Monday, December 31, 2012

Jalan-jalan di Kota Singa

Dua minggu yang lalu, saya dan beberapa orang rakan telah pergi ke Singapura. Kami menaiki pesawat Jetstar Airways sebab harga tiketnya yang paling murah berbanding syarikat penerbangan lain. Cuma RM 153 untuk penerbangan pergi-balik.

Nak tahu tak, ini pengalaman pertama saya ke luar negara! Pasport pun baru buat. Kesian kan? haha.. Mujurlah naik pesawat dah banyak kali, kalau tak memang terlebih teruja la gamaknya sehingga melompat bintang di dalam pesawat. Sebenarnya masa saya kecil dulu mak ayah saya pernah bawa saya ke Singapura, tapi saya tak ingat apa pun, sebab masa tu saya baru berumur 1-2 tahun.

Bercakap pasal pasport, semasa kami check-in di kaunter berlepas di KLIA, seorang kawan kami ada masalah dengan pasportnya. Setelah diperiksa oleh kakitangan yang bertugas, pasportnya akan tamat dalam masa kurang dari 6 bulan. Jadi memang tak lepas la nak ke luar negara. Hangus macam tu je tiket.  Perjalanan Nik hanya sampai di KLIA saja. Dah la dia sama-sama naik ERL seawal 5.40 pagi bersama saya, Fariz dan Neves daripada Bandar Tasik Selatan. Kesian sungguh.

Ada 2 sebab utama kami ke Singapura. 1. Mencari barangan Newcastle United, 2. Menonton perlawanan Newcastle United bersama penyokong NUFC di Singapura. 

Di Lapangan Terbang Changi - gelagat ketika wifi dikesan
Menginap di Hotel Lloyd's Inn 
Yang pakai topi tu je bukan penyokong Newcastle. Kenal tak? ;)

Kami check-in di hotel pada jam 11.30 pagi hari Sabtu. Selepas berehat buat seketika, pada jam 2 petang kami keluar berjalan-jalan di Kota Singa. Kami bergerak menggunakan MRT. Destinasi pertama kami sudah tentu ke Peninsula Shopping Centre. Di sini terdapat beberapa kedai yang menjual barangan kelab-kelab bola sepak luar negara. Antara kedai yang popular ialah La Vanita. Pelbagai barangan kelab ada dijual di sini seperti mafla, mug, bendera, kalendar, jam, alat tulis, tabung, stiker, topi, anak patung, beg dan macam-macam lagi, semuanya original. Senang cerita kat KL takde atau susah sangat nak dapat benda-benda ni. Lama juga la kami menghabiskan masa di situ. Keadaan kami ketika itu boleh la digambarkan seperti kanak-kanak di dalam kedai permainan. ;)


Tempat tumpuan - La Vanita

Pada sebelah malamnya kami ke Raffles Place, menonton perlawanan Machester City vs Newcastle United. Dapat la jumpa geng2 NUFC di sana. Selepas habis perlawanan, kami menuju ke Mustafa Centre, sebuah pusat membeli-belah yang dibuka 24 jam sehari. Macam-macam barangan ada, tapi kami tak meronda habis di situ sebab dah keletihan berjalan kaki dari tempat menonton bola tadi. Orang yang kononnya tahu jalan tu bawa kami berjalan ikut jalan yang jauh la pulak..aduhh. Balik tu kami naik teksi sebab dah pukul 2 pagi.

Selamanya!
Pada keesokan harinya, kami check-out daripada bilik tapi barang-barang kami tinggalkan di lobi hotel. Kami menuju ke Restoran Zam Zam yang terletak di North Bridge Road, berdepan dengan Masjid Sultan. Restoran ni memang popular di Singapura. Kami makan nasi briyani, murtabak daging dan murtabak rusa. Memang sedap!



Lama kami berteduh di kaki lima Restoran Zam Zam sebab hujan. Kemudian kami ke Orchard Road dan ke Peninsula semula sebab ada barang lagi nak beli. Pada waktu petang kami kembali ke hotel untuk mengambil beg, berehat sebentar di lobi dan bertolak ke lapangan terbang. Rasa rugi pula tak pergi ke Bugis Street. Universal Studio Singapore pun tak pergi sebab bajet terhad. Maklumlah pergi sebelum gaji. Takpelah, mungkin lain kali.

Thursday, December 27, 2012

Bawa bertenang

Hebat betul aksi Newcastle United di Old Trafford malam tadi. Walaupun kalah 4-3 saya tetap bangga dengan semangat juang mereka. Rasa nak gugur jantung menonton perlawanan ni, terutama di separuh masa kedua. Fuhh..sikit je lagi.

Selamanya!

Iqra

Petang itu emak memeriksa bacaan Muqaddam oleh Anis. Sementara itu Aisyah dan Kamelia bermain dengan anak buah saya yang berada dalam baby walker. Saya menghampiri mereka "Weh, korang kenapa tak mengaji ni, sibuk nak main ngan Hani pulak." "Dah mengaji tadi" jawab si Aisyah. 

Budak-budak ni kalau bergurau dengan Hani memang tak reti nak berlembut sikit. Pipi Hani ditekan-tekan sampai termuncung mulutnya, hidung Hani dipicit-picit sampai merah, kemudian dipeluk kuat-kuat. "Kamelia! jangan la buat macam tu! Dia rimas tahu tak?" pantas Kamelia melepaskan tangannya sambil tersengih. 

Saya bertanya pada Aisyah.. "Ecah, dah mengaji sampai mana?" "Tiga!" jawabnya. 
"Ha, sampai mana?" aju saya lagi.
 "Iqra 3!"
"Owh, Iqra 3"

Dulu takde jawab macam ni. Dulu beritahu permulaan surah je.
"Dah mengaji sampai mana?"
"Alam Nash Roh"

Jawapan tanpa jawapan

Bila kita dah berjanji dengan orang nak ke sesuatu tempat, dan tiba-tiba ada sebab yang buat kita tak nak atau tak jadi pergi, ada cara yang elok untuk kita menyatakannya kepada orang yang berkenaan. Kita tak boleh la beritahu tak jadi pergi dan meminta orang itu pergi saja dengan orang lain. Kalau berjanji beramai-ramai takpe, ada la orang lainnya. Tapi kalau memang nak pergi berdua je, terkulat-kulat la orang tu.

Secara automatiknya orang yang berkenaan akan tertanya-tanya sebab mengapa kita membatalkan janji. Melainkan kalau sebelum tu memang kita dah kata "Tak tahu lagi, takut ada hal. Nanti confirm balik." Then it's ok. Memang tak timbul persoalan sangat sebab ada kebarangkalian sama ada jadi atau tak jadi.  Bila jadi, tiba-tiba tak jadi tu yang menyebabkan orang bertanya.

