Monday, December 29, 2008

Salam Maal Hijrah 1430

Semalam Aishah datang (dihantar) ke rumah saya kerana ibu bapanya ada urusan di luar. Seronok saya melayan kerenahnya..;) Saya pegang-pegang jarinya.. "hmm bila la jari kau ni nak baik ya.." Jam menunjukkan pukul 5.30 petang, kelihatan abah dan emak telah bersiap-siap. Nak ke mana pula ni? Owh, rupanya nak ke Masjid Negara. Dalam masa beberapa saat mereka dah bertolak pergi. Sebelum dan selepas azan Maghrib, saya turut mengaminkan bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun yang disiarkan secara langsung dari Masjid Negara. Hmm...bagaimana kehidupan kita sepanjang tahun 1429? Adakah kita terlalu sibuk dengan hal duniawi? Banyakkah kesalahan yang telah kita lakukan? Sebagai seorang manusia pasti ada kelemahan dan kekurangan dalam diri kita. Semoga segala kekurangan dapat diperbaiki, dan semoga kita semua dilimpahi rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T sepanjang tahun ini...Amiin

Tuesday, December 23, 2008

Aishah pun cuti

Rindunya pada Aishah. Disebabkan ibunya seorang guru dan sekarang ni cuti sekolah, lama juga Aishah tak dihantar ke rumah saya. Hari Jumaat lepas, ketika saya balik dari kerja, Aishah sedang bermain-main di halaman rumahnya. Nasib baik sebelah rumah, dapat juga tengok dia. Bulan lepas dia boleh jalan sikit-sikit je, jalan dalam 3-4 langkah lepas tu jatuh balik. Sekarang dah pandai betul, siap berkasut..;) Saya terus panggil dia dan keluarkan handphone. Budak-budak sekarang ni pandai, nampak kamera atau handphone, mereka akan senyum dan bergaya.


Ingat lagi tak apa yang terjadi kepada jari Aishah? Lukanya dah lama sembuh, tapi jarinya bengkok. Bulan depan dia perlu menjalani pembedahan untuk meluruskan kembali jarinya.

Saturday, December 20, 2008

Jom baling

Dulu lepas insiden Zinedine Zidane tanduk dada Marco Materazzi dalam kejohanan Piala Dunia 2006, tercipta satu game yang gelabah tapi menghiburkan, iaitu tanduk dada Materazzi sebanyak mana yang boleh..;) Sekarang ni dah ada game yang baru iaitu baling sebanyak mana yang boleh. Jom baling!...hehe (ruangan nama & email abaikan je)

Tuesday, December 16, 2008

Sayang tak kena

Sejak semalam nama Muntadar al-Zeidi telah menjadi sebutan di seluruh dunia. Mana taknya, dia telah membaling kedua-dua kasutnya yang bersaiz 10 ke arah George W. Bush ketika si tua itu sedang berucap dalam satu sidang akhbar di Baghdad, Iraq. Ahh, sayang sekali tak kena. Sempat pula Bush mengelak, mungkin dia pernah masuk kelas tinju. Lagipun Muntadar menjerit sebelum membuat balingan, jadi Bush dapat lihat dengan jelas apa yang ingin dia lakukan. Teringat permainan kesukaan saya masa kecil dulu iaitu 'baling selipar'. Kalau baling dengan selipar pasti lebih laju dan tepat..hehe

Thursday, December 11, 2008

Cuti sekolah, musim orang kahwin

Sejak bulan lepas hingga sekarang pasti banyak undangan ke majlis perkahwinan diterima kan.. Biasalah, musim cuti sekolah memang musim orang kahwin. Susah juga kalau semua orang nak buat kenduri kahwin semasa cuti sekolah ni. Tarikh undangan yang diterima bertindih-tindih, ada yang jauh, ada yang dekat. Saya sendiri telah menerima 3 undangan pada tarikh yang sama. Jika tarikh tak bertindih pun, tapi kalau setiap minggu kena ke luar daerah, melibatkan kos yang banyak juga tu. Nampaknya terpaksalah ikut kesempatan dan kemampuan saja. Lebih baik buat pada hari bukan cuti sekolah, senang sikit orang nak datang.

Bagi saya cuti sekolah hujung tahun tak berapa sesuai diadakan kenduri kahwin kerana cuaca yang tidak menentu. Lihat sajalah keadaan sekarang ni, hujan tak henti-henti sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh. Ia sedikit sebanyak mengganggu kelancaran majlis dan keselesaan tetamu yang hadir. Minggu lepas kawan saya menghadiri majlis perkahwinan di Terengganu. Dalam perjalanan pulang ke KL dia terpaksa meredah hujan lebat dan banjir. Masa perjalanan berlarutan sehingga 12 jam. Huh..penat tu. Tak mengapalah, asalkan selamat tiba. Bagi kawan-kawan yang baru mendirikan rumahtangga, saya ucapkan Selamat Pengantin Baru!

