Thursday, October 30, 2008

Dah habis ok

Siapa yang pasang lagu raya ni... Raya dah habis ok! Sepanjang raya tak nak pasang. Hari ni baru mengada nak pasang. Kalau satu lagu, ampun lagi la. Ni dah lebih 5 lagu. Sekarang ni tengah mendayu-dayu "...rasalah ketupat ini...dengan rendangnya sekali...bla bla bla" Eeii..tolong la.. Simpati la sikit dengan telinga saya ni.

Friday, October 24, 2008

Kamu berdua...jangan begitu

Hari itu, kamu berdua di situ. Aku pun di situ. Kamu berdua sama bangsa dengan ku. Kamu berdua rancak berbicara. Aku hanya membisu. Tumpang dengar saja, sambil melakukan urusanku. Sayangnya kamu berdua menggunakan bahasa lain, bukan bahasa kita. Oh, kamu berdua...jangan begitu. Bahasa itu bahasa kita. Kalau kita sendiri tak guna, siapa lagi? Bukan aku tak suka bahasa yang kamu guna itu, bahkan aku sendiri berusaha memantapkan bahasa itu. Tapi jangan sampai dipinggirkan bahasa kita. Bagai bangsa kita tiada bahasa. Aku sedikit kecewa.

Kamu berdua, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu sudah 2 kali diadakan. Sambutan yang diterima amat baik. Pada tahun ini, 50 peserta dari 42 negara telah mengambil bahagian. Mereka itu, ramai yang bukan bangsa kita, tapi petah berpidato di atas pentas. Mereka kata, mereka suka bahasa kita. Bahasa kita indah. Sungguh senang aku mendengarnya. Aku sangat kagum. Kamu juga seharusnya begitu.

Wednesday, October 22, 2008

Kamu suka tawaran hebat?

Siapa yang tak suka tawaran hebat kan? Pasti semua suka. Yang mana kaki 'shopping' tu pasti tak lepaskan peluang berbelanja jika ada tawaran hebat atau jualan murah. Minggu depan perayaan Hari Deepavali pula. Bersambung lagi la pesta jualan murah dan macam-macam tawaran hebat. Kedai-kedai yang tergantung perkataan kesukaan ramai dan angka-angka peratusan tu macam melambai-lambai saja minta dilawati. Selagi kocek masih berisi, kita pun singgah cari apa yang patut. Kalau kocek kosong pun tak kisah, kad kredit dah jadi kawan rapat kita. Kadang-kadang yang tak perlu pun kita sapu.

Seminggu lagi bulan Zulkaedah akan menjelma. Seminggu saja lagi tawaran hebat yang satu ni akan berakhir. Bayangkan jika kita perlu bayar RM36 saja untuk barang yang berharga RM365. Wow...diskaun 90% tu. Hebat juga tawaran ni kan? Tahniah kepada yang dah bayar RM36 tu. Kepada yang belum, ada seminggu saja lagi. Kalau tak sempat, tunggu tahun depan la ye..

Sunday, October 19, 2008

Yang saya telan

Kelmarin, pejabat saya buat jamuan raya secara potluck. Masing-masing kena bawa juadah ke pejabat. Saya bawa rendang masakan emak. Penuh meja bilik mesyuarat tu dengan makanan. Jamuan bermula pada pukul 10.30 pagi hingga ke petang, maknanya selagi ada makanan atas meja tu, datang saja dan makanlah bila-bila masa pun. Nak ulang berapa banyak kali pun tak kisah. Hari tu saya telah bertukar menjadi mesin pemakan mudah-alih...yeehaa.. Banyak juga yang saya telan, antaranya spagethi, roti jala, lemang, karipap, kebab, soto, lasagna, laksam, kek coklat, kek keju, puding dan buah-buahan. Ada beberapa makanan yang tak sempat dirasa sebab perut dah penuh...lain kali mungkin saya perlu jadi mesin yang lebih tahan lasak..;)

