Wednesday, March 31, 2010

Jangan memandang rendah orang lain

Selalu tak orang memandang rendah pada anda? Bagaimana perasaan anda pada masa tu? Mesti tak puas hati kan. Sabar..sabar..

Tak dinafikan, memang ada individu yang begitu. Baru tahu sikit tentang sesuatu perkara, dah cerita dari A sampai Z pada kita...macamlah kita ni tak tahu sangat. Eeiii....tolonglah. Padahal maklumat yang diorang beritahu tu dah berzaman kita tahu. Nak berkongsi pengetahuan tu tak salah, tapi biarlah kena gayanya. Janganlah macam nak mengajar orang yang bodoh pula. Selalunya kalau saya berdepan dengan orang macam tu, saya diam je. Saja nak tengok gelagat diorang. Kelakar pun ada...haha

Hmm...ada lagi satu..Pernah tak orang suruh anda buat sesuatu perkara yang memang anda nak buat. Pehh....ini paling saya tak gemar. Dah memang kerja kita, pandailah kita menguruskannya. Nak nak yang suruh tu bukan bos kita pun. Rasa nak plaster je mulut tu. Kalau nak mengingatkan tu tak salah, tapi biarlah betul caranya. Kalau dah macam mengarah, kan tak sedap tu. Kesimpulannya di sini, janganlah memandang rendah orang lain. Kalau kita pandai, ada lagi orang yang lebih pandai daripada kita.

Bingka: Setiap orang ada kelebihan masing-masing

Tuesday, March 23, 2010

Kenangan Kerja Pertama

Apakah kerja pertama anda? Kerja pertama saya ialah sebagai seorang kelindan lori ais. Masa tu saya baru habis SPM. Setiap hari seawal 6.30 pagi saya dah berjalan ke kilang ais yang terletak berhampiran rumah saya. Sampai di kilang, saya terus menuju ke lori saya (lori saya ke?..hehe). Ais memang dah diisi ke dalam lori oleh pekerja syif malam. Saya hidupkan enjin dan bawa lori tu ke belakang kilang. Di belakang kilang ada tangki minyak diesel. Saya akan isi minyak ke dalam lori sehingga penuh. Selesai tugasan pagi, saya tunggulah sampai pemandu tiba. 

Apabila pemandu tiba, kami pun memulakan perjalanan menghantar ais ke kedai-kedai yang melanggan ais dengan kami. Sampai je di kedai berkenaan, saya pun beraksi la, buka pintu tepi lori ais tu, angkat ais dan bawa masuk ke dalam  kedai. Ada yang suruh letak saja beg ais tu, ada pula yang suruh tuangkan terus ke dalam kotak ais mereka.  Lepas tu pergi ambil duit pada tauke kedai. Ada sekali tu saya ternampak kawan saya masa hantar ais kat pasar, menyorok dalam lori tu...haha. Nasib baik masa tu dah selesai angkat ais. Perjalanannya sama saja setiap hari, dari Serendah ke Sabak Bernam iaitu kira-kira 260 km pergi-balik.


Pada hari tertentu, setelah selesai menghantar ais, Raju (pemandu) akan singgah di kedai todi yang terletak di Batang Berjuntai. Kedainya terletak di kawasan terpencil. Dari tepi jalan memang tak nampak kedai tu. Raju akan memberhentikan lori di tepi jalan dan berjalan ke kedai tersebut melalui sebatang denai dan menghilang di sebalik belukar. Saya terpaksa menunggu Raju di dalam lori. Ada juga 2-3 kali dia ajak saya minum sekali, tapi saya menolak dengan baik. Dan ada juga 2-3 kali dia bungkuskan air todi untuk saya. "Lan, ni saya ada bungkus...baik punya" "Eh, tak nak la..air lain boleh..hehe" "Aiyo...rugi woo, takpa saya bawak balik rumah". (Kau ni memang seboleh-boleh ye). Pernah juga lori kami rosak. Terpaksa panggil geng yang lain, tolong tunda sampai ke bengkel. Hmm..itulah pengalaman kerja pertama saya. Seronok juga. Bila terpandang lori Atlas, mesti teringat kenangan semasa bekerja di kilang ais tu.