Friday, December 5, 2008

Los dan Faun

Malam tadi saya bawa adik dan sepupu saya pergi menonton Los dan Faun. Pertama kali rasanya saya menonton filem pada hari pertama ia ditayangkan. Kebiasaannya sebelum ke pawagam saya akan membaca 'review' mengenai sesuatu filem tu dulu di internet, tapi disebabkan percaya dengan hasil kerja Afdlin Shauki, kali ni saya terus je ke pawagam. Saya tak retilah nak bagi komen dari sudut teknikal perfileman, tapi yang saya ingat setelah sejam menonton, saya mula melihat jam tangan dan berkata dalam hati.."bila la nak habis ni.." Mungkin saya telah meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana filem-filem Afdlin sebelum ni memang menghiburkan. Ada juga beberapa babak yang kelakar, tapi secara keseluruhannya agak membosankan. Banyak watak-watak menarik yang tak diolah dengan begitu baik. Perjalanan cerita juga agak perlahan. Pada pendapat saya, inilah filem 'Chief Kodok' yang paling mengecewakan. Sesungguhnya saya berazam takkan tengok lagi cerita ni walaupun disiarkan di tv. Inilah azam tahun baru saya.

p/s: saya cuma bersikap jujur.

Thursday, December 4, 2008

Mohon dimurahkan rezeki

Dengar cerita sekarang ni banyak syarikat dah mula membuang pekerja, kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia. Dijangka mulai bulan depan makin ramai pekerja yang akan ditamatkan perkhidmatan. Sebuah kilang berhampiran tempat kerja saya akan menamatkan perkhidmatan pekerja berstatus kontrak dan akan merehatkan sejumlah kakitangan tetap selama 2 bulan tanpa gaji. Bukan pekerja saja yang susah hati, majikan juga pening kepala. Semalam saya bersembang dengan seorang kawan, dia menceritakan bapa tunangnya pening kepala bagaimana nak buang 400 orang pekerja. Jika tidak dia pula yang akan menghadapi risiko dibuang kerja. Sebuah bank tempatan dikhabarkan sudah bersedia untuk membuang lebih 1000 pekerjanya. Kawan saya yang bekerja sebagai arkitek di Dubai juga dalam keadaan tidak stabil. Syarikat-syarikat besar di sana sudah mula membuang pekerja. Syarikat tempat dia bekerja pula sudah mula membuat polisi-polisi baru, saja nak buat pekerja tak seronok bekerja di situ. Aduh..susahnya keadaan sekarang ni.

Banyakkan berdoa saudara-saudaraku, mohon dimurahkan rezeki. Jangan bimbang, rezeki Allah ada di mana-mana.

Monday, November 24, 2008

Jangan memandang rendah persekitaran

Adakah kita selalu memandang rendah persekitaran? Tanpa kita sedari, mungkin ya. Disebabkan tiada apa yang berlaku, maka kita tidak perasan. Antara sebabnya ialah kerana kita dah terlalu biasa dengan sesuatu tempat tu, setiap hari dah lalu di situ, dah berkurun tinggal di situ, atau dah bertahun bekerja di sesuatu tempat tu. Kadang-kala kita ke suatu tempat yang jarang kita pergi, tapi disebabkan banyak tempat lain yang kita dah pergi, dan tiada apa pun yang berlaku..maka dengan tidak sengaja kita telah bersikap sambil lewa dan memandang rendah persekitaran tersebut. Jika tidak pernah sekali pun perkara buruk berlaku, mungkin kita akan terus bersikap begitu. Sikap ini secara tidak langsung memudahkan berlakunya kemalangan dan jenayah.


Saya telah ke sebuah pusat beli-belah pada hari Sabtu lepas. Bila dah selesai membeli barang yang diperlukan, hanya objek di atas saja yang kelihatan tersangkut di motosikal saya. Cis...

Friday, November 21, 2008

Berhemah di jalan raya

Sekarang ni semakin banyak iklan keselamatan jalan raya oleh JKJR disiarkan di tv. Memang bagus sebagai salah satu cara mendidik pengguna jalan raya di negara kita. Antara yang popular ialah iklan yang dilakonkan oleh Adibah Noor dan seorang lagi pelakon tu (tak ingat la nama dia). Iklan-iklan tersebut menasihatkan pengguna jalan raya supaya; mengetatkan tali topi keledar, mematuhi had laju, memandu pada jarak yang selamat, tidak memotong barisan, tidak mencelah dalam kesesakan trafik dan mematuhi lampu isyarat. Satu lagi perkara yang saya rasa patut diingatkan kepada pengguna jalan raya ialah tidak membuang sampah keluar dari kenderaan. Bengang rasanya kalau tengok orang buang sampah keluar dari kenderaan. Kadang-kadang sampah yang besar pun dilontar dengan selambanya. Kalau ditegur, nak bertengkar pula. Apa salahnya simpan dulu sampah tu dalam kenderaan hingga tiba ke tempat yang dituju. Hmm...susah betul nak ubah sikap orang kan...