Sesungguhnya orang yang berkenaan bukannya nak tahu sebab secara terperinci pun, cuma bila dah tertanya-tanya tu, persoalan "kenapa" memang secara spontan akan keluar. Dan persoalan kenapa tu bukanlah seperti seorang bos bertanya kepada pekerjanya, cuma sekadar komunikasi biasa. Ekpresi perasaan ingin tahu seorang manusia normal. Walaupun kita tak rasa nak beritahu sebabnya, sekurang-kurangnya berilah sedikit jawapan kepada persoalan yang bermain-main di fikiran sahabat kita tu. Ini dinamakan 'jawapan tanpa jawapan'. Itu pun sudah cukup untuk melegakan dan menjaga hati seseorang. The point is.. just say something.

Kita boleh kata:
"Sorry, ada hal la hari ni"
Dan banyak lagi yang saya boleh senaraikan di sini.

Kalau orang tu nak tahu hal apa, dan kita memang tak nak beritahu langsung sebab ia rahsia yang sangat besar, kita boleh kata:
"Ada la kerja sikit nak kena buat"
(dan banyak lagi yang saya boleh senaraikan di sini)
See, jawapan tanpa jawapan.
Kalau nak sedap lagi, bolehlah ia dinamakan 'Jawapan yang tak dianggap'..
Bila kita dah kata macam tu, orang akan faham yang kita tak nak kongsi hal kita tu dan mereka takkan tanya lagi. Tapi kalau orang tu masih juga nak tahu, boleh la kita abaikan kalau kita takde masa nak layan dan kita memang tak boleh nak bagi klu sikit pun sebab itu perkara sulit.

Well, ini sebenarnya terpulang pada sejauh mana persahabatan kita dengan seseorang tu dan sebaik mana kita nak menjaga sesebuah persahabatan. Kalau tak setuju takpe.


Sharing is caring right?

Monday, December 24, 2012

Tiada lagi bunyi kunci

Berjoging di pagi hari minggu ialah satu aktiviti yang perlu semangat yang kuat dari dalam diri, apatah lagi kalau berjoging sendirian macam yang saya selalu lakukan. Pada waktu malam sebelum tidur dah set dalam kepala nak pergi joging esok pagi, tapi esok paginya timbul pula rasa malas nak pergi. Sudahnya tak pergi. Macam tu lah selalunya.

Baru-baru ni saya berjaya melawan rasa malas tu dan bangun berjoging di pagi hari minggu. Bila dah sampai di lokasi joging tu takde la rasa malas lagi, sebab ada ramai geng. 

Satu perkara yang selalu mengganggu saya ketika berjoging ialah bunyi kunci dalam poket seluar. "Ish..boleh diam tak kunci?" Tapi entah macam mana sebelum keluar joging hari tu saya terpandang satu benda, terus dapat idea untuk gunakan sebagai tempat letak kunci.

.
.
.
.
.
.
.
.


Saya lipat dua bekas cd. Sebelah saya letak kunci. Sebelah lagi saya letak sekeping wang kertas, lesen memandu dan kad pengenalan.
Hasilnya.. tiada lagi bunyi kunci semasa berjoging!
Boleh berjoging dengan tenang sambil menikmati udara pagi dan melihat gelagat manusia beriadah di sekitar taman. :)


Sunday, December 9, 2012

Orang pendiam

Umar merupakan seorang guru. Dia baru saja mendirikan rumah tangga dengan seorang kerani swasta. Isterinya  merupakan seorang yang pendiam manakala Umar terkenal dengan sikapnya yang peramah dan suka bercerita. Kalau dengan kawan-kawan, dia suka menyakat dan mengenakan orang. Dengan pelajar pula, Umar agak tegas. Bila masa melawak, dia akan melawak. Tapi bila dia marah, semua pelajar takut.

Umar mengajar di sesi pagi, jadi pada setiap hari dia akan berada di rumah lebih awal berbanding isterinya. Satu petang ketika isterinya melangkah ke dalam rumah setelah pulang dari kerja, suasana sepi. Isterinya terus menuju ke bilik. Apabila isterinya masuk ke bilik, dia mendapati Umar sedang duduk memeluk bantal di penjuru katil. Mukanya sedikit risau.

"Kenapa bang?" soal si isteri
Umar tidak menjawab, dia hanya menunjuk beberapa kali ke arah bilik air
"Ada apa?" tanya isterinya lagi
"Katak!" jawab Umar sedikit berbisik tetapi cemas
Isterinya menjengah ke bilik air, kemudian dia keluar dari bilik. Seketika kemudian dia kembali dengan tangan yang berbalut plastik. Dia terus masuk ke dalam bilik air dan mencekup katak itu. Katak itu berbunyi.. "Help!"

...........

Pada satu pagi di hujung minggu, Umar dan isterinya pergi ke taman rekreasi untuk berjoging. Selesai berjoging dan berehat, mereka menuju ke kereta untuk pulang. Apabila tiba di kereta, ada sekumpulan monyet datang ke arah mereka. Umar lari lintang pukang manakala isterinya mencapai kayu dan mengejar monyet-monyet tersebut hingga ke pinggir hutan.

Sudah seminggu berlalu, tidak kelihatan lagi monyet di taman itu.

Monday, November 19, 2012

Apa khabar Manisha ku?

Dulu:

Madhuri Dixit....
Juhi Chawla....
Kajol....
Urmila Matondkar....
Karisma Kapoor...cun
Rani Mukherjee....cun
Manisha Koirala....wow!!
Sonali Bendre....wow!!

Sekarang: Tak kenal..

Friday, November 16, 2012

SMS dari abah

"Selamat Hari Jadi, Semuga Panjang Umur Murah Rezki dan Segera Dapat Jodoh Yg Saleha."

Mujur perkataan 'segera' tu tak semua huruf besar..

Emm.. Siapa nama Saleha angkat tangan!


Wednesday, November 14, 2012

Naluri abang

Hari Sabtu yang lalu, selesai saja solat Subuh saya terus bersiap. Mengenakan jeans dan kemeja-t serta menyisir rambut dengan kemas. Adik saya juga bersiap nak ke tempat kerja. Sesudah itu, saya duduk di atas lantai bilik sambil bersandar di tepi katil. Saya terfikir sejenak..entah kenapa saya bersiap seawal itu walaupun tak merancang nak ke mana pun. Ah, nanti mungkin akan dapat idea hendak ke mana. Saya mula membelek handphone, menekan itu dan ini. Saya tak sedar bila adik bertolak ke tempat kerja, yang saya sedar ada bau masakan dari dapur. Namun bau masakan tidak cukup untuk menghentikan perkenalan saya dengan handphone yang baru dibeli, leka jadinya.

Beberapa minit kemudian, kami sekeluarga dikejutkan dengan kepulangan adik ke rumah. Dia dihantar oleh seorang auntie Cina menaiki kereta. MasyaAllah, dia kemalangan jalan raya. Tangan dan kakinya luka, begitu juga di bahagian dagu. Baju dan seluar terkoyak di beberapa tempat. "Saya mau masuk simpang, lupa bagi signal" terketar-ketar auntie tu menceritakan bagaimana kejadian berlaku. Kalau disergah sikit barangkali pengsan dia di situ.

