Thursday, October 21, 2010

Amir budak cepat belajar

Dah 4 hari Romzi menghantar anaknya Amir ke pusat asuhan kanak-kanak. Dulu senang...Amir dihantar ke rumah abangnya saja sementelah kakak iparnya seorang suri rumah sepenuh masa. Abangnya tinggal pun tidak jauh dari rumahnya, selang satu taman perumahan saja. Balik kerja, lepas ambil isterinya di stesen LRT mereka berdua singgah la mengambil Amir. Minggu lepas abangnya dah berpindah ke Johor Bahru sebab dinaikkan pangkat. Jadi terpaksalah Amir dihantar ke pusat asuhan. Mujurlah umur Amir dah 3 tahun, dah besar sikit. Takde la risau sangat. Bayarannya pun kurang sikit berbanding budak-budak lain yang lebih muda.

Petang tu Romzi pulang dari kerja tepat pukul 5.00 petang. Sementara musim tak sibuk ni baik dia pulang awal. Kalau Amir duduk di rumah abangnya tak mengapa la kalau ambil lambat sikit. Di tempat baru ni, lepas pukul 6.00 petang akan dikenakan bayaran lebih masa. Sekarang ni Romzi kena ambil Amir dulu sebelum ambil isterinya sebab pusat asuhan tu terletak berdekatan dengan pejabatnya. Hari pertama Amir dihantar ke pusat asuhan tempoh hari, pulang saja dari kerja Romzi menonong ke stesen LRT seperti biasa untuk mengambil isterinya. Sampai di stesen LRT baru dia teringat pasal Amir. Dah masuk hari ke-4 ni, Romzi dah dapat biasakan diri dengan rutin baru.

"Ayah, mak mana?" tanya Amir yang berdiri di kerusi penumpang depan. "Nak amik mak la ni". Kereta menghampiri stesen LRT. Keadaan di stesen LRT waktu petang begitu memang sesak dengan manusia dan kenderaan. Amir memandang ke luar tingkap. Mata Romzi sibuk mencari kelibat isterinya. "Bodo..bangang.." tiba-tiba Amir bersuara. Terkejut Romzi. "Heyp, siapa ajar cakap macam tu ha?" sambil tangannya menampar kaki Amir. Entah apa yang dilihatnya di luar tingkap sampai terkeluar perkataan tu. Amir terkebil-kebil.

Bila ibunya masuk ke dalam kereta, dilihatnya Amir meniarap di kerusi belakang sambil menutup muka tanda merajuk.

Sunday, October 17, 2010

Cerita orang di kampung

Bila balik kampung, ada saja saudara mara yang baru pertama kali saya jumpa walaupun dah besar panjang macam ni. Semalam mencari rumah seorang sepupu ayah, nak hantar kad jemputan kahwin. Lepas dah bertanya 2-3 orang dalam kampung tu, baru jumpa rumah yang dicari. Dah 20 tahun mereka tak berjumpa sejak sepupu ayah tu berpindah. Sekarang masing-masing dah bersara. Anak-anak pun dah besar semuanya. Maka orang tua pun bersembang la macam-macam hal, orang muda tumpang dengar je. Sesekali bersuara juga menjawab soalan. "Tak...adik saya yang nak kahwin"...antara soalan yang dijawab...;)

Bila dah lama tak jumpa, sembang pun lama. Tukang dengar pun dah naik kematu. Air dah tambah 2 kali..huhu. Ye la, orang tua punya cerita takkan nak mencelah. Nak mencelah pun nak cerita apa. Bukan cerita pasal isu semasa. Bukan cerita pasal EPL. Cerita pasal si polan sekarang tinggal kat sana.. si polan tu dah meninggal.. anaknya gitu.. anaknya gini.. macam-macam cerita la.

Bila sembang lama lagi sikit, masuk pula cerita harta, cerita tanah. Cerita tanah ni selalunya memang hangat. Pasal tanah, adik-beradik bergaduh. Pasal tanah, bapa saudara dan anak saudara berbalah. Pasal tanah, ipar-duai yang takde kena mengena nak masuk campur. Masuk pula bab nak pecah-pecah nama, kena dapatkan persetujuan semua. Ada yang nak lebih pula. Sampai ke sudah tak selesai. Huh..rumit...rumit. Tukang dengar tambah lagi secawan air..

Thursday, October 14, 2010

Aktiviti 10.10.10

Tak sangka minggu lepas saya berjaya menonton filem Antoo Fighter sampai habis. Dah lama cerita ni ada dalam external hard disk, tapi tak rasa nak tengok. Seperti yang dijangka memang banyak adegan yang buat saya rasa macam nak geletek diri sendiri. Awal-awal dah buat lawak yang tak faham. Poh Jee (Radhi OAG) bertarung dengan 2 orang penjahat. Sampai satu tahap yang genting, Poh Jee keluarkan poster gambar Jalaluddin Hassan yang tertulis "pilihan muktamad". Lantas kedua-kedua penjahat melarikan diri. Sekelumit rasa lucu pun takde. Banyak lagi babak yang entah apa-apa. Tengok sambil rasa tak puas hati. Paling teruk sekali, sampai tak tahu nak rasa apa. Nasib baik tengok berdua. Kalau tengok sorang memang dah lama saya menyerah kalah...haha.