Sunday, November 16, 2008

Markah kamu rendah sedikit

Minggu lepas saya mula menjalani kursus induksi di tempat kerja. Kursus ini akan selesai pada 20 November nanti. Setiap hari saya dan lebih 70 peserta lain akan mengikuti tiga sesi ceramah di sebelah pagi dan petang. Saya suka melihat kepetahan penceramah berkata-kata. Bagusnya jika saya ada bakat seperti itu, tampak yakin sekali. Penceramah yang pandai menyelitkan jenaka dalam sesi ceramahnya pasti mendapat perhatian yang lebih. Saya paling tertarik dengan penceramah yang berperwatakan serius tapi penuh dengan kelucuan semasa berbicara. Kami yang mendengar ni punya la tergelak, penceramah itu buat muka selamba je..macam tiada apa berlaku. Tak puas hati betul saya...rasa nak geletek je penceramah tu..hehe.

Kami diberikan kertas penilaian bagi menilai setiap penceramah. Kelmarin ada seorang penceramah wanita yang suka betul guna bahasa rojak. "Integriti is kebertanggungjawaban...bla bla bla", "If anda semua..bla bla bla"..dan banyak lagi. Kalau boleh semua ayat dia nak selitkan dengan perkataan Inggeris. Seronok sangat ke merosakkan bahasa ni? Apa tak lengkap ke ayat tu tanpa perkataan Inggeris? Jika perkataan tu memang susah nak diubah ke Bahasa Melayu, ataupun jika sedang bersembang dengan kawan-kawan, saya tak kisah sangat. Pilih antara satu, nak guna Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, dan gunalah dengan seadilnya. Disebabkan itu, maaf...markah kamu rendah sedikit.

p/s: Saya akan tetap memanggil Bahasa Melayu itu sebagai Bahasa Melayu, bukan Bahasa Malaysia. Saya lebih suka begitu. Tak kiralah jika orang mengubah namanya kepada nama apa sekali pun, yang saya tahu bahasa yang sedang saya gunakan ini Bahasa Melayu.

Wednesday, November 12, 2008

Hati yang berubah

Semasa minum bersama beberapa orang kawan di restoran, tersentuh topik mengenai skandal di tempat kerja, tempias daripada kes Abby & Norman la ni. Hampir di setiap tempat kerja mereka ada kes hubungan antara suami dan isteri orang. Sama ada hubungan antara isteri orang & lelaki bujang, suami orang & anak dara, atau suami orang & isteri orang. Itu yang mereka tahu, mungkin ada lagi hubungan rahsia yang masih belum dihidu. Terfikir saya sejenak, mengapa perkara ini berlaku ya? Mungkin terlalu banyak masa dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Mungkin perkahwinan di usia yang terlalu muda menyebabkan mereka tersilap membuat perhitungan dan akhirnya menyesal dengan keputusan yang dibuat. Mungkin selepas berkahwin, banyak sifat buruk pasangan yang baru disedari. Dulu semunya indah saja. Sekarang sudah tidak boleh diterima lagi.

Ahh...ada saja perkara yang boleh menjadi punca. Kadang-kadang terbit perasaan yang bukan-bukan terhadap insan lain. Terpulang kepada kita bagaimana mengawal perasaan itu. Jika diikutkan perasaan, ia akan mempengaruhi tingkah laku, bila tingkah laku dilayan pula oleh pihak yang satu lagi, hmm...faham saja la, macam-macam masalah akan timbul.

Saturday, November 8, 2008

Sukan malam

Malam tadi saya bermain futsal dengan kawan-kawan. Memang setiap malam Sabtu begitu. Kadang-kadang je saya tak main, jika ada hal lain. Masa ni la saya dapat berkumpul dan berseronok bersama kawan-kawan. Sedar tak sedar, inilah aktiviti saya sejak 4 tahun lalu. Kawan-kawan yang dulu tak reti main pun sekarang dah bagus. Pusat Sukan Futsal pun dah semakin bertambah. Puas rasanya dapat keluarkan peluh, lupa sekejap segala masalah (eh, banyak ke masalah?..;p). Sekarang ni kami mula bermain dari pukul 11 malam hingga 1 pagi. Dulu kami main selama sejam saja, tapi sejak bulan lepas, bilangan yang datang semakin ramai pula (dalam 20 orang). Terpaksalah kami tempah gelanggang (padang) selama 2 jam. Kalau tidak, memang tak puas la main. Dulu tak terfikir pun akan ada aktiviti ni kan...tapi sekarang dah jadi sukan malam yang popular, malah melihat gadis-gadis menyepak bola di dalam gelanggang dikelilingi jaring tu pun dah tak hairan.