Saya terus mencapai helmet dan mengikut auntie tu menaiki kereta. Dia membawa saya ke tempat di mana motor adik saya ditinggalkan. Adik saya pula dibawa ke klinik oleh adik yang seorang lagi.

Nak dipendekkan cerita, auntie tu telah menghulurkan RM50 untuk kos rawatan dan RM250 untuk kos baikpulih motor. Yang pastinya, hari Sabtu itu saya sibuk.

Sunday, October 21, 2012

Kenangan Si Comel

Dulu di rumah saya ada motor skuter comel. Entah apa yang comel dengan motor tu sampai namanya comel. Beli satu percuma satu. Kawan ayah saya yang nak beli, mungkin sebab dah tak tahan sangat tengok kecomelan motor tu. Disebabkan beli satu percuma satu, dia ajak la ayah saya kongsi. Ayah saya pun ibarat dipukau, bersetuju nak berkongsi beli motor tu. Jadi ayah saya ada satu, kawan dia ada satu. Walaupun mereka ada motor yang sama yang dibeli bersama, tidak pula mereka berkonvoi ke tempat kerja atau ke mana-mana bersama, dan tidak pula mereka menubuhkan Kelab Comel.

Satu hari saya menunggang motor tu ke kedai dengan gaya comel. Balik dari kedai saya melalui jalan yang sama untuk pulang ke rumah. Bila saya kata jalan yang sama, maknanya betul-betul melalui jejak yang sama iaitu dengan melawan arah, lalu ikut di tepi jalan. Kalau balik ikut arah jalan raya yang betul, nak kena u-turn bagai.. leceh, buang minyak, lambat sampai.. dan 10 lagi sebab.

Semasa melawan arah tu, ada seorang jiran yang umurnya muda 6-7 tahun daripada saya sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Saya dengan penuh rasa prihatin berhenti dan mengajak dia naik bersama. Dia tersengih. Sambil mengucapkan terima kasih dia melompat ke tempat duduk belakang motor. Saya dapat rasakan semasa membonceng motor tu dia masih memanjatkan kesyukuran sebab bertemu dengan saya di dalam perjalanan. Mungkin dia tidak sedar bahawa cogan kata saya ialah "Di saat anda memerlukan'. 

Sampai di simpang masuk ke kuarters kami, kebetulan ada sebuah kereta ingin keluar dari simpang tu. Saya tanpa berfikir panjang terus melalui bahagian hadapan kereta tu untuk masuk ke simpang. Dalam sekelip mata, kami berdua dan motor comel tergolek di tengah lebuh raya 3 lorong itu, sebab dalam masa yang sama juga kereta itu membelok ke kiri untuk keluar simpang. Saya sangkakan pemandu kereta nampak kewujudan kami, rupanya tidak. Dia hanya memandang ke kanan, sebab dah tentu la kereta lain akan datang dari arah kanan je kan. Oh, sungguh lemah keputusan saya ketika itu. Sepatutnya saya tunggu sekejap hingga kereta tu keluar simpang. Kelam kabut pemandu tu keluar dari kereta dan membantu kami berdua. Mujur masa tu tiada kereta lain yang lalu. 


Kami berdua tak cedera, tapi motor comel cedera sikit. Penutup badan sebelah kiri tertanggal.

.........

Saya menghantar jiran pulang ke rumah. Turun dari motor dia mengucapkan 'terima kasih'. Terus tergelak kami berdua di situ..hahaha. Habis gelak saya menjawab "sama-sama" dan pulang ke rumah.

Si Comel

Thursday, October 18, 2012

Friday, October 12, 2012

Adab menunjuk

Ni saya nak berkongsi satu perkara tentang adab. 

Jika kita sedang berdiri dan hendak menunjuk pada benda atau barang yang terletak di atas lantai atau tanah kepada orang lain, janganlah kita menunjukkannya dengan kaki. Tidak sopan ok.

"Ko tengok yang ni, pastu yang ni pun sama, haa yang ni dia punya tapak, haa yang ni bla bla bla"...bergerak-gerak kaki ke kiri ke kanan, atas dan bawah menunjukkan bahagian yang dimaksudkan. Nak lebih bergaya lagi kaki tu pula ditukar kejap guna kaki kiri, kejap guna kaki kanan sambil cekak pinggang. Amboi..

Biasanya orang tunjuk dengan kaki sebab kalau tunjuk dengan tangan, orang tak jelas bahagian mana yang ditunjuk. Jika begitu, tunduk atau bertinggunglah berdekatan barang tu dan tunjukkanlah dengan tangan. Lebih sopan.

Namun begitu, ada juga masa yang dibolehkan untuk tunjuk dengan kaki iaitu ketika tangan kamu diikat. Macam ni la, kalau kamu nak sangat tunjuk dengan kaki, pegang la kaki palsu dan tunjuk la sesuka hati kamu.



#Oh I miss blogging..

Monday, September 24, 2012

Meremang

Ada yang dah lama tak meremang? Meh sini I bagi Love..



Meremang tak I punya Love?
Tu la, I dah kata..

Friday, September 7, 2012

Nora Danish sakit mata



Tolong buat secara live depan saya.. =)

Saturday, September 1, 2012

Mimpi Merdeka

Baca dari bawah ke atas ye.


Selamat Hari Merdekaraya!

Tuesday, August 28, 2012

Rumah terbuka

Saya berpendapat janganlah ditanya kepada orang lain sama ada dia akan mengadakan rumah terbuka atau tidak. Kalau tiada jemputan tu maknanya takde la. Jika nak datang beraya beritahu saja. InsyaAllah kalau tuan rumah tak ke mana-mana, dia akan menerima kedatangan kita dengan tangan terbuka.

Rumah saya tak pernah buat rumah terbuka, tapi terbuka. 

Friday, August 24, 2012

Raya 2012

Selamat Hari Raya semua!

Bagaimana sambutan raya kalian? Saya sambut dengan ala kadar saja. Baju raya pun tak kisah beli. Teman orang lain beli baju raya ada la. Ada orang yang sedih sebab baju raya ada 2-3 pasang je. Tak perlu la nak sedih-sedih, orang lain ada yang tak dapat beraya atas pelbagai sebab. Fikir-fikirkanlah.

Cakap pasal tak beraya, saya sebenarnya tumpang sedih dengan nasib seseorang yang rapat dengan saya. Seminggu sebelum raya dia memberitahu bahawa dia telah bercerai dengan pasangannya. Belum sampai setahun pun usia perkahwinan mereka. Dan yang paling sedihnya ialah belum sempat pun mereka menyambut raya bersama-sama sebagai suami isteri. Dah berkawan 8 tahun sebelum berkahwin pun belum tentu akan bersama selamanya. Tiba-tiba saya ada geng bujang.. eh.