Tapi nasib baik ada juga babak yang buat saya ketawa.. Babak Bel Ngasri letak buah tembikai atas kepala...dan dibaling dengan pisau oleh Pak Guntur memang kelakar...hahaha. Memang mencabar nak cari satu babak yang lucu dalam filem ni. Di samping tu, lakonan Awie, Harun Salim Bachik dan Usop Kopratasa banyak membantu menghidupkan cerita yang syok sendiri ni. Azizi Chunk memang syok sendiri. Mungkin dia gelak guling-guling layan cerita ni.

Lepas maghrib, saya dan 2 orang kawan keluar makan di kedai. Di kaca tv ada siaran langsung majlis perkahwinan. "Lan, ko tak dijemput ke?"  "Tak"  "Tak kan kot.."  "Iye..."

Saturday, October 9, 2010

Cerita rahsia

Kelmarin saya pergi ke kedai nak beli kasut futsal. Cadangnya nak beli kasut yang sama jenis dengan kasut yang hilang tu, sekali takde saiz pulak. Kononnya tak nak bagi kawan-kawan perasan kasut saya tu hilang..hehe. Jadi terpaksalah beli jenis yang lain. Maka semua orang pun perasan saya pakai kasut baru. Terpaksa cerita kisah kasut saya yang hilang. Saya ni memang perahsia sikit, saja suka nak simpan rahsia sorang-sorang. Padahal bukan hal besar mana pun...;)

Bila cerita pasal rahsia ni, teringat kawan-kawan rapat saya sejak sekolah. Bab simpan rahsia ni memang kelakar jugak la. Contohnya Si A cerita sesuatu pada Si B, dan pesan jangan cerita pada sesiapa. Entah macam mana Si B tercerita kepada Si C, dan pesan pada Si C jangan cerita pada sesiapa. Kalau dah rapat sangat ni, rasa macam tak sedap hati je kalau tak cerita. Nak nak kalau cerita terhangat di pasaran, terseksa jiwa nak simpan sorang-sorang. Selalunya cerita pasal kawan-kawan atau keluarga la. Bila dah disampaikan dari seorang ke seorang, akhirnya semua tahu pasal cerita tu, dan semua tak tahu yang semua dah tahu pasal tu. Saya pulak bila dah tahu, memang buat tak reti je. Tahu-tahu datang Si G menyampaikan cerita terkini (kononnya) kepada saya. Saya suka biarkan orang cerita sampai habis dulu, tengok versi dia sama tak dengan saya. Lepas tu saya pun bagitahu "Aku dah tahu la." Baru Si G tahu dia orang terakhir yang tahu...hehe.

Hmm...ada cerita yang semua sedar yang semua dah tahu, dan ada juga cerita yang sampai sekarang masih menjadi rahsia. "I know what you did 10 years ago".....suspen kan? haha...

Saturday, October 2, 2010

Penamat hari penuh rezeki

Ya ampun, banyaknya saya makan semalam. Dari pagi sampai ke malam asyik makan je. Pagi tu kawan belanja sarapan, alhamdulillah..rezeki. Lepas tu ada orang bagi duit, alhamdulillah..rezeki. Tengahari pulak ada jamuan hari raya di pejabat...rezeki lagi. Hmm..hari Isnin pergi bengkel di PICC Putrajaya, hari Selasa-Khamis pergi kursus di Langkawi. Diakhiri dengan jamuan hari raya di hari Jumaat, ok la tu..;) Setiap tahun kami buat jamuan hari raya secara potluck, lebih seronok. Kali ni saya bawa blueberry cheese tart. Sedap gak diorang kata. Habis licin bekas saya tu. Bagus..bagus..

Antara makanan yang sempat saya makan ialah sate, laksam, lemang, spagetthi, soto, kek, puding, popia dan macam-macam lagi. Balik rumah petang tu kebetulan mak masak lontong pulak. Hmm..memang tak boleh la saya tengok kuah lodeh ni...terus berselera nak makan walaupun masih kenyang. Balik futsal pukul 1.00 pagi, makan maggi goreng pulak ramai-ramai, kawan belanja. Ish..ish, selagi tak terpejam mata tu, mengunyah je  la kerjanya. Dah orang nak belanja, tak sampai hati pula nak tolak..hehe. Sambil makan, sambil  belek-belek D90 kawan saya, melihat aksi yang ditangkap semasa bermain futsal.

Lepas dah bersembang dan bergelak ketawa di kedai makan, kami pun balik. Owh, hari yang meriah dan mengenyangkan. Dalam perjalanan balik saya tergerak nak periksa beg kasut saya. Alamak, laju saya menuju semula ke tempat futsal. Ahh...seperti yang dijangka memang dah hilang kasut futsal saya. Baru empat bulan pakai kasut tu...demm. Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya mengenang semula rezeki saya sepanjang hari, bahkan untuk sepanjang minggu ini. Rupa-rupanya ada juga yang bukan rezeki saya. Begitulah penamat hari yang meriah dan penuh rezeki..

Bingka: kepada yang berkenaan, gunalah kasut itu untuk kebaikan...sob sob