4, 2013

Cili raya

Saya tak shopping raya pun tahun ni. Saya nak pakai apa yang ada je. Lagipun banyak baju yang masih elok. Untuk persiapan makanan tu ada la saya beli kerepek sikit. Kuih-muih emak dah beli. Kami memang beli je kuih raya. Emak saya menjaga anak orang, mana ada masa nak buat kuih bagai. 

Di kala orang lain sibuk membeli pakaian raya dan kuih raya, saya juga sempat membeli sesuatu. 
Tadaaa..

cilibangi

Saya beli anak pokok cili. ;)
Tapi saya tidak berseorangan, ada lagi 4 orang kawan saya yang turut beli. Ada seorang kawan saya tu siap buat group whatsapp geng cili lagi. Selama ni saya tak pernah terfikir pula akan terlibat dengan geng cili. Saya cuma terfikir akan terlibat dengan geng suami, eh.

Sebenarnya ini kali pertama saya membeli anak pokok. Kalau di pejabat, kawan-kawan perempuan selalu terima bungkusan barang yang dibeli secara online, tapi saya terima cili. Rasa teruja pula..haha. Tak sabar nak tunggu hasilnya. Harap-harap menjadi la. Lengkaplah sudah persiapan Hari Raya saya! ;p

Kalau nak beli anak pokok cili, klik di SINI. :)


Monday, July 29, 2013

Qiamullail..aku datang

Assalamualaikum. Saya nak cerita pengalaman saya mengikuti qiamullail. Saya sebenarnya dah lama tidak mengikuti qiamullail. Dia punya lama tu sampai saya dah lupa bila kali terakhir saya berqiamullail. Jadi mohon jangan fikir saya nak berbangga diri, kerana niat saya hanya untuk berkongsi. Mungkin dapat beri semangat pada orang lain pula.

Apabila pengerusi surau mengumumkan bila tarikh qiamullail akan diadakan, saya terus menanamkan azam untuk mengikutinya. "Bila lagi? Nak buat sendiri memang tak la. Sementara ada geng nak buat secara berjemaah ni, baik pergi"  Itu yang bermain di fikiran saya. Alhamdulillah, tergerak juga hati saya nak pergi kali ni. Tapi saya risau juga kalau jadi hangat-hangat tahi ayam je rancangan saya tu.

Seminggu kemudian, hari yang dimaksudkan pun tiba. Sebelum memulakan solat tarawih pada malam tu, pengerusi surau mengingatkan sekali lagi tentang qiamullail yang akan diadakan pada awal pagi esok dan akan dimulakan pada jam 3.30 pagi. Banyak kali saya bagi semangat pada diri sendiri supaya tidak malas untuk bangun dan ke surau. Caranya mudah, saya anggap ini Ramadan terakhir saya. Manalah tahu kan? Sebenarnya antara banyak-banyak perkara dalam hidup kita ni, kematian la yang paling hampir dengan kita, cuma kadang-kadang kita terlupa dan terleka. Mujur saya tak keseorangan, ayah, emak dan dua orang adik saya pun nak pergi. Baru semangat sikit. Diorang memang selalu pergi, tak macam saya.

Semasa tazkirah selepas 4 rakaat bertarawih, uztaz jemputan pun menyentuh tentang qiamullail. Beliau menyarankan supaya kita cuba untuk menangis ketika berqiamullail, berdoa dan memohon keampunan dari Allah. Masa ni saya macam terpotong sikit mood sebab saya tak gemar benda yang disuruh-suruh ni, macam tak semulajadi la keadaannya. Macam tak ikhlas dari hati. Contoh macam dekat facebook la, kongsi gambar kaabah lepas tu suruh orang like. Kalau tak like, tak sayang Islam. Daripada nak like, terus tak jadi.

Pada pukul 2.45 pagi saya bangun dan buat air kopi, tak nak mengantuk la kononnya. Nampak tak gaya orang jarang pergi? Beria sikit. Kemudian saya pun bersiap dan berjalan kaki menuju ke surau bersama adik. Ayah dan emak dah pergi lebih awal.

Lampu ditutup sebelum solat dimulakan, hanya ada cahaya dari lampu bahagian luar surau. Solat pertama yang akan dilakukan ialah Solat Sunat Tahajjud. Imam Muda Miril pun memulakan solat. Para jemaah menuruti dengan mengangkat takbir. Sejurus saya mengangkat takbir, air mata dengan sendirinya mengalir membasahi pipi. Ya Allah, sungguh semulajadi, bukan mood sedih yang dibuat-buat dan bukan sebab terikut-ikut perasaan orang lain. Bacaan imam yang begitu merdu menambah lagi kesayuan saya di sepanjang solat itu. Selesai solat tahajjud, qiamullail diteruskan dengan Solat Tasbih, Solat Taubat dan Solat Hajat. Qiamullail selesai pada pukul 5 pagi dan para jemaah bersahur bersama sebelum disambung dengan Solat Subuh dan Kuliah Subuh.

Kalau ada kesempatan untuk berqiamullail..buatlah. Sangat berbaloi. Rasa tenang bila dah menangis di depan Allah. Jika kita dah lama tak memohon keampunan daripada Allah, inilah masanya. Kalau kita ada hajat, di bulan yang mulia inilah masanya untuk berdoa betul-betul kepada Allah. Kalau ditakdirkan ajal kita tiba sebelum Ramadan yang akan datang, sekurang-kurangnya kita dah bertaubat daripada segala dosa yang lampau. Kalau tak sempat untuk berqiamullail, buatlah Solat Hajat dan Solat Taubat di rumah, sementara Ramadan masih ada.