Sebelum raya hari tu ramai yang dah pulang awal ke kampung kan? Hasilnya.. sehari sebelum Hari Raya, trafik bergerak lancar semasa saya memandu pulang ke Johor, waktu siang pula tu. Memandu sambil senyum la saya..hehe. Semasa pulang ke KL pada hari Selasa pun trafik boleh dikatakan baik. Cuma sesak di 1-2 tempat. Raya kali ni saya jadi pemandu sepenuh masa sebab naik kereta bersama kedua orang tua. Adik-adik naik kereta satu lagi. Bos besar saya bagi berehat di tepi.  Penat juga weh. Ada sekali tu saya tertidur kejap semasa berhenti di persimpangan lampu trafik. Bos besar kejut baru saya bangun dan sambung memandu. Lol

Semalam (Khamis) saya dah mula bekerja. Bosan ye anak-anak. Tapi bosan-bosan pun kena juga bekerja sebab ada pelawat dari Amerika datang. Kena tolong sikit. Untung-untung dapat duit raya sedolar dua (berangan sungguh). Oh..saya masih dapat duit raya semasa beraya di kampung. Hehe.

Orait, itu saja.
Mohon Maaf Zahir Batin. 


Monday, August 13, 2012

Jalan-jalan cari makan di JB

Hujung minggu lepas saya ke Johor Bahru bersama Pali dan Sol. Pali ada kerja di beberapa tempat di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Saya dan Sol saja meneman. Kalau tak dia pergi seorang je. Disebabkan ada banyak tempat yang perlu disinggah (ada 10), pukul 8 pagi hari Sabtu kami dah bertolak menuju ke selatan. 

Dalam perjalanan, kami dah memikirkan destinasi yang sesuai untuk berbuka puasa di JB. Tak sabar betul, padahal baru tengahari. Saya pun mulalah mencari-cari di internet dan akhirnya saya mendapat idea untuk makan Nasi Briyani Gam di Taman Dahlia. Saya memberi nombor telefon Haji Saadon, tuan punya kedai kepada Sol untuk dihubungi. Ye la, kami kena la tanya kedai dia buka ke tidak.

Sol dengan segera menelefon Haji Saadon. Dia memberitahu kedainya tutup, tapi dia ada jual bungkus di depan kedai. Masa sedang bercakap di handphone tu tiba-tiba Sol tanya pada saya dan Pali nak briyani lauk apa. Disebabkan dia nak jawapan segera, kami beritahu la lauk apa yang kami nak. Sepatutnya kami cari la kedai lain untuk berbuka, tapi Sol dah ter 'order', nak buat macam mana...haha. Kalau boleh nak duduk makan di kedai la, sebab dah penat memandu dari KL. Jadi boleh makan dengan selesa. (bukan saya yang memandu pun)

Petang tu (6.30 petang), semasa sedang berpusing-pusing mencari kedai Nasi Briyani, Haji Saadon call menanyakan lokasi kami. Sol cakap kami dah dekat. Disebabkan dah dekat, Haji Saadon suruh kami tunggu di tempat kami berada tu. Dia nak datang hantar nasi briyani yang kami order. Bila kami tunggu di situ, Haji Saadon call kata dia dah sampai di tempat lain. Eh, ada salah faham pula. Sol dengan yakin suruh Haji Saadon tunggu saja di situ, kami pula yang akan datang. Aduh, sesat pula nak ke tempat yang Haji Saadon tunggu tu. Dah la waktu berbuka dah dekat. Kelam kabut dibuatnya. Haji Saadon call lagi tanya kami kat mana. Sol bagitahu la kami sesat. Sol jadi panik sebab terpaksa bercakap dengan Haji Saadon di telefon..hahaha. Semasa dalam kesesatan tu (lol) tiba-tiba kami sampai di depan kedai Haji Saadon. Magik sungguh. Haji Saadon pun datang ke kedainya semula. Kami rasa bersalah sebab dah menyusahkan Haji Saadon petang tu. Jam pun dah menunjukkan pukul 7.15.

Apabila Haji Saadon sampai, kami dah nampak bungkusan Nasi Briyani Gam dalam raga motornya. Ingatkan dah boleh ambil, tapi dia suruh kami ikut motornya dari belakang. Dia bergerak dan kami pun mengekori dengan kereta. Rupa-rupanya Haji Saadon membawa kami ke kedai makan kawannya yang terletak berhampiran. Kami sampai betul-betul waktu azan berkumandang di tv. Tapi itu azan untuk kawasan di KL la. Di Johor dah berbuka awal sikit.

Nasi Briyani Gam Haji Saadon memang sedap! Kami berbuka puasa dengan Haji Saadon petang tu. Sambil makan kami berbual-bual. Haji Saadon menceritakan yang dia telah mula berniaga sejak tahun 1954 ketika umurnya 16 tahun. Dia juga ada merancang untuk berniaga di KL selepas ini.

Setelah selesai makan, Haji Saadon meminta diri untuk pulang.

Kami (serentak): Berapa harga nasi ni semua pakcik?...............(serentak la sangat)
HS (senyum): Takpe la, saya belanja. Orang dari KL datang jauh2.
Kami: Ye ke? Terima kasih pakcik!! InsyaAllah lain kali jumpa lagi ye. =)

Maaflah takde gambar bersama Haji Saadon sebab bateri handphone habis masa tu. Kalau korang ke JB jangan lupa makan Nasi Briyani Gam di Taman Dahlia. Memang puas hati. Kata Haji Saadon, 'Jalan-jalan Cari Makan' pun dah sampai ke kedainya.

Nasi Beriyani GamTaman Dahlia, JB

Saya ada satu soalan - Apakah ejaan briyani yang betul? Beriani / Bariani / Briyani / Beryani / Beriyani / Baryani / Biryani ?

Wednesday, August 1, 2012

Senarai atlet Malaysia di Sukan Olimpik, London


Sukan Olimpik London 2012 sudah berlangsung sejak 27 Julai yang lalu dan akan berakhir pada 12 Ogos 2012. 
Saya sempat menonton beberapa acara yang dipertandingkan. Antara yang menarik setakat ni ialah bola tampar, bola sepak wanita, terjun papan anjal, badminton dan gimnastik artistik. Banyak lagi yang menarik akan menyusul, dan yang pastinya acara trek ialah acara yang ditunggu-tunggu, terutama acara 100m. 
Harap para atlet Malaysia akan mempamerkan persembahan yang membanggakan dan berjaya memenangi pingat. Malaysia Boleh!