Bila waktu pulang hampir tiba, aktiviti mengemas pun bermula. Kawan-kawan saya sibuk membungkus makanan yang masih ada sebagai bekalan kepada semua. Saya mengangkat pinggan mangkuk yang kotor ke sinki yang terletak di pantri. Bila sampai ke sinki, tiada pula orang yang mencuci pinggan mangkuk yang melambak tu, hmm..terpaksalah saya beraksi. Pada pukul 5 petang ramai yang dah balik ke rumah, tapi saya masih sibuk di sinki tu. Ada la 3 orang kawan yang tunggu misi saya selesai. Hampir sejam juga saya mencuci. Huhh..lenguh pinggang dibuatnya... Tu la, makan banyak lagi..
Bila tiba di rumah, saya sampaikan pada emak..."Mak, diorang cakap rendang mak sedap tau.." La la la la...berbunga hati mak..:)

Thursday, October 16, 2008

Tidurlah kawan

Tadi dalam perjalanan ke tempat kerja saya singgah di stesen minyak. Semasa nak bayar duit di kaunter, ada abang depan saya tanya pada pekerja di kaunter tu "Dah lama ke dia tidur kat situ?" sambil menuding jari ke luar. Saya pun toleh la..ish..ish ada seorang lelaki sedang tidur dalam kereta yang diletakkan betul-betul di petak pam minyak. Nampak nyenyak sungguh.. sedang bermimpi agaknya. Kelihatan ada seorang pekerja yang sedang menyapu sampah berhampiran kereta tu. Sambil menyapu, beberapa kali dia menoleh ke arah lelaki tu. Barangkali sedang berkira-kira "nak dikejut ke tidak mamat ni". Pelanggan lain pun ada yang tengok aksi tenang lelaki tu..hehe. Kalau ya pun nak tidur, pergi la cari tempat sesuai sikit.

Hmm...mungkin ada sebab lain. Otak saya tiba-tiba jadi macam penyiasat..

1. Mungkin dia dah mengantuk tahap dewa sebab dah termakan ubat tidur sebelum tu
2. Mungkin dia dah selesai isi minyak, tapi tunggu kawan yang sakit perut pergi ke tandas
3. Mungkin rakaman rancangan ala-ala "Just for Laugh" atau "Bang Bang Boom" sedang dijalankan
4. Mungkin dia pengsan terbau petrol berlebihan atau terbau kentut kawannya tadi
5. Mungkin dia dah mati kerana sesak nafas
6. Mungkin saya patut hentikan penyiasatan ini...

Monday, October 13, 2008

Di kala orang lain tidur

Dah selalu nampaknya perkara ni berlaku. Saya pun dah menjadi pelik. Waktu tidur saya selalunya dalam pukul 12 lebih. Tapi dalam seminggu dua ni saya memang kerap tertidur awal dari kebiasaan. Antara pukul 10 - 11.30 malam dah terlelap. Kenapa ya? Hmm..aktiviti siang takde la berubah sangat, biasa saja. Pada awal pagi mesti terjaga, selalunya antara 1-4 pagi. Lepas tu susah pula nak tidur. Mula la saya isi masa dengan menonton tv atau membaca suratkhabar. Kadang-kadang tu, kalau esoknya cuti, saya hidupkan komputer dan melayari internet.

Pagi tadi saya terjaga pada pukul 3. Bila naik ke bilik di tingkat atas, adik saya yang bongsu masih belum tidur lagi, sibuk menghadap buku kerana peperiksaan akhir tahun akan bermula hari ini. Teringat zaman sekolah dulu..;) Lepas solat Isyak, saya menggosok baju dan seluar kerja pula. Sedang saya menggosok, abah keluar dari biliknya, menuju ke bilik air dan kembali semula ke bilik. Kemudian terdengar suaranya mengangkat 'takbiratul ihram'. Pasti abah pelik tengok saya menggosok baju pagi-pagi buta ni...hehe. Dah selesai menggosok, saya hidupkan komputer dan memindah beberapa fail daripada pendrive dan kamera ke komputer.

Jam menunjukkan pukul 4.05 pagi ketika saya mengangkat tilam (toto) ke tingkat bawah. Saya lihat adik saya dah tidur di atas sofa. Ceh..tadi kata nak turun minum air je. Nasib baik hari ni hari kerja, kalau tak saya akan menonton tv pula. Oh ya, saya memang dah terbiasa tidur di ruang tamu. Kalau bilik di tingkat atas kosong pun saya tetap akan tidur di ruang tamu.