Lewat kan kami main? Nak buat macam mana, waktu lain semua dah penuh ditempah orang. Tempahan bukan dibuat untuk seminggu, tapi untuk setahun. Jadi memang pukul 11 saja la waktu untuk kami. Orang lain lagi lewat, ada yang main pukul 2-3 pagi. Lepas penat bermain, selalunya kami akan minum di restoran mamak. Selalunya sekejap saja, tapi pagi tadi saya dan 4 orang kawan dah memecah rekod, bersembang di restoran sampai pukul 5.45 pagi. Pukul 6 pagi baru sampai rumah...ish ish. Kamu semua pula bagaimana? Bersukan atau bersenam tak? Sebenarnya tak kisah la aktiviti apa pun yang dilakukan, yang penting dapat menyihatkan badan. Ok la, masa untuk tidur.. Entah pukul berapa bangun nanti..;)

Monday, November 3, 2008

Bukan saya la

Minggu lepas saya pergi ke majlis perkahwinan jiran lama bersama emak dan seorang adik saya. Di majlis tu dapat la kami berjumpa dengan jiran-jiran lama. Ada yang masih tinggal di kuarters tu, dan ada yang sudah berpindah macam kami sekeluarga. Sedang saya berbual bersama beberapa kenalan di meja tetamu, tiba-tiba ada seorang jiran lama menghampiri saya...

Jiran: Boleh aku cakap kejap dengan kau, ada hal sikit
Saya: Haa..boleh (aik..hal apa pula ni..)
Saya dan dia pun ke satu sudut di dalam dewan tu...

Saya: Ada apa bang?
Jiran: Aku ada dapat surat la
Saya: Surat? Surat apa?
Jiran: Surat pasal pinjaman..ala pinjaman masa kau belajar dulu
Saya: Haa?..ye ke
Jiran: Kau ada bayar tak?
Saya: Ada..tiap-tiap bulan saya bayar
Jiran: Oo..ye ke, habis kenapa aku dapat surat?
Saya: Entah la...saya memang bayar tiap-tiap bulan...cuma kadang2 tu ada la sebulan dua terlupa (buat2 lupa) nak bayar, lepas tu saya bayar balik la macam biasa
Jiran: Oo..ingat kau tak bayar..risau gak. Aku bukan nak marah, nak tanya je
Saya: Bayar...takpe la, abaikan je surat tu...Saya memang bayar
Jiran: Ok la kalau camtu... k la, nak tanye tu je
Saya: Ok2, takpe

Sebenarnya saya tak ingat tentang dia menjadi penjamin saya...malas nak panjang cerita, saya dengar saja apa yang dia cakap dan jawab saja apa yang patut. Saya pun bukan rapat sangat dengan dia. Setahun sebelum keluarga saya berpindah baru dia menetap di situ. Bila kembali ke meja, saya pun ligat la berfikir. Bila diingat-ingat balik.., rupanya dia penjamin adik saya la. Emak saya mengesahkan perkara itu. Adoii...bukan saya la bang. "Yakin je kau soal siasat aku eh.."

Adik saya sambung belajar lagi, sebab tu dia belum bayar pinjaman pelajaran dia tu. Balik ke rumah terus saya ingatkan adik supaya buat surat menyatakan perkara itu kepada pihak berkenaan. Tak pasal-pasal orang lain yang kena soal...Cehh

Thursday, October 30, 2008

Dah habis ok

Siapa yang pasang lagu raya ni... Raya dah habis ok! Sepanjang raya tak nak pasang. Hari ni baru mengada nak pasang. Kalau satu lagu, ampun lagi la. Ni dah lebih 5 lagu. Sekarang ni tengah mendayu-dayu "...rasalah ketupat ini...dengan rendangnya sekali...bla bla bla" Eeii..tolong la.. Simpati la sikit dengan telinga saya ni.