BERIKUT adalah senarai atlet Malaysia yang beraksi pada temasya sukan tersebut:
AKUATIK: Terjun
Bryan Nickson Lomas: 3m papan anjal individu lelaki, 3m papan anjal seirama, 10m platform individu
Yeoh Ken Nee: 3m papan anjal individu lelaki
Huang Qiang: 3m papan anjal seirama
Pandelela Rinong: 3m papan anjal seirama wanita, 10m plaftform individu, 10mpapan anjal seirama.
Leong Mun Yee: 10m platform seirama wanita
Traisy Vivien Tukiet: 10m platform individu wanita
Cheong Jun Hoong: 3m papan anjal individu wanita, 3m papan anjal seirama
Wendy Ng Yan Yee - 3m papan anjal individu wanita, 3m papan anjal seirama
AKUATIK: Renang
Khoo Cai Lin: 800m gaya bebas wanita
Heidi Gan: 10km laut terbuka
BADMINTON:
Datuk Lee Chong Wei: Perseorangan lelaki
Tee Jing Yee: Perseorangan wanita
Koo Kien Keat/Tan Boon Heong: Beregu lelaki
Chan Peng Soon/Goh Liu Ying: Beregu campuran
BERBASIKAL: Trek
Mohd Azizulhasni Awang: Keirin, 200m pecut lelaki
Josiah Ng: Keirin, 200m pecut lelaki
Fatehah Mustapa: Keirin wanita
BERBASIKAL: Lebuh Raya
Mohd Adiq Hussainie
Amir Mustafa
LAWAN PEDANG:
Yu Peng Kean: Sabre individu
MEMANAH:
Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin: Berpasukan/IndividuRecurve
Nurul Syafikah Hashim: Recurve individu wanita
MENEMBAK:
Nur Suryani Mohd Taibi: 10m air rifle wanita
KAPAL LAYAR:
Khairulnizam Mohd Affendy: Laser Standard
OLAHRAGA:
Lee Hup Wei: Lompat Tinggi lelaki
Noraseela Khalid: 400m lari berpagar wanita

Monday, July 30, 2012

Berbuka puasa

Sejak sebelum bermulanya Ramadhan, saya dah set dalam kepala bahawa saya akan cuba menjauhi aktiviti berbuka puasa secara bufet. Bagi saya makan secara bufet ni membazir dan memaksa. Kenapa membazir? Sebab dengan bayaran RM10 hingga RM20 seorang pun sudah cukup sebenarnya untuk kenyang (bergantung kepada tempat). Tak perlu nak belanja sampai RM40-50, atau lebih. Kenapa memaksa? Sebab walaupun kita dah kenyang, kita akan paksa diri untuk makan lagi sebab dah bayar mahal. Makanan pun banyak lagi yang belum rasa. Kan nafsu tu.

Baguslah kalau kita tak memaksa diri untuk makan banyak, tapi di situlah membazirnya. Bayar RM40, makan RM20 je nilainya. Kecuali la bufet tu memang betul-betul murah, dan terdapat pilihan makanan yang memuaskan. Ye la, kadang-kadang tu ada juga bufet RM20, tapi menunya ala kadar saja, dan lebih malang lagi kalau tak sedap.

Kalau makan seorang lagi senang, belanja bawah RM10 dah cukup untuk kenyang. Setakat ni saya membelanjakan tak lebih RM5 di Pasar Ramadhan. Alhamdulillah, ok je. Di waktu malam boleh menunaikan solat tarawih dengan selesa.

Hari Selasa minggu lepas saya dan kawan serumah berbuka di masjid. Saja nak merasa. Sangat meriah dan yang paling menariknya - makan dalam dulang. 1 dulang 4 orang makan. Bestnya, dah lama tak makan dalam dulang macam tu. Dulu masa kenduri kat kampung ada la. Mungkin dalam minggu ni nak pergi lagi sehari. :)

Ajakan untuk berbuka beramai-ramai dah mula kedengaran. Biasa la tu. Kalau majoriti nak makan bufet, hmm.. kena fikir panjang. :)

Wednesday, July 25, 2012

Makanan berserat tinggi, pilihan terbaik di bulan puasa

Makanan yang mengandungi serat (fiber) amat sesuai dimakan pada bulan puasa terutama ketika bersahur.

Apa itu serat?
Serat ialah bahagian pada makanan tumbuhan yang tidak dapat dihadam atau diserap oleh badan. Walaupun serat tidak boleh dihadam, ia memberi banyak kebaikan kepada tubuh kita.

Kebaikan serat:
1. Memperlahankan penyerapan gula dalam aliran darah. Oleh itu, tahap gula dalam darah akan lebih stabil.
2. Mengurangkan kolesterol LDL yang lapuk dan menggalakkan kesihatan jantung.
3. Membantu anda berasa kenyang dan mengawal selera makan.
4. Memastikan sistem pencernaan sihat dan mengelakkan sembelit.
5. Mengurangkan risiko sesetengah barah, termasuk barah payudara.

Di manakah terdapatnya serat?
- Buah-buahan
- Sayur-sayuran
- Kacang
- Bijirin

Antara makanan yang mempunyai kandungan serat tinggi (high-fiber) ialah:
- Buah pear, dengan kulit
- Buah epal, dengan kulit
- Buah strawberi
- Buah pisang
- Buah limau
- Kismis
- Gandum
- Kacang Pistachio
- Kacang Almond
- Sayur brokoli
- Jagung
- Kentang dengan kulit, dibakar
- Tomato
- Lobak
- Beras perang
- Barli

Monday, July 9, 2012

Jangan Gelak


Top 11 Ucapan Lucu & Terkenal Sammy Vellu


Berikut merupakan beberapa ucapan beliau yang menjadi kesukaan ramai.
1. Sammy Vellu mengomen tentang PosLaju. ‘Esok kirim, hari ini sampai’
2. Beliau menyatakan rasa malunya dalam sebuah rancangan TV. ‘Ini perkara sangat memalukan saya dan kemaluan saya sangat- sangat besar’
3. Dalam sebuah ceramah, beliau berucap. ‘Kita akan bina sebuah jambatan di kampung ini’. Tapi menurut seorang pakcik, ‘Kampung ini tiada sungai, buat apa bina jambatan,’ Datuk Samy menjawab, ‘Kalau tiada sungai, kita bina sungai’
4. Semasa krisis air, beliau berkongsipendapat. ‘Semua orang jangan buang air’
5. Apabila tol naik, beliau memberi komen. ‘Tol naik sikit, banyak marah saya. You ingat ini tol saya punya bapa punya kah?’
6. Semasa kempen derma darah di Sungai Siput. ‘Marilah kite semue menderme dare’
7. Semasa pembukaan majlis. ‘Selamat datang saudara-mara semua…’ (sepatutnya saudara saudari)
8. Semasa merasmikan sebuah majlis. ‘Dipersilakan Datuk Seri Rafidah Aziz naik pentas untuk membuka kain’
9. Memberi komen berkaitan isu sosial. ‘Orang- orang mude suke menghisap dade’
10. Semasa kes Al-Arqam kian memuncak. ‘Saya gembira bahawa didapati tiada pemuda MIC terlibat dalam kes Arqam’
11. Menyambut kembalinya angkasawan ke bumi. ‘Kita bersyukur kerana angkasawan kita yang telah meninggal dunia selama 10 hari telah selamat dikebumi’

Sumber: fb

Thursday, July 5, 2012

Kus semangat

Semalam Asyraf belikan kuih pau dan letakkan di meja saya. Dia sangka saya cuma ke surau sebentar sebab komputer masih ON, padahal saya dah pulang. Komputer memang sengaja saya biarkan ON sebab ada kawan nak guna lepas waktu pejabat. Saya hantar pesanan pada kawan tu supaya makan saja kuih pau tu bagi pihak saya, ataupun beri saja pada sesiapa yang masih ada di pejabat. Kalau tak, habis berkecah dikerjakan oleh 'cik siti' pula nanti.