Saturday, October 11, 2008

Selamat berbulan madu di Dubai

Malam tadi kawan saya Hisham & isterinya berangkat ke Dubai, UAE. Mereka berdua akan bekerja di sana selama 2 tahun. Mereka ni baru saja mendirikan rumah tangga pada 8.8.08 yang lalu. Kira bekerja sambil berbulan madu la ni. Waa..seronoknya. Saya dan beberapa orang rakan pergi ke KLIA malam tadi untuk mengucapkan salam perpisahan kepada mereka. Terasa sedih juga bila tengok kakak Hisham memeluknya sambil mengalir air mata...huuu

Ada apa dengan Dubai? Ish..macam-macam. Dubai merupakan salah satu daripada 7 emiriah yang terdapat di dalam Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ia merupakan salah satu pembekal minyak utama dunia. Beberapa dekad yang lalu, Dubai hanyalah sebuah pekan nelayan yang kecil di persisir pantai Teluk Parsi. Kini ia telah berubah menjadi pusat perniagaan dan pelancongan terkemuka dunia. Dubai juga terkenal dengan projek-projek meganya seperti Hotel Burj Al Arab, Palm Island, World Islands dan Burj Dubai.

Burj Dubai setinggi 818m yang dijangka selesai pembinaannya pada September 2009 bakal menjadi bangunan tertinggi di dunia. Belum pun siap pembinaan Burj Dubai, kerajaan Dubai sudah merancang untuk membina sebuah lagi menara yang lebih tinggi. Menara tersebut akan mempunyai ketinggian sehingga 3281 kaki atau 1km dan akan mengambil masa selama sedekad untuk disiapkan. Haa...1km? ...erkk...tingginya! Arab Saudi merancang membina bangunan setinggi 1.6km manakala Kuwait pula akan membina bangunan setinggi 1001m...waa gila...gila...
.....teringat sejenak tanda-tanda akhir zaman.....


"Ana nak duduk kat tingkat atas sekali!"


Apa pun, selamat bertugas dan berbulan madu diucapkan kepada Hisham & Nisya. Jaga diri baik-baik ya!

Wednesday, October 8, 2008

'Kami' merajuk

Apakah perbezaan antara perkataan 'Kami' dan 'Kita'? Pasti semua tahu kan.. Tapi ramai orang tidak menggunakan perkataan ini dengan tepat. Perkataan 'Kita' selalu digunakan untuk mengganti perkataan 'Kami'. Jika 'Kami' ada perasaan pasti dia merajuk..:) Para pemimpin pun lebih kerap menggunakan 'Kita' daripada 'Kami'. Contohnya "Kita akan kaji dulu perkara ini...bla bla bla..

'Kami' juga dah terbiasa digantikan dengan 'kitorang' dalam perbualan harian...(hmm..merajuk lagi). Tapi di sebelah utara semenanjung, 'Kami' digunakan dengan baik. Tapi kadang-kadang ada yang ganti perkataan 'Saya' dengan 'Kami'...(terlebih guna pula).

Buat masa ni 'Kami' tak merajuk sebab filem 'KAMI The Movie' sedang ditayangkan di pawagam...hehe

Sunday, October 5, 2008

Beraya di kampung

Malam semalam saya dan keluarga selamat tiba dari kampung. Seronok rasanya dapat beraya di kampung. Memang tak sempat nak menziarahi semua sanak-saudara dalam masa 3 hari, namun saya tetap berpuas hati kerana banyak juga rumah yang sempat dikunjungi di Batu Pahat dan Johor Bahru. Pada malam raya kedua, ada perkara yang lucu berlaku..saya dan seorang adik saya terjaga kira-kira pukul 2.30 pagi kerana sakit perut, terpaksalah kami bergilir ke tandas. Lepas tu saya pun sambung semula tidur. Bila bangun keesokannya baru saya tahu rupa-rupanya hampir kesemua ahli keluarga ke tandas pada malam itu kerana sakit perut...hehe. Bila dah makan ubat barulah lega sikit, dapatlah aktiviti beraya diteruskan. Kepada yang masih hangat beraya dan masih bercuti, jagalah makan dan minum ye...jangan sampai menjejaskan kesihatan. Kepada yang akan mula bekerja esok..Selamat Bertugas!!