Friday, October 24, 2008

Kamu berdua...jangan begitu

Hari itu, kamu berdua di situ. Aku pun di situ. Kamu berdua sama bangsa dengan ku. Kamu berdua rancak berbicara. Aku hanya membisu. Tumpang dengar saja, sambil melakukan urusanku. Sayangnya kamu berdua menggunakan bahasa lain, bukan bahasa kita. Oh, kamu berdua...jangan begitu. Bahasa itu bahasa kita. Kalau kita sendiri tak guna, siapa lagi? Bukan aku tak suka bahasa yang kamu guna itu, bahkan aku sendiri berusaha memantapkan bahasa itu. Tapi jangan sampai dipinggirkan bahasa kita. Bagai bangsa kita tiada bahasa. Aku sedikit kecewa.

Kamu berdua, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu sudah 2 kali diadakan. Sambutan yang diterima amat baik. Pada tahun ini, 50 peserta dari 42 negara telah mengambil bahagian. Mereka itu, ramai yang bukan bangsa kita, tapi petah berpidato di atas pentas. Mereka kata, mereka suka bahasa kita. Bahasa kita indah. Sungguh senang aku mendengarnya. Aku sangat kagum. Kamu juga seharusnya begitu.

Wednesday, October 22, 2008

Kamu suka tawaran hebat?

Siapa yang tak suka tawaran hebat kan? Pasti semua suka. Yang mana kaki 'shopping' tu pasti tak lepaskan peluang berbelanja jika ada tawaran hebat atau jualan murah. Minggu depan perayaan Hari Deepavali pula. Bersambung lagi la pesta jualan murah dan macam-macam tawaran hebat. Kedai-kedai yang tergantung perkataan kesukaan ramai dan angka-angka peratusan tu macam melambai-lambai saja minta dilawati. Selagi kocek masih berisi, kita pun singgah cari apa yang patut. Kalau kocek kosong pun tak kisah, kad kredit dah jadi kawan rapat kita. Kadang-kadang yang tak perlu pun kita sapu.

Seminggu lagi bulan Zulkaedah akan menjelma. Seminggu saja lagi tawaran hebat yang satu ni akan berakhir. Bayangkan jika kita perlu bayar RM36 saja untuk barang yang berharga RM365. Wow...diskaun 90% tu. Hebat juga tawaran ni kan? Tahniah kepada yang dah bayar RM36 tu. Kepada yang belum, ada seminggu saja lagi. Kalau tak sempat, tunggu tahun depan la ye..

Sunday, October 19, 2008

Yang saya telan

Kelmarin, pejabat saya buat jamuan raya secara potluck. Masing-masing kena bawa juadah ke pejabat. Saya bawa rendang masakan emak. Penuh meja bilik mesyuarat tu dengan makanan. Jamuan bermula pada pukul 10.30 pagi hingga ke petang, maknanya selagi ada makanan atas meja tu, datang saja dan makanlah bila-bila masa pun. Nak ulang berapa banyak kali pun tak kisah. Hari tu saya telah bertukar menjadi mesin pemakan mudah-alih...yeehaa.. Banyak juga yang saya telan, antaranya spagethi, roti jala, lemang, karipap, kebab, soto, lasagna, laksam, kek coklat, kek keju, puding dan buah-buahan. Ada beberapa makanan yang tak sempat dirasa sebab perut dah penuh...lain kali mungkin saya perlu jadi mesin yang lebih tahan lasak..;)

Bila waktu pulang hampir tiba, aktiviti mengemas pun bermula. Kawan-kawan saya sibuk membungkus makanan yang masih ada sebagai bekalan kepada semua. Saya mengangkat pinggan mangkuk yang kotor ke sinki yang terletak di pantri. Bila sampai ke sinki, tiada pula orang yang mencuci pinggan mangkuk yang melambak tu, hmm..terpaksalah saya beraksi. Pada pukul 5 petang ramai yang dah balik ke rumah, tapi saya masih sibuk di sinki tu. Ada la 3 orang kawan yang tunggu misi saya selesai. Hampir sejam juga saya mencuci. Huhh..lenguh pinggang dibuatnya... Tu la, makan banyak lagi..
Bila tiba di rumah, saya sampaikan pada emak..."Mak, diorang cakap rendang mak sedap tau.." La la la la...berbunga hati mak..:)

Thursday, October 16, 2008

Tidurlah kawan

Tadi dalam perjalanan ke tempat kerja saya singgah di stesen minyak. Semasa nak bayar duit di kaunter, ada abang depan saya tanya pada pekerja di kaunter tu "Dah lama ke dia tidur kat situ?" sambil menuding jari ke luar. Saya pun toleh la..ish..ish ada seorang lelaki sedang tidur dalam kereta yang diletakkan betul-betul di petak pam minyak. Nampak nyenyak sungguh.. sedang bermimpi agaknya. Kelihatan ada seorang pekerja yang sedang menyapu sampah berhampiran kereta tu. Sambil menyapu, beberapa kali dia menoleh ke arah lelaki tu. Barangkali sedang berkira-kira "nak dikejut ke tidak mamat ni". Pelanggan lain pun ada yang tengok aksi tenang lelaki tu..hehe. Kalau ya pun nak tidur, pergi la cari tempat sesuai sikit.