P.S: Saya bukan orang paling baik untuk memberi nasihat begini, tapi rasa rugi pula jika tak dikongsi.

Thursday, July 25, 2013

Itu ini tarawih

Semalam kembang kempis hidung saya semasa bersolat tarawih disebabkan bau minyak wangi yang terlalu kuat. Kalau kita nak ke masjid memang la bagus memakai wangian, tapi janganlah kuat sangat baunya sampai nak tersumbat hidung orang lain menghidunya.

Satu perkara yang saya perhatikan, kenapa ada orang yang susah sangat nak memenuhkan saf? Bagi saya senang, kalau saf yang betul2 di depan kita kosong, teruslah melangkah ke depan. Tak perlu nak tunggu orang depan pandang ke belakang untuk mengajak kita ke depan. Lepas tu bila orang dah ajak ke depan, kita sibuk nak suruh orang sebelah kita pulak ke depan. Kemudian rapatkan la saf ke kiri atau kanan sehingga dapat menyentuh lengan orang di sebelah.

Lagi satu saya nak tanya ni, anak siapa yang suka sangat main mercun berhampiran kawasan surau/masjid? Terkejut jemaah tahu tak? Kesian pada orang yang lemah semangat. Kalau dah tak solat tu hormat la pada orang lain yang nak bersolat.

Kalau ke surau atau masjid, jangan lupa bawa sedikit duit untuk menderma. Kan bagus di bulan mulia ni.. :)

Walau apapun gangguan semasa bersolat, kita kena sentiasa bersabar ok :)

Wednesday, July 24, 2013

Berbuka puasa

Tahniah saya ucapkan kepada orang yang tidak membazir duit untuk berbuka puasa. Sesungguhnya bulan puasa ni bukan bulan pesta makan, sampai nak beli macam-macam makanan. Berbuka puasa ni macam makan malam biasa je, tak perlu nak berbelanja secara berlebihan. Cuma kadang-kadang tu ada kawan yang dah lama kita tak jumpa ajak berbuka bersama, mungkin boleh la makan istimewa sikit. Tapi tetap kita tak patut membazir duit. 

Itu bab membazir duit. Ini bab makan secara berlebihan.  Janganlah kita makan sampai terlalu kenyang bila berbuka puasa. Sampai nak solat maghrib pun tak larat. Makan secara berlebihan ni la yang membuatkan kita mengantuk ketika solat tarawih. Itu kira baguslah mampu pergi juga solat tarawih. Ada yang sampai tak larat nak bangun, terbaring kekenyangan di rumah.

Mari kita manfaatkan lagi 2 minggu Ramadan yang tinggal. Kurangkan makan, banyakkan amalan. Peringatan untuk saya juga ni. :)

Monday, July 22, 2013

Harta

Salah satu topik dalam tazkirah yang saya ikuti semasa selingan solat tarawih ialah perihal harta. Kita sebagai umat Islam tidak dilarang sama sekali untuk mencari harta, tapi jangan sampai hal harta ni kita simpan di dalam hati. Maknanya jangan kita terlalu menyayangi harta dunia dan jangan kita terlalu memikirkannya sampai pening kepala. Apa yang terjadi sekarang ialah manusia berlumba-lumba mencari harta dunia sehingga melupakan akhirat. Manusia juga sanggup melakukan apa saja demi harta.

Sesungguhnya harta ni..semakin dicari semakin tidak cukup rasanya. Biarlah sedikit harta yang kita miliki tetapi barakah. Jika kita dimurahkan rezeki oleh Allah untuk mempunyai harta yang banyak, gunakanlah harta itu dengan sebaiknya dan jangan kita terlalu berkira untuk menggunakannya ke jalan Allah kerana itu sebenarnya amanah Allah kepada kita. 

Tak perlulah kita sampai bermusuhan disebabkan harta kerana itu semua bersifat sementara dan tidak boleh dibawa mati. Mari kita sama-sama renungkan tazkirah ini dan sentiasa beringat bahawa semua harta di dunia ni milik Allah semata-mata.

Wednesday, July 10, 2013

Bulatan rahsia

Si A menceritakan sesuatu kepada Si B dan pesan padanya jangan ceritakan pada kawan yang lain.
Si B menceritakan kisah Si A pada Si C dan pesan jangan kecoh-kecoh pada yang lain.
Si C pula menceritakan kisah Si A pada Si D dan pesan jangan cerita pada orang, "habis kat sini je tau"
Si D menceritakan kisah Si A pada Si E dan pesan padanya "diam-diam sudah"
Si E pula dah tahu awal-awal lagi daripada Si A, tapi buat-buat tak tahu je. ;)


Sebenarnya semua kawan dah tahu.
Selalu terjadi tak? ;)

Monday, June 24, 2013

Tentatif

TENTATIF. Adakah anda tahu makna perkataan tu?

Ayat yang biasa saya jumpa/dengar:

- "Ada tentatif tak?"
- "Nanti saya bagi tentatif"
- "Tentatif penuh akan diberi kemudian"
- Dilampirkan tentatif untuk rujukan pihak tuan.