Setibanya di pejabat pagi ni, saya lihat bungkusan kuih pau masih ada di atas meja. Ada bahagian pada plastik yang dah terkoyak. Ala..semalam kata thank you, tapi tak ambil pula...hmm



Saya lihat di atas kertas ada kesan kotoran sikit, macam kesan tapak kaki. Saya ambil bungkusan pau dan lihat ke dalamnya, ada kesan gigitan pada kuih pau. Saya pun membuang bungkusan itu ke dalam tong sampah di sebelah meja.



Nampak tak ada kesan kotoran pada kertas? Saya pun tarik kertas itu untuk dibuang. 


.
.
.
.
.
.
.
.


Terkejut ok!!!! Terlepas kertas tu sekejap. 

Cicak tu pula lari ke belakang printer. Demmm you! Gaya kau tu dah macam nak terkam aku tahu tak?!!!

Sedang saya menaip entri, saya pandang ke tepi printer.


Pehhh.. mengintai

Monday, June 11, 2012

Gaya meraikan gol



Kahkahkah..
Yang mana paling kelakar?

Thursday, June 7, 2012

Naik turun berat badan

Setelah gagal untuk membantu seorang kliennya menurunkan berat badan, seorang jurulatih kecergasan telah mengambil keputusan untuk menambahkan berat badannya sendiri dengan tujuan untuk memahami apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh kliennya. Dia pun mula melupakan gim, mengambil makanan ringan, makanan laju (lol) dan air soda. Dalam masa 6 bulan berat badannya meningkat daripada 87 kg kepada 120 kg. Ukur lilit pinggangnya pula berubah daripada 34 inci kepada 48 inci. Senang je.

Selepas itu dia kembali semula ke gim dalam proses untuk menurunkan kembali berat badannya. Pada peringkat awal, dia berasa malu kerana terpaksa melakukan tekan tubi dengan lutut yang menahan lantai. Namun begitu, dalam masa 6 bulan, dia berjaya kembali ke berat badan asalnya. Kesimpulannya, dia berjaya menambah berat badan sebanyak 33 kg dan menurunkannya kembali ke berat asal dalam masa setahun.

Kini dia faham, proses menurunkan berat badan bukan tentang fizikal semata-mata. Ia bukan hanya mengenai rancangan makanan dan senaman. Sebaliknya, kunci utama adalah mental dan emosi.

Asal - Naik - Kembali ke asal

Nak cuba? Peringkat pertama sangat mudah! Peringkat kedua...ermm ermm.

Saturday, June 2, 2012

Saya sokong pasukan cap ayam

Pada tanggal 9 Jun 2012 nanti akan bermulalah Kejohanan Euro 2012 yang ditunggu-tunggu oleh peminat  sukan bola sepak. Poland dan Ukraine akan bergabung tenaga sebagai tuan rumah untuk edisi kali ini. Perlawanan pertama akan menemukan pasukan Poland dan Greece.


Berikut ialah senarai pasukan yang akan bertanding:


Sebagai seorang yang berdarah hitam putih, saya akan menyokong pasukan France kerana dibarisi dua orang pemain Newcastle United. Kali terakhir pasukan Les Bleus menjuarai Kejohanan Euro ialah pada tahun 2000.




Jadual perlawanan pasukan France di peringkat kumpulan:
12 Jun 2012 - France vs England (12.00 tgh mlm)
16 Jun 2012 - Ukraine vs France (2.45 pagi)
20 Jun 2012 - Sweden vs France (2.45 pagi)

Selamat menyokong pasukan masing-masing!

Sunday, May 27, 2012

Rosak lirik

Tagging-tagging flirting-flirting..
Liking-liking poking-poking..


Yang lain ok, bila masuk baris-baris yang tak perlu..
Terus rosak..
Nasib baik tak tulis berak-berak


pengsan.. *--*

Thursday, May 17, 2012

Pendaftaran Haji

Kamu dah buat pendaftaran haji?
Dah lama la saya buka akaun.
Buka akaun simpanan tabung haji dengan buat pendaftaran haji tu perkara yang berbeza tau.
Eh, ye ke?
Buka akaun tabung haji tu untuk simpanan je, RM 10 pun boleh untuk permulaan. Tapi untuk pendaftaran haji kena ada sekurang-kurangnya RM 1300.00 dalam akaun.
Habis kalau takde RM 1300.00 dalam akaun, belum boleh daftar haji la?
Yup, kena ada RM 1300.00 dalam akaun tabung haji. Tapi sekarang dah boleh buat pendaftaran haji guna KWSP. Senang sikit.
Macam mana tu?
Kalau kamu ada simpanan KWSP sekurang-kurangnya RM 1300.00 dalam akaun 1, kamu dah boleh buat pendaftaran haji.
Oo..senang la. Maknanya RM 1300.00 akan ditolak dari akaun KWSP ke?
Eh tak la, itu sebagai syarat je. Tak melibatkan pengeluaran wang KWSP. Kamu cuma perlu bawa penyata KWSP terkini ke mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji dan buat pendaftaran haji. Buatlah cepat, sebab nak tunggu giliran kita tu lama, maksimum 40 tahun sekarang ni. Tapi menurut pegawai Tabung Haji yang saya hubungi, lepas 10 tahun dah boleh buat rayuan untuk pergi.
Ok, terima kasih!

*Pendaftaran Haji Ahli KWSP*

Wednesday, May 9, 2012

Jadual

Dulu masa kecil, semasa sedang seronok bermain dengan kawan-kawan, Kak Zue menjengah dari tingkap dan memanggil adiknya, sama seperti yang dilakukannya pada hari-hari yang lepas..
"Dik.. balik minum petang!"

Saya seperti biasa, blur sekejap. Minum pun ada jadual.
Akip berhenti bermain dan balik ke rumah.
Saya sambung bermain dengan kawan-kawan yang lain. Nasib baik diorang takde jadual minum.

Tiba-tiba adik saya datang naik basikal.
"Long, mak suruh balik sembahyang!"
Saya teruskan bermain.
Dah 3-4 kali diorang panggil, saya pun balik.

Friday, May 4, 2012

Bergaya

Mama: Man, ko tahu tak sepupu kau si Pian tu dah tukar kereta baru.
Man: Ye ke. Kereta apa?
Mama: Kereta Stream
Man: Pehh, bergaya!
Mama: Hmm..hmm..

Semalamnya di kampung..

Adik: Uih, kereta siapa kat luar tu?
Kakak: Kereta Pian..
Adik: Wah, kereta baru!
Kakak: Hmm..
Adik: Bukan main lagi bergaya
Kakak: Shhh..kamu nak tahu tak, dulu dia bagi aku banyak. Sekarang 150 je. Jauh beza.
Adik: Ye ke?
Kakak: Biarlah, orang nak bergaya..

