Monday, December 29, 2008

Salam Maal Hijrah 1430

Semalam Aishah datang (dihantar) ke rumah saya kerana ibu bapanya ada urusan di luar. Seronok saya melayan kerenahnya..;) Saya pegang-pegang jarinya.. "hmm bila la jari kau ni nak baik ya.." Jam menunjukkan pukul 5.30 petang, kelihatan abah dan emak telah bersiap-siap. Nak ke mana pula ni? Owh, rupanya nak ke Masjid Negara. Dalam masa beberapa saat mereka dah bertolak pergi. Sebelum dan selepas azan Maghrib, saya turut mengaminkan bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun yang disiarkan secara langsung dari Masjid Negara. Hmm...bagaimana kehidupan kita sepanjang tahun 1429? Adakah kita terlalu sibuk dengan hal duniawi? Banyakkah kesalahan yang telah kita lakukan? Sebagai seorang manusia pasti ada kelemahan dan kekurangan dalam diri kita. Semoga segala kekurangan dapat diperbaiki, dan semoga kita semua dilimpahi rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T sepanjang tahun ini...Amiin

Tuesday, December 23, 2008

Aishah pun cuti

Rindunya pada Aishah. Disebabkan ibunya seorang guru dan sekarang ni cuti sekolah, lama juga Aishah tak dihantar ke rumah saya. Hari Jumaat lepas, ketika saya balik dari kerja, Aishah sedang bermain-main di halaman rumahnya. Nasib baik sebelah rumah, dapat juga tengok dia. Bulan lepas dia boleh jalan sikit-sikit je, jalan dalam 3-4 langkah lepas tu jatuh balik. Sekarang dah pandai betul, siap berkasut..;) Saya terus panggil dia dan keluarkan handphone. Budak-budak sekarang ni pandai, nampak kamera atau handphone, mereka akan senyum dan bergaya.


Ingat lagi tak apa yang terjadi kepada jari Aishah? Lukanya dah lama sembuh, tapi jarinya bengkok. Bulan depan dia perlu menjalani pembedahan untuk meluruskan kembali jarinya.

Saturday, December 20, 2008

Jom baling

Dulu lepas insiden Zinedine Zidane tanduk dada Marco Materazzi dalam kejohanan Piala Dunia 2006, tercipta satu game yang gelabah tapi menghiburkan, iaitu tanduk dada Materazzi sebanyak mana yang boleh..;) Sekarang ni dah ada game yang baru iaitu baling sebanyak mana yang boleh. Jom baling!...hehe (ruangan nama & email abaikan je)

Tuesday, December 16, 2008

Sayang tak kena

Sejak semalam nama Muntadar al-Zeidi telah menjadi sebutan di seluruh dunia. Mana taknya, dia telah membaling kedua-dua kasutnya yang bersaiz 10 ke arah George W. Bush ketika si tua itu sedang berucap dalam satu sidang akhbar di Baghdad, Iraq. Ahh, sayang sekali tak kena. Sempat pula Bush mengelak, mungkin dia pernah masuk kelas tinju. Lagipun Muntadar menjerit sebelum membuat balingan, jadi Bush dapat lihat dengan jelas apa yang ingin dia lakukan. Teringat permainan kesukaan saya masa kecil dulu iaitu 'baling selipar'. Kalau baling dengan selipar pasti lebih laju dan tepat..hehe

Thursday, December 11, 2008

Cuti sekolah, musim orang kahwin

Sejak bulan lepas hingga sekarang pasti banyak undangan ke majlis perkahwinan diterima kan.. Biasalah, musim cuti sekolah memang musim orang kahwin. Susah juga kalau semua orang nak buat kenduri kahwin semasa cuti sekolah ni. Tarikh undangan yang diterima bertindih-tindih, ada yang jauh, ada yang dekat. Saya sendiri telah menerima 3 undangan pada tarikh yang sama. Jika tarikh tak bertindih pun, tapi kalau setiap minggu kena ke luar daerah, melibatkan kos yang banyak juga tu. Nampaknya terpaksalah ikut kesempatan dan kemampuan saja. Lebih baik buat pada hari bukan cuti sekolah, senang sikit orang nak datang.

Bagi saya cuti sekolah hujung tahun tak berapa sesuai diadakan kenduri kahwin kerana cuaca yang tidak menentu. Lihat sajalah keadaan sekarang ni, hujan tak henti-henti sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh. Ia sedikit sebanyak mengganggu kelancaran majlis dan keselesaan tetamu yang hadir. Minggu lepas kawan saya menghadiri majlis perkahwinan di Terengganu. Dalam perjalanan pulang ke KL dia terpaksa meredah hujan lebat dan banjir. Masa perjalanan berlarutan sehingga 12 jam. Huh..penat tu. Tak mengapalah, asalkan selamat tiba. Bagi kawan-kawan yang baru mendirikan rumahtangga, saya ucapkan Selamat Pengantin Baru!

Friday, December 5, 2008

Los dan Faun

Malam tadi saya bawa adik dan sepupu saya pergi menonton Los dan Faun. Pertama kali rasanya saya menonton filem pada hari pertama ia ditayangkan. Kebiasaannya sebelum ke pawagam saya akan membaca 'review' mengenai sesuatu filem tu dulu di internet, tapi disebabkan percaya dengan hasil kerja Afdlin Shauki, kali ni saya terus je ke pawagam. Saya tak retilah nak bagi komen dari sudut teknikal perfileman, tapi yang saya ingat setelah sejam menonton, saya mula melihat jam tangan dan berkata dalam hati.."bila la nak habis ni.." Mungkin saya telah meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana filem-filem Afdlin sebelum ni memang menghiburkan. Ada juga beberapa babak yang kelakar, tapi secara keseluruhannya agak membosankan. Banyak watak-watak menarik yang tak diolah dengan begitu baik. Perjalanan cerita juga agak perlahan. Pada pendapat saya, inilah filem 'Chief Kodok' yang paling mengecewakan. Sesungguhnya saya berazam takkan tengok lagi cerita ni walaupun disiarkan di tv. Inilah azam tahun baru saya.

p/s: saya cuma bersikap jujur.

Thursday, December 4, 2008

Mohon dimurahkan rezeki

Dengar cerita sekarang ni banyak syarikat dah mula membuang pekerja, kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia. Dijangka mulai bulan depan makin ramai pekerja yang akan ditamatkan perkhidmatan. Sebuah kilang berhampiran tempat kerja saya akan menamatkan perkhidmatan pekerja berstatus kontrak dan akan merehatkan sejumlah kakitangan tetap selama 2 bulan tanpa gaji. Bukan pekerja saja yang susah hati, majikan juga pening kepala. Semalam saya bersembang dengan seorang kawan, dia menceritakan bapa tunangnya pening kepala bagaimana nak buang 400 orang pekerja. Jika tidak dia pula yang akan menghadapi risiko dibuang kerja. Sebuah bank tempatan dikhabarkan sudah bersedia untuk membuang lebih 1000 pekerjanya. Kawan saya yang bekerja sebagai arkitek di Dubai juga dalam keadaan tidak stabil. Syarikat-syarikat besar di sana sudah mula membuang pekerja. Syarikat tempat dia bekerja pula sudah mula membuat polisi-polisi baru, saja nak buat pekerja tak seronok bekerja di situ. Aduh..susahnya keadaan sekarang ni.

Banyakkan berdoa saudara-saudaraku, mohon dimurahkan rezeki. Jangan bimbang, rezeki Allah ada di mana-mana.