Ramai yang anggap tentatif tu sendiri bermaksud aturcara atau program dan ternyata ianya salah.

Tentatif bermaksud sesuatu yang belum muktamad atau sementara. Di dalam Bahasa Inggeris disebut 'tentative'

Cuba masukkan maksud tentatif pada salah satu contoh ayat di atas: "Ada sementara tak?" -.- (Apa benda tu? Tak faham kan?)
Ayat yang betul ialah "Ada program tentatif tak?"

Program tentatif adalah frasa Bahasa Melayu yang betul, bukannya tentatif program.
Kalau dalam Bahasa Inggeris ianya disebut Tentative programme


Jadi, kenalilah bahasa kita. Jangan main sebut je tanpa ambil tahu maksudnya.


Saturday, June 15, 2013

Persediaan sebelum bercuti ke luar negara

Saya ingin berkongsi dengan anda persediaan sebelum bercuti ke luar negara. Adapun panduan ini hanya berdasarkan pengalaman saya dan untuk percutian singkat sahaja.

Perancangan (bermula 6 bulan sebelum tarikh jangkaan berlepas)
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah tentukan destinasi yang ingin dilawati dan tetapkan tarikh untuk bertolak dan pulang. Dari situ anda boleh buat timeline untuk memastikan persediaan anda teratur. Maknanya anda tentukan tarikh-tarikh penting seperti bila nak beli tiket penerbangan, bila nak mohon cuti daripada majikan, bila nak buat tempahan penginapan dan bila nak beli tiket-tiket lain yang perlu. Buat tempahan awal untuk mendapatkan harga yang lebih murah dan mengelakkan kesesakan tempat. Bagi saya, tiket penerbangan merupakan faktor penentu utama untuk kos perbelanjaan sebab di situ saja kita boleh jimat RM1000-2000 jika kita buat tempahan seawal 3-4 bulan sebelum tarikh berlepas.

Kajian tempat
Buat kajian mengenai destinasi yang akan dilawati. Laman web Wikitravel mungkin boleh membantu anda. Dari situ anda akan mendapat maklumat dan idea untuk merancang jadual perjalanan. Buat kajian mengenai sistem pengangkutan bagi memudahkan pergerakan anda. Pilih pas harian jika ada kerana ianya lebih jimat. Kadang-kadang terdapat juga pengangkutan seperti feri/bas/keretapi untuk ke negara yang terletak berhampiran. Jadi boleh la dimasukkan sekali dalam jadual perjalanan kalau sesuai. Buat carian mengenai restoran halal yang terdapat di sana. Laman web zabihah.com  boleh membantu anda. Untuk mengetahui waktu solat, anda boleh layari laman web Islamic Finder.

Senarai barang
Penyediaan senarai barang sangat penting sebelum bertolak ke luar negara. Buat senarai barang dan kemaskini senarai tersebut dari semasa ke semasa jika ada yang terlupa disenaraikan. Terus catat di handphone jika ada barang tambahan yang terlintas di fikiran. Antara barang penting yang perlu dibawa ialah:

1. Pasport - pastikan tarikh tamat tempohnya lebih dari 6 bulan dari tarikh anda pulang semula ke negara.
2. Botol air (kalau dapat yang foldable pun bagus) - SANGAT berguna untuk urusan di tandas.
3. Sejadah ringan
4. Kamus poket (berguna di negara yang kurang menggunakan Bahasa Inggeris)
5. Extension cable - Macam2 benda kita nak cas. Di hotel selalunya hanya ada 1 atau 2 plug point saja.
6. Power bank
7. Universal adaptor
8. Peta
9. Sling bag - senang untuk bawa barang semasa berjalan-jalan dan senang untuk mengambil barang bila diperlukan.
10. Ubat-ubatan
11. Kad memori tambahan untuk kamera/video
12. Chewing gum - alternatif untuk membersihkan gigi kalau tak sempat gosok gigi ;)
13. Barangan toiletries seperti sabun, berus gigi, ubat gigi, syampu, deodorant dan sebagainya
14. Tisu basah (Wet tissue)

Botol air foldable. Kalau takde yang macam ni, botol air mineral pun boleh.

Pakaian
Jangan bawa terlalu banyak. Kalau ke tempat bersuhu sejuk, 2 helai t-shirt, sehelai hoody, sehelai jumper, sehelai seluar tracksuit dan sehelai seluar jeans pun sudah memadai. Kalau nak kurangkan berat beg, tak payah bawa seluar jeans pun takpe, cukup satu yang anda pakai tu. Di sana badan tak berbau pun kalau tak mandi sebab tak berpeluh. Anda boleh beli sehelai-dua lagi t-shirt di sana jika tak cukup. Kalau ke negara panas, macam di Malaysia saja la pakaiannya. Mungkin boleh bawa topi untuk mengelakkan kulit muka daripada terbakar akibat lama terdedah kepada cahaya matahari. Kasut yang selesa seperti kasut sukan juga amat penting, sebab selalunya anda akan banyak berjalan kaki semasa percutian anda.