Hmm...mungkin ada sebab lain. Otak saya tiba-tiba jadi macam penyiasat..

1. Mungkin dia dah mengantuk tahap dewa sebab dah termakan ubat tidur sebelum tu
2. Mungkin dia dah selesai isi minyak, tapi tunggu kawan yang sakit perut pergi ke tandas
3. Mungkin rakaman rancangan ala-ala "Just for Laugh" atau "Bang Bang Boom" sedang dijalankan
4. Mungkin dia pengsan terbau petrol berlebihan atau terbau kentut kawannya tadi
5. Mungkin dia dah mati kerana sesak nafas
6. Mungkin saya patut hentikan penyiasatan ini...

Monday, October 13, 2008

Di kala orang lain tidur

Dah selalu nampaknya perkara ni berlaku. Saya pun dah menjadi pelik. Waktu tidur saya selalunya dalam pukul 12 lebih. Tapi dalam seminggu dua ni saya memang kerap tertidur awal dari kebiasaan. Antara pukul 10 - 11.30 malam dah terlelap. Kenapa ya? Hmm..aktiviti siang takde la berubah sangat, biasa saja. Pada awal pagi mesti terjaga, selalunya antara 1-4 pagi. Lepas tu susah pula nak tidur. Mula la saya isi masa dengan menonton tv atau membaca suratkhabar. Kadang-kadang tu, kalau esoknya cuti, saya hidupkan komputer dan melayari internet.

Pagi tadi saya terjaga pada pukul 3. Bila naik ke bilik di tingkat atas, adik saya yang bongsu masih belum tidur lagi, sibuk menghadap buku kerana peperiksaan akhir tahun akan bermula hari ini. Teringat zaman sekolah dulu..;) Lepas solat Isyak, saya menggosok baju dan seluar kerja pula. Sedang saya menggosok, abah keluar dari biliknya, menuju ke bilik air dan kembali semula ke bilik. Kemudian terdengar suaranya mengangkat 'takbiratul ihram'. Pasti abah pelik tengok saya menggosok baju pagi-pagi buta ni...hehe. Dah selesai menggosok, saya hidupkan komputer dan memindah beberapa fail daripada pendrive dan kamera ke komputer.

Jam menunjukkan pukul 4.05 pagi ketika saya mengangkat tilam (toto) ke tingkat bawah. Saya lihat adik saya dah tidur di atas sofa. Ceh..tadi kata nak turun minum air je. Nasib baik hari ni hari kerja, kalau tak saya akan menonton tv pula. Oh ya, saya memang dah terbiasa tidur di ruang tamu. Kalau bilik di tingkat atas kosong pun saya tetap akan tidur di ruang tamu.

Saturday, October 11, 2008

Selamat berbulan madu di Dubai

Malam tadi kawan saya Hisham & isterinya berangkat ke Dubai, UAE. Mereka berdua akan bekerja di sana selama 2 tahun. Mereka ni baru saja mendirikan rumah tangga pada 8.8.08 yang lalu. Kira bekerja sambil berbulan madu la ni. Waa..seronoknya. Saya dan beberapa orang rakan pergi ke KLIA malam tadi untuk mengucapkan salam perpisahan kepada mereka. Terasa sedih juga bila tengok kakak Hisham memeluknya sambil mengalir air mata...huuu

Ada apa dengan Dubai? Ish..macam-macam. Dubai merupakan salah satu daripada 7 emiriah yang terdapat di dalam Emiriah Arab Bersatu (UAE). Ia merupakan salah satu pembekal minyak utama dunia. Beberapa dekad yang lalu, Dubai hanyalah sebuah pekan nelayan yang kecil di persisir pantai Teluk Parsi. Kini ia telah berubah menjadi pusat perniagaan dan pelancongan terkemuka dunia. Dubai juga terkenal dengan projek-projek meganya seperti Hotel Burj Al Arab, Palm Island, World Islands dan Burj Dubai.

Burj Dubai setinggi 818m yang dijangka selesai pembinaannya pada September 2009 bakal menjadi bangunan tertinggi di dunia. Belum pun siap pembinaan Burj Dubai, kerajaan Dubai sudah merancang untuk membina sebuah lagi menara yang lebih tinggi. Menara tersebut akan mempunyai ketinggian sehingga 3281 kaki atau 1km dan akan mengambil masa selama sedekad untuk disiapkan. Haa...1km? ...erkk...tingginya! Arab Saudi merancang membina bangunan setinggi 1.6km manakala Kuwait pula akan membina bangunan setinggi 1001m...waa gila...gila...
.....teringat sejenak tanda-tanda akhir zaman.....