Bingka: sekarang dah kerja tetap...

Friday, March 19, 2010

Teka Iklan

Bosan betul jika sesuatu rancangan televisyen diselangi dengan iklan yang terlalu banyak kan? Nak nak kalau sedang menonton drama/siri kegemaran. Balik-balik iklan...balik-balik iklan. Lama pulak tu. Tak puas rasanya menonton kan? Rasa macam baru sikit kita menonton...alih-alih 'to be continued...'...haha.

Tapi saya teringat kenangan semasa kecil. Saya dan adik-adik sangat suka dengan iklan. Bila mula sesuatu iklan, kami akan meneka iklan apa yang ditunjukkan tu. Seronok betul. Sampai dah hafal kebanyakan iklan masa tu. Ye la, dulu bukannya ada PS, PSP, Wii dan lain-lain. Kena la kreatif sikit.



Bingka: comelnya dia..:)

Tuesday, March 16, 2010

Mau mati ka?

Mana-mana orang yang didapati ada dalam pemilikannya:
  • 15 gram atau lebih berat heroin
  • 15 gram atau lebih berat morfin
  • 15 gram atau lebih berat monoasetilmorfin
  • 1000 gram atau lebih berat candu masak
  • 1000 gram atau lebih berat candu mentah
*sejumlah 1000 gram atau lebih berat candu masak dan candu mentah
  • 200 gram atau lebih berat ganja
  • 200 gram atau lebih berat resin ganja
*sejumlah 1000 gram atau lebih berat ganja dan resin ganja
  • 40 gram atau lebih berat kokain 
  • 2000 gram atau lebih berat daun koka

Jika disabitkan kesalahan, hukumannya adalah...MATI Mandatori

Ya Allah, jauhilah najis ini daripada ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat-sahabatku.

Bingka: Simpati dengan Kak Azean Irdawaty..

Sunday, March 14, 2010

Minat F1 kerana Schumacher

Semalam saya bersorak sakan menonton Datuk Lee Chong Wei mengalahkan Peter Hoeg Gade dalam aksi separuh akhir All England. Begitulah keadaannya jika menonton atlit badminton Malaysia beraksi. Memang sokongan padu diberikan. Tapi dari rumah je la...haha. Hari ni beliau akan bertemu Kenichi Tago yang mengalahkan Bao Chunlai. Nampaknya wakil Jepun ni tak boleh dipandang sebelah mata. Bao Chunlai yang terlebih dulu mengalahkan Lin Dan di peringkat suku akhir pun boleh ditundukkannya. Semoga Datuk Lee Chong Wei berjaya. Nak harapkan wakil yang lain, semua dah tersungkur awal. Hmm...macam mana la nak menang Piala Thomas ni..

Satu perkara yang membuat saya teruja hari ni ialah kemunculan semula Michael Schumacher dalam perlumbaan F1. Tak sabar rasanya nak tengok perlumbaan tu. Sejak Schumi takde, saya tak tengok sangat la F1 ni. Macam bosan je. Bila Schumi nak berlumba balik, rasa seronok pula. Lebih menarik lagi, kali ni Schumi akan mewakili pasukan Mercedes Petronas. Kira ada kena mengena la dengan Malaysia kan? Kena la sokong..;). Pasukan Lotus pun saya sokong juga (nak jaga hati...hehe). Tapi kalau diikutkan sesi kelayakan semalam, pelumba Lotus berada pada kedudukan 20 dan 21 je. Jadi takde apa yang nak diharapkan sangat untuk tahun pertama penglibatan mereka ni. Dapat menamatkan perlumbaan pun dah dikira satu pencapaian yang bagus. 