Makanan dan minuman
Jangan bawa terlalu banyak. Bagi yang ingin berjimat, bawa bekalan untuk sarapan pagi (jika tak disediakan di tempat penginapan), bekalan untuk berjalan-jalan dan sedikit untuk makan malam. Untuk sarapan pagi, anda boleh bawa tuna, sup cendawan dalam paket, minuman bijirin, oat dan sebagainya. Roti boleh dibeli di sana. Untuk bekalan semasa berjalan-jalan, boleh bawa biskut atau coklat. Mi segera boleh disediakan untuk makan malam. Sos dalam paket juga boleh dibawa untuk kepuasan semasa makan sebab masakan di tempat orang kadang-kadang tak kena dengan selera kita. Untuk minuman, boleh bawa yang jenis 3 in 1 seperti milo, teh tarik atau kopi.

Coklat yang mengenyangkan

Serius sedap!
Cuaca
Jika ke negara yang mempunyai banyak musim, kenal pasti musim apa yang akan anda hadapi. Jika anda akan menghadapi cuaca yang sejuk, antara kelengkapan yang perlu ialah:

1. Jaket - berhud dan kalis air
2. Pelembap bibir - mengelakkan bibir kering (cuaca sejuk akan menyebabkan bibir kering)
3. Pelembap kulit - mengelakkan kulit kering pada musim sejuk dan panas
4. Stokin - bawa banyak (sekurang-kurangnya 3 pasang) sebab cuaca yang sejuk menyebabkan bahagian dalam kasut menjadi lembap/basah walaupun tidak hujan
5. Sarung tangan
6. Kasut yang sesuai
7. Jika anda akan menghabiskan banyak masa di tempat yang terbuka (outdoor), dan mungkin akan menghadapi cuaca yang tidak menentu, jangan lupa sediakan baju hujan.

Traveler rain coat

Bank
Kad kredit amat berguna kerana boleh digunakan jika berlaku kecemasan seperti duit hilang atau wang tunai tidak mencukupi. Seminggu sebelum berlepas, hubungi bank dan maklumkan bahawa anda mungkin akan menggunakan kad kredit di luar negara. Hubungi juga bank ATM anda, maklumkan bahawa mungkin anda akan membuat pengeluaran di luar negara.

Duit tabung
Jika bercuti secara berkumpulan, amalkan kaedah duit tabung. Lantik seorang bendahari untuk menjaga duit tabung tersebut. Kumpul jumlah wang yang sama dari setiap ahli dan masukkan ke dalam akaun duit tabung, contohnya setiap seorang beri 50 pound. Duit ini akan digunakan untuk semua perbelanjaan bersama, iaitu perbelanjaan yang melibatkan pembahagian sama rata. Jadi tak perlu la nak kutip duit daripada setiap orang setiap kali nak bayar/beli sesuatu. Dan tak perlu la seorang ahli nak bayarkan dulu untuk semua orang, kemudian nak kutip balik daripada semua orang. Percayalah, nanti pening jadinya. Tugas bendahari pula, asingkan duit tersebut daripada duit sendiri. Mungkin boleh masukkan ke dalam sampul surat atau apa-apa bekas yang sesuai. Catat semua perbelanjaan. Kalau dah nak habis duit tu, kutip lagi secara sama rata daripada setiap seorang. Di akhir percutian, bahagikan baki duit tabung tersebut secara sama rata kembali. Lebih sistematik bukan?

Bagasi
Patuhi had berat bagasi sebelum menaiki pesawat. Layari laman web syarikat penerbangan untuk mengetahui peraturan bagasi mereka. Jika silap percaturan, anda akan rugi di sini. Contohnya anda ada 2 beg untuk dimasukkan ke ruang kargo. Jumlah berat kedua-dua beg ini tidak melebihi had yang ditetapkan, jadi anda anggap tiada masalah yang akan timbul. Sebenarnya ada kemungkinan had berat yang ditetapkan itu hanya untuk 1 beg saja. Beg yang kedua akan dikenakan caj. Jadi, pastikan anda baca dengan teliti peraturan berkaitan bagasi. Lebih baik bawa satu beg besar daripada bawa 2 beg bersaiz sederhana untuk dimasukkan ke ruang kargo. Masalah beg ni selalunya timbul masa nak balik, bila barang bertambah selepas membeli-belah. Beg yang hendak dibawa ke dalam kabin penumpang juga hendaklah dipastikan mematuhi ukuran dan berat yang dibenarkan. Bahan bersifat cecair pula hendaklah tersimpan di dalam bekas yang tidak melebihi 100 ml. Anda boleh dapatkan  set botol perjalanan di farmasi jika nak.


Itu saja perkongsian dari saya. Harap dapat membantu dalam persediaan anda ke luar negara. :)

Monday, June 3, 2013

Mimpi ke Newcastle

Baru-baru ini saya bermimpi yang saya telah ke luar negara untuk menenangkan jiwa :)

Sebelum ni saya hanya pernah ke Singapura, tapi kali ni saya pergi jauh sedikit iaitu ke UK atau secara spesifiknya ke England. Saya bertolak dari Malaysia dengan seorang kawan, manakala seorang lagi sudah pergi lebih awal, jadi kami bertemu di London.

