Monday, November 30, 2009

Berkenalan dengan bius

Sebaik sahaja kereta berhenti, saya terus berlari keluar. Hmm...takde la sakit sangat...ceh. Siapa yang buat cerita ni, pandai-pandai kata sakit. Tatkala abah baru menjejakkan kaki keluar dari kereta, saya sudah berada di dapur mendapatkan emak. "Mak...mak...tak sakit pun...hehe". "Ye ke, baguslah tu...dah, gi baring kat depan, jangan nak lasak-lasak sangat", kata emak. Saya tidak terus berehat, sebaliknya berjalan-jalan dan bermain-main dengan adik. Ala..bukan sakit pun. Beberapa ketika lepas tu baru saya baring.

Sejam/2 jam kemudian
Saya: Mak...sakit la...adoiii
Emak: Haa..tu la...kan mak suruh duduk diam-diam tadi. Kan dah sakit.
Saya: Tadi tak sakit pun...isk isk
Abah: Haa..kan dah, degil sangat. Tadi tu ada bius lagi, memanglah tak rasa. Sekarang dah hilang bius, memanglah sakit.

Itulah pengalaman saya 17 tahun lalu. Barulah saya tahu apa itu bius. Dalam seminggu tu, masa banyak dihabiskan dengan berbaring di depan tv sambil memakai kain sarung. Bila perlu ke bilik air, mak atau abah akan memimpin saya. Oh ya, masa tu baru saya tahu macam mana rasanya ngilu. Ouchh..

Sempena cuti sekolah ni, saya ucapkan Selamat Berkhatan kepada adik-adik yang akan melaluinya. Semoga cepat sembuh. Ala, tak sakit pun...;)

Saturday, November 7, 2009

Walimatul Urus Pertama

Sudah seminggu berlalu. Di saat abah selesai menikahkan pasangan pengantin, bermulalah fasa baru dalam hidup kami sekeluarga. Adik saya sudah menjadi isteri orang. Abah dan emak dah ada menantu. Saya dah ada adik ipar dan adik-adik yang lain dah mempunyai abang ipar. Sekejapnya masa berlalu. Seperti baru semalam kami adik-beradik berhimpit dalam kereta abah untuk pulang ke kampung dan seperti baru semalam kami berkelahi sesama sendiri berebutkan permainan yang satu. Sekarang semuanya dah besar.

"Dulu masa kau kecik abah kau selalu bawak kau datang rumah makcik. Kecik je kau dulu, diam je...sekarang dah besar." Ingat tak?

Saya geleng....senyum...

Masa kenduri ni la saya dapat jumpa orang yang dah lama saya tak jumpa. Ada yang saya masih ingat. Ada yang mula-mula saya tak cam, bila disebutkan nama baru saya ingat. Ada yang saya tak tahu mereka pernah wujud dalam hidup saya. Seronok..;) Abah pun ada juga beberapa kali memanggil saya dan memperkenalkan pada kenalannya. Hmm...nasib baik buat kenduri kahwin pada masa bukan cuti sekolah, ramailah yang dapat hadir. Kalau tak, mungkin ada juga yang tak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri kenduri lain.

Beberapa bulan sebelum majlis perkahwinan, abah dan emak orang yang paling risau. Takut ada yang kurang pada majlis tu nanti. Kelam kabut juga kami melakukan persiapan kerana pada saat akhir ada barang yang kurang. Tapi syukurlah, pada masa kenduri berlangsung, semunya berjalan lancar.

Seperti dijangka, saya telah diajukan soalan yang sama bertalu-talu. "Bila lagi?" Hmmm.....macam la diorang nak taja.

Saya ucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Angah dan suaminya. Semoga rumahtangga mereka bahagia dan berkekalan.