"Ana nak duduk kat tingkat atas sekali!"


Apa pun, selamat bertugas dan berbulan madu diucapkan kepada Hisham & Nisya. Jaga diri baik-baik ya!

Wednesday, October 8, 2008

'Kami' merajuk

Apakah perbezaan antara perkataan 'Kami' dan 'Kita'? Pasti semua tahu kan.. Tapi ramai orang tidak menggunakan perkataan ini dengan tepat. Perkataan 'Kita' selalu digunakan untuk mengganti perkataan 'Kami'. Jika 'Kami' ada perasaan pasti dia merajuk..:) Para pemimpin pun lebih kerap menggunakan 'Kita' daripada 'Kami'. Contohnya "Kita akan kaji dulu perkara ini...bla bla bla..

'Kami' juga dah terbiasa digantikan dengan 'kitorang' dalam perbualan harian...(hmm..merajuk lagi). Tapi di sebelah utara semenanjung, 'Kami' digunakan dengan baik. Tapi kadang-kadang ada yang ganti perkataan 'Saya' dengan 'Kami'...(terlebih guna pula).

Buat masa ni 'Kami' tak merajuk sebab filem 'KAMI The Movie' sedang ditayangkan di pawagam...hehe

Sunday, October 5, 2008

Beraya di kampung

Malam semalam saya dan keluarga selamat tiba dari kampung. Seronok rasanya dapat beraya di kampung. Memang tak sempat nak menziarahi semua sanak-saudara dalam masa 3 hari, namun saya tetap berpuas hati kerana banyak juga rumah yang sempat dikunjungi di Batu Pahat dan Johor Bahru. Pada malam raya kedua, ada perkara yang lucu berlaku..saya dan seorang adik saya terjaga kira-kira pukul 2.30 pagi kerana sakit perut, terpaksalah kami bergilir ke tandas. Lepas tu saya pun sambung semula tidur. Bila bangun keesokannya baru saya tahu rupa-rupanya hampir kesemua ahli keluarga ke tandas pada malam itu kerana sakit perut...hehe. Bila dah makan ubat barulah lega sikit, dapatlah aktiviti beraya diteruskan. Kepada yang masih hangat beraya dan masih bercuti, jagalah makan dan minum ye...jangan sampai menjejaskan kesihatan. Kepada yang akan mula bekerja esok..Selamat Bertugas!!

Tuesday, September 30, 2008

Esok Hari Raya

Esok kita semua akan menyambut Hari Raya. Ramai kawan-kawan yang dah berada di kampung halaman masing-masing. Tapi hari ni saya masih lagi bekerja, bersama dua orang lagi rakan. Kalau tiada tv di pejabat ni, pasti keadaan sunyi sepi. Macam biasa la, sehari sebelum raya selalunya memang dapat pelepasan awal. Pukul 1.00 petang nanti dah boleh balik. Hmm...nak singgah beli lemang la...:) Malam ini saya sekeluarga akan pulang ke kampung abah dan emak di Batu Pahat, Johor. Saya akan mula bekerja pada 7 Oktober nanti.

Sempena hari terakhir Ramadhan ni, marilah kita berdoa agar puasa kita diterima oleh Allah, dan semoga Ramadhan ini bukan Ramadhan terakhir buat kita....aaminn

Saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri...Maaf Zahir & Batin" kepada semua!

Sunday, September 28, 2008

Aishah berhari raya

Aishah merupakan anak jiran sebelah rumah saya. Umurnya baru setahun. Ibunya seorang cikgu. Setiap hari (kecuali hari cuti) ibunya menghantar Aishah ke rumah saya untuk dijaga oleh emak.

Satu hari sedang ibunya memasak, Aishah merangkak ke dapur. Mungkin nak tolong apa yang patut kot..Ibunya biarkan saja, sambil meneruskan kerja. Kebetulan ada 'blender' di atas lantai. Suisnya dah dimatikan. Tapi entah macam mana pandai pula Aishah menghidupkannya dan masukkan tangannya ke dalam 'blender' tu. Waduhh..habis berdarah jari si kecil tu. Ibunya macam tak percaya je dengan apa yang dilihat, kelam kabut dia dan suaminya bawa Aishah ke klinik.

Dah 2 minggu berlalu. Setiap hari Aishah perlu dibawa ke Hospital Selayang supaya lukanya dapat dicuci dan diperiksa oleh doktor di sana. Dua jarinya luka. Satu jari luka teruk sampai nampak tulang, satu lagi luka sikit saja. Ishh...takut saya..nasib baik tak putus. Doktor terpaksa simen sedikit tangannya supaya jarinya tak banyak bergerak. Terpaksalah Aishah beraya dengan tangan yang berbalut. Aishah...Aishah...