Kami tiba di London pada jam 8.00 pagi. Suhu ketika itu sangat sejuk, sekitar 5 darjah celsius. Kami meletakkan beg di Victoria Coach Station dan memulakan aktiviti berjalan-jalan di sekitar kota London sementara menunggu bas ke Newcastle pada jam 11.30 malam. Sebagai penyokong Newcastle United, itulah tujuan utama kami ke England iaitu untuk ke Newcastle Upon Tyne dan menyaksikan pasukan kami beraksi. Tempat-tempat di London yang sempat kami lawati ialah Big Ben, Buckhingham Palace, St James's Park dan stadium-stadium di sekitar London seperti Stamford Bridge, Craven Cottage, Emirates dan Loftus Road. Kami juga sempat makan tengahari di Malaysia Hall London. Untuk malam pertama, kami bermalam di dalam bas yang menuju ke Newcastle. Jimat kos penginapan. Perjalanan ke Newcastle mengambil masa 6 jam setengah.

Pada pukul 6 pagi, kami selamat tiba di Newcastle. Keterujaan yang sepatutnya diraikan dengan melompat keriangan sebaik menjejakkan kaki ke bumi Newcastle tidak terjadi kerana suhu yang tersangat sejuk (lebih sejuk dari London) sehingga kebas dan hampir beku rasanya tangan saya walaupun dah memakai sarung tangan. Bergegas kami ke tandas supaya dapat merasa air panas dari pili. Rasa macam nak berendam dalam sinki pun ada. Kemudian kami menuju ke asrama backpackers yang telah ditempah lebih awal. Masih terlalu awal sebelum kami boleh check-in, jadi kami meletakkan beg di bahagian receptionist dan keluar semula. Setelah bersarapan, kami menaiki bas menuju ke Alnwick Castle. Istana ini terkenal kerana menjadi set pengambaran bagi Hogwarts dalam filem Harry Potter. Sangat menarik tempat ni. Bukan saja mempunyai pemandangan yang cantik dan binaan yang memukau, terdapat juga pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung dewasa dan kanak-kanak. Bayaran masuk adalah 14 pound. Kalau lihat pada peta, dah dekat dengan Scotland sebenarnya. Rasa rugi pula tak pergi. Dapat masuk sempadan pun jadi la.

Pada hari ketiga kami mengikuti stadium tour di stadium St James' Park kepunyaan Newcastle United. Bayaran masuk adalah 10 pound dengan durasi lawatan selama 1 jam setengah. Memang best. Selepas itu kami ke masjid yang terletak di Newcastle University untuk menunaikan Solat Jumaat. Tak terserempak pula dengan pemain-pemain Newcastle yang beragama Islam seperti Tiote, Cisse, Ben Arfa, Sissoko, Haidara, Mbiwa atau Abeid...hehe. Usai solat, kami ke NUFC Official Store untuk membeli-belah barangan Newcastle United  yang sememangnya susah nak dapat di Malaysia. Ramai juga kawan-kawan yang pesan belikan barang.

Panjang pula cerita saya kan? Disebabkan dah panjang, saya sambung lagi cerita saya di bawah..

Pada hari ke-4, kami menjelajah ke bahagian lain timur laut England iaitu ke Middlesbrough dan seterusnya ke Sunderland. Destinasi tumpuan kami ialah stadium mereka kerana kedua-dua kelab ini adalah musuh ketat Newcastle. Saja la nak melawat tempat musuh. Sebelum pulang ke asrama, kami singgah makan di Restoran Rasa Nusantara milik rakyat Malaysia yang menetap di sana. Seronok dapat makan masakan Melayu.

Hari ke-5 (Ahad) ialah hari yang ditunggu-tunggu. Matchday!! Perlawanan terakhir bagi musim 2012/13 ini menemukan Newcastle United dan Arsenal. Sekiranya tak berjaya ke stadium dan menyaksikan Newcastle  United beraksi, maka gagal la perjalanan kami ini. Perlawanan akan berlangsung pada jam 4.00 petang. Pagi tu kami berjalan-jalan dulu di sekitar Quayside, kawasan yang terletak di tepi sungai Tyne (The River Tyne). Kebetulan ada Sunday Market pula, meriah la suasana. Kemudian kami pergi lagi ke NUFC Store untuk membeli barang buat kali terakhir. Seorang lagi kawan kami datang dari London bersama 3 orang kawannya sebelum perlawanan bermula. Sangat teruja rasanya dapat masuk ke stadium pada hari perlawanan dan melihat para pemain secara dekat. Walaupun Newcastle kalah 0-1, dapat menyaksikan pasukan kesayangan beraksi secara langsung di depan mata bersama kira-kira 50,000 penyokong lain adalah mimpi yang menjadi nyata bagi kami. Malam itu kami menaiki bas ke London dengan berat hati. Selamat tinggal Newcastle!

Kami tiba di London pada jam 6.30 pagi, terus ke tempat menyimpan beg dan bersarapan. Kemudian kami ke Lillywhites yang terletak di Picadilly Circus. Tak boleh nak pergi awal pun sebab kedai hanya buka pada pukul 10 pagi. Memang best kedai ni. Kalau nak membeli-belah, inilah salah satu tempatnya. Terdapat pelbagai barangan yang dijual dengan harga yang murah. Masa tu ada sale pula, lagi la murah. Malangnya tak lama kami dapat meluangkan masa di sini sebab kena bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia. Nak ke Oxford Street pun tak sempat. :(

Syukur kami selamat tiba di Malaysia. Itulah serba sedikit cerita perjalanan saya ke Newcastle. Walaupun tak lama mana saya di sana, pengalaman sepanjang berada di sana sangat menarik dan mengajar saya tentang banyak perkara.  :)

Howay the lads!