Nico Rosberg & Michael Schumacher

Bingka: Tunggu Fairuz Fauzi jadi pelumba utama

Monday, March 8, 2010

Final Raja Lawak 4...Membosankan

Selepas menonton Final Raja Lawak 4 semalam, bolehlah disimpulkan bahawa Final Raja Lawak musim ini memang yang paling membosankan. Itulah telahan saya apabila kumpulan Mamu tersingkir pada minggu ke-9 yang lalu. Memang membuang masa. Yang datang ke dewan MBSA lagilah kesian. Tak berbaloi.

Sesungguhnya tiada apa yang istimewa pada Idlan, Alex dan Kumpulan Kechik. Walau bagaimanapun, Alex dan Kechik  wajar dipuji sebab walaupun tak kelakar sangat, sekurang-kurangnya mereka mencuba sedaya upaya. Jauh berbeza dengan persembahan Idlan yang amat mengecewakan. Macam tak buat persediaan langsung. Gaya persembahannya dari minggu pertama sampai ke final tak berubah. Kalau dah masuk final tu ubah la sikit kawan. Nak suruh penonton muntah ke? Alih-alih yang keluar dari mulut dia .."Nak cakap apa lagi ni.... Johan, Zizan mai la sini...abah dah tak boleh blah ni". Persembahan keduanya juga tiada apa yang istimewa, sampai juri-juri secara spontan naik ke pentas dan menari bersama mungkin kerana dah terlalu bosan.

Lepas menonton persembahan Idlan yang sambil lewa tu, memang saya berharap dia tak menang. Tak adil rasanya kalau dia menang. Bagilah kat Alex atau Kechik yang lebih bersungguh-sungguh nak menang. Akhirnya Kechik diumumkan sebagai juara. Bagi saya kemenangan Kechik bukan kerana mereka yang paling lawak, tapi kerana kesungguhan mereka untuk membuat persembahan yang terbaik. The Tribe Has Spoken...

Bingka: majoriti perserta Raja Lawak musim ni tak best

PABM 2010

Saya dah bersiap, dah bersedia untuk keluar bermain futsal. Sampai di ruang tamu, ahli keluarga yang lain sedang menonton Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2010 dengan penuh minat. Masih ada masa lagi sebelum futsal bermula. Saya pun tak melepaskan peluang itu dan turut sama menonton pertandingan tersebut  yang disiarkan secara langsung dari PICC, Putrajaya. Dah pusingan akhir ke? Cis, tak tahu pun bila mula. Kalau final esok (Sabtu) boleh juga nak pergi...

Sungguh terharu melihat peserta dari luar negara berpidato dalam Bahasa Melayu. Kadang-kadang kami tergelak kecil kerana ada beberapa sebutan yang tak tepat, tapi tak kisahlah.Yang penting mereka berusaha sebaik mungkin. Minat mereka terhadap Bahasa Melayu sudah cukup saya untuk membuat saya kagum. Saya sempat tengok 4 peserta je, iaitu dari Malaysia, Rusia, Jerman dan Indonesia sebelum bertolak ke tempat futsal. Peserta dari Rusia, Natalya Budanova ialah antara yang mendapat perhatian saya kerana menyelitkan pantun yang bersahaja dalam persembahannya. Peserta dari Jerman, Josee Hunnekes pula kelihatan amat manis dengan baju kebarung yang dipakainya. Terpikat sekejap..;)

Hmm...teringat kenangan minggu lepas semasa berkunjung ke rumah seorang kenalan. Anaknya yang masih kecil (dalam lingkungan 2 tahun) sudah pandai bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bagusnya. Lain benar keadaannya ketika saya sekecil itu. Sepatah haram tak tahu. Tapi saya agak risau kerana Bahasa Melayu dipinggirkan sama sekali oleh kedua-dua ibu bapanya yang sebangsa dengan saya. Saya harap keadaan ini tak berterusan. Kan bagus jika diajar kedua-duanya sekali, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Tak begitu? Lihatlah, bangsa lain belajar bahasa kita dengan penuh minat, tapi kita pula yang menolak bahasa kita. Ada ke patut...

Bingka: Tahniah diucapkan kepada Zhang Song (Noriah) dari China