"Doakan jari Aishah cepat sembuh ye...boleh tolong mama masak"


Friday, September 26, 2008

Pusara Sepi

Ku di halaman sepi
Kejap di bumi
Jiran-jiran yang sunyi
Tiada erti
Sesekali laman ini dipenuhi
Air mata turut mengiringi
Berkurun tidak dikunjungi
Terbiar bersama hari
Syawal bakal tiba lagi
Takbir akan bergema lagi
Ohh..moga dia diziarahi
Dibekal kalam suci
Biar dia damai bersemadi
Bersamaku di sini
Aku pusara sepi...

Thursday, September 25, 2008

Hati-hati berbelanja

Lebih kurang seminggu lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya
Aidilfitri. Di saat ini, makin sibuk la persiapan raya dilakukan.
Macam-macam benda nak dibeli. Cuti hujung minggu ni, pasti ramai yang keluar untuk berbelanja, ramai juga yang dah mula bercuti panjang dan pulang ke kampung halaman masing-masing. Waa...seronoknya.

Bagi yang merancang untuk keluar berbelanja hujung minggu ni, saya nasihatkan berhati-hati. Jangan terlalu leka sehingga kadang-kala anak yang dibawa hilang entah ke mana. Kalau ditemui oleh orang yang baik dan dihantar ke kaunter informasi atau balai polis berdekatan, tidak mengapalah. Jika terus ghaib tanpa jejak bagaimana? Pasti tidak bermakna sambutan pada tahun ini.

Anda juga dinasihatkan tidak membawa wang tunai yang terlalu banyak. Adakah anda fikir penjenayah akan berehat pada bulan puasa? Sudah tentu tidak. Saya sendiri pernah melihat seorang wanita menyerahkan sejumlah wang kepada dua orang lelaki di hadapan kompleks Sogo. Kemudian dua orang lelaki itu berlalu pergi. Ramai juga orang lain yang berada di situ, semuanya sibuk dengan hal masing-masing. Beberapa minit kemudian wanita itu seperti tercari-cari sesuatu, memandang ke sekeliling sambil menangis. Rupa-rupanya dia telah dipukau.

Jadi, berhati-hati semua..


Monday, September 22, 2008

Jangan lupa bayar

Sejak minggu lepas ayah saya asyik tanya je...dah bayar zakat fitrah belum? Saya pula asyik jawab 'belum' je. Bising sikit la ayah saya...katanya nanti lupa. Tadi, sedang saya menghadap komputer, tiba-tiba teringat pula pasal zakat. Dengan pantas saya keluar kejap pergi bayar...kerja pun tak banyak sekarang ni. Kadar bagi negeri Selangor ialah RM5.20 pada tahun ini....hmm...selesai akhirnya. Nanti kalau ayah saya tanya, saya akan jawab "Dah abah!"...hehe

Anda jangan lupa bayar ye. Kadang-kadang kita saja nak tunggu saat akhir. Tapi bila tiba masanya, kita lupa pula nak bayar. Kan susah tu. Jadi, tak payah la tunggu saat akhir, bayar je sekarang.


Saturday, September 20, 2008

Salam Perkenalan

Assalamualaikum semua..

Salam perkenalan dan Salam Ramadhan diucapkan. Ini merupakan entri saya yang pertama. Dah lama sebenarnya nak buat blog ni, tapi asyik tertangguh je. Akhirnya saya buat juga, lahirlah "Bingka" (Bingkisan Dari Aku...). Hari ni dah masuk 10 hari terakhir Ramadhan, saat di mana Lailatul Qadar akan menjelma pada salah satu malamnya. Maka alangkah baik jika kita dapat beramal ibadat dan jika ada rezeki, kita akan bertemu dengan malam itu, malam yang lebih baik dari seribu bulan atau 83 tahun.

Antara tanda-tanda malam Lailatul Qadar (yang saya tahu) ialah:
1. Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas, bunyi salakan anjing pun tidak kedengaran
2. Pada siangnya, cahaya matahari berwarna pucat
3. Malaikat Jibrail akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu, tanda-tandanya ialah kita akan merasa dingin secara tiba-tiba.

Seorang ustaz menyampaikan dalam tazkirahnya baru-baru ini; "pada 10 malam terakhir, jika kita tidak mampu beramal pada malam-malamnya, tapi kita menunaikan solat Subuh berjemaah di surau/masjid, nescaya kita masih mendapat pahala malam Lailatul Qadar"...wallahualam

Jadi, selamat beramal ye! Mana la tahu, mungkin kita takkan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.