Monday, May 27, 2013

Nombor cantik suka saya

Nombor cantik suka saya = Suka sama suka = Ada kimia

Saya mula menyedari bahawa saya dan nombor cantik mudah dipertemukan. Nombor cantik ni maknanya tidak berterabur la..sama ada berderet, berpasangan atau berturutan.
1. Nombor IC saya ada nombor sama yang berderet... *1111*-**-*77*
2. Nombor pekerja saya dipenuhi no berderet... *4444
3. Nombor kereta saya juga menarik...1448. Tak nampak apa yang menarik kan? Sebenarnya 2 orang kawan rapat saya mempunyai nombor plat kereta 1443 dan 1444. Saya dapat nombor tu tanpa membelinya.
4. Dan akhir sekali, pada PRU13 yang lepas saya dapat nombor siri yang cantik juga...1800


Nombor handphone saya juga cantik, macam pantun. Tapi tu saya cari kat kedai la..haha.

Tuesday, April 16, 2013

Jangan pernah berputus asa



Walau bagaimana sukar keadaan yang perlu kita tempuh
Jangan pernah berputus asa
Terus lakukan yang terbaik
Demi nama sebuah perjuangan
Demi mereka yang sentiasa di belakang kita
Kerana walaupun tewas
Kita tetap juara!

*Nah tisu..


Thursday, April 11, 2013

Kurangkan manis

Saya suka kalau dapat teh-o yang tak dikacau gulanya. Kita boleh kawal sendiri kemanisan air tu. Selalunya memang saya tak kacau langsung sebab sementara air tu masih panas, akan ada juga sedikit gula yang terlarut. Cuma kalau tawar sangat barulah saya akan kacau sekali dua. Itu saja. Kalau di kafe pejabat saya, sudu pun saya tak ambil.

Saya risau kalau tengok orang kacau gula dalam gelas sampai habis. Dah jadi macam tabiat. Saya pernah tanya pada seorang kawan "Tak manis sangat ke kau kacau gula tu sampai habis?" Jawapannya cuma "Tu la". Seakan terpaksa, macam gula tu bila orang dah letak dalam gelas, memang mesti digaul sampai habis sebelum minum. Bahaya tu, gula ni kan racun nombor 1.



Thursday, April 4, 2013

Misi pemanggang ajaib

Assalamualaikum semua..

Saya baru pulang dari bertugas di Langkawi selama seminggu sempena LIMA 2013. Saya dan 4 orang lagi rakan tiba dari Langkawi pada hari Ahad lepas setelah mengharungi perjalanan yang panjang. Pukul 10.30 pagi bertolak dari jeti Kuah, pukul 11.30 malam baru sampai di KL. Masa dah sampai tu rasa loya macam nak muntah pun ada..huh. Esoknya saya terus cuti rehat.

Beratur panjang untuk ke tandas = Raptai mengundi
Trafik tak bergerak!
Sepanjang di Langkawi, saya menginap di CD Motel yang terletak di Pantai Cenang. Biasa je la motelnya. Itu je yang dapat sebab motel lain sama ada dah penuh atau harganya mahal, melebihi kadar yang ditetapkan untuk kami. Itu cari pada bulan 1 tu, kalau lewat lagi memang tak dapat bilik la kami. Saya bukan cerewet sangat pasal bilik, tapi kalau takde almari ni susah la nak gantung baju, dah la nak duduk seminggu. Saya gantung baju kat tombol pintu bilik je. Yang paling tak best ialah tak dapat wifi di bilik. Mobile internet pula sangat la lembap.

Pemandangan senja nan merah di belakang motel, nyanyian Awie & Ziana Zain (tetiba*)

Sepanjang LIMA ni biasa la, setiap hari ada pertunjukan udara. Setiap hari jugalah saya keluar dari dewan pameran untuk menyaksikan pertunjukan tersebut. Hampir sama je aksinya setiap hari, sampai jemu nak tengok. Tapi daripada jemu jaga booth di dalam dewan, lebih baik menonton pertunjukan udara. Cuaca di Langkawi sangat panas. Saya banyak berteduh di bawah sayap kapal terbang dan di tepi bangunan sambil menangkap gambar. Cuma pada hari terakhir je saya berjemur agak lama. Gelap sikit la kulit, tapi takde sampai menggelupas macam kawan saya. Saya juga sempat berjumpa blogger Kak Jie dan Ujang di sana.

Bersama Ujang dan Kak Jie :)

Duduk di Pantai Cenang sangat la meriah keadaannya. Di samping motel-motel, jalan di sepanjang Pantai Cenang dipenuhi dengan pelbagai kedai barangan dan cenderahati, juga pelbagai jenis makanan. McD dan Cenang Mall pun dah ada sekarang. Bab makanan tu memang susah la nak kawal. Ada je benda nak makan walaupun harganya mahal. Mujur ada elaun makan. Kedai kegemaran saya di Pantai Cenang ialah Coconut Shake! Di sebelahnya pula ada kedai makan yang sedap iaitu Restoran Bob Nasi Kandar, tapi kedai ni mahal sikit la. Sekali je saya makan di situ, semata-mata nak merasa lauk udangnya yang sedap. Nasi, udang 2 ekor, sayur taugeh, air suam = RM14...bayar sambil menjulingkan mata.