Wednesday, May 2, 2012

Tok Wan

Hai, pergi mana cuti Hari Pekerja semalam? Saya pergi menonton The Avengers, kawan belanja. Ok la cerita tu, tapi takde la hebat sangat. Best lagi cerita X-men First Class. Akhirnya semalam hujan kan, wah.. nikmat.

Macam mana dengan hari Bersih 3.0 yang dah berlalu? Kamu ke mana? Ke dataran? Buat keganasan? Sebelum perhimpunan tu pun kita dah tahu apa yang akan berlaku kan..

Saya pun keluar juga pada 28 April yang lepas. Mendekatkan diri dengan alam. Itu lebih baik. Sebelum ni asyik ke puncak Bukit Broga. Kali ni bila sampai je di puncak Bukit Broga, perjalanan diteruskan ke puncak Gunung Tok Wan pula. Mula mendaki pukul 9.00 pagi, sampai di bawah semula pada pukul 2.30 petang. Ok penat!





Bersih 3.0?


Thursday, April 19, 2012

Berkicau

Niat asal cuma nak mengikuti kicauan para pemain pasukan hitam putih..


Sekarang dah mula berkicau...oh..oh..


Sunday, April 15, 2012

Mencari

Bila kita cari sesuatu barang di saat kita memerlukannya, selalu juga barang tu takde kan.. Kalau tak cari, ada pula. Kenapa ye? Kenapa kita tak ambil masa kita nampak ia ada? Jawapannya mudah.. kerana kita tak memerlukannya ketika itu, atau kita dah ada barang yang kita perlu. Ke mana barang yang selama ni ada, tiba-tiba tiada? Selalunya kita sendiri dah lupa di mana kita pernah melihatnya. Atau kita memang pasti letaknya di mana, cuma ia telah diambil orang. Bila dah penat mencari tanpa hasil, akhirnya kita berhenti. Sekali-sekala bila datang idea di mana barang tu mungkin berada, kita akan cari semula. Hasilnya belum pasti. Kalau ada, kita gembira. Kalau tiada.. kita cari semula, dengan harapan kali ini ia tiba-tiba ada....'plinggg'. 

Atau bagaimana? 

Kadang-kadang jodoh juga begitu..

Thursday, April 12, 2012

Pertandingan Futsal Kelab Penyokong EPL

Sudah hampir..

sumber


Akan beraksi bersama pasukan hitam putih..


Monday, April 9, 2012

Jaga kebersihan bersama

Pemandangan tak sihat setiap kali menggunakan tangga di rumah sewa saya..





Kalau menyapu tu janganlah disapu ke luar rumah.
Kalau ada plastik sampah berisi sisa makanan, janganlah diletakkan di tangga. Pasti ada kucing yang akan 'mengemasnya' nanti. 
Gambar ke-3 tu saya tak pasti la samada angkara kucing atau angkara jiran daripada tingkat atas yang main baling je ke bawah.

Hormatilah jiran tetangga..
Jaga kebersihan bersama..

Saturday, April 7, 2012

Acara maghrib

Saya ada latihan futsal hari ni sempena pertandingan futsal antara kelab-kelab penyokong EPL. Belum terpilih pun, mungkin hari ni boleh tahu. Kalau tak terpilih, saya datang jadi penyokong la. Sekarang senang, buat event kat fb dan jemput sesiapa yang berkenaan. Boleh buat anggaran berapa orang yang akan datang, dan boleh juga berbincang perkara berbangkit mengenai acara yang akan diadakan tu. Minggu lepas ada dalam 20 orang juga yang datang.

Masa latihan adalah dari 6.30 petang hingga 8.30 malam. Saya difahamkan pukul 9.30 ke atas court penuh sampai 1 pagi. Saya bagi cadangan masa mulanya diawalkan atau dilewatkan sejam supaya tak menyusahkan orang nak solat. 

Bukan tak boleh nak solat bila masuk waktu maghrib, tapi acaranya bukan acara duduk-duduk atau acara baring-baring, tapi ni acara yang berpeluh. Bila nak berhenti solat, bukan boleh terus pergi surau dengan  keadaan berpeluh tu, baju pun basah. Mesti la nak kena sejukkan badan, tunggu peluh kering. Lepas tu nak mandi bersama-sama, baru boleh solat. Lepas tu nak sambung main futsal lagi? Memang tak la..

Penganjur tak nak ubah masa. Takpe la, saya berhenti la awal sikit nanti. Tak pun mula lewat sikit. Penganjur ni kawan-kawan saya juga. Saya memang akan support segala event yang diorang buat. Cuma agak kecewa la dengan pemilihan masa. 

Wednesday, March 28, 2012

Monday, March 26, 2012

Kemah Keming

Bila dah saling berbalas komen dengan kawan-kawan di fb, ada satu ayat yang buat saya blur. Saya tak tahu nak balas apa...

contoh..

Setelah 2-3 hari dibiarkan, nampaknya kawan-kawan makin galak menggunakan ayat itu. Ini tingkah laku yang tidak manis. Saya membaca komen sambil mengepal buku lima. Saya pun bermuhasabah diri dan cuba mencari maksudnya.

Alhamdulillah, kini saya rasa lebih yakin untuk membalas komen.

Wednesday, March 21, 2012

Perjalanan paling lama

Saya baru balik dari Kota Bharu, Kelantan. Selama 3 hari saya dan kawan-kawan menembak di sana. Tempat yang sempat kami lawati ialah Pasar Siti Khadijah, rumah pembuat hulu keris, pembuat wau, pembuat martabak raja, kilang membuat serunding, tempat membuat songket dan rumah tok dalang wayang kulit. Kami juga sempat menyaksikan persembahan dikir barat dan berjalan-jalan di Wakaf Che Yeh. 

Pada hari Ahad kami bertolak pulang ke KL pada jam 4.00 petang. Kami berhenti rehat dan solat di R&R Gua Musang pada jam 7.20 malam. Semasa berhenti rehat tu, bas kami dilanggar oleh bas lain. Entah macam mana pemandu bas tu nak parking sampai terlanggar. Mujur bas kami cuma bercalar di beberapa bahagian. Kira-kira pukul 8.00 malam kami meneruskan perjalanan. Pemandu tu bawa bas macam bawa kereta, laju semacam. Kalau jalan lurus tu takpe, ini jalan berliku, sampai terjatuh barang-barang dalam salah satu tempat menyimpan barang di atas kepala. Nasib baik tak kena kepala, dan nasib baik yang jatuh tu cuma plastik berisi makanan dan beg-beg kecil. Kalau kena botol budu yang jatuh atas kepala, terus pandai kecek kelate.

Malang menimpa, pada pukul 9.30 malam satu tayar bas kami pecah. Tayar yang pecah tu tayar belakang bahagian dalam, jadi kami hanya bergantung pada tayar luar. Masa tu kalau tak silap saya di daerah Merapoh. Jalan gelap, hutan pula di kiri kanan jalan. Pemandu bas menyambung perjalanan dengan perlahan, tapi tayar yang pecah menghasilkan bunyi bising di bawah bas. Bas dipandu 20km/j. Kalau dicongak-congak, InsyaAllah pagi lusa baru sampai. 

Kira-kira 300 meter dari situ kebetulan terdapat sebuah kedai makan, tempat pemandu-pemandu lori berhenti rehat. Bas kami pun berhenti di situ. Kawan saya kata jangan mudah terpedaya, kena check dulu. Sambil membelakangkan kedai, dia pun tengok dari celah kelangkang. Ternyata kedai itu wujud..lol. Kami tersadai di situ 4 jam sebab nak tunggu bas lain datang ambil dari KL.  *Pengsan*

Kalau ada channel sports takde hal la nak lepak lama-lama, boleh tengok bola. Ini takde pulak. Tengok Raja Lawak Musim 6 je. Kebetulan masa tu ulangan peringkat akhir dan saya pun memang tak pernah tengok langsung Raja Lawak musim 6 ni. Layan je la. Kami bertolak dengan bas baru pada pukul 2 pagi. Sampai di KL pada pukul 6.30 pagi. Fuhh, 14 jam setengah. Nasib baik saya dah mohon cuti awal-awal.


Tuesday, March 13, 2012

Tak berubah

Sabtu lepas saya mendaki Bukit Broga dengan kawan-kawan pejabat. Ada 2-3 orang yang tak pernah pergi, jadi kena la bawa. Pukul 4.15 pagi dah bertolak dari rumah. Sarapan bersama di Bangi dan solat bersama di Masjid Semenyih. Pukul 6.45 kami mula mendaki. Macam biasa, memang ramai orang. 

pagi yang mendung
bagi pinjam kasut kat kawan. tak perasan tapaknya dah nak rosak. pukul 4 pagi, mana nak perasan..haha



Satu benda yang tak berubah ialah terdapat banyak sampah yang menyakitkan pandangan mata. Saya tak faham kenapa orang yang naik ke atas tu suka buang sampah merata-rata. Tolong la, jaga kebersihan bersama. Pandai bawa naik, pandai la bawa turun.

Monday, March 12, 2012

Malaysian Idol

Pertama kali pergi pusat karaoke..
Orang dah asyik ajak, pergi je la..


Best gak eh..
Lepas ni nak pergi Mentor plak.. :)

Saturday, March 10, 2012

Derma yang elok

Kawasan rumah saya mengalami gangguan bekalan air sejak semalam. Susah nak menjalankan kegiatan harian. Baju kotor dalam beg (stok seminggu dari rumah sewa) pun tak dapat nak dicuci. Esok mau tumpang cuci di rumah kawan.. ;)  Dengar cerita gangguan akan berlarutan selama seminggu. Wah..lamanya.

Susah mana keadaan di rumah saya, susah lagi keadaan penduduk yang tinggal berhampiran dengan rumah saya iaitu di Lembah Jaya, Ampang. Dalam kejadian banjir tempoh hari, rumah mereka dinaiki air sehingga ke paras leher. Habis semua peralatan dalam rumah dihanyutkan air. Emak saya sempat meninjau keadaan di kawasan terbabit. Mak kata, mereka sedang cuba membersihkan rumah. Tapi tak boleh nak buat apa sangat sebab ketiadaan air. Ada lori SYABAS yang datang membawa bekalan air, tapi tak cukup. Rumah masing-masing dalam keadaan yang teruk, rosak dan dipenuhi lumpur. Perabot-perabot yang rosak banyak tersadai di tepi jalan akibat dihanyutkan air. Ada penduduk mengatakan kejadian yang berlaku ini ibarat tsunami kecil.

Saya dan keluarga dah mengumpulkan baju-baju terpakai yang masih elok untuk didermakan kepada mangsa-mangsa banjir. Surau taman rumah saya menjadi tempat mengumpul pakaian-pakaian untuk didermakan ini. Ayah saya kata, ada orang yang menderma pakaian-pakaian yang terlampau buruk dan layak dijadikan kain buruk. Tak eloklah macam tu. Kalau nak menderma, bagilah pakaian yang masih elok.

*Rumah kamu ada air? Saya nak tumpang mandi..

Friday, March 9, 2012

Esok kita

Hari minggu lepas saya bawa pakcik saya ke rumah doktor untuk menjalani pemeriksaan. Bagus doktor tu, hari biasa berkhidmat di klinik, hari minggu berkhidmat di rumah. Doktor tu guna kaedah rawatan homeophaty. Sebelum ni pakcik saya ada masalah batu karang, susah nak buang air kecil. Tapi sekarang dah beransur pulih. Alhamdulillah..

Masalah lain yang dia hadapi sekarang ialah kaki kirinya sakit. Rasa sakit tu terasa pada sendi. Susah dia nak berjalan sebab kaki kiri tak berapa kuat. Jadi dia perlu pegang bahu saya untuk berjalan. Langkahnya pun perlahan je. Kesian sebab dia tinggal di tingkat 3 rumah flat. Lif takde. Anak tiada pulak tu. Harap anak-anak buah je la tolong apa yang patut.

Saya berjalan seiringan dengannya selangkah demi selangkah. Tangannya kemas memegang bahu saya. Dalam langkah yang perlahan itu, saya memikirkan bagaimana agaknya keadaan saya dalam umur sepertinya, 64 tahun. Masih kuatkah? Doktor yang merawatnya berumur 74 tahun tapi masih sihat dan bertenaga.

Masa tua kita akan tiba juga nanti..
Entah macam mana ceritanya..
***
Oh, jangan begitu pasti..
Kerana esok kita belum tentu ada..

Friday, March 2, 2012

Insan terpilih

SMS…
Ijan: Jom ikut saya keluar malam ni. Saya jemput jam 8.
Shah: Ok. Nak gi mana?
Ijan: Ikut je la.. nanti saya bawak helmet lebih.
Shah: Ok. (daripada hari tu dah ajak, ikut je la..)

Ijan: Tak pakai jaket?
Shah: Tak
Ijan: Tak sejuk ke?
Shah: Tak sejuk sangat kot. (ai, nak pegi jauh ke?)
Ijan: Nah helmet.

Sebelum naik motor…
Shah: So kita nak ke mana ni?
Ijan: Ikut je la
Shah: Waa, misterinya.. (gi makan kot, tak pun gi ambil barang)

Dalam hati…
10 minit: nak makan kat mana la ni…hmmm
15 minit: nape la nak makan jauh2 ni…hmmm
20 minit: aik, dah makin jauh plak ni…dah menghala ke KL…hmmm
25 minit: Kenapa la tak cakap nak pergi jauh, boleh aku ajak naik kereta aku...hmmm
30 minit: Sampai pun.. apa hal ramai orang ni?
.
.
.
.
.
.
.
.




Pukul 1.00 pagi baru sampai rumah..