Sekali minum coconut shake, esoknya minum banana shake pulak...sedap ;)
Jangan ambil lauk lebih2, nanti terkejut.
Saya tak beli banyak barang, cuma sedikit coklat, T-Shirt LIMA, tracksuit di Al-Ikhsan dan 2 buah pemanggang ajaib. 1 pemanggang tu saya keluarkan dari kotak dan masukkan ke dalam beg supaya mudah dibawa semasa menaiki feri. Lagi 1 pemanggang saya masukkan ke dalam kotak pameran yang terdapat di dalam van yang dihantar dengan feri ke seberang.


Di dalam pemanggang juga diletakkan pakaian, untuk penggunaan ruang yang maksimum  ;)

Thursday, March 21, 2013

Cara keluar dari group Facebook

Sejak akhir-akhir ni banyak pula individu yang memasukkan kita ke dalam group2 di Facebook kan? Yang tak sedapnya group2 itu ialah group yang kita tak rela nak masuk. "I tak rela bang"

Jadi supaya wall kita tak dipenuhi dengan benda2 atau info2 yang kita tak perlu, eloklah kita keluar dari group itu dengan gaya bersahaja.

Mudah saja, cuma masuk ke dalam page group tersebut. Pergi ke penjuru kanan sebelah atas.
Di situ ada 'Notifications'. Klik icon setting di sebelahnya.
Tarik nafas dan klik 'Leave Group'.
Selesai.



Wednesday, March 20, 2013

One Day (2011)

Malam tadi saya menonton filem One Day lakonan Anne Hathaway dan Jim Sturgess. Awal-awal tu biasa je, tapi semakin menghampiri penamat, semakin memberi kesan pula pada emosi. Apa yang boleh saya katakan, filem ini sangat menyentuh perasaan. Kalau menonton seorang, lagilah memberi kesan yang mendalam, lebih-lebih lagi kalau kita pernah melalui pengalaman yang seakan sama. :'(


Usai menonton cerita ini sekitar jam 11 malam, saya keluar ke Uptown seorang diri untuk menenangkan hati. Nampak tak kesan cerita ni kepada saya? ;)

Tuesday, March 19, 2013

Garis sempadan itu

Apa respon kita kalau orang melayan kita dengan teruk atau dengan tiada budi bahasa? Ada orang yang cuma diam, dan ada orang yang akan marah balik. Orang yang tak berbudi bahasa ni selalunya dia akan rasa lagi hebat kalau orang diam.

Walaupun kita diam, dalam hati sebenarnya dah bergolak dengan perasaan marah dan sedang bergelut pula untuk mengawalnya. Dalam keadaan ini, kita akan serta merta melukis garis sempadan dalam minda dan kita akan tengok orang ini akan melintasinya atau tidak. Oh, ataupun kita tidak perlu melukisnya sebab ia memang dah berada di situ. Ia akan muncul dan ghaib mengikut keadaan. Jadi kalau orang itu melintasinya, dia harus bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan yang akan berlaku sebab kita pasti akan memberi respon. Sekuat mana respon itu kita sendiri pun tidak tahu.

Kalau kita berjaya mengawalnya sampai selesai, kita akan berasa sangat lega sebab kita tahu kalau ianya berlaku pada masa dahulu, kita sudah pasti akan memberi respon serta merta. Cuma sekarang ni kita cuba untuk mengelaknya, kadangkala ditambah senyuman lagi. 

Apabila kita lari dari keadaan yang mungkin akan jadi lebih tegang, orang yang berkenaan akan berasa puas hati sebab merasakan semua perkara berada dalam kawalannya. Takpe lah, biarkan dia. Nasibnya lepas ni belum tentu lagi. Kita cuma berharap bila karma datang memberi pengajaran kepadanya, kita akan berada di situ untuk ketawa sepuasnya.

Kelmarin jumpa orang yang tak berbudi bahasa. Berlagak tak kena tempat..haha

Saturday, March 16, 2013

Kerja seorang

Kerja seorang diri pada hari cuti ni memang membosankan. Tapi kita kena cari cara bagaimana nak buat keadaan tu tak bosan. Pertama, kena ada makanan dan minuman. Sambil buat kerja kita boleh ngap-ngap dan minum. Tapi jangan tertumpah atas meja pulak. Habis barang-barang penting nanti. Saya memang beli siap-siap dalam perjalanan ke pejabat, sebab bila tengahari saya malas nak keluar pergi makan sorang2.

Kedua, sambil buat kerja tu kita dengar lagu. Ni yang best sebab kita boleh menyanyi kuat-kuat. Inilah dinamakan latihan vokal.

Ketiga, kena buat apa yang kita suka. Macam saya, suka menulis. Jadi saya update la blog sekejap. Haha..
Suka hati la nak buat apa kan, bukan nak claim OT pun.

Mejaku yang oh oh..penuh!
Ok, sambung kerja!

Baru kenal Ajek

Ok, rasa diriku agak ketinggalan sekarang.
Sebab baru kenal Ajek Hassan.
Orang lain mungkin dah kenal dari tahun 2011 atau tahun lepas.

Sejak akhir-akhir ni aku selalu nak bekerja sambil ditemani lagu-lagu, terutama lagu slow rock.
Sebab aku stress, banyak kerja. (ya, aku tahu orang lain pun banyak kerja)
Banyak kerja tu aku tak kisah, tapi bila banyak kerja yang memerlukan kau perah otak cari idea dan cari jalan untuk menyelesaikan masalah, dan masalah tu pun kau tak faham...hasilnya kau akan stress. Lepas tu kau takde masa nak update blog, pun boleh stress (ok ni saja nak melebih).

Bila aku stress memang aku tak nak dengar perbualan orang2 di sekeliling aku sebab mereka pun bercerita pasal masalah2 yang lain. Bila tak nak dengar, kau akan tutup telinga. Kalau tutup telinga dengan jari nescaya tak boleh nak buat kerja. Kalau tutup dengan cebisan kain buruk nampak teruk sangat. Inikan pejabat, kena kemas. Jadi aku tutup dengan headphone. Bila dah tutup dengan headphone tu lah aku mula mencari playlist lagu-lagu yang sesuai di Youtube. Lalu aku pun terjumpa Ajek Hassan. 

Aku ni nak cerita pasal stress ke pasal artis Youtube ni? 
Dah la, aku nak sambung buat kerja sambil ditemani lagu2 dari Ajek Hassan. Memang terbaik!



Mengigau

Pagi tadi jam 3, saya sedang solat Isyak.
Semasa membaca Doa Iftitah, adik sepupu yang sedang tidur di atas tilam
Mengigau dengan menyanyi entah lagu apa
Sambil kakinya bergerak dan melanggar kaki saya
Keadaan masa tu gelap, dengan hanya sedikit cahaya dari tangga
Bayangkanlah, dalam kegelapan tiba-tiba ada orang menyanyi
Terus terganggu solat, terlupa sambungan bacaan
Saya solat semula, lagipun baru je mula
Masa sedang solat ada lagi saki baki lagu yang terkeluar dari mulutnya
Sungguh, gangguan manusia pun tak kurang hebatnya
Lepas solat saya pandang wajah sepupu dengan perasaan tak puas hati ..cis budak ni

Saturday, March 9, 2013

Kad jemputanku

Kelmarin kawan saya di Melaka bermimpi saya datang melawatnya. Bukan lawatan kosong, tapi saya datang meyerahkan kad jemputan perkahwinan saya. Sungguh murni mimpi itu. ;)

Sayang betul, di dalam mimpi itu dia tak buka kad jemputan yang saya beri. Kalau tak, kan senang kerja saya sekarang, dah tahu siapa pasangan. ;p


Wednesday, March 6, 2013

Jangan tunjuk sangat

Tak kisah la kau nak sokong parti mana pun.
Tapi boleh tak kau lupakan sekejap politik dan mendoakan kesejahteraan negara khususnya rakyat Sabah dan keselamatan pejuang yang bergadai nyawa untuk negara.


Nak angkut batalion tentera guna MIG-29, Hornet, Sukhoi dan F5 Tiger?
Guna la akal sikit, itu semua jet pejuang.


Saturday, March 2, 2013

Singgah di masjid

Kisah ni berlaku dulu, semasa saya sedang belajar.

Saya tinggal di rumah sewa berhampiran dengan tempat saya belajar di Jitra, Kedah. Pada satu malam tu, ada seorang housemate kami tidak pulang ke rumah. Kami tertanya-tanya ke mana dia menghilang. Selepas semalaman tak muncul-muncul, akhirnya dia kembali ke rumah pada pagi esoknya.

Dia pun menceritakan pengalamannya..

Dia sebenarnya memang nak balik ke rumah. Dalam perjalanan tu tiba-tiba dia berasa sakit perut, lalu dia menghalakan motornya ke sebuah masjid yang terletak di tepi kampung. Masa tu dah pukul 11 lebih, tiada jemaah yang berada di masjid. Dia pun cepat-cepat menuju ke tandas.

Tandas masjid macam biasa la, ada satu pintu utama dan di dalamnya ada banyak tandas, sama seperti kebanyakan tandas awam yang lain. Pintu utama tu tertutup. Dia pun membuka pintu tu dan terus masuk ke dalam tandas. Cahaya di dalam tandas samar-samar kerana banyak lampu yang tidak menyala, sama ada memang rosak atau suisnya tidak dihidupkan.

Setelah selesai menunaikan hajatnya, dia pun melangkah untuk keluar dari tandas. Dia terkejut melihat pintu utama telah tertutup kembali. Dia mahu keluar dengan segera, tapi dia bertambah terkejut apabila melihat tiada tombol untuk membuka pintu itu dari dalam. Entah macam mana, handphonenya tidak dibawa pula. Setelah mendapati memang tiada cara untuk keluar dari situ, dia pun mula melaung meminta tolong. Masa ni, kami yang mendengar ni dah tergelak geli hati. Kalau ada orang yang mendengar jeritannya pun, siapa yang berani nak buka pintu tengah-tengah malam macam tu kan..hahaha.

Selepas penat menjerit meminta tolong, dia pasrah dengan nasibnya yang terpaksa bermalam di tandas itu. Dia duduk dalam keadaan cuak di situ dan mengharapkan tiada perkara-perkara pelik berlaku. Akhirnya dia tertidur juga. Dia tersedar apabila mendengar suara orang di luar tandas pada waktu Subuh. Dia pun terus mengetuk pintu tandas sambil meminta tolong. Jemaah masjid yang datang untuk solat Subuh telah membuka pintu tandas dan dia pun diselamatkan.

Kami sambung gelak selama 2 hari...hahaha.

Kesimpulannya